Thursday, 26 December 2013

Kenaikan Kos Hidup, Segera Mobilisasi Kesedaran Rakyat


Kerajaan didesak untuk fahami mesej rakyat dan segera mengambil tindakan wajar untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat. 

Demikian ditegaskan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (gambar) merujuk kepada dapatan kajian yang dilakukan oleh University of Malaya Centre of Democracy and Elections (UMcedel) yang dibentgangkan semalam.

Kajian itu mendapati sekurang-kurangnya seramai 1,676 responden telah menggeneralisasikan keresahan rakyat terhadap perkembangan kenaikan kos sara hidup yang tinggi setelah 6 bulan Pilihan Raya Umum Ke-13 berlalu. 

Tiga isu utama melatari kebimbangan mereka iaitu mengenai kenaikan harga minyak, peningkatan harga barang dan kenaikan tarif elektrik. 

“Kita menolak keputusan kabinet untuk menubuhkan makmal kajian kerana ia hanya sekadar tindakan populis dan taktik membeli masa sehingga rakyat melupakan kezaliman yang dilakukan oleh mereka,” ujar Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Lagi membimbangkan tindakan kerajaan terkini yang membenarkan kenaikan tarif elektrik dan tol yang melibatkan keperluan dan kemudahan seharian rakyat serta cukai GST yang bakal diperkenalkan dan subsidi petrol yang ditarik balik pasti meletakkan rakyat dalam kesempitan kewangan.

Sebanyak 55% responden sama ada kaum Melayu atau Cina tidak terkesan dengan bajet melaksana janji kerajaan sebaliknya lebih merasai pengucupan nilai ringgit dalam kocek mereka. 

Ini, kata beliau satu signal yang jelas bahawa fokus rakyat adalah hidangan sepinggan nasi untuk dijamah bukannya projek mega berskala besar yang tidak mengikut prioriti kepentingan dan pembaziran.

Menariknya, ujar beliau lagi walaupun responden menggunakan kaedah penyumberan maklumat politik daripada media konvensional kerajaan dan diseimbangkan dengan penggunaan media sosial seperti facebook dan twitter, namun sebanyak 79% daripadanya mengakui bahawa penyalahgunaan kuasa dan rasuah semakin meningkat di Malaysia. 

“Ia bukan hanya persepsi tetapi realiti yang sedang membarah. Ketempangan ekonomi ini dilihat menatijahkan kepada bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Justeru, kata beliau PAS harus lebih agresif menuntun kecelikan politik pengundi-pengundi Melayu terutamanya di kalangan golongan belia yang berada di kelas menengah. 

Tambahnya, apa yang lebih penting ialah mengekalkan momentum kesedaran di samping meningkatkan kefahaman Islam yang sebenar bagi memaknakan kehidupan mereka. ~harakahdaily



Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59