Tuesday, 29 April 2014

Pelancaran Himpunan TURUN GST Peringkat Negeri Melaka - [Klip Video]






MELAKA - Pas Melaka yakin 10,000 ahlinya dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) akan turun menyertai himpunan membantah GST yang akan berlangsung pada di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur 1 Mei ini.

Pengarah Mobilisasi Demokrasi Pas Negeri Melaka, Imran Abdul Rahman berkata, Pas Melaka mengarahkan seluruh jenteranya bermula dari negeri, kawasan dan cawangan turun membuktikan bahawa rakyat menolak GST.

“Ahli Pas dan penyokong PR yakin GST hanya membebankan rakyat.

“Sebagai contoh sebelum ini hanya 5,000 restoran yang mengenakan cukai tetapi selepas GST diperkenalkan kira-kira 15,000 restoran akan mengenakan GST dan fakta ini kita ambil daripada jawapan kerajaan ketika sidang Dewan Rakyat,” katanya.

Imran berkata, kerajaan sepatutnya menangguhkan GST kerana pendapatan rakyat belum layak untuk mereka membayar GST.

“Sekarang hanya 15 peratus pekerja yang layak membayar cukai pendapatan iaitu mereka yang mempunyai gaji RM3,000 ke atas.

“Ini menunjukkan bahawa majoriti pekerja di Malaysia masih mempunyai pendapatan rendah.

“Jika GST diperkenalkan bermakna golongan berpendapatan rendah dibebankan dengan GST,” katanya yang turut meminta kerajaan meningkatkan pendapatan rakyat jika mahu melaksanakan GST.

Katanya, beliau juga meminta seluruh rakyat negeri Melaka tidak kira bangsa, agama dan ideologi politik supaya bersama-sama menyertai himpunan 1 Mei ini.
“Kita mahu semua menyampaikan kepada kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan GST,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

* Musab Umair



Friday, 25 April 2014

Nota Ringkas Usrah Dewan Pemuda PAS Bukit Katil – Ciri-ciri Kesederhanaan Islam : - Memperkukuhkan Nilai-nilai Ketuhanan


Tarikh : 24 April 2014 ( Khamis )
Masa : 9:30 malam
Tempat : Pejabat PAS Bukit Katil, Ayer Molek

Memperkukuhkan nilai-nilai ketuhanan seperti keimanan kepada Allah, hari Kiamat, hisab (perhitungan), syurga, neraka, takwa dan lain-lain. Nilai-nilai ini merupakan amalan hati yang menjadi tonggak kepada Islam.

Selain itu, perlu member penekanan kepada ibadah yang merupakan tujuan manusia diciptakan. Ibadah itu pula perlulah diarahkan hanya kepada Allah semata-mata dengan penuh keikhlasan.

Penjelmaan ibadah tersebut berlaku dalam perlaksanaan kefarduan solat, zakat, puasa dan haji yang merupakan ibadat wajib terpenting. Di samping ibadat-ibadat itu pula terdapat tuntutan-tuntutan sunat seperti membaca Al-Quran, berzikir, berdoa, beristighfar dan sebagainya.

Selain daripada ibadat-ibadat zahir tersebut, adanya ibadat-ibadat batin lain seperti ikhlas, benar, cinta kepada Allah, reda, mengharap kepada rahmatNya, takutkan azabNya, syukur, sabar terhadap ujian, zuhud terhadap dunia dan bersedia untuk kehidupan akhirat.

Akhlak-akhlak yang disebutkan di atas merupakan asas tasawuf sebenar yang berdiri di atas prinsip ‘Benar dengan Allah dan berakhlak dengan makhluk’. Adalah menjadi kewajipan untuk menyemai nilai-nilai ketuhanan-ketuhanan ini melalui jalan dakwah, tarbiah, ilmu dan media.

Kita menolak pendirian yang menafikan kesufian secara total sebagaimana kita menolak kumpulan yang menerima kesufian secara menyeluruh, walaupun mengandungi kesyirikan, bidaan dan nilai-nilai yang tidak melalui saringan dan kajian.

* catatan oleh Musab Umair.


Monday, 21 April 2014

Intisari Pengisian Program Ijtimak PAS Kawasan Bukit Katil


Tarikh : 21 April 2014
Tempat : Markas PAS Paya Dalam, Ayer Molek
Penyampai : Ustaz Faisol

Hukum hudud dijamin Allah, mempunyai syarat yang ketat untuk dikuatkuasakan. Ia adalah undang-undang pencegahan. Untuk mensabitkan hukum hudud ini sangat susah. Ianya  mampu mencegah penjenayah daripada berbuat jahat sewenang-wenangnya.  Untuk menguatkuasakan hukum hudud ini bukan setakat pemikiran tetapi keimanan yang kukuh terhadap Allah, keyakinan terhadap hukum Allah.

Khalifah Abu Bakar pada zaman pemerintahan beliau telah menumpukan kepada pembebasan negara daripada unsur-unsur syirik, contohnya nabi palsu. Beliau tidak sempat membuat pembaharuan yang besar kerana menumpukan kepada pembersihan dalaman. Unsur dalaman yang negatif ini adalah merbahaya kerana jika tidak dibersihkan, ia boleh merosakkan sesuatu organisasi, negara mahupun jemaah apabila ia membuat satu fikrah yang berlawanan. Golongan tertentu di dalam jemaah islam yang mengkritik secara terbuka akan ketetapan yang telah dibuat oleh pimpinan dan jemaah( seperti mengkritik dan mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dan menghentam akan perlaksanaan hukum hudud di Malaysia ) dianggap telah melakukan sesuatu yang berlawanan dengan jemaah itu sendiri.

Kita tahu akan kisah keadilan Saidina Omar Al-Khatab yang mana ketika beliau terlepas satu ekor unta yang diberikan kepada Baitulmal, beliau sendiri telah mengejar unta tersebut di tengah2 panas terik matahari kerana takut disoal oleh Allah. Beliau bimbang akan ditanya Allah “Bagaimana kecuaian kamu wahai Omar ketika memerintah dahulu telah menyebabkan hilang seekor unta.” Beliau yang ketika itu telah berusia 60 an telah berusaha mengejar unta itu dan dengan bantuan sahabat lain telah berjaya menangkap semula unta tersebut.

Inilah contoh yang ditunjukkan oleh seorang pemerintah negara terbilang di zaman para sahabat. Saidina Omar sangat perihatin terhadap harta negara. Beliau bimbang apabila susutnya harta negara akibat kelalaian beliau, maka terabailah hak-hak rakyat. Kita juga telah dihidangkan dengan kisah beliau yang berjalan di waktu malam meronda untuk mengetahui kehidupan rakyat. Contoh yang patut diikuti oleh pemimpin kita, yang sepatutnya mencari rakyat susah, bukannya rakyat yang susah mencari pemimpin.

Kerana inilah pemimpin mesti peka, mesti mengambil tahu akan rakyat yang hidup di kawasannya dan diberi bantuan sekadar yang kita mampu. Dalam keadaan kita sebagai wakil rakyat di DUN Bukit Baru (sebagai contoh) yang mempunyai pelbagai kekangan terutamanya dari segi kewangan, harus membantu sekadar kemampuan. Yang mana kekangan ini tidak menghalang kita daripada membantu walaupun sekadar menziarahi dan bertanya khabar, kerana rakyat ada yang faham bahawa kita bukanlah di pihak kerajaan yang tidak diberi peruntukan sebagaimana wakil rakyat di pihak kerajaan.

Elemen kekuasaan adalah penting kepada gerakan Islam yang bergerak di dalam medan siasah. Jemaah Islam yang mengabaikan faktor politik (kuasa) di dalam gerak kerjanya maka tidak akan lengkap gerak langkahnya. Setakat kita bernasyid berqasidah adalah dibolehkan, untuk mengisi ruang waktu rehat setelah kita penat berjuang.  Kita tidak menentang Ya Hanana, selagimana ia tidak melalaikan kita daripada bersolat dan ianya bertujuan untuk mengalihkan tumpuan anak muda daripada konsert-konsert yang tidak berfaedah. Tetapi jangan sampai kita meninggalkan perjuangan kerana berqasidah.

Kita kena ingat bahawa perjuangan nabi adalah perjuangan yang serius, perjuangan yang melibatkan pertempuran dengan musuh-musuh Islam seperti Rom dan Parsi. Yang mana sampaikan orang Arab berkata “ Jika inilah perjuangan yang kau bawa wahai Muhammad, kami tidak akan terima. Kamu akan diperangi oleh orang Arab dan bukan Arab.” Kalau nabi Muhammad setakat berjuangan dengan cara berqasidah sahaja, tiada siapa akan bangkang. Malah Abu Jahal sendiri akan menganjurkan majlis-majlis Selawat. Sebab itu orang-orang yang menentang perjuangan Islam yang sebenar akan menyambut juga majlis-majlis sebegini.

Kita bukan hendak menentang penganjuran majlis seperti ini, tetapi ingin mengingatkan kepada semua yang terlibat bahawa ianya bukan pokok dalam perjuangan islam. Sama seperti Dondang Sayang, PAS tidak menentang kerana ia adalah budaya hiburan yang tidak bercanggah dengan islam. Orang Melaka dahulunya berdondang sayang pada sela waktu ketika berehat setelah penat mengerjakan sawah, tanpa ada percampuran lelaki dan perempuan. Ianya ketika itu dilakukan untuk mengisi masa lapang dengan cara berhibur, yang mana ianya tidak menyalahi syariat islam. Dewan Ulama PAS Negeri Melaka juga apabila ditanya tentang Dondang Sayang tidak menghalang bentuk hiburan sebegini kerana ianya budaya yang tidak bercanggah dengan islam selagi mana batas syariat dijaga seperti tiada percampuran lelaki dan perempuan.

* Catatan oleh - Musab Umair


Friday, 11 April 2014

Dondang Sayang di Bukit Katil ... julung-julung kali diadakan..


Ini bukan ajak-ajak ayam. Ini serius. Lebih serius lagi apabila acara dondang sayang ini diadakan di Dewan PAS Bukit Katil, Melaka pada malam minggu ini. Dondang sayang memang salah satu warisan tradisi kesenian orang Melaka.

Ia diadakan bersempena program Express Budaya, Ziarah Seni anjuran Lujnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat ke negeri Melaka. Program ini akan turun ke setiap negeri bagi mengangkat aktiviti kebudayaan dan kesenian popular sebagai satu medium yang mendidik masyarakat memahami keadilan dan perjuangan mewujudkan sebuah negara yang berdaulat.

Setiap negeri memiliki keunikan dalam tradisi persembahan mereka. Dondang Sayang adalah salah satu keunikan yang dimiliki oleh Melaka. Seperti juga Johor, mungkin tarian Kuda Kepang, zapin dan ghazal merupakan keunikan negeri Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS.

Jika di Kelantan, semua boleh menerima bahawa dikir barat adalah "made in" Kelantan. Dalam siri lawatan itulah, kami berhasrat untuk berusaha mengubah pendekatan persembahan yang bersifat hiburan semata-mata kepada matlamat yang lebih jauh daripada itu.

Tidak ramai yang minat dengan irama dondang sayang berbanding dengan irama pop atau rock. Lagipun, tak sesuai untuk dibuat perbandingan antara pop dengan dondang sayang.  Menganjur acara kesenian memang mencabar. Bagaimana untuk menterjemahkan konsep kebudayaan dan kesenian dengan nafas agama.

Pengiat seni pun ramai yang keliru. Ramai yang lebih cenderung menghukum daripada mencadangkan sesuatu yang konkrit pada pengiat seni. Sebenarnya terlalu banyak program kebudayaan dan kesenian yang hendak dibuat. Biarlah sedikit demi sedikit asal ada kemajuannya.
Awalnya kami bercadang menggunakan "Malam Kesenian dan Kebudayaan Islam" sebagai tajuk program tetapi terlalu tipikal.

Saya cadangkan agar pihak tuan rumah mencari istilah lain yang ada daya tarikan dan memberi makna besar kepada perjuangan dan negeri Melaka sendiri. Melaka memang terkenal dengan dondong sayang. Mengapa tidak sahaja diketengahkan sahaja irama tradisi itu yang semakin ditelan kemajuan?  Penyanyi sekarang pun sudah tidak bawa irama ini.

Tetapi itulah uniknya dondang sayang. Selain irama muziknya yang tersendiri, dondang sayang mengandungi kekuatan susunan bahasanya yang unik.
Ada dondang sayang hanyalah lirik yang dihafal tetapi persembahan dondang sayang yang hebat apabila penyanyinya mencipta bait-bait pantun secara spontan. Inilah lebihnya orang Melaka. Mereka miliki tradisi muzik dan bahasa yang indah.

Masyarakat Melaka adalah sebuah contoh masyarakat yang mengasimilasikan pelbagai budaya menjadi sebuah budaya mereka sendiri.

Contohnya, irama dondang sayang yang lebih dikaitkan dengan kaum Baba dan Nyonya merupakan kombinasi budaya Cina Peranakan, Melayu dan Portugis. Dondang Sayang adalah sebuah warisan yang mendapat pengaruh kebudayaan Portugis yang pernah menjajah bumi Melayu Melaka pada kurun ke 15.

Walaupun dondang sayang dipopularkan oleh kaum Baba dan Nyonya tetapi sekarang ia sudah dikongsi oleh orang Melayu sendiri. Ini mengingatkan saya dengan penyanyi 70an yang terkenal, Andre Goh. Beliau seorang Baba Nyonya yang memiliki kebolehan menyanyi lagu-lagu asli Melayu seperti dondang sayang, keroncong dan joget.

Bayangkan jika ramai penyanyi bukan Melayu membawakan irama muzik Melayu. Andre Goh tidak akan menjadi "Melayu" hanya kerana dia boleh membawa irama muzik Melayu. Tetapi itulah gambaran masyarakat Malaysia yang sebenarnya. Menjadikan Melayu sebagai salah satu teras kepada kebudayaan nasional tanpa menafikan kebudayaan kaum lain.


Persembahan dondang sayang melibatkan pemain biola, flute, rebana, arkodian, gong dan dua penyanyi.

Penyanyi biasanya akan berbalas pantun samada pantun yang dihafal atau pantun spontan. Sebagai sebuah irama yang lebih bersifat santai dan gembira, muzik dondang sayang dikategorikan sebagai sebuah irama yang rancak.

Bersantai kerana irama muziknya tidak terlalu kompleks dan mudah diikuti.
Marilah kita saksikan bagaimana PAS sebagai sebuah parti Islam menganjurkan program dondang sayang. Sewaktu Muktamar PAS lepas di Shah Alam, kecoh sekejap tentang persembahan rock metal anak-anak muda di pentas karnival di luar stadium.

Saya sudah jelaskan isu tersebut semasa sessi penggulungan pada hari terakhir muktamar. Memang ramai yang membantah dan mengkritik persembahan itu.
Rock metal seperti itu mungkin sesuai untuk orang muda dan 'orang tua' agak sukar menerimanya.

Walau bagaimanapun persembahan irama dondang sayang yang akan diadakan di Melaka sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat. Bagi anak-anak muda, inilah waktunya pendedahan kepada mereka tentang warisan tradisi orang Melaka.

Bagi orang tua, inilah waktu melepas rindu zaman muda dulu. Abang Yasin, Pengerusi Lujnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Melaka memberitahu bahawa, akan ada persembahan Qasidah Melaka.

Katanya, Qasidah Melaka berbeza dengan qasidah-qasidah di negeri lain.

Tujuan persembahan qasidah adalah untuk memuji-muji nabi Muhammad s.a.w dengan lirik yang puitis di samping diringi muzik tradisional seperti rebana, kompang, gong dan sebagainya. Muziknya boleh diubah suai dengan muzik moden.

Di Indonesia, ada kumpulan qasidah menggunakan live band sebagai latar belakang muzik mereka bahkan menggunakan sistem pembesar suara dan lampu yang canggih.Qasidah yang boleh menarik orang ramai biasanya bergantung sejauhmana kehebatan ciptaan melodinya. Lirik qasidah biasanya dalam bahasa Arab dan tidak banyak mempengaruhi pemahaman orang ramai.

Kelebihan qasidah Habib Sheikh Abdul Qadir As Saggaf kerana melodinya. Beliau memang hebat mencipta satu melodi ringkas tetapi bertenaga. Sekarang ini qasidah sudah menjadi salah satu trend acara keagamaan. Ramai tekong bagi acara ini diterbangkan khas dari Tanah Seberang.

Sebenarnya tidaklah perlu bergantung pada pak habib seberang untuk menjadi tekong. Ramai orang tempatan boleh jadi tekong qasidah. Bukan ada masalah dengan pak-pak habib dari Tanah Seberang. Silakan.

Malam 'Dondang Sayang' juga akan memberi peluang beberapa penyair muda membacakan sajak mereka. Agak rojak sikit acara malam itu.

Selamat datang. 

* Penulis adalah Pengarah Lujnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat

Sumber : Detik Daily









Thursday, 10 April 2014

Warga Asing Bolot Perniagaan di Melaka Sentral ?


Dewan Pemuda PAS Bukit Katil memandang berat laporan Ketua Audit Negara 2013 yang mendedahkan banyak lot perniagaan di Melaka Sentral diusahakan oleh warga asing. Kenyataan di dalam laporan tersebut juga menyebut terdapat premis yang disewakan semula kepada pihak ketiga dan pemilihan penyewa tidak melalui proses temu duga.

Selain daripada itu, disebutkan juga bahawa pengunjung kurang berpuas hati terhadap keselamatan dan kemudahan penghawa dingin dan ini semua menunjukkan kelemahan dalam pengurusan aktiviti dan tadbir urus korporat syarikat. 

Dengan ini Dewan Pemuda Bukit Katil menyokong pengesyoran Laporan Audit Negara untuk membaiki kelemahan - kelemahan yang telah dilaporkan. Agensi berkaitan harus menyemak semula dan mengemaskinikan SOP Penyewaan bagi menangani isu lambakan peniaga warga asing dan sublet. 

Agensi tersebut juga mesti memastikan keselamatan persekitaran kompleks sentiasa terjamin, dan kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan adalah selesa bagi menggalakkan aktiviti perniagaan dan kehadiran orang awam. 

Klik untuk Laporan Audit Negara - Melaka 2013



Berita berkaitan :

AYER KEROH - Tiga belas daripada 31 lot perniagaan di Melaka Sentral didapati diusahakan warga asing dengan melibatkan empat buah syarikat.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, semakan mendapati permohonan penyewaan lot perniagaan ini telah dibuat atas nama syarikat di mana pegangan saham dimiliki warga tempatan yang majoritinya pasangan kepada warga asing berkenaan.

Laporan berkenaan turut menyatakan pengesahan Jabatan Imigresen Melaka bertarikh 20 November 2013 mendapati  empat daripada enam pemegang saham dalam empat syarikat berkenaan merupakan pemegang pas lawatan sosial serta pas pengajian yang telah tamat tempoh.

“Bagaimanapun, menurut maklum balas Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB) bertarikh 3 Oktober 2013, tawaran lot kedai untuk disewa adalah berdasarkan status warganegara pasangan dan penyewa mempunyai pengalaman perniagaan serta status kewangan yang kukuh,” kata laporan berkenaan.

Selain itu, audit yang dijalankan turut mendapati adanya penyewa lot kedai yang menyewakan semula lot berkenaan kepada pihak ketiga.

Menurut laporan berkenaan, semakan yang dijalankan mendapati empat lot merupakan sublet dan semakan selanjutnya mendapati salah satu daripada empat lot berkenaan dimiliki salah seorang Ahli Lembaga Pengarah MSSB.

Laporan berkenaan menambah, antara sebab berlakunya sublet adalah penyewa asal tidak mampu meneruskan perniagaan serta kurang pemantauan dari pihak MSSB.

“Susulan ini, MSSB telah memberi maklum balas bahawa ia mengambil tindakan menamatkan sewaan, mengosongkan serta membaik pulih lot kedai terbabit kerana MSSB tidak akan berkompromi dengan peniaga yang didapati menyewa semula lot kedai kepada pihak lain.

“Audit mengesyorkan supaya MSSB menyemak semula dan mengemas kini standard operating procedure penyewaan bagi menangani isu lambakan peniaga warga asing serta sublet,” katanya.

Laporan Ketua Audit turut mendedahkan terdapatnya dua lot kedai yang tidak ditawarkan mengikut standard operating procedure sebaliknya ditawarkan kepada penyewa baharu tanpa proses temu duga.
Menurut laporan berkenaan, penyewa baru ini  dipilih berdasarkan cadangan penyewa terdahulu.

Dalam maklum balasnya, MSSB menyatakan tawaran ini dibuat atas dasar penyewa terbabit adalah pembekal utama dan pertimbangan budi bicara kerana hubungan saudara antara penyewa lama dan baharu.

“Pada pendapat Audit, peluang perniagaan kepada penduduk Melaka adalah baik. MSSB perlu lebih berhati-hati dan serius supaya lot-lot perniagaan tidak jatuh ke tangan warga asing atau disublet agar objektif penubuhan MSSB dalam meningkatkan taraf ekonomi golongan bumiputera tercapai,” kata laporan berkenaan.

sumber : Sinar Harian

                                                                                                                                          * Musab Umair


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59