Saturday, 28 June 2014

Takwim Program Ihya Ramadan 1435H PAS Kawasan Bukit Katil


Klik untuk besarkan dan muat turun untuk saiz sebenar




Gambar - gambar sekitar Majlis Pelancaran Program Ihya Ramadan PAS Kawasan Bukit Katil di Surau Hj Ibrahim, Bukit Katil pada jam 9:00 malam 25 Jun 2014 :



Sekolah di Duyong tidak siap-siap : BN Mungkir Janji



MELAKA - Pas menganggap penjelasan Timbalan Pengerusi Maim, Datuk Yaakub Md Amin mengenai isu pembinaan Sekolah Rendah Agama Jaim, di Kampung Permatang Duyong baru-baru ini menggambarkan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

Timbalan Pesuruhjaya Pas 1, Kamaruddin Sidek berkata, adalah menjadi sesuatu yang pelik apabila upacara majlis pecah tanahnya sudah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri tetapi tapak berkenaan masih lagi belum dapat diputuskan.

“Saya melihat, kalau inilah isunya seolah-olah pihak terbabit khususnya kerajaan negeri dan Jaim telah memalukan Timbalan Perdana Menteri kerana melakukan majlis pecah tanah yang tiada keputusan lagi.

“Barisan Nasional (BN) sekadar berpolitik dan menjanjikan sesuatu perkara yang tidak pasti kepada rakyat khususnya penduduk Islam dalam Dun Duyong,” katanya ketika memberikan ulasan mengenai isu tersebut semalam.

Menurutnya, BN khususnya Umno cuba mempolitikkan isu berkenaan kerana sekolah berkenaan telah dijanjikan siap sepenuhnya pada 30 Jun ini.

“Pembinaan sekolah ini sepatutnya sudah berjalan kerana mengikut papan tanda yang sedang didirikan tetapi apabila BN kalah dalam pilihan raya, mereka mengambil sikap lepas tangan dan pembinaan ini ditangguhkan dan kemungkinan juga ia dibekukan.

“Kalau mengambil jawapan yang diberikan oleh Timbalan Pengerusi Maim, Datuk Yaakub Md Amin baru-baru ini, soal tapak tanah masih belum dapat diputuskan oleh pihak Jawatankuasa kampung dengan lembaga sekolah berkenaan amat mustahil ia tidak dibincangkan dan diputuskan dengan segera.

“Sepatutnya ia perlu dibuat lebih awal kalau tidak, mana mungkin Timbalan Perdana Menteri sendiri yang merasmikan tapak pecah tanah. Kalau tapak ini tidak sesuai dan tidak mendapat persetujuan pihak terbabit perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu berkenaan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron menjelaskan projek pembinaan sekolah berkenaan tetap akan diteruskan.

“Projek pembinaan sekolah ini tetap akan dibina dan segala perancangan sudah lama dibuat termasuk bajet oleh kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri. Semua sudah siap tersedia dan bakal terlaksana.

“Cuma saya khuatir dakyah dibawa pihak pembangkang yang tidak berasas serta tidak mempunyai angka apabila dengan sengaja membakar semangat dan fikiran kumpulan masyarakat.

“Perkara ini berkaitan soal masa depan anak-anak kita dan soal agama. Mana boleh dibuat main-main. Kita bukan parti cap ayam. Bila kita kata kita bina, kita akan bina,” katanya.

Sinar Harian


Friday, 27 June 2014

Melaka Negeri Maju dengan Sarang Maksiat ? Sindiket Dibantu TONTO ...


Melaka: Sekumpulan tonto yang menaiki beberapa kenderaan dengan beraninya mengekori pegawai dan anggota Jabatan Imigresen yang keluar melakukan operasi sekitar bandar raya ini malam kelmarin.
Kumpulan lelaki itu menunggu di pintu luar pejabat jabatan itu di kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh di sini, sebelum mengekori kenderaan anggota jabatan itu yang dalam perjalanan melakukan serbuan.
Mereka dipercayai cuba mengganggu operasi yang dilakukan selain memberi maklumat kepada pihak tertentu mengenai operasi terbabit.
Timbalan Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen negeri Abu Bakar Sidek Hassan berkata, dalam Ops Sayang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Negeri Mohd Sabri Ismail bersama 30 penguatkuasa itu, mereka diekori lima kenderaan tonto sejak keluar dari kompleks KDN.
“Menyedari diekori, pegawai Imigresen cuba mengelirukan tonto dengan memasuki kawasan perumahan, namun mereka berjaya mengekori menggunakan beberapa kereta dipercayai kerana memiliki sistem perhubungan cekap.
“Mereka terus mengekori pasukan serbuan sehinggalah operasi di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya selesai dilakukan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di kompeks KDN, di sini, semalam.
Beliau berkata, dalam operasi bermula jam 12 tengah malam, 12 pelayan pelanggan (GRO) warga asing berjaya dicekup.
“Pihak kami menganggap tangkapan GRO di pusat hiburan itu adalah satu kejayaan bermakna kerana dalam operasi sebelum ini, mereka dapat memboloskan diri. 
“Dalam operasi kali ini, kita mengepung seluruh kawasan menyebabkan mereka gagal melarikan diri. 


Sumber : Harian Metro

Lagi berita :



AYER KEROH - Seramai 26 warga asing termasuk 16 pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam ditahan penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri dalam empat lokasi berasingan di negeri ini, semalam.

Pemangku Pengarahnya, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, semua GRO yang sedang leka melayan pelanggan masing-masing cuba melarikan diri apabila pusat hiburan di Melaka Raya diserbu pihak berkuasa.

“Bagaimanapun GRO berusia 20 hingga 30 itu gagal melarikan diri kerana semua pintu masuk dan keluar premis berkenaan sudah dikepung.

“Ada di antara GRO ini cuba bersembunyi di dalam tandas, bagaimanapun anggota kita berjaya menemui mereka,” katanya dalam sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Abu Bakar berkata, operasi bermula jam 12 tengah hari kelmarin hingga 4 pagi semalam turut melibatkan serbuan di sebuah hotel bajet di Melaka Raya, pusat perjudian komputer dan sebuah rumah di Bukit Rambai.

Abu Bakar berkata, 10 warga asing berusia 20 hingga 40 tahun terdiri lima warga Indonesia termasuk empat wanita, lima lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar turut ditahan dalam serbuan disertai 32 anggota, termasuk dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) negeri.

“Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa dokumen sah,” katanya.

Sumber : Sinar Harian


Wednesday, 25 June 2014

TVDPPBK : Video temuramah masalah air tidak berkualiti berterusan di Merlimau



Sidang media dan serahan memorandum kepada Syarikat Air Melaka Berhad pada pagi Rabu 25 Jun 2014 di perkarangan bangunan SAMB mewakili penduduk Merlimau, Serkam dan Jasin berkaitan masalah bekalan air yang tercemar. Perhatian pihak berwajib amat diharapkan.


Kempen Derma Darah di Hospital Melaka


Mari beramai - ramai orang Melaka khususnya penduduk yang tinggal di Bukit Katil dan kawasan berdekatan untuk menderma darah ! 


Risalah DUN Bukit Baru


Klik Gambar dan muat turun untuk saiz asal.









Tuesday, 24 June 2014

Muslimat Melaka Jayakan Himpunan Mega 1K


Bukit Katil, Melaka - DEWAN Muslimat PAS Melaka mengorak langkah ke hadapan dengan kejayaan penganjuran “Himpunan Mega 1K Muslimat Melaka” yang telah diadakan di Kompleks PAS Bukit Katil di sini, baru-baru ini dan dirasmikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Siti Zailah Mohd Yusof.

Himpunan yang buat julung kalinya diadakan itu telah berjaya mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila menerima kunjungan yang menggalakkan bukan sahaja daripada para muslimat bahkan termasuk juga muslimin, pemuda serta kanak-kanak yang terhibur dengan pelbagai program santai dan bermanfaat.


Upacara perasmian dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan Briged Muslimat Melaka oleh Siti Zailah dan diiringi Ketua Muslimat Melaka, Kintan Man sebagai simbolik kepada keutuhan dan kegigihan Muslimat Melaka dalam mendepani cabaran semasa.

Siti Zailah dalam ucapan perasmiannya menyeru muslimat Melaka memantapkan diri dengan ilmu, akidah dan gerakerja di dalam jemaah agar tidak terlalai dengan dunia dan perhiasannya seperti yang terjadi kepada pemimpin Umno.

“Pemimpin Umno yang berjaya memegang tampuk pemerintahan di dalam negara ini telah lalai dan bermewah-mewah hingga mereka tak terasa dengan dosa yang mereka lakukan seperti rasuah, penyelewengan serta ketirisan. “Sebab itu hari ini berlaku terlalu banyak masalah dan kemelut yang tidak berkesudahan di mana dari hari ke sehari kita mendengar pelbagai isu negatif yang terjadi ke atas masyarakat kita hingga rakyat merasakan tidak selamat lagi,” ujarnya.


Beliau turut meminta muslimat melipat-gandakan usaha dalam memenangi sokongan pengundi di Melaka dengan meneruskan pelbagai gerak kerja bekebajikan yang telah dilaksanakan selama ini kerana ianya diharapkan dapat menambat hati golongan atas pagar menyokong kita dalam PRU kelak.

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Muslimat Melaka kerana telah berjaya mengerakkan seluruh ahli dan penyokong ke himpunan ini dan ianya menjadi pembekal semangat dalam menghadapi cabaran yang semakin hebat,”jelasnya.

Tambah Ahli

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari meminta muslimat supaya turut mengerakkan usaha menambah keahlian PAS terutamanya di kalangan ahli keluarga terdekat kerana sebelum ini mungkin terlepas pandang atau disebabkan kesilapan teknikal.

Ada yang dia ahli dan pimpinan PAS tapi ahli keluarganya belum menjadi ahli, ini mungkin disebabkan terlepas pandang atau berlaku kesilapan teknikal, borang dah dihantar tapi tak tahu ke mana perginya.

Mari kita daftarkan anak-anak kita, ibu-ayah, saudara mara dan kaum keluarga kita yang terdekat dulu kerana bila kita periksa ramai yang sokong PAS tapi belum menjadi ahli lagi, PAS Melaka beri insentif kepada Cawangan bagi merealisasikan usaha ini,” katanya.

Beliau turut memuji kejayaan Muslimat PAS Melaka menganjurkan program seumpama itu yang mampu memperlihatkan jalinan usaha di semua peringkat muslimat yang jitu dan kerjasama yang mantap
daripada semua pihak yang terlibat.

Integriti Disiplin Kami

Ketua Muslimat PAS Melaka, Kintan Man dalam ucapannya mewakili saff kepimpinan Dewan Muslimat PAS Melaka merakam setinggi-tinggi tahniah dan sekalung ucapan terima kasih kepada para dermawan
dan semua yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam bersama menjayakannya dan semoga diterima sebagai amal yang baik.

Jelasnya, himpunan itu bertemakan “Memperkasa Jawatankuasa Muslimat Cawangan Mempersada Dewan Muslimat Melaka” dengan slogan “Integriti Disiplin Kami” dan berkonsepkan ceria mahabbah.
“Objektifnya ialah mengunggulkan ketrampilan muslimat melalui pengembangan pelbagai disiplin ilmu kelangsungan dan menampilkan muslimat yang berintegriti.


“Antaranya juga ialah bertujuan memperkasakan jawatankuasa muslimat di cawangan-cawangan dengan mengumpulkan dana dan sebagainya seterusnya melaksanakan pelbagai program yang menjurus kepada mendekati masyarakat setempat.

Kintan berkata, himpunan tersebut berjaya kerana seribu lebih t-shirt yang diedarkan kepada muslimat adalah ditempah berdasarkan jumlah keahlian di cawangan yang kita ambil saiznya dengan turun ke setiap cawangan-cawangan.

“Himpunan ini antaranya juga bertujuan menghimpunkan seberapa ramai muslimat negeri Melaka di semua peringkat sama ada yang lama mahupun baru dan di samping itu ianya mampu memperkukuhkan ukhwah yang sedia terjalin sesama kita.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Harakah yang sudi bersama kita mengadakan program ‘Kempen Membaca Harakah’, termasuk Kelab Veteran PAS Melaka yang turut mengadakan majlis
perasmiannya dan Persatuan Anak Melaka Di Perantauan (PERAWAN) yang memberikan sumbangan 100 beg beras 10kg untuk diagihkan oleh muslimat pada Ramadan ini,” tambahnya.

Antara yang turut hadir adalah pimpinan negeri seperti Timbalan Pesuruhjaya I, Ustaz Kamarudin Sidek; Yang Dipertua PAS Bukit Katil, Sofi Wahab; Ketua Pemuda, Jauhar Md Nawi; Adun Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim; Presiden PERAWAN, Saad Shaari, Penaung PERAWAN, Muhammad Buruk dan pimpinan yang lain.

Pelbagai acara disediakan

Pelbagai pertandingan turut diadakan seperti pertandingan “Resepi Bonda”, pertandingan bayi comel, pertandingan mewarna, pertandingan citra rempah, pertandingan memanah, pentas politik anak muda, persembahan azan dan bercerita termasuk cabutan bertuah.

Manakala, pelbagai gerai pameran dan jualan memenuhi tapak program seperti pameran Booth Muslimat, gerai jualan Harakah, gerai jualan PASTI, pemeriksaan kesihatan percuma, lelongan baju Himpunan turut diserikan dengan celoteh pengacara istimewa, Ustaz Nordin Md Dahan yang berjaya menceriakan suasana dan kadang-kadang menggamatkan suasana dengan aksi ceria beliau yang membuatkan pengunjung berdebar-debar ketika pengumuman cabutan bertuah.

Kempen Membaca Harakah

Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop melancarkan Kempen Membaca Harakah yang antara lain katanya setiap pembelian suratkhabar Harakah adalah sebagai sumbangan kepada parti dan wang itu dikira jihad fisabilillah kerana ianya menjanai pelbagai gerak kerja PAS.

“Walaupun hari ini akhbar cetak di seluruh dunia mengalami kemerosotan disebabkan wujudnya media baru tapi Harakah mempunyai kekuatannya tersendiri iaitu sebagai organ parti dan mempunyai ahli-ahlinya.

“Ahli PAS lebih 1.2 juta dan kita nak sekurang-kurangnya 250 ribu ahli beli Harakah di mana ianya akan membantu PAS kembali, kita nak orang Melaka beli dua Harakah sumbang untuk perkasakan parti,” ujar
beliau.

Tambahnya, melalui konsep satu ahli satu Harakah ianya dapat merealisasikan matlamat PAS membeli sambil berjihad kerana pulangannya akan kembali kepada parti dalam melaksanakan gerak kerja perjuangan memertabatkan Islam.

Kelab Veteran PAS Melaka

Perasmian Kelab Veteran PAS Melaka yang dipengerusikan Bakrin Sidek turut disempurnakan oleh Ustazah Zailah pada himpunan itu yang dijangka dapat memberi ruang kepada veteran PAS memberikan pandangan dan melaksanakan aktivitinya sesuai dengan kemampuan dan kelebihan yang ada pada mereka.

Bakrin berkata kelab ini dijangka akan bertambah keanggotaannya dari masa ke semasa dan mereka telah bersedia menggunakan segala kelebihan yang ada pada golongan itu untuk digunakan sepenuhnya dalam menarik sokongan warga emas kepada PAS.

“Pelbagai aktiviti telah dan sedang kita rangka bagi memenuhi hasrat penubuhan kelab ini dan saya yakin ianya mampu memberikan sumbangan kepada kelancaran perjuangan PAS khususnya kepada golongan veteran,” katanya.

Harakah 22 – 24 SYAABAN 1435 / 20 – 22 JUN 2014



Monday, 23 June 2014

Video : Isu Pencemaran Air di Jasin




Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka memandang berat tentang permasalahan air yang tercemar di Daerah Jasin terutama di Sungai Rambai hingga ke Serkam. 

Kami di beritahu masalah ini sudah hampir berlarutan hampir dua minggu tetapi pada dua hari lepas keadaan ini semakin buruk. Saya mendapat maklumat bahawa ada penduduk sudah membuat aduan kepada YB-YB tetapi malangnya tiada perubahan yang berlaku dan tiada tindakan yang sewajarnya di ambil oleh wakil rakyat dan pihak SAMB.

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka mendesak pihak SAMB perlu memberitahu apa yang berlaku. Sekiranya ada pencemaran di loji penapis air SAMB perlu mengambil langkah yang sewajarnya kerana ianya melibatkan kesihatan dan nyawa manusia. Tindakan seperti notis pemberitahuan dan menutup loji penapis merupakan satu langkah yang perlu jika sekiranya ada masalah air bekalan yang tercemar. 

Di sini saya lampirkan dua gambar dari penduduk yang menunjukan bahawa bekalan air yang di dapati tercemar. Gambar pertama menunjukkan kertas PH menyatakan nilai kualiti air kepada bacaan asid dan gambar kedua air teh tarik yang di buat menjadi berkeladak berbeza dengan keadaan biasa.

DPPNM berharap Kerajaan Negeri mengambil tindakan segera dalam isu ini. Jangan apabila sudah berlaku sesuatu yang besar baru ingin ambil tindakan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka
Jauhar Muhammad Dawi


*Penulis juga merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil





Guru PASTI adalah Duta PAS



MELAKA: Konvokesyen Perguruan Pasti Malaysia
kali ke-8 telah berlangsung dengan jayanya di D’Village Resort Ayer Keroh, di sini, baru-baru ini dan dirasmikan oleh Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik. 

Dalam ucapan perasmiannya Dato’ Abu Bakar Chik
mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada guru-guru Pasti di atas penganugerahan Konvokesyen Guru Pasti Malaysia
ini kerana ia mengangkat martabat para guru Pasti setanding dengan profesion keguruan lain.

“Sebab itu guru-guru Pasti tak boleh lari dari PAS, mereka adalah duta PAS, mereka dilihat masyarakat, baiknya mereka baiklah PAS, buruk mereka buruklah PAS, maka saya minta semua jagalah keperibadian
Islam. 

“Gelombang untuk bangunkan masyarakat ini mesti dilakukan secara serius dan ia mesti digerakkan oleh semua anggota PAS. 

“Institusi Pasti adalah institusi besar yang sedang capai standard dunia. Insya-Allah Pasti akan memimpin pelaksanaan pendidikan Islam di Malaysia,” ujarnya. Beliau turut mengalu-alukan cadangan Pasti ingin menubuhkan sekolah rendah berpusat kerana ianya satu keperluan di dalam masyarakat yang telah melihat kejayaan pengurusan Pasti secara yang bersistematik.

“PAS sangat menitikberatkan soal pendidikan dan tarbiah dalam perjuangannya kerana ia akan memantapkan asas dan dasar perjuangan agar tidak melencong daripada matlamat perjuangan.

“Saya amat berharap sistem pendidikan Pasti akan sentiasa melahirkan generasi umat terbilang yang menjunjung Islam di masa hadapan dan merakamkan ucapan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik di semua peringkat,” katanya.

Pada majlis tersebut dua orang guru Pasti terpilih menerima anugerah yang disampaikan oleh Dato’ Abu Bakar Chik iaitu Nadhrah Abdul Samad penerima Anugerah Presiden dan Rusnani Husain penerima Anugerah Ketua Pengarah Pasti.








Harakah keluaran 22 – 24 SYAABAN 1435 / 20 – 22 JUN 2014


Friday, 20 June 2014

Laporan Audit : Melaka tanggung kerugian akibat ketidakmampuan pengurusan


Bukit Beruang : Kualiti Kerja Naiktaraf Jalan Tidak Memuaskan

Kerja menaiktaraf jalan dan longkang di Jalan Zamrud 5, Taman Kerjasama Fasa 2 Bukit Beruang, Hang Tuah Jaya bernilai RM0.08 juta telah disiapkan pada 10 Jun 2013 dengan tempoh tanggungan kecacatan selama 12 bulan. Lawatan Audit ke Jalan Zamrud 5, pada bulan Februari 2014 mendapati kualiti jalan yang diturap adalah tidak memuaskan kerana telah mendap dan rosak.

Menurut pegawai MPHTJ, jalan menjadi mendap dan rosak kerana dilalui oleh kenderaan berat seperti lori sampah. Semakan Audit mendapati tiada butiran spesifikasi terperinci berkaitan kerja dan sehingga tarikh pengauditan, MPHTJ tidak mengeluarkan arahan untuk membaiki semula jalan tersebut walaupun kerosakan
berlaku dalam tempoh kecacatan.

Pada pendapat Audit perolehan kerja yang tidak mengikut spesifikasi dan tidak berkualiti adalah merugikan PBT kerana tidak mendapat bekalan/perkhidmatan yang sepatutnya.



Projek Taman Ros di Ayer Keroh gagal.

Lawatan Audit ke Taman Ros pada bulan Februari 2014 mendapati projek ini telah gagal. Keadaan taman adalah kurang terurus dan bunga ros yang ditanam telah mati. Selain itu, kawasan taman juga telah diusahakan dengan projek madu lebah setelah diambil alih oleh Syarikat lain.

Menurut pegawai Landskap MPHTJ, Taman Ros ini tidak sesuai dibangunkan kerana faktor cuaca dan kos pengurusan yang tinggi.

Pada pendapat Audit, pelaksanaan projek Taman Ros adalah gagal dan mengakibatkan kerugian kepada Kerajaan. Selain itu, perolehan tanpa Pesanan Tempatan bagi projek ini adalah tidak memuaskan.



Sumber : Jabatan Audit Negara

Musab Umair


Wednesday, 18 June 2014

Dana pasar malam hilang?


MELAKA: Peniaga pasar malam merasa tertipu dengan pengumuman kerajaan bagi mewujudkan Skim Usahawan Pasar Malam dengan dana sebanyak RM100 juta dalam Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri pada tahun lepas.

Menurut Adun Ayer Keroh (DAP), Khoo Poay Tiong bajet tersebut telah diluluskan dalam Parlimen tetapi hingga hari ini dana itu belum diperuntukkan lagi kepada Bank Simpanan Nasioanal (BSN) yang akan mengendalikannya.

“Kebiasaannya perkara yang lulus dalam bajet biasanya akan dilaksanakan pada 1 Januari atau 1 April tapi bila saya tanya BSN mereka kata masih belum ada peruntukan lagi dan sedang menunggu arahan.

“Skim pinjaman mudah ini akan mengenakan kadar faedah empat peratus dengan pinjaman maksimum sehingga RM30 ribu dan ianya bagi menampung kos perniagaan seperti modal pusingan, sewaan tapak, bahan mentah dan kelengkapan perniagaan.


Dalam hal ini kita alu-alukan kemudahan ini kerana dalam suasana ekonomi yang meruncing dan masalah aliran tunai mereka maka dana ini dijangka akan dapat membantu mereka,” katanya kepada Harakah di sini baru-baru ini.

Beliau turut mempersoalkan ke mana perginya dana RM100 juta itu dan menganggap ianya satu lagi bukti kukuh janji dicapati.

“Bajet lulus dalam parlimen bukan buat pengumuman dalam upacara di luar tapi sehingga hari ini belum dilaksanakan, kalau kita lihat Bank Rakyat boleh beri RM32 juta kepada peniaga Pakistan, Deepak tanpa faedah untuk 10 tahun.

“Kalau ikut pasaran hari ini faedahnya RM12 juta tapi Bank Rakyat bagi percuma dan ini merugikan Bank Rakyat sedangkan bajet untuk bantu peniaga kecil kena empat peratus dan sampai sekarang belum diperuntukkan lagi,” ujarnya.

- Harakah 11 - 14 SYAABAN 1435 / 9 - 12 JUN 2014

Musab Umair


Tuesday, 17 June 2014

Audit : MP Hang Tuah Jaya Membazir ++ RM60K


MELAKA, 16 Jun (Bernama) -- Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) didapati tidak membuat kajian pasaran menyebabkan membuat lebihan bayaran berjumlah RM65,070 bagi perolehan sembilan jenis peralatan siaraya bagi Dewan Tun Ali di Bukit Katil di sini.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2, kesemua peralatan tersebut diperoleh pada harga berjumlah RM123,070 dengan harga pasaran hanya RM58,000.

Ia termasuk 12 unit JBL JRX-115 15" 2-Way Full-Range Speaker 25QW/1000W yang diperoleh pada harga keseluruhan berjumlah RM37,200 dengan harga pasaran hanya RM15,600.

Empat Unit JBL JRX-118S 18" Subwoofer Bass Bin 300w/1200w pula diperoleh pada harga RM19,120 dengan harga pasaran berjumlah RM8,400 sementara tiga unit YAMAHA P-7000S Power Amplifier 1100w X 2 (4ohm) diperoleh pada harga RM14,400 dengan harga pasaran RM7,800.


"Pihak audit telah membuat perbandingan harga perolehan dengan harga pasaran bagi beberapa peralatan di syarikat yang membekal peralatan yang sama.

"Hasil perbandingan mendapati harga perolehan bagi sembilan peralatan siaraya adalah antara 135.3 hingga 272.7 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran," menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Laporan itu menyebut pada Julai 2013, sistem siaraya dan dinding kalis bunyi di dewan berkenaan berjumlah RM490,000 telah ditawarkan secara sebut harga oleh MPHTJ kepada syarikat Colleague Enterprise.

"Pihak audit mendapati tiada bukti menunjukkan kajian pasaran telah dijalankan MPHTJ," katanya.

Semakan audit juga mendapati peralatan siaraya tersebut tidak didaftarkan dalam daftar aset.

Sumber :  Bernama

Musab Umair


Monday, 16 June 2014

Isu pengambilan tanah Kampung Padang Jambu, Melaka


BUKIT BARU, MELAKA: Penduduk Kampung Padang Jambu, Melaka, memohon penjelasan kerajaan negeri berhubung cadangan pengambilan tanah mereka bagi tujuan pembesaran Kolej Perubatan Manipal yang terletak bersebelahannya.

Baru-baru ini, satu dialog mengenai isu tersebut telah diadakan di antara Pengerusi Lajnah Tanah PAS Pusat, Mazlan Aliman dan sebahagian daripada 15 orang penduduk yang terlibat di mana ianya turut dihadiri Pengerusi Lajnah Tanah PAS Melaka, A Kadir Shohod; Pengerusi Sekretariat Dun Bukit Baru, Yusuf Wahab serta AJKnya, Yasim Musa dan Ustaz Ibrahim Duralim.

Menurut Mazlan Aliman pihaknya telah memohon penjelasan sebenar berkenaan cadangan pengambilan tanah itu kerana ianya melibatkan kediaman kampung tradisi penduduk yang telah tinggal di situ sejak sekian lama.

“Kerajaan negeri atau wakilnya JKKK kena berterus-terang kepada penduduk kerana mereka mendengar desas-desus yang mengatakan bahawa tanah mereka akan diambil bagi pembesaran Kolej Manipal
dan jalan raya.


“Orang datang ukur tanah dah datang beberapa kali dan bila ditanya mereka tak mahu memberikan maklumat kepada penduduk menyebabkan penduduk runsing dan bingung memikirkan nasib yang akan menimpa sekiranya tanah mereka diambil secara tiba-tiba,” ujarnya.

Jelas beliau, penduduk dicadangkan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi memudahkan berurusan dengan pihak berwajib dan bagi tujuan mempertahankan kampung itu daripada proses pengambilan tanah.

“Sekiranya tidak boleh dipertahankan lagi mereka layak mendapat bayaran pampasan yang setimpal kerana telah tinggal di situ lebih 40 tahun dan terpaksa memulakan semula kehidupan baru di tempat yang lain pula.

“Persoalannya adalah mengapa isu seperti ini seringkali terjadi dan ianya melibatkan kawasan kediaman penduduk sedangkan banyak lagi kawasan tanah kerajaan yang terbiar tidak digunakan bagi tujuan tersebut,” katanya.

Harakah 11 - 14 SYAABAN 1435 / 9 - 12 JUN 2014 


MusabUmair


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59