Tuesday, 8 July 2014

Pusat Judi siber di Melaka semakin banyak - kebanyakan pelanggan adalah Melayu?


AYER KEROH - Bagaikan ada sesuatu tidak kena tentang kegiatan judi siber yang dilihat semakin rancak beroperasi di negeri ini.

Apa tidaknya, setiap kali premis yang disyaki menjalankan kegiatan itu diserbu dan kesemua peralatan berkaitan disita, tidak sampai 24 jam mereka beroperasi kembali.

Keadaan ini seolah-olah ada satu kuasa kebal yang membantu mereka serta membuatkan segala kegiatan mereka langsung tidak terjejas.

Antara yang terpanggil dengan permasalahan ini, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Chiw Tiang Chai yang merasakan tindakan lebih tegas harus diambil sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mahu membanteras gejala judi siber ini.

Menurutnya yang juga Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) negeri, semua pihak berkaitan harus duduk semeja membincangkan langkah terbaik bagi mengatasi masalah ini.

“Saya melihat gejala judi siber semakin lama, semakin rancak. Sebab itu, saya ingin tekankan sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mahu membanteras masalah ini, ia perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

“Kalau tidak mahu buat, jangan buat. Maknanya, kalau kita hendak membanterasnya, semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) kena duduk berbincang dan ia perlu dibuat serentak.

“Misalnya di Melaka ada empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaraya Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) harus lancar gerakan serentak.

“Tetapi perkara ini perlu diperlakukan dengan teliti kerana sindiket ini amat licik dan hari ini kita serbu esok mereka sudah buka semula,” katanya.

Beliau yang berpengalaman menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis MPHTJ selama beberapa tahun turut merasakan beberapa organisasi seperti pegawai seranta, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dan persatuan-persatuan penduduk harus mengambil tahu kawasan masing-masing sekiranya terdapat premis yang menjalankan kegiatan judi siber.

“Perkara ini, kemudian dimaklumkan kepada pihak berkuasa dan barulah lokasi berkenaan diserbu serentak.

“Kita tidak mahu dalam menangani isu ini seolah-olah ia dilakukan seperti sandiwara atau bermain wayang,” katanya.

Beliau berpendapat kerajaan harus membentuk satu badan yang turut membabitkan Ketua Polis Negara, Setiausaha Kerajaan Negeri, PBT dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kalau boleh badan ini dipantau oleh suruhanjaya bebas yang dibentuk. Cara ini perlu sekiranya kerajaan ikhlas mahu membanteras dan ia membabitkan soal masa depan anak-anak kita.

“Saya melihat kebanyakan yang datang memenuhi pusat-pusat judi siber ini adalah orang-orang Melayu.

"Sebabnya, tempat ini tersorok dan orang tidak nampak. Berbeza dengan orang bukan Melayu mereka ada tempat khas untuk berjudi misalnya di pusat penjualan nombor ekor atau di kasino-kasino tertentu.

“Orang Melayu tidak boleh pergi tempat itu jadi inilah peluang mereka untuk berjudi dengan melalui pusat judi siber seperti ini. Mereka berasa seronok dan kita bimbang perkara ini yang akan menjejaskan dan merosakkan umat Islam di negara ini,” katanya.

Tiang Chai berkata, perkara ini perlu dipantau oleh polis dari ibu pejabat di Bukit Aman dan bukannya negeri.

“Pengusaha pusat judi serta individu di belakangnya meraih keuntungan tetapi yang menjadi mangsa adalah anak-anak kita. Mereka rosak akhlaknya akibat judi ini.

“Lagi satu cadangan saya, kalau boleh pemilik premis juga kita heret sama dan turut didakwa berhubung masalah ini kerana mereka turut bersubahat hal ini. Selama ini, hanya barangan disita dan kompaun sahaja yang diambil.

“Sepatutnya pemilik premis kena tahu apakah bentuk perniagaan yang akan dijalankan oleh penyewa,” katanya.

Sinar Harian

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59