Saturday, 12 July 2014

Anda tak bayar kompaun MBMB? Jaga-jaga kenderaan akan ditunda


BANDA HILIR - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan yang masih belum menjelaskan saman serta kompaun pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan mengunci (clamping) dan menunda (towing) kenderaan terlibat.

Exco Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Ismail Othman berkata, tindakan itu akan berkuatkuasa mulai 1 Ogos depan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta MBMB 2005).

Menurutnya, tindakan penguncian dan penundaan terpaksa dilakukan bagi menangani sikap pemilik-pemilik kenderaan yang tidak bertanggungjawab terhadap kesalahan-kesalahan letak kereta.

“Langkah ini diambil bagi memberi pengajaran kepada mereka yang kerap melakukan kesalahan dan mereka gagal hadir ke mahkamah walaupun saman telah dikeluarkan.

“Peraturan yang dilaksanakan membabitkan seluruh kawasan pentadbiran MBMB ini bagi menambah baik sistem dan tata cara di negeri Melaka dan bersesuaian dengan sebuah negeri maju.

“Sekurang-kurangnya langkah ini dapat membantu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di hujung minggu. Sehingga hari ini terdapat 100,000 kompaun tertunggak yang masih belum dijelaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa anjuran MBMB di perkarangan Masjid Selat di sini semalam yang turut disertai Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu.

Majlis berkenaan juga meraikan 30 anak yatim dari Persatuan Kebajikan Ar-Riduan, Alai serta seramai 10 orang anak yatim bekas kakitangan MBMB dengan memberikan sumbangan duit raya kepada mereka.

Dalam pada Zainal berkata, pemilik kenderaan yang dikenakan tindakan penguncian dan penundaan perlu terlebih dahulu membayar caj penguncian sebanyak RM200 dan diikuti caj penundaan sebanyak RM150.

“Bagi kenderaan yang tidak dituntut, akan disimpan di stor penyimpanan dan akan dikenakan caj sebanyak RM10 sehari.

“Mereka juga perlu menjelaskan kesemua saman serta tunggakan kompaun di kaunter MBMB sebelum boleh dibenarkan mengambil kenderaan mereka,” katanya.

Sinar Harian

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59