Friday, 8 February 2013

Kerusi Parlimen Bukit Katil janjikan persaingan sengit


Mungkin tidak ramai menaruh harapan tinggi bahawa Melaka dapat dikuasai Pakatan Rakyat dalam PRU13. Malah, ada pihak menyifatkannya sebagai negeri paling selamat buat BN.
PAS dan KeADILan belum mempunyai wakil dalam sidang Dun Melaka. Lebih tepat lagi, tiada pembangkang Melayu dalam Dun berkenaan. Daripada 28 kerusi, DAP menang lima, manakala di peringkat Parlimen, BN hanya tewas satu kerusi di Kota Melaka, juga kepada DAP.

Ketika perhatian rakyat lebih tertumpu ke Putrajaya, kerusi Parlimen Bukit Katil dikira menjanjikan persaingan sengit, selain Alor Gajah yang diwakili MCA, parti yang dilihat semakin terhakis sokongan masyarakat Cina. Kedua-duanya merupakan kerusi campuran.

"Kami mungkin mempunyai 'kerajaan pembangkang' di peringkat negeri selepas PRU13 nanti," kata seorang rakan, yang lama menetap di Melaka. Beliau merujuk andaian BN masih kekal mentadbir negeri walaupun Putrajaya dijangka mengalami perubahan. 

"Tanpa mengira suatu perkara luar biasa boleh berlaku nanti, Pakatan hanya dapat mengharapkan dua lagi kerusi Parlimen dari Melaka," tambahnya, sambil menekankan jumlah itu sudah cukup untuk membuatkan kerajaan persekutuan bertukar tangan.

Istilah pelik 'kerajaan pembangkang' itu sebenarnya dipopularkan media Umno-BN, yang ditujukan  khas kepada negeri-negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, menzahirkan kejengkelan mereka untuk mengiktiraf pilihan rakyat yang menyokong Pakatan membentuk kerajaan baru.

Namun, dalam kunjungan ke negeri bersejarah itu, hujung minggu lalu -- 26 dan 27 Januari -- saya tetap merasakan kehangatan iklim perubahan yang kini melanda seluruh negara juga terpercik di Melaka.

Mood untuk sama-sama mencipta sejarah, terutama di kalangan pengundi kali pertama, tidak boleh diperkecil. Bagaimanapun, rakan saya, Zaili Muhammad, yang juga wartawan Harakah Melaka mengingatkan: "Kita perlu kerja lebih kuat, terutama mendekati anak muda yang nampaknya seperti selesa dengan kerajaan yang ada,"

Lagipun, Melaka yang dianggap telah mencapai tahap negeri maju lebih dua tahun lalu, tentunya membekalkan peluang akses maklumat yang memadai -- suatu prasyarat terpenting sebelum menyaksikan perubahan benar-benar berlaku.
Tsunami politik yang tertampan di Negeri Sembilan pada Mac 2008, dan dijangka membadai Johor kali ini, sudah pasti turut mempengaruhi kecenderungan mengundi di Melaka.

Apabila  diundang dalam program bicara santai anjuran PAS Bukit Katil, malam Ahad itu, sambil membicarakan karya terbaru, Detik Utopia, berdasarkan pengalaman menghadiri wacana buku sebelum ini, saya tidak mengharapkan kehadiran melebihi 20 orang.

Namun begitu, Ketua Penerangan PAs Kawasan, Cikgu Yusof Wahab, yang bertindak sebagai moderator, tidak menunjukkan kerisauan walaupun ada dua tiga program lebih besar turut berlangsung pada masa sama. Alhamdulillah, dewan sekolah agama rakyat, Madrasah Ar- Rahmah, Ayer Molek, hampir penuh.

Semasa dialog, saya dapat mengesan masih ada kebimbangan terhadap masa depan politik Melayu sekiranya Pakatan menang PRU13. Sememangnya jarum halus dakyah Umno-BN tidak boleh diremehkan.

Ketika Pakatan menawarkan formula praktikal menangani isu-isu besar-kritikal negara, BN masih bermain dengan sentimen dan emosi yang berbahaya.

Lebih melucukan -- tetapi masih perlu ditangani dengan serius, bijaksana dan cermat -- apabila orang Melayu seolah-olah sedang menyaksikan satu perdebatan nasional bahawa siapa lebih tulus perjuangan Islamnya, di antara PAS mahupun Umno?

Satu waktu dahulu, tidak tergambar dalam lintasan fikiran kita bahawa Umno begitu ghairah mahu "bertanding" dengan PAS, daripada segi komitmen parti itu terhadap agenda perjuangan Islam.

Pengalaman lebih 50 tahun Umno menjadi tunjang pemerintahan negara, dan begitu dominan dalam Pakatan dan seterusnya BN, dengan penguasaan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen sejak merdeka, serta memegang jawatan dan kementerian kanan-strategik; ia sudah cukup untuk rakyat membuat penilaian seadilnya tentang rekod panjang pengkhianatan Umno.


Namun, strategis dan jurukempen Umno, termasuk Dr Mahathir Mohamad, melihat harapan terakhir mereka hanyalah pengundi Melayu. "Psikologi takut" sebahagian masyarakat Melayu dieksploit sepenuhnya, dengan momokan tidak masuk akal seperti "takut Cina kuasai Malaysia", "takut Kristian jadi agama terbesar", "takut DAP buang hak istimewa Melayu" dan macam-macam lagi yang menakutkan orang Islam.

Segera saya terbayang peringatan Dato' Mustafa Ali semasa program retreat Jabatan Pengarang Harakah, 19 Januari lalu, yang cuba menggambarkan situasi "sulit"  PAS yang terpaksa berdepan langsung dengan Umno, parti yang dilihat terkuat dalam BN, dan menguasai pelbagai sumber dan kemudahan kerajaan.


"PAS yang dilihat agak tertekan hari ini berbanding dengan rakan-rakannya dalam DAP dan KeADILan, serta diserang kiri kanan oleh media, perlu pertahanan diri yang lebih kuat," ujar seorang penganalisis politik, lama sebelum Mustafa melontarkannya.

Pagi Ahad itu, saya  bersarapan di Pekan Merlimau, bersama Ketua Muslimat PAS Melaka, Kintan Man. Beliau telahpun diisytiharkan sebagai calon wanita pertama di Melaka yang akan bertanding kerusi Dun Sungai Rambai.

Sambil menikmati roti canai telur di sebuah warung yang agak sibuk, Kintan bercerita tentang cabaran yang bakal didepaninya. Sesekali Pengarah MTD Sungai Rambai, Abdul Karim Kassim,  mencelah, menjelaskan lagi situasi politik tempatan.

Walaupun Dun Sungai Rambai tidak diletakkan dalam kumpulan kerusi target, namun ia tetap dilihat berpotensi.  Dalam pilihan raya 1999, pengundi Melayu di kawasan itu pernah memberikan antara undi tertinggi kepada PAS.

Kawasan itu juga  berjiran dengan dua kerusi Dun yang dimenangi PAS di Muar, Johor pada 2008.

"Jika maklumat dapat disampaikan dengan berkesan dan tepat kepada pengundi, saya yakin mereka dapat membuat keputusan dengan  baik. Tempoh berkempen nanti adalah period paling penting, begitu juga dengan strategi dan pendekatan terbaik mendekati pengundi," kata Kintan.

Sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur, saya singgah di Masjid Tanah, satu-satunya kerusi Parlimen di Melaka yang bakal ditandingi PAS.

Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Mohd Nasaie Ismail, lulusan pengajian media Universiti Malaya, yang agak kerap bertukar-tukar pandangan dengan saya mengenai Harakah, memaklumkan melalui SMS beberapa hari sebelum itu bahawa tanpa diduga, dia terpilih sebagai calon.

Kebetulan ada program di markas besar PAS Kawasan. Ketika saya sampai, majlis hampir berakhir. Nasaie nampaknya masih "terkejut" dengan keputusan parti, tapi dengan kerendahan diri bersedia memikul amanah.

Masjid Tanah terkenal dengan pantai yang panjang dan cantik dari Kuala Linggi, Kuala Sg Baru, Pengkalan Balak dan Tanjung Bidara. Namun berbanding dengan Port Dickson dan pantai sekitar Bandar Melaka yang terletak bersebelahan, ia jauh ketinggalan.

Walaupun Masjid Tanah tidak tersenarai dalam kerusi Parlimen yang disasarkan PAS, Nasaie yang aktif dalam beberapa NGO berkaitan Felda dan Felcra itu tetap melihat keistimewaan profil pengundi di situ.

Misalnya, Masjid Tanah dipenuhi hampir 10 institusi pendidikan tinggi dan separa tinggiseperti UiTM, KUIM, Kolej Komuniti, IKBN, Kolej Matrikulasi, UNIKL, Kolej Risda, Institut Laut Malaysia (ALAM) dan lain-lain.

"Ia seumpama Bandar Baru Bangi di Selangor, menunjukkan masyarakatnya terbuka kepada maklumat dan bersedia berubah. Malah, ramai juga penduduk di sini bekerja di Lembah Klang," katanya.

Keazaman dan tekad anak muda ini cukup menyenangkan saya. Difahamkan PAS bakal menurunkan lebih ramai calon muda yang berketrampilan. Nasaie seperti juga Kintan, seakan-akan mahu membuktikan, walaupun kelihatan sukar dan tidak ramai menaruh harapan tinggi buat mereka, namun jangan pandang kecil potensi dan peluang di mana saja PAS bertanding.

Rakyat Malaysia bukan saja sudah sedia berubah, mereka sebenarnya tidak sabar-sabar lagi mahu mencipta sejarah. Dan tiada lagi "simpanan tetap" buat Umno-BN. Padang permainan semakin sama rata, terpulang kepada para pemainnya beraksi, walaupun pengadil masih belum bertukar.


Sumber : Harakahdaily


ADUN DAP Melaka disaman MBMB


MELAKA:
Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San selaku salah seorang penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) Melaka telah menerima notis saman daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, saman tersebut diterima pada 31 Disember 2012 di bawah Undang undang Kecil 3 MBMB iaitu menggunakan pembesar suara untuk mengadakan ceramah kepada orang-ramai tanpa mendapat kebenaran bertulis MBMB.

“Kita ada maklum polis pada 20 November 2012 namun tiada jawapan, kita cadang di Bukit Palah tapi telah diganggu kemudian, pindah ke tanah lapang belakang pejabat DAP juga telah diganggu.

“Akhirnya kita pindah lagi di depan pejabat DAP dan tiada bantahan daripada peniaga malah, mereka sokong dengan rela tamatkan perniagaan lebih awal, kita ucap terima kasih kepada mereka yang bagi
kerjasama.

“Kita beri kerjasama tak ganggu lalulintas, kita akan guna peguam DAP untuk urus saman ini, sekiranya perlu hadir ke mahkamah kita akan hadir,” katanya.



Manakala Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari mempersoalkan tindakan tersebut kerana penganjur telah memohon untuk menggunakan tempat awam seperti Dataran Pahlawan, Stadium Tun Fatimah dan tempat meletak kenderaan Stadium Hang Jebat tetapi dinafikan.

“Sepatutnya jadi tanggungjawab kerajaan dalam sistem demokrasi menyediakan tempat untuk parti- parti politik berhimpun seperti bapa sediakan keperluan anaknya tapi ianya tak berlaku dalam negara kita.

“Kita dah mohon tapi MBMB tak bagi kemudian saman, kalau MBMB bagi tempat kita tak guna MBMB saman, itu wajar, MBMB digunakan sebagai alat politik,” ujarnya.

Tambah Adly, sekiranya MBMB menjadikan alasan menggunakan bahu jalan sebagai satu kesalahan, semua parti politik, NGO, kenduri kahwin dan sebagainya juga menggunakan bahu jalan.

Lebih melucukan, apabila Dr Tan Seng Giaw Timbalan Pengerusi DAP yang merupakan salah seorang penceramah pada malam itu turut menerima saman di atas kesalahan menjalankan aktiviti menjaja
tanpa lesen MBMB.

  Sumber : Harakah 28 SAFAR – 1 RABIULAWAL 1434 / 11 – 13 JANUARI 2013


Masalah pengundi hilang di Melaka masih tidak selesai


AYER KEROH: Beberapa individu mendakwa namanya tiada di dalam senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meskipun pernah membuang undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Perkara itu, didedahkan Setiausaha DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dalam satu sidang media di pejabat Pusat Khidmat DAP Dun Ayer Keroh baru-baru ini.

Poay Tiong yang juga Adun Ayer Keroh mendakwa, pihaknya juga sudah mengajukan permasalahan itu kepada pejabat SPR negeri namun pihak terbabit juga tidak dapat menjelaskan sebab perkara itu berlaku.

“Apabila kami semak nama individu terbabit di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ternyata nama tersebut disahkan aktif, ertinya individu itu masih hidup namun namanya sudah hilang dalam senarai SPR.

“Kita memandang apa yang berlaku ini sebagai satu perkara amat serius, sebab kita khuatir ada ramai lagi nama pengundi yang sudah hilang dengan cara sebegini,” katanya.

Hadir sama dalam siding media itu, Pengarah Pilihan Raya KeADILan Melaka, Md Yusof Abdullah dan Ketua Penerangan KeADILan Melaka, Hairiz Nordin.

Justeru, beliau berharap orang ramai yang pernah mendaftar dan pernah membuang undi pada PRU lalu, supaya membuat semakan sama ada menerusi laman web rasmi SPR atau tampil ke pejabat Pakatan Rakyat (PR) terdekat.

“Sebab itulah rakyat mahu kerajaan laksanakan lapan perkara berkaitan tuntutan Bersih kerana salah satunya, mereka mahu memastikan senarai nama pemilih itu benar benar telus.

“Apa yang kita lihat mereka sudah terlalu ‘bersih’ sehingga orang yang hidup pun mereka hilangkan nama, sekali gus melakukan ‘bersih’ yang keterlaluan,” katanya.

Beliau berkata, ekoran itu Pakatan Rakyat negeri juga akan mengadakan kempen semakan daftar pengundi termasuk menyediakan kaunter serta kemudahan untuk orang ramai membuat semakan daftar pemilih di tempat-tempat tumpuan awam.

Sumber : Harakah 28 SAFAR – 1 RABIULAWAL 1434 / 11 – 13 JANUARI 2013


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59