Tuesday, 1 July 2014

Apa sudah jadi? Tanpa tender, sebut harga dan kontrak pun boleh jadi pembekal kepada MPHTJ..


Laporan Audit Melaka siri 2 mendedahkan jumlah wang rakyat yang melebihi RM1 juta telah dibelanjakan tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan. Semakan Audit terhadap 17 fail syarikat pembekal di Jabatan Kebersihan dan Lanskap, Perlesenan dan Korporat dan Khidmat Masyarakat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mendapati 8 daripadanya telah ditawarkan perkhidmatan dan bekalan tanpa sebut harga yang mana jumlah keseluruhan 8 projek tersebut adalah RM1.13 juta.

Semakan Audit selanjutnya mendapati tiada kontrak formal disediakan walaupun semua perolehan bekalan/perkhidmatan tersebut adalah bermasa berdasarkan trend bayaran setiap bulan. Ini disebabkan pegawai yang bertanggungjawab tidak mengambil berat terhadap peraturan perolehan yang berkuatkuasa.


Kesannya MPHTJ tidak mendapat harga tawaran yang lebih baik dan pembekal lain tidak berpeluang untuk bersaing bagi mendapat projek tersebut. Selain itu, ketiadaan kontrak formal menyebabkan MPHTJ tidak dapat mengambil sebarang tindakan sekiranya pembekal gagal melaksanakan bekalan/perkhidmatan yang diarahkan. Di samping itu, MPHTJ juga tidak dapat menentukan tempoh bekalan/perkhidmatan bagi projek tersebut.

Peraturan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan menyatakan pembelian setiap jenis item yang melibatkan jumlah perbelanjaan tahunan atau sesuatu kontrak melebihi RM50,000 tetapi tidak melebihi RM500,000 hendaklah dibuat dengan mempelawa sebut harga di kalangan sekurang-kurangnya 5 pembekal tempatan yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan. Ia juga menyatakan semua perolehan bekalan atau perkhidmatan bermasa perlu disediakan kontrak formal walaupun nilai perolehan kurang daripada RM50,000.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil dengan ini secara tegas menyeru agar pelanggaran prosedur perolehan disiasat segera oleh Yang Di Pertua MPHTJ dan mengenakan tindakan tatatertib dengan sewajarnya seperti yang disarankan oleh Laporan Audit. Selain itu, pemantauan berterusan daripada pihak atasan yang berintegriti perlu dilakukan bagi mengelakkan daripada perkara ini daripada berlaku.

Sumber maklumat : Laporan Audit Negara

Musab Umair

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59