Friday, 11 July 2014

Peniaga bazar rasa tertipu


BATU BERENDAM - Kewujudan dua tapak bazar Ramadan dalam satu kawasan di Taman Merdeka, di sini mengundang rasa tidak puas hati di kalangan peniaga, semalam.

Menurut peniaga, tapak bazar Ramadan asal diuruskan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pak Balang, Taman Merdeka selepas membuat permohonan kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Ekoran itu, satu lawatan oleh Yang Dipertua MPHTJ telah dilakukan di kawasan tapak berkenaan, sekali gus memutuskan bersetuju mengadakan sebuah tapak bazar Ramadan di situ.

Bagaimanapun, masalah timbul apabila secara tiba-tiba, muncul sebuah lagi tapak bazar Ramadan kira-kira 200 meter dari situ, menyebabkan tapak asal lengang tanpa dikunjungi orang ramai.


Peniaga, Samsudin Serin, 48, berkata, pada asalnya seramai 21 peniaga sudah memohon lesen kepada MPHTJ dengan bayaran RM280.

“Malangnya, ada pihak lain menganjurkan bazar Ramadan di sini sehingga menyebabkan kami peniaga tersepit.

“Kami semua mengikut undang-undang dan membayar lesen tetapi yang tidak ikut undang-undang berniaga di sana. Lebih malang apabila kami pula disindir oleh kumpulan peniaga di sana,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Nor Azura Abdullah, 29, berkata, dia bersama beberapa peniaga terlibat sudah mengadukan perkara itu kepada MPHTJ tetapi sehingga kini masih belum dapat diselesaikan.

“Saya jual nasi ayam, setiap hari hendak mendapat RM20 pun susah. Nasi ayam saya sejak hari pertama berniaga banyak yang terbuang sedangkan saya terpaksa mengeluarkan modal hampir RM200 sehari.

“Yang kami kesalkan, kebanyakan peniaga di sana beroperasi secara haram dan tanpa lesen tidak diambil tindakan pihak berkuasa, sebaliknya kami di sini yang beroperasi secara sah terus terhimpit,” katanya.

Bagi Samsudin Isnin, 54, pula, dia difahamkan oleh MPHTJ hanya terdapat lapan bazar Ramadan saja diluluskan, tetapi pelik kerana kini terdapat sembilan bazar Ramadan.

Sementara itu, isu tapak bazar Ramadan berkenaan turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin dan Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong.

Menurut Shamsul Iskandar, isu berkenaan timbul berikutan masalah politik tempatan antara Pengerusi JKKK baharu dengan pengerusi terdahulu.

“Cadangan saya, peniaga terlibat di kedua-dua tapak ini ditempatkan satu tempat di sini, seperti mana dipersetujui antara MPHTJ dengan JKKK di sini,” katanya.

Sinar Harian

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59