Friday, 4 July 2014

Maki Polis Di Melaka - Hukuman penjara menanti


Melaka: Gara-gara memaki polis dengan perkataan ‘bodoh’ dan menghalang tugas penjawat awam, seorang bekas pembantu akauntan dipenjara empat hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Hukuman itu diputuskan Majistret Mohd Firdaus Saleh terhadap Goh Guo Quan, 22, dari Mersing, Johor yang mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, Goh didakwa secara sengaja menghalang tugas penjawat awam dengan tidak memberhentikan kenderaan ketika ditahan anggota polis trafik yang menjalankan tugas selepas didapati tidak memakai tali pinggang keledar ketika memandu dan mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ kepada anggota itu.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya di sini, kira-kira jam 3 petang, 22 Jun 2014.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, ketika melakukan rondaan di Jalan Merdeka, pengadu menahan kereta tertuduh.
Kereta itu yang berhenti kemudian memecut sebelum diekori dan ditahan semula di hadapan sebuah pejabat di Taman Melaka Raya.
Selepas diberitahu kesalahan dilakukan adalah tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memberhentikan kenderaan ketika ditahan, pemandu (tertuduh) dengan nada tinggi berkata ‘cepat tulis, jangan bising’ sebelum keluar dari kereta ke arah pengadu serta mengeluarkan perkataan ‘bodoh’.
Peguam Faiezad Razali yang mewakili tertuduh ketika rayuan memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman denda yang ringan dengan alasan kesalahan itu dilakukan dalam keadaan tertekan.
“Ketika kejadian tertuduh baru berhenti kerja sebagai pembantu akauntan dan tertuduh dalam keadaan tertekan, kes ini juga tidak membabitkan kecederaan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai iktibar.
“Walaupun tidak membabitkan kecederaan, namun sebagai rakyat Malaysia kita terkenal dengan sikap sopan santun dan keadaan tertekan tidak membolehkan seseorang bersikap tidak sopan kepada orang lain,” katanya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59