Saturday, 12 July 2014

Anda tak bayar kompaun MBMB? Jaga-jaga kenderaan akan ditunda


BANDA HILIR - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan yang masih belum menjelaskan saman serta kompaun pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan mengunci (clamping) dan menunda (towing) kenderaan terlibat.

Exco Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Ismail Othman berkata, tindakan itu akan berkuatkuasa mulai 1 Ogos depan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta MBMB 2005).

Menurutnya, tindakan penguncian dan penundaan terpaksa dilakukan bagi menangani sikap pemilik-pemilik kenderaan yang tidak bertanggungjawab terhadap kesalahan-kesalahan letak kereta.

“Langkah ini diambil bagi memberi pengajaran kepada mereka yang kerap melakukan kesalahan dan mereka gagal hadir ke mahkamah walaupun saman telah dikeluarkan.

“Peraturan yang dilaksanakan membabitkan seluruh kawasan pentadbiran MBMB ini bagi menambah baik sistem dan tata cara di negeri Melaka dan bersesuaian dengan sebuah negeri maju.

“Sekurang-kurangnya langkah ini dapat membantu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di hujung minggu. Sehingga hari ini terdapat 100,000 kompaun tertunggak yang masih belum dijelaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa anjuran MBMB di perkarangan Masjid Selat di sini semalam yang turut disertai Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu.

Majlis berkenaan juga meraikan 30 anak yatim dari Persatuan Kebajikan Ar-Riduan, Alai serta seramai 10 orang anak yatim bekas kakitangan MBMB dengan memberikan sumbangan duit raya kepada mereka.

Dalam pada Zainal berkata, pemilik kenderaan yang dikenakan tindakan penguncian dan penundaan perlu terlebih dahulu membayar caj penguncian sebanyak RM200 dan diikuti caj penundaan sebanyak RM150.

“Bagi kenderaan yang tidak dituntut, akan disimpan di stor penyimpanan dan akan dikenakan caj sebanyak RM10 sehari.

“Mereka juga perlu menjelaskan kesemua saman serta tunggakan kompaun di kaunter MBMB sebelum boleh dibenarkan mengambil kenderaan mereka,” katanya.

Sinar Harian


ADUN Bukit Baru Sarankan kawal penjualan gam untuk elak salah guna


MELAKA: Adun Bukit Baru (PAS), Dr Md Khalid Kassim menyarankan pihak kerajaan negeri mewujudkan satu mekanisme bagi mengawal penjualan gam bagi mengelakkan penyalahgunaannya khususnya di kalangan remaja ketika perbahasan di Dewan Undangan Negeri Melaka, baru-baru ini.

Beliau berkata, pada masa sekarang sesiapa sahaja boleh membeli gam tersebut di kedai dengan begitu mudah kerana tiadanya kawalan dan pemantauan oleh pihak kerajaan bagi membendung gejala penyalahgunaannya.

“Bukan sahaja kes salahguna menghidu gam bahkan bahan pelarut seperti ‘thinner’ juga disalahguna oleh golongan remaja yang kebanyakannya Melayu kerana ianya begitu mudah didapati di mana-mana.

“Ia memberikan kesan yang cepat di mana mereka akan berhalusinasi dan merasa gembira tetapi sebenarnya mereka khayal dalam dunia mereka sendiri,” ujarnya.

Menurut Dr Khalid, mereka akan mendapat kesan jangka panjang dengan pelbagai penyakit seperti kerosakan jantung, buah pinggang, sum-sum tulang, rosakkan mental dan bermacam lagi.

“Ia susah nak banteras kerana harganya murah dan mudah digunakan, tiada ubat untuk merawatnya kecuali dengan memberhentikan dengan segera aktiviti hidu gam itu.

“Saya mengharapkan usaha yang serius perlulah digembleng oleh semua komponen masyarakat bagi mengatasi permasalahan ini yang semakin berleluasa dan menular di kalangan remaja kita yang akhirnya menjadi gejala sosial dalam negara kita,” katanya.

Usul bagi membanteras penyalahgunaan hidu gam itu diluluskan apabila 21 Adun BN menyokong termasuk Dr Khalid manakala 6 Adun DAP berkecuali pada Persidangan Kedua Penggal
Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ketiga Belas dari 23 Jun hingga 25 Jun 2014.

- Harakah 9 – 12 RAMADAN 1435 / 7 – 10 JULAI 2014


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59