Tuesday, 1 July 2014

Tazkirah Ramadhan


Ramadhan merupakan bulan yang sangat mulia. Di dalamnya penuh dengan kenikmatan dan ganjaran pahala. Di bulan Ramadhan juga banyak peristiwa kemenangan yang berlaku kepada umat Islam. Kemenangan umat Islam di Badar Al Kubra, Pembukaan Kota Mekah serta kemenangan umat Islam di ‘Ain Jalut.

Pada tarikh 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah, ketika umat Islam menunaikan ibadah puasa, Rasulullah S.A.W telah keluar bersama-sama sahabatnya dengan kelengkapan yang kecil dan sederhana bagi mengawal Negara Islam Madinah. Baginda telah berhadapan dengan bala tentera musyrikin dalam jumlah yang sangat besar. Tentera musyrikin lengkap dengan kelengkapan peperangan muncul dengan satu matlamat iaitu untuk menggempur dan menewaskan tentera Islam.
Rasulullah S.A.W menghadapi peristiwa ini dengan tenang. Sebelum pertempuran bermula, baginda S.A.W telah bermunajat kepada Allah S.W.T ( yang bermaksud ) :

 Wahai Tuhanku, jika sekiranya dimusnahkan golongan ini dari kalangan Islam nescaya Engkau tidak akan lagi disembah di atas muka bumi ini selama-lamanya.   ( Riwayat Al Bazzar )

Baginda tidak menyatakan sekiranya kami tewas, apa akan terjadi kepada anak, isteri dan keluarga kami serta harta benda dan tanah air.

Berbeza pula dengan Abu Jahal yang turut berdoa kepada Allah S.W.T agar ditewaskan golongan mukmin yang dianggap telah memutuskan silaturrahim dalam masyarakat :

Dari Abdullah bin Tha’labah bin Sua’ir, bahawasanya Abu Jahal telah berkata tatkala dua pihak bertembung (semasa perang Badar ), Wahai Tuhanku, inilah dia orang yang memutuskan silaturrahim dan membawa ajaran sesat, maka binasalah mereka di pagi ini. ( Riwayat Imam Ahmad )

Abu Jahal telah menuduh Nabi Muhammad S.A.W serta orang yang beriman sebagai golongan yang sesat. Dia lupa kepada persoalan sebenar dalam kehidupan manusia iaitu manusia mesti mengabdikan diri kepada Allah S.W.T dan perlu menolak sebarang bentuk syirik terhadapNya. 


Pengabdian diri kepada Allah S.W.T akan menjadikan seseorang itu yakin dengan segala kekuasaan Allah S.W.T, mereka percaya bahawa Allah S.W.T tidak boleh ditewaskan, ditolak dan dihalang kemahuanNya. Perkara yang sedemikian dapat dilihan dari sikap para sahabat bilamana diberi peluang untuk balik ke Madinah ataupun menghadapi musuh di Badar. Al Miqdad bin Al Aswad lantas menyebut;

Wahai Rasulullah S.A.W demi Allah kami tidak sekali-kali akan berkata kepadamu sebagaimana Bani Israil berkata kepada nabi Musa A.S.” pergilah kamu dengan tuhan kamu untuk berperang, sesungguhnya kami hanya akan duduk di sini sahaja,” tetapi kami akan berkata ”pergilah kamu (Rasulullah S.A.W bersama tuhan kamu untuk berperang, sesungguhnya kami akan sentiasa bersama kamu turut berperang.”

Peristiwa Fath Makkah juga berlaku di bulan Ramadhan. Ianya berlaku pada tahun 8 Hijrah. Rasulullah S.A.W telah mengumpulkan bala tentera untuk menawan Mekah, tanah kelahiran baginda sendiri. Tujuannya ialah bagi membebaskan bumi Mekah dari cengkaman jahiliyyah. Mekah pada waktu itu dipimpin oleh Abu Sufian yang belum lagi memeluk Islam. 

Bumi Mekah masih penuh dengan amalan jahiliyyah yang menyesatkan manusia dari mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Golongan musyrikin Mekah yang telah membatalkan perjanjian Hudaibiyah dijadikan alasan yang kukuh oleh Rasulullah S.A.W untuk menyerangnya.

Mekah ditakluk tanpa pertumpahan darah. Penduduk Mekah menyerah diri kepada Allah S.W.T dan Rasulnya S.A.W. Peristiwa ini dirakamkan oleh al-Quran. Firman Allah;

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau Wahai Muhammad Berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.    ( Al Nasr : 1-3 )


Ramadhan merupakan bulan perjuangan. Marilah kita mengambil semangat Ramadhan dengan menyedari bahawa umat Islam hari ini sedang dijajah oleh kuasa Barat. Pemikiran serta tindak tanduk umat Islam juga sedang dijajah. Ayuh marilah kita bangkit berjuang. 


Disediakan oleh Lajnah Tarbiah PAS Kawasan Bukit Katil

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59