Monday, 4 August 2014

72 keluarga dikesan hidap virus Aids di Melaka


ALOR GAJAH: Sebanyak 72 keluarga terdiri daripada penagih dadah dan anggota keluarga mereka dikesan menghidapi virus Aids di Melaka.
    
Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri Datuk Latipah Omar berkata daripada jumlah itu, 299 orang adalah Orang Kena Pengawasan (OKP) yang mendaftarkan diri secara sukarela dengan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Melaka.
    
"Mengikut rekod kira-kira 75 peratus daripadanya merupakan penagih dadah tegar manakala 15 peratus pula adalah mangsa terdiri daripada anak serta isteri yang dijangkiti melalui penagih dadah berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbukanya sempena Aidifitri di sini, semalam.
    
Beliau berkata angka tersebut dikhuatiri lebih berikutan bilangan sebenar pembawa virus Aids dalam kalangan penagih dadah serta anggota keluarga mereka sukar dikesan.
    
Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri bersama Pemadam Melaka sedang berusaha mengesan bilangan sebenar penghidap virus berkenaan untuk diberi bantuan dan sokongan.
    
Latipah berkata antara usaha yang dilaksanakan termasuk pendekatan turun padang dengan memberi kesedaran kepada penagih dan bekas penagih mengawal pengambilan dadah melalui pelaksanaan rawatan methadone.
    
Beliau berkata Pemadam dan Agensi Antidadah Kebangsaan Melaka juga sedang mengumpul maklumat dan data sebenar penghidap HIV/AIDS yang lain daripada kumpulan OKP yang berdaftar.
    
Katanya, sehingga hari ini sebanyak 2,992 OKP berdaftar dengan Pemadam Melaka dan kerajaan negeri sedang mengumpul maklumat mengenai anggota keluarga mereka yang berkemungkinan dijangkiti virus tersebut.
    
"Kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka menerima golongan penghidap virus tersebut dan tidak pernah menyisihkan mereka kerana sebahagian daripadanya adalah mangsa," katanya.
    
Sehubungan itu, katanya penghidap HIV/AIDS dalam kalangan penagih dadah dan anggota keluarga mereka dinasihat menghubungi pihaknya bagi mendapatkan rawatan serta bantuan lain. - Bernama

Harakahdaily


Muslimat Melaka, Adun Bukit Baru rai anak yatim


MELAKA: Bersempena Ramadan yang mulia ini Dewan Muslimat PAS Melaka dan Sekretariat Adun Bukit Baru telah mengadakan majlis meraikan golongan fakir miskin dan anak yatim di sini baru-baru ini sekali gus menyumbangkan barangan keperluan harian serta duit raya kepada mereka.

Program dirasmikan oleh Adun Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim dan turut dihadiri Ketua Muslimat Melaka, Kintan Man serta Ahli Parlimen Bukit Katil, Samsul Iskandar Mat Akin.

Menurut Dr Khalid, masyarakat diharapkan sentiasa prihatin dengan golongan kurang berkemampuan seperti fakir miskin dan anak yatim kerana mereka merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang memerlukan perhatian kita.

“Saya mengalu-alukan sumbangan dalam apa jua bentuk kepada golongan ini kerana mereka perlu dibantu bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka apatah lagi dalam keadaan tekanan kenaikan harga barangan keperluan yang makin meningkat.

“Kita mengharapkan dengan usaha yang sedikit ini dapat meringankan kesusahan mereka dan dapatlah mereka menyambut hari raya yang bakal tiba tidak berapa lagi dalam suasana ceria seperti orang lain,” ujar beliau.

Dr Khalid meminta kerajaan tidak menyisihkan golongan ini dalam pemberian bantuan yang sepatutnya kerana masih berlaku penafian bantuan hanya kerana mereka menyokong Pakatan Rakyat khususnya di Melaka.

“Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi semua rakyat mempunyai hak walaupun berbeza dari segi pandangan mahupun latarbelakang politik kerana ianya dijamin di dalam perlembagaan negara kita.

“Ianya tidak dilaksanakan oleh Umno/BN yang tidak memberikan peruntukan kepada wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat walaupun dipilih oleh rakyat di sesuatu kawasan.

“Walau bagaimanapun kita berusaha dengan sedaya mungkin untuk membantu golongan ini dan terima kasih diucapkan kepada para penderma serta penyumbang  yang diharapkan segala bentuk sumbangan itu diterima Allah sebagai amal jariah kita,”katanya.

Harakah 27 - 29 RAMADAN 1435 / 25 - 27 JULAI 2014


Friday, 18 July 2014

Tazkirah Ramadan : Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah Satu Tuntutan Aqidah


Hubungan Syariat Islam Dengan Akidah

Umat Islam wajib yakin kepada Syariat Islam, kerana ia melibatkan akidah. Hukum hudud dan qisas diletakkan dalam surah al-Baqarah, al-Maidah dan al-Nur dimulakan dengan penegasan iman. Surah al-Baqarah dimulakan dengan firman Allah :


 Alif Laam Mim. Kitab al-Quran ini tidak asa sebarang syak padanya (tentang dating dari Allah dan tentang sempurnanya. ) Ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. Iaitu orang-orang beriman kepada yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka. Dan orang-orang yang beriman kepada kitab al-Quran yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari kiamat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Al-Baqarah : 1-5


Jika sekiranya mana-mana orang Islam yang tidak yakin kepada hukum tersebut, maka ia menjadi kufur. Firman Allah :


Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama-agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan Allah?

Asy-Sura : 21

Begitu juga jika sekiranya ia yakin kepada undang-undang ciptaan manusia dan menganggapnya lebih adil dan sesuai daripada syariat Islam, maka ia menjadi syirik. Begitu juga mana-mana orang Islam yang memilih undang-undang ciptaan manusia untuk dilaksanakan dengan mengenepikan hukum-hakam yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya, maka ia telah sesat dengan sesat yang nyata.



Demikian juga mana-mana orang Islam yang melantik pemimpin-pemimpin mereka membuat undang-undang sendiri dengan mengenepikan undang-undang Allah, maka ia telah melantik pemimpin-pemimpin mereka sebagai tuhan-tuhan mereka selain Allah dan para pemimpin yang membuat undang-undang sendiri, bertindak sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah, kerana Syari’at Allah semata-mata.
Firman Allah:


Teks disediakan oleh Lajnah Tarbiah PAS Kawasan Bukit Katil


ADUN Bukit Baru bantu bina rumah


MELAKA: Seorang ibu kepada sembilan anak bersyukur bersempena di bulan Ramadan ini kerana dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa di rumah baru hasil bantuan Sekretariat Adun Bukit Baru yang mengumpulkan dana daripada orang ramai.

Harakah sebelum ini pernah menyiarkan berita lawatan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman bersama Sekretariat Adun Bukit Baru ke rumah Kamariah Mohamad, 42 tahun di Kampung Permatang Pasir, Alai, di sini yang tinggal bersesak bersama sembilan anaknya di rumah yang usang dan uzur.

Adun Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim berkata, pihaknya berjaya menyiapkan sebuah rumah yang bernilai lebih kurang RM65,000 dan mempunyai tiga bilik hasil sumbangan penyokong PAS dan orang ramai yang prihatin dengan nasib keluarga tersebut.



“Kami juga berterimakasih kepada Ahmad Lutfi yang turut bersama kami menziarahi keluarga ini dan menyiarkan kesusahan mereka dan seterusnya membantu kami mengumpulkan dana bagi pembinaan rumah ini.

“Walaupun kami tiada menerima peruntukan daripada pihak kerajaan tetapi demi amanah yang telah diberikan kami cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam membantu golongan yang memerlukannya,”ujar beliau kepada Harakah di sini baru-baru ini.

Menurut Dr Khalid, pada bulan Ramadan ini juga Sekretariat Adun Bukit Baru akan menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada golongan fakir miskin seperti yang dilakukan pada tahun sebelumnya
bagi meringankan kesusahan golongan tersebut menyambut Aidilfitri.

“Bagi kali ini kita akan bersama dengan Dewan Muslimat Negeri Melaka yang turut sama memberikan sumbangan bagi meraikan golongan yang kurang bernasib baik ini agar mereka dapat merayakan Aidilfitri seperti orang lain,” kata beliau.

Harakah keluaran 13 – 15 RAMADAN 1435 / 11 – 13 JULAI 2014


Wednesday, 16 July 2014

Perhatian kepada pemilik Tanah Adat Melaka yang diambil tanah.. anda mungkin terlebih bayar cukai.


Melaka : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil (DPPKBK) menyarankan agar Pihak Berkuasa mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan laporan Audit bagi Negeri Melaka yang mendedahkan cukai tanah telah terlebih bayar oleh pemilik Tanah Adat Melaka (MCL) yang terlibat dengan pengambilan sebahagian tanah yang dibuat di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT).

Timbalan Ketua DPPKBK, Ustaz Norkhairi Yusof berkata ianya perlu dilakukan berikutan Laporan Audit bagi Negeri Melaka untuk tahun 2013 mendapati 3,465 atau 51.7% daripada 6,705 lot MCL yang terlibat dengan pengambilan sebahagian ini masih belum dibatalkan suratan hak milik asal dan hak milik sambungan masih belum dikeluarkan oleh pihak yang berwajib. Keadaan ini menyebabkan pemilik MCL perlu membayar cukai tanah yang lebih tinggi kerana cukai tanah dikenakan atas keluasan asal MCL dan bukannya atas baki keluasan selepas pengambilan.

Menurut beliau, pengesahan daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi setiap daerah juga perlu dilakukan oleh pemilik MCL untuk pengambilan tanah sejak tahun 2001 lagi. Ini berdasarkan Semakan Audit yang mendapati 1,499 daripada 3,465 lot yang terlibat ini merupakan pengambilan yang telah dibuat sebelum tahun 2001.


"Keadaan ini juga menunjukkan bahawa PDT telah menerima lebihan hasil cukai tanah daripada pemilik MCL", ujar beliau dengan memetik Laporan Audit.

"Mengikut Seksyen 26 APT, jika sebahagian daripada lot tanah telah dibuat pengambilan, hak milik asal hendaklah dibatalkan dan hak milik sambungan kepada pemilik tanah hendaklah dikeluarkan. Sehingga bulan Disember 2013, sebanyak 6,705 lot atau 90% daripada 7,446 lot MCL yang terlibat dengan pengambilan, adalah pengambilan sebahagian. Manakala selebihnya merupakan pengambilan semua."


"Oleh itu, DPPKBK menyarankan pihak yang berwajib memulangkan segera lebihan wang cukai tanah yang telah dibayar kepada pemilik MCL yang terlibat. Kami juga menggesa agar tindakan pembetulan ( Corrective Action ) diambil bagi mengelakkan masalah yang sama daripada berlaku kembali", kata beliau.

"Kami juga  menggalakkan pemilik Tanah Adat Melaka (MCL) yang terlibat dengan pengambilan tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri memeriksa dengan pihak yang berwajib tentang status hak milik MCL mereka. Ini adalah kerana terdapat kemungkinan cukai tanah yang berlebihan telah dibayar oleh pemilik MCL yang terlibat dengan pengambilan sebahagian tanah mereka," tambahnya lagi.

Sumber maklumat : Laporan Audit Negara



Sunday, 13 July 2014

Apa nak jadi? Sidang DUN Melaka hanya bahas 13 soalan lisan sepanjang 3 hari sesi..


MELAKA: Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Dato’ Othman Muhamad ditegur oleh Adun Kota Laksamana (DAP), Lai Keun Ban kerana membiarkan Exco menjawab soalan lisan dengan panjang dan mengambil masa yang terlalu lama pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, baru-baru ini.

Beliau menyatakan rasa tidak puas-hati kerana hanya 13 soalan lisan sahaja yang dapat dibahaskan pada persidangan kali ini walaupun ia berlangsung tiga hari disebabkan jawapan Exco mengambil masa begitu lama.

“Bersidang dahlah setengah hari selama tiga hari menyebabkan hanya 13 soalan sahaja yang dapat dibahaskan daripada 115 soalan lisan pada kali ini.

“Sepatutnya Speaker hadkan jawapan Exco dalam beberapa minit sahaja baharulah banyak soalan dapat dijawab, ini tidak jawapan meleret-leret dan kekadang terkeluar daripada tajuk serta tak relevan langsung dengan soalan,” ujarnya.

Tambah beliau, sudahlah soalan pihak BN diletakkan bahagian awal manakala soalan pihak pembangkang diletakkan bahagian belakang, jadi bagaimana soalan pembangkang boleh dibahaskan dalam sidang Dun.

“Sekiranya speaker mengehadkan masa yang sesuai untuk Exco menjawab soalan maka banyak soalan akan dapat dibahaskan dan ia adil kepada semua Adun bukan seperti yang berlaku sekarang ini ianya menghalang soalan pembangkang daripada dibahaskan.

“Jika speaker kata utamakan ‘senioriti’ saya juga senior juga sebab sudah pernah jadi Adun sejak zaman Adib Adam sebagai Ketua Menteri,” jelasnya.

Persidangan yang bermula jam 9.30 pagi akan membahaskan soalan lisan dan berhenti rehat pada jam 11.15 pagi hingga 11.40 pagi, kemudiannya akan bersambung dengan perbahasan usul hingga berakhir jam 1.30 atau 2 petang setiap hari untuk selama tiga hari persidangan berlangsung.

Harakah 9 – 12 RAMADAN 1435 / 7 – 10 JULAI 2014


Doa Buatmu Palestin >> sajak



Sudah sekian lama
kau mengharung kesengsaran
demi kesengsaraan
demi kesengsraaan
ibarat rantai yang tak putus
bumimu terus diperkosa
sesuka hati

tanpa ada rasa perikemanusiaan
lebih dhasyat dari apa seekor binatang buas
bila akan berakhir
kehancuran itu?

tiada siapa yang tahu
Allah sahaja yang maha mengetahui
kami di sini cuma dapat menyaksikan
betapa bumimu diperlaku
sedemikian rupa
banyak harta benda yang musnah
banyak nyawa yang melayang
sehingga tidak terbilang

berapa ramai anak-anak jadi yatim
berpa ramai para isteri
menjadi balu
wahai rakyat Palestin
kami tahu penderitanmu
berapa berat mata memandang
berat lagi bahu yang memikul
kami di sini tidak mampu mengangkat senjata
berjuang bersama kalian

cuma kami dapat hulurkan
segunung doa buatmu paletinen
kami amat sedar
kalian sebahagian saudara kami dunia akhirat
apa yang kalian rasa
kami di sini terasa...

Wahai saudara-saudaraku Palestin
ini semua ujian besar daripada Allah
kembalilah kepada-NYA dengan segera
pasti Allah akan memberikan pertolangan
wahai saudara-saudaraku Palestin
masih ingatkah kalian tentang Perang Badar
ambillah pengajaran daripadanya...

ROSLY MOHAMAD
Taman Air Molek, Melaka

Harakah 16 – 19 RAMADAN 1435 / 14 – 17 JULAI 2014 


Saturday, 12 July 2014

Anda tak bayar kompaun MBMB? Jaga-jaga kenderaan akan ditunda


BANDA HILIR - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan yang masih belum menjelaskan saman serta kompaun pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan mengunci (clamping) dan menunda (towing) kenderaan terlibat.

Exco Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Ismail Othman berkata, tindakan itu akan berkuatkuasa mulai 1 Ogos depan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta MBMB 2005).

Menurutnya, tindakan penguncian dan penundaan terpaksa dilakukan bagi menangani sikap pemilik-pemilik kenderaan yang tidak bertanggungjawab terhadap kesalahan-kesalahan letak kereta.

“Langkah ini diambil bagi memberi pengajaran kepada mereka yang kerap melakukan kesalahan dan mereka gagal hadir ke mahkamah walaupun saman telah dikeluarkan.

“Peraturan yang dilaksanakan membabitkan seluruh kawasan pentadbiran MBMB ini bagi menambah baik sistem dan tata cara di negeri Melaka dan bersesuaian dengan sebuah negeri maju.

“Sekurang-kurangnya langkah ini dapat membantu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di hujung minggu. Sehingga hari ini terdapat 100,000 kompaun tertunggak yang masih belum dijelaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa anjuran MBMB di perkarangan Masjid Selat di sini semalam yang turut disertai Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu.

Majlis berkenaan juga meraikan 30 anak yatim dari Persatuan Kebajikan Ar-Riduan, Alai serta seramai 10 orang anak yatim bekas kakitangan MBMB dengan memberikan sumbangan duit raya kepada mereka.

Dalam pada Zainal berkata, pemilik kenderaan yang dikenakan tindakan penguncian dan penundaan perlu terlebih dahulu membayar caj penguncian sebanyak RM200 dan diikuti caj penundaan sebanyak RM150.

“Bagi kenderaan yang tidak dituntut, akan disimpan di stor penyimpanan dan akan dikenakan caj sebanyak RM10 sehari.

“Mereka juga perlu menjelaskan kesemua saman serta tunggakan kompaun di kaunter MBMB sebelum boleh dibenarkan mengambil kenderaan mereka,” katanya.

Sinar Harian


ADUN Bukit Baru Sarankan kawal penjualan gam untuk elak salah guna


MELAKA: Adun Bukit Baru (PAS), Dr Md Khalid Kassim menyarankan pihak kerajaan negeri mewujudkan satu mekanisme bagi mengawal penjualan gam bagi mengelakkan penyalahgunaannya khususnya di kalangan remaja ketika perbahasan di Dewan Undangan Negeri Melaka, baru-baru ini.

Beliau berkata, pada masa sekarang sesiapa sahaja boleh membeli gam tersebut di kedai dengan begitu mudah kerana tiadanya kawalan dan pemantauan oleh pihak kerajaan bagi membendung gejala penyalahgunaannya.

“Bukan sahaja kes salahguna menghidu gam bahkan bahan pelarut seperti ‘thinner’ juga disalahguna oleh golongan remaja yang kebanyakannya Melayu kerana ianya begitu mudah didapati di mana-mana.

“Ia memberikan kesan yang cepat di mana mereka akan berhalusinasi dan merasa gembira tetapi sebenarnya mereka khayal dalam dunia mereka sendiri,” ujarnya.

Menurut Dr Khalid, mereka akan mendapat kesan jangka panjang dengan pelbagai penyakit seperti kerosakan jantung, buah pinggang, sum-sum tulang, rosakkan mental dan bermacam lagi.

“Ia susah nak banteras kerana harganya murah dan mudah digunakan, tiada ubat untuk merawatnya kecuali dengan memberhentikan dengan segera aktiviti hidu gam itu.

“Saya mengharapkan usaha yang serius perlulah digembleng oleh semua komponen masyarakat bagi mengatasi permasalahan ini yang semakin berleluasa dan menular di kalangan remaja kita yang akhirnya menjadi gejala sosial dalam negara kita,” katanya.

Usul bagi membanteras penyalahgunaan hidu gam itu diluluskan apabila 21 Adun BN menyokong termasuk Dr Khalid manakala 6 Adun DAP berkecuali pada Persidangan Kedua Penggal
Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ketiga Belas dari 23 Jun hingga 25 Jun 2014.

- Harakah 9 – 12 RAMADAN 1435 / 7 – 10 JULAI 2014


Friday, 11 July 2014

Masjid Al-Azim Cari 30 Pasangan Untuk Nikah FREE. Anda Mahu?


Mungkin ada penduduk Melaka terutamanya orang bujang yang sedang merancang untuk mendirikan rumahtangga menjadi teruja apabila membaca tajuk berita ini. "Masjid Negeri taja majlis kahwin ke?"

Oh tidak.. Program yang dinamakan “JOM NIKAH FREE” seperti yang dinyatakan itu dianjurkan oleh Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Selangor. 
10245328_791064324249261_3886434196628348883_n  
Pasangan yang berminat untuk dinikahkan untuk program ini tertakluk kepada beberapa syarat termasuk salah satu pasangan merupakan anak Selangor dan telah mengisi borang berkaitan terlebih dahulu. 
Difahamkan, 30 pasangan yang terpilih akan dinikahkan pada 29 November 2014 di Masjid Al Azim. 

Masjid di Melaka bila lagi?

MyNewsHub



Peniaga bazar rasa tertipu


BATU BERENDAM - Kewujudan dua tapak bazar Ramadan dalam satu kawasan di Taman Merdeka, di sini mengundang rasa tidak puas hati di kalangan peniaga, semalam.

Menurut peniaga, tapak bazar Ramadan asal diuruskan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pak Balang, Taman Merdeka selepas membuat permohonan kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Ekoran itu, satu lawatan oleh Yang Dipertua MPHTJ telah dilakukan di kawasan tapak berkenaan, sekali gus memutuskan bersetuju mengadakan sebuah tapak bazar Ramadan di situ.

Bagaimanapun, masalah timbul apabila secara tiba-tiba, muncul sebuah lagi tapak bazar Ramadan kira-kira 200 meter dari situ, menyebabkan tapak asal lengang tanpa dikunjungi orang ramai.


Peniaga, Samsudin Serin, 48, berkata, pada asalnya seramai 21 peniaga sudah memohon lesen kepada MPHTJ dengan bayaran RM280.

“Malangnya, ada pihak lain menganjurkan bazar Ramadan di sini sehingga menyebabkan kami peniaga tersepit.

“Kami semua mengikut undang-undang dan membayar lesen tetapi yang tidak ikut undang-undang berniaga di sana. Lebih malang apabila kami pula disindir oleh kumpulan peniaga di sana,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Nor Azura Abdullah, 29, berkata, dia bersama beberapa peniaga terlibat sudah mengadukan perkara itu kepada MPHTJ tetapi sehingga kini masih belum dapat diselesaikan.

“Saya jual nasi ayam, setiap hari hendak mendapat RM20 pun susah. Nasi ayam saya sejak hari pertama berniaga banyak yang terbuang sedangkan saya terpaksa mengeluarkan modal hampir RM200 sehari.

“Yang kami kesalkan, kebanyakan peniaga di sana beroperasi secara haram dan tanpa lesen tidak diambil tindakan pihak berkuasa, sebaliknya kami di sini yang beroperasi secara sah terus terhimpit,” katanya.

Bagi Samsudin Isnin, 54, pula, dia difahamkan oleh MPHTJ hanya terdapat lapan bazar Ramadan saja diluluskan, tetapi pelik kerana kini terdapat sembilan bazar Ramadan.

Sementara itu, isu tapak bazar Ramadan berkenaan turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin dan Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong.

Menurut Shamsul Iskandar, isu berkenaan timbul berikutan masalah politik tempatan antara Pengerusi JKKK baharu dengan pengerusi terdahulu.

“Cadangan saya, peniaga terlibat di kedua-dua tapak ini ditempatkan satu tempat di sini, seperti mana dipersetujui antara MPHTJ dengan JKKK di sini,” katanya.

Sinar Harian


Thursday, 10 July 2014

Punggung tiba-tiba panas & bau hangit


Jasin: “Tiba-tiba bawah punggung dan belakang badan terasa panas sebelum terhidu bau hangit lalu menjerit memberitahu pemandu bas.
“Ketika berebut turun dari bas yang berasap, satu letupan kuat berlaku di bahagian belakang badan bas menyebabkan semua penumpang melompat ke bawah tebing menyelamatkan diri”. 
Demikian kata Habidi Kodir, 35, menceritakan detika cemas selepas bas dinaiki bersama 36 penumpang lain terbakar di Kilometer 181. 7, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, berhampiran susur masuk Plaza Tol Jasin, di sini, semalam. 

Dalam kejadian jam 1.20 petang, 37 penumpang termasuk wanita warga Indonesia dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Terminal Larkin, Johor Bharu (JB) sebelum kejadian.
Foto
ANGGOTA bomba memadam kebakaran bas ekspres dekat susur Plaza Tol Jasin.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan pulang ke tanah air sempena Aidilfitri terpaksa pulang sehelai sepinggang selepas semua beg pakaian hangus. 
Menurut Habidi, dia bersama seorang rakan Aidil, 36, yang berada di tempat duduk belakang bas terlelap selepas bas bergerak dari TBS dan terjaga selepas berasa punggung dan belakang badan panas. 


Tazkirah Ramadan : Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah Satu Tuntutan Aqidah


Tujuan dan Peranan, Hukuman dan Balasan

Ada beberapa matlamat hukuman dalam jenayah syariah.

Pertama untuk melindungi anasir-anasir kebaikan dan melindungi masyarakat daripada perbuatan keji dan mungkar.

Kedua memelihara maslahah atau manfaat umum dan tidak ada hukuman dalam Islam itu melainkan kerana adanya maslahah yang mesti dipelihara.


Maksudnya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan Yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang       beriman.                                                                                    Yunus : 57

Ketiga sebagai pengajaran kepada penjenayah supaya tidak mengulangi perbuatan jahatnya. 
Manakalanya peranan utama hukuman dalam Islam adalah sebagai pembalasan kepada perbuatan jahatnya sebagaimana firman Allah S.W.T.


Dan hukuman itu menjadi pencegah samada kepada penjenayah atau kepada orang lain daripda melakukan jenayah. Hukuman dalam Islam juga sebagai pemulihan kepada penjenayah.

Kanun Jenayah Syariah II, Kelantan

Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 adalah suatu enakmen untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah. Enakmen ini bolehlah dinamakan enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993. Ia diluluskan pada November 1993 oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan dengan mendapat sokongan 39 ahli Dewan Undangan Negeri dan hendaklah berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Kebawah Duli Tuanku al-Sultan melalui pemberitahuan dalam warta.

Enakmen ini mengandungi, 6 bahagian, 72 fasal dan  5 jadual. Bahagian I memperuntukkan jenis-jenis kesalahan hudud dan hukumannya. Meliputi kesalahan sariqah (mencuri), hirabah, zina, qaz af, liwat, syurb dan irtidad atau murtad. Bahagian II mengenai Qisas dan, hukumannya. Meliputi jenis-jenis kesalahan Qisas. Bahagian III mengenai keterangan, bahagian IV mengenai bagaimana hukuman dilaksanakan, bahagian V mengenai Peruntukan Umum dan bahagian VI mengenai Mahkamah.


Jenis-jenis kesalahan hudud, qisas dan diat dan hukumannya adalah mengikut syariat Islam berdasarkan al-Quran dan hadith. 

Teks disediakan oleh Lajnah Tarbiah PAS Kawasan Bukit Katil


Wednesday, 9 July 2014

Ini yang dikatakan membela Melayu? Pemilikan tanah MCL terjejas akibat dimiliki syarikat bukan Melayu


Intisari Laporan Audit Negara bagi negeri Melaka menyatakan bahawa dalam pelaksanaan kawalan pemilikan tanah bagi orang-orang Melayu, Negeri Melaka tidak menggunakan Enakmen Rizab Melayu. Oleh itu tiada tanah simpanan Melayu seperti yang terdapat di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. Di Negeri Melaka, tanah ini dikenali sebagai Tanah Adat Melaka atau Malacca Customary Lands (MCL) yang wujud di bawah Malacca Lands Customary Rights Ordinance of the Straits Settlements SS Cap.125.

Ordinan ini telah dimansuhkan dengan berkuatkuasanya Akta Kanun Tanah Negara (Hakmilik Pulau Pinang dan Melaka) 1963 atau Akta 518 pada 1 Januari 1966. Mengikut Seksyen 108 Akta 518, MCL hanya boleh dipindah milik, digadai, dipajak, atau diturun milik kepada orang Melayu sahaja. Sewaan atau lien atau kaveat amanah, surat tadbir kuasa atau surat kuasa wakil atau geran Probet tidak boleh diwujudkan atas kepentingan orang bukan Melayu.

Bagaimana boleh syarikat milik Melayu MCL ada ahli lembaga pengarah & pemilik syer bukan Melayu?

Semakan Audit terhadap 218 maklumat syarikat MCL yang diperolehi melalui Perkhidmatan e-Info Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati ahli lembaga pengarah dan pemegang syer bagi 11 daripada syarikat tersebut turut dianggotai dan dimiliki oleh orang bukan Melayu. Kesannya pemilikan tanah MCL yang sepatutnya hanya untuk orang Melayu akan terjejas kerana terdapat tanah MCL yang dimiliki oleh syarikat bukan Melayu.


Mengikut Seksyen 94(1) Akta 518, Syarikat MCL adalah syarikat yang didaftar di bawah Akta Syarikat 1965 di mana semua anggotanya adalah Melayu, undang-undang tubuhnya melarang pindah milik sahamnya kepada orang selain dari orang Melayu dan salah satu matlamat syarikat adalah berurusan dengan MCL.

Pendedahan yang dibuat menerusi proses audit menunjukkan kelemahan pentadbiran yang mengakibatkan pemilikan hartanah yang sepatutnya dibawah orang Melayu terjejas. Siasatan terperinci perlu dilakukan oleh pihak berwajib bagi menjawab laporan audit dan tindakan yang tegas perlu diambil segera jika terbukti berlaku penyelewengan di dalam agensi kerajaan yang berkaitan.

Sumber maklumat : Laporan Audit Negara

Musab Umair


Tuesday, 8 July 2014

Pusat Judi siber di Melaka semakin banyak - kebanyakan pelanggan adalah Melayu?


AYER KEROH - Bagaikan ada sesuatu tidak kena tentang kegiatan judi siber yang dilihat semakin rancak beroperasi di negeri ini.

Apa tidaknya, setiap kali premis yang disyaki menjalankan kegiatan itu diserbu dan kesemua peralatan berkaitan disita, tidak sampai 24 jam mereka beroperasi kembali.

Keadaan ini seolah-olah ada satu kuasa kebal yang membantu mereka serta membuatkan segala kegiatan mereka langsung tidak terjejas.

Antara yang terpanggil dengan permasalahan ini, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Chiw Tiang Chai yang merasakan tindakan lebih tegas harus diambil sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mahu membanteras gejala judi siber ini.

Menurutnya yang juga Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) negeri, semua pihak berkaitan harus duduk semeja membincangkan langkah terbaik bagi mengatasi masalah ini.

“Saya melihat gejala judi siber semakin lama, semakin rancak. Sebab itu, saya ingin tekankan sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mahu membanteras masalah ini, ia perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

“Kalau tidak mahu buat, jangan buat. Maknanya, kalau kita hendak membanterasnya, semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) kena duduk berbincang dan ia perlu dibuat serentak.

“Misalnya di Melaka ada empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaraya Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) harus lancar gerakan serentak.

“Tetapi perkara ini perlu diperlakukan dengan teliti kerana sindiket ini amat licik dan hari ini kita serbu esok mereka sudah buka semula,” katanya.

Beliau yang berpengalaman menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis MPHTJ selama beberapa tahun turut merasakan beberapa organisasi seperti pegawai seranta, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dan persatuan-persatuan penduduk harus mengambil tahu kawasan masing-masing sekiranya terdapat premis yang menjalankan kegiatan judi siber.

“Perkara ini, kemudian dimaklumkan kepada pihak berkuasa dan barulah lokasi berkenaan diserbu serentak.

“Kita tidak mahu dalam menangani isu ini seolah-olah ia dilakukan seperti sandiwara atau bermain wayang,” katanya.

Beliau berpendapat kerajaan harus membentuk satu badan yang turut membabitkan Ketua Polis Negara, Setiausaha Kerajaan Negeri, PBT dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kalau boleh badan ini dipantau oleh suruhanjaya bebas yang dibentuk. Cara ini perlu sekiranya kerajaan ikhlas mahu membanteras dan ia membabitkan soal masa depan anak-anak kita.

“Saya melihat kebanyakan yang datang memenuhi pusat-pusat judi siber ini adalah orang-orang Melayu.

"Sebabnya, tempat ini tersorok dan orang tidak nampak. Berbeza dengan orang bukan Melayu mereka ada tempat khas untuk berjudi misalnya di pusat penjualan nombor ekor atau di kasino-kasino tertentu.

“Orang Melayu tidak boleh pergi tempat itu jadi inilah peluang mereka untuk berjudi dengan melalui pusat judi siber seperti ini. Mereka berasa seronok dan kita bimbang perkara ini yang akan menjejaskan dan merosakkan umat Islam di negara ini,” katanya.

Tiang Chai berkata, perkara ini perlu dipantau oleh polis dari ibu pejabat di Bukit Aman dan bukannya negeri.

“Pengusaha pusat judi serta individu di belakangnya meraih keuntungan tetapi yang menjadi mangsa adalah anak-anak kita. Mereka rosak akhlaknya akibat judi ini.

“Lagi satu cadangan saya, kalau boleh pemilik premis juga kita heret sama dan turut didakwa berhubung masalah ini kerana mereka turut bersubahat hal ini. Selama ini, hanya barangan disita dan kompaun sahaja yang diambil.

“Sepatutnya pemilik premis kena tahu apakah bentuk perniagaan yang akan dijalankan oleh penyewa,” katanya.

Sinar Harian


Menyayat Hati : Kasih Abang Sampai Mati


Alor Gajah : Seorang abang yang tidak tahan melihat sembilan adik hanya berbuka bubur nasi dan air kosong, dibelasah dengan kayu sampai mati oleh bapanya selepas menyatakan hasrat mahu keluar bekerja bagi mencari rezeki.
Dalam kejadian menyayat hati di Kampung Jawa, di sini, Muhamad Hafiz Abd Ghani, 17, ditemui mati oleh ibunya pagi tadi selepas dia dikatakan tidak sedarkan diri akibat dibelasah bapanya yang berusia 52 tahun, petang semalam.
Tragedi itu dikatakan berpunca daripada Muhamad Hafiz yang tidak sampai hati melihat sembilan adiknya hanya menjamah bubur nasi dan air kosong setiap kali waktu berbuka menyebabkan dia menyatakan hasrat untuk keluar mencari pekerjaan sementara.

Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan kemarahan bapanya yang dipercayai seolah-olah tercabar lalu membelasah anak sulung keluarga itu.
Foto
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Melaka bagi tujuan bedah siasat. FOTO Arifin Salleh

Menurut ibu mangsa Siti Habibah Ismail, 38, pertelingkahan antara anak dan suaminya bermula kira-kira jam 5 petang semalam hingga waktu berbuka sebelum mangsa rebah di ruang tamu dan dibawa masuk ke bilik.
Katanya, dia terpaksa memapah anaknya ke dalam bilik sebelum meminta bantuan jiran berdekatan untuk memanggil ambulans namun dihalang suami yang mendakwa Muhamad Hafiz hanya penat dan tidak cedera.

"Sepanjang anak terbaring dalam bilik, saya beberapa kali menjenguknya kerana risau sebelum mengejutkannya untuk bersahur namun tiada tindak balas dan menyangkakan anak dia masih lagi tertidur.

"Bagaimanapun kira-kira jam 8.30 pagi tadi, suami keluar rumah dalam keadaan tergesa-gesa tanpa membawa dokumen penting dan telefon bimbit menyebabkan saya curiga dan memeriksa keadaan anak sebelum menghubungi bantuan kecemasan.

“Pasukan paramedik yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan anak saya sudah meniggal dunia," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah Deputi Superintendan Abd Rahman Jid berkata, mangsa dipercayai mengalami kecederaan dalaman akibat dipukul dengan objek keras menyebabkan mangsa rebah di ruang tamu sebelum anggota paramedik mengesahkan mangsa meninggal dunia.
Gambar berkaitan :

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Saudara Suhaizan Kaiat dan Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, saudara Jauhar Mohd Dawi bersama pimpinan pemuda melawat keluarga mangsa


Monday, 7 July 2014

Jaga-jaga apabila menginap di hotel


Resort Popular Di Melaka Letak Hidden Camera Dalam Bilik Air?

Seorang wanita yang dikenali sebagai Valarie Lam menerusi laman Facebooknya mendakwa sebuah resort percutian popular di Melaka mempunyai kamera tersembunyi yang dipasang dalam bilik air.
Kamera tersebut dikatakan disembunyikan dalam tempat penyangkut baju.
Walau bagaimanapun, wanita ini tidak mendedahkan nama resort tersebut namun sempat menasihati pengguna lain agar lebih berhati-hati sekiranya ingin bercuti di sana.
Tidak pula diketahui sama ada wanita tersebut sudah membuat laporan polis berhubung isu ini ataupun tidak.


MyNewshub


GRO warga asing diselamatkan polis, iman masyarakat tempatan diselamatkan siapa?


MALIM, Melaka - Seramai 51 wanita warga asing yang dijadikan Pelayan Pelanggan (GRO) berjaya diselamatkan polis dalam serbuan di dua buah pusat hiburan di Malim Jaya, malam kelmarin.

Kesemua wanita berusi 16 hingga 34 tahun dari Vietnam, China dan Thailand itu diselamatkan sepasukan polis dari Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dari Bukit Aman.

Operasi diketuai Deputi Superintendan Polis ATIPSOM (D7c), Deputi Superintendan Kamal Khan Mohd Shariff bermula 11.30 malam itu disertai 13 pegawai dan 25 anggota yang dibantu seorang pegawai dan 12 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Kamal Khan berkata, pihaknya melakukan serbuan terhadap dua premis bertentangan dan pemeriksaan dilakukan kira-kira 120 orang termasuk pelanggan dalam operasi selama tiga jam.

“Seramai 5 wanita dari Thailand berusia 18 hingga 34 tahun berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang di sebuah pusat hiburan sementara seorang juruwang wanita dari Indonesia ditahan bagi membantu siasatan.

“Sebuah lagi pusat hiburan kami serbu dan berjaya menyelamatkan GRO berusia 16 hingga 35 tahun dari Vietnam seramai 40 orang dan China (6),” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan, semalam.

Kamal Khan berkata, dua wanita yang digelar 'Mummy' berusia 30 hingga 40 tahun yang bertindak menguruskan ‘anak-anak’ juga ditahan di pusat hiburan dua tingkat berkenaan.

Sinar Harian


Friday, 4 July 2014

Maki Polis Di Melaka - Hukuman penjara menanti


Melaka: Gara-gara memaki polis dengan perkataan ‘bodoh’ dan menghalang tugas penjawat awam, seorang bekas pembantu akauntan dipenjara empat hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Hukuman itu diputuskan Majistret Mohd Firdaus Saleh terhadap Goh Guo Quan, 22, dari Mersing, Johor yang mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, Goh didakwa secara sengaja menghalang tugas penjawat awam dengan tidak memberhentikan kenderaan ketika ditahan anggota polis trafik yang menjalankan tugas selepas didapati tidak memakai tali pinggang keledar ketika memandu dan mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ kepada anggota itu.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya di sini, kira-kira jam 3 petang, 22 Jun 2014.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, ketika melakukan rondaan di Jalan Merdeka, pengadu menahan kereta tertuduh.
Kereta itu yang berhenti kemudian memecut sebelum diekori dan ditahan semula di hadapan sebuah pejabat di Taman Melaka Raya.
Selepas diberitahu kesalahan dilakukan adalah tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memberhentikan kenderaan ketika ditahan, pemandu (tertuduh) dengan nada tinggi berkata ‘cepat tulis, jangan bising’ sebelum keluar dari kereta ke arah pengadu serta mengeluarkan perkataan ‘bodoh’.
Peguam Faiezad Razali yang mewakili tertuduh ketika rayuan memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman denda yang ringan dengan alasan kesalahan itu dilakukan dalam keadaan tertekan.
“Ketika kejadian tertuduh baru berhenti kerja sebagai pembantu akauntan dan tertuduh dalam keadaan tertekan, kes ini juga tidak membabitkan kecederaan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai iktibar.
“Walaupun tidak membabitkan kecederaan, namun sebagai rakyat Malaysia kita terkenal dengan sikap sopan santun dan keadaan tertekan tidak membolehkan seseorang bersikap tidak sopan kepada orang lain,” katanya.


Bekalan air bersih tiga kawasan tercemar


MELAKA: Dewan Pemuda PAS Melaka menyerahkan memorandum kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) berhubung pencemaran air bersih yang melanda kawasan sekitar Sungai Rambai, Merlimau dan Serkam baru-baru ini.

Menurut Ketua Pemudanya, Jauhar Md Dawi, memorandum itu bertujuan meminta SAMB bertanggungjawab di atas kecuaian yang berlaku dan membekalkan air tercemar tanpa memberi notis kepada penduduk.

“Kami merasakan keselamatan nyawa dan kesihatan pengguna tidak diambil berat oleh SAMB selama masalah ini berlaku, air ini mengganggu kehidupan kami dari segi kegunaan sendiri mahupun
perniagaan.

“Kami telah menggunakan alat Total Disssolved Solids (TDS) untuk memeriksa kualiti air dan dapati bacaannya 500 ppm hingga 800 ppm di mana ianya amat tercemar,” kata beliau kepada Harakah di sini.


Jauhar berkata pengguna yang terlibat meminta SAMB membuat permohonan maaf daripada SAMB di dalam media massa, membayar gantirugi dan memberikan air percuma selama sebulan kepada pengguna yang terjejas.

“Banyak kes pengguna masuk hospital, sakit tekak, kegatalan kulit dan ada kilang yang terpaksa tutup pengeluarannya kerana kualiti air yang sangat teruk.
“Kita kesal kerana sepatutnya SAMB terangkan pada kami tapi mereka masih bekalkan air yang tercemar itu tanpa memberikan notis terlebih dahulu,” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya SAMB tidak mengendahkan tuntutan kami, maka kami tidak teragak-agak akan mengambil tindakan saman atas kecuaian yang dilakukan kerana keselamatan pengguna tidak dipandang berat oleh SAMB.

Memorandum itu diserahkan kepada wakil SAMB di depan Wisma Air SAMB, Jalan Hang Tuah, Melaka dan turut disertai oleh Timbalan Pesuruhjaya I PAS Melaka, Ustaz Kamrudin Sidek serta beberapa Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Melaka.

Harakah 2 - 5 RAMADAN 1435 / 30 JUN - 3 JULAI 2014


Wednesday, 2 July 2014

Sampai bila orang Melaka nak kempunan naik kapal terbang dari Melaka?



BATU BERENDAM - Pemimpin Dap menyindir kerajaan negeri dengan menyatakan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) lebih baik dijadikan pusat permainan layang-layang kerana sekurang-kurangnya aktiviti itu mampu menarik kedatangan pelancong.

Perkara itu dijelaskan Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong ekoran tiada satu pun pesawat komersial yang mendarat di lapangan terbang itu sejak 15 Mac lalu meskipun kerajaan negeri sudah membelanjakan sebanyak RM240 juta untuk menaiktaraf dan memanjang landasan.

Menurutnya, meskipun kerajaan negeri ada menjawab soalan bertulis ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini dengan menyatakan LTAM tetap beroperasi apabila dijadikan sebagai pusat latihan penerbangan oleh beberapa syarikat dan agensi.

Sambil menjelaskan jawapan berkenaan sebagai tidak relevan, Poay Tiong mendakwa ia sebagai satu bukti nyata langkah kurang bijak yang dibuat oleh kerajaan negeri.

“Jawapan ini tidak relevan kerana sebelum ini pun LTAM memang digunakan untuk latihan tetapi kemudiannya kerajaan negeri pada masa itu membuat keputusan untuk memanjangkan landasan untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan menggunakannya untuk tujuan komersial.

“Tetapi malangnya, selepas mengeluarkan belanja berjumlah RM240 juta, daripada sebelumnya ada penerbangan tapi hari ini langsung tiada kapal terbang komersial yang beroperasi di sini,” katanya ketika melakukan lawatan ke LTAM di sini, semalam.

Beliau turut mendakwa, projek berkenaan sebagai satu projek gajah putih apabila kerajaan negeri ketika itu pada mulanya membuat keputusan tanpa mengambil kira keadaan sebenar sehingga mengeluarkan belanja besar bagi menambah landasan dan menaiktarafnya.

“Akhirnya terpaksa menanggung kerugian dalam setahun sehingga RM3 juta. Tahun ini kita jangka kerugiannya akan lebih besar lagi kerana tiada langsung syarikat yang beroperasi.

“Seperti mana yang dijelaskan oleh kerajaan negeri di dalam Persidangan Dun lalu, pada tahun 2012 LTAM mencatatkan pendapatan cuma berjumlah RM856,594 manakala perbelanjaan sehingga RM3.6 juta. Pada 2013 pula, pendapatan yang diperoleh cuma RM729,089 manakala perbelanjaan sehingga RM4.1 juta,” katanya.

Poay Tiong berkata, biarpun beberapa bulan lalu ada syarikat penerbangan dari China berminat untuk mendarat di LTAM tetapi sehingga hari ini masih tiada sebarang perkembangan.

“Baru-baru ini juga kerajaan negeri ada mengadakan rundingan dengan Air Asia dengan FireFly dan kemungkinan besar mereka akan menggunakan LTAM tahun ini.

“Tetapi berdasarkan rekod lepas FireFly memang pernah beroperasi di sini namun akhirnya tiada sambutan sampai kerajaan negeri terpaksa tubuhkan Melaka Air dengan menyewa kapal terbang daripada FireFly namun kesudahannya juga gagal.

“Air Asia pula dari mula kerajaan negeri hendak panjangkan landasan di sini, mereka ada kata akan beroperasi di sini tetapi sudah empat tahun syarikat terbabit tak sampai-sampai,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri harus melihat bagaimana langkah hendak mengatasi masalah tersebut.

“Sebab itu saya merasakan lagi elok kerajaan negeri buka untuk rakyat Melaka bermain layang-layang sekurang-kurang mampu menarik kehadiran pengunjung sebagai satu produk pelancongan. Saya rasa hari Ahad paling sesuai kerana LTAM tidak digunakan untuk latihan.

“Dengan perbelanjaan sebanyak RM240 juta untuk menaiktaraf LTAM, adalah lebih elok wang berkenaan digunakan untuk bina rumah kos rendah dan jumlah itu boleh bina 240 unit rumah kos rendah untuk kebaikan rakyat.

“Mereka sebelum ini hina kerajaan negeri Kelantan tetapi negeri mereka hina itu sekurang-kurangnya lapangan terbang mereka ada 16 penerbangan komersial sehari biarpun tidak berstatus antarabangsa,"katanya.
Sinar Harian


Tuesday, 1 July 2014

Apa sudah jadi? Tanpa tender, sebut harga dan kontrak pun boleh jadi pembekal kepada MPHTJ..


Laporan Audit Melaka siri 2 mendedahkan jumlah wang rakyat yang melebihi RM1 juta telah dibelanjakan tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan. Semakan Audit terhadap 17 fail syarikat pembekal di Jabatan Kebersihan dan Lanskap, Perlesenan dan Korporat dan Khidmat Masyarakat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mendapati 8 daripadanya telah ditawarkan perkhidmatan dan bekalan tanpa sebut harga yang mana jumlah keseluruhan 8 projek tersebut adalah RM1.13 juta.

Semakan Audit selanjutnya mendapati tiada kontrak formal disediakan walaupun semua perolehan bekalan/perkhidmatan tersebut adalah bermasa berdasarkan trend bayaran setiap bulan. Ini disebabkan pegawai yang bertanggungjawab tidak mengambil berat terhadap peraturan perolehan yang berkuatkuasa.


Kesannya MPHTJ tidak mendapat harga tawaran yang lebih baik dan pembekal lain tidak berpeluang untuk bersaing bagi mendapat projek tersebut. Selain itu, ketiadaan kontrak formal menyebabkan MPHTJ tidak dapat mengambil sebarang tindakan sekiranya pembekal gagal melaksanakan bekalan/perkhidmatan yang diarahkan. Di samping itu, MPHTJ juga tidak dapat menentukan tempoh bekalan/perkhidmatan bagi projek tersebut.

Peraturan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan menyatakan pembelian setiap jenis item yang melibatkan jumlah perbelanjaan tahunan atau sesuatu kontrak melebihi RM50,000 tetapi tidak melebihi RM500,000 hendaklah dibuat dengan mempelawa sebut harga di kalangan sekurang-kurangnya 5 pembekal tempatan yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan. Ia juga menyatakan semua perolehan bekalan atau perkhidmatan bermasa perlu disediakan kontrak formal walaupun nilai perolehan kurang daripada RM50,000.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil dengan ini secara tegas menyeru agar pelanggaran prosedur perolehan disiasat segera oleh Yang Di Pertua MPHTJ dan mengenakan tindakan tatatertib dengan sewajarnya seperti yang disarankan oleh Laporan Audit. Selain itu, pemantauan berterusan daripada pihak atasan yang berintegriti perlu dilakukan bagi mengelakkan daripada perkara ini daripada berlaku.

Sumber maklumat : Laporan Audit Negara

Musab Umair


Tazkirah Ramadhan


Ramadhan merupakan bulan yang sangat mulia. Di dalamnya penuh dengan kenikmatan dan ganjaran pahala. Di bulan Ramadhan juga banyak peristiwa kemenangan yang berlaku kepada umat Islam. Kemenangan umat Islam di Badar Al Kubra, Pembukaan Kota Mekah serta kemenangan umat Islam di ‘Ain Jalut.

Pada tarikh 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah, ketika umat Islam menunaikan ibadah puasa, Rasulullah S.A.W telah keluar bersama-sama sahabatnya dengan kelengkapan yang kecil dan sederhana bagi mengawal Negara Islam Madinah. Baginda telah berhadapan dengan bala tentera musyrikin dalam jumlah yang sangat besar. Tentera musyrikin lengkap dengan kelengkapan peperangan muncul dengan satu matlamat iaitu untuk menggempur dan menewaskan tentera Islam.
Rasulullah S.A.W menghadapi peristiwa ini dengan tenang. Sebelum pertempuran bermula, baginda S.A.W telah bermunajat kepada Allah S.W.T ( yang bermaksud ) :

 Wahai Tuhanku, jika sekiranya dimusnahkan golongan ini dari kalangan Islam nescaya Engkau tidak akan lagi disembah di atas muka bumi ini selama-lamanya.   ( Riwayat Al Bazzar )

Baginda tidak menyatakan sekiranya kami tewas, apa akan terjadi kepada anak, isteri dan keluarga kami serta harta benda dan tanah air.

Berbeza pula dengan Abu Jahal yang turut berdoa kepada Allah S.W.T agar ditewaskan golongan mukmin yang dianggap telah memutuskan silaturrahim dalam masyarakat :

Dari Abdullah bin Tha’labah bin Sua’ir, bahawasanya Abu Jahal telah berkata tatkala dua pihak bertembung (semasa perang Badar ), Wahai Tuhanku, inilah dia orang yang memutuskan silaturrahim dan membawa ajaran sesat, maka binasalah mereka di pagi ini. ( Riwayat Imam Ahmad )

Abu Jahal telah menuduh Nabi Muhammad S.A.W serta orang yang beriman sebagai golongan yang sesat. Dia lupa kepada persoalan sebenar dalam kehidupan manusia iaitu manusia mesti mengabdikan diri kepada Allah S.W.T dan perlu menolak sebarang bentuk syirik terhadapNya. 


Pengabdian diri kepada Allah S.W.T akan menjadikan seseorang itu yakin dengan segala kekuasaan Allah S.W.T, mereka percaya bahawa Allah S.W.T tidak boleh ditewaskan, ditolak dan dihalang kemahuanNya. Perkara yang sedemikian dapat dilihan dari sikap para sahabat bilamana diberi peluang untuk balik ke Madinah ataupun menghadapi musuh di Badar. Al Miqdad bin Al Aswad lantas menyebut;

Wahai Rasulullah S.A.W demi Allah kami tidak sekali-kali akan berkata kepadamu sebagaimana Bani Israil berkata kepada nabi Musa A.S.” pergilah kamu dengan tuhan kamu untuk berperang, sesungguhnya kami hanya akan duduk di sini sahaja,” tetapi kami akan berkata ”pergilah kamu (Rasulullah S.A.W bersama tuhan kamu untuk berperang, sesungguhnya kami akan sentiasa bersama kamu turut berperang.”

Peristiwa Fath Makkah juga berlaku di bulan Ramadhan. Ianya berlaku pada tahun 8 Hijrah. Rasulullah S.A.W telah mengumpulkan bala tentera untuk menawan Mekah, tanah kelahiran baginda sendiri. Tujuannya ialah bagi membebaskan bumi Mekah dari cengkaman jahiliyyah. Mekah pada waktu itu dipimpin oleh Abu Sufian yang belum lagi memeluk Islam. 

Bumi Mekah masih penuh dengan amalan jahiliyyah yang menyesatkan manusia dari mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Golongan musyrikin Mekah yang telah membatalkan perjanjian Hudaibiyah dijadikan alasan yang kukuh oleh Rasulullah S.A.W untuk menyerangnya.

Mekah ditakluk tanpa pertumpahan darah. Penduduk Mekah menyerah diri kepada Allah S.W.T dan Rasulnya S.A.W. Peristiwa ini dirakamkan oleh al-Quran. Firman Allah;

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau Wahai Muhammad Berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.    ( Al Nasr : 1-3 )


Ramadhan merupakan bulan perjuangan. Marilah kita mengambil semangat Ramadhan dengan menyedari bahawa umat Islam hari ini sedang dijajah oleh kuasa Barat. Pemikiran serta tindak tanduk umat Islam juga sedang dijajah. Ayuh marilah kita bangkit berjuang. 


Disediakan oleh Lajnah Tarbiah PAS Kawasan Bukit Katil


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59