Wednesday, 13 November 2013

Isu zakat, SAR diketengah dalam sidang Dun Melaka


MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim akan memastikan isu berkaitan dengan umat Islam di negeri ini mendapat perhatian daripada kerajaan negeri.


Sama ada ia berbentuk penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat atau pembelaan kepada institusi berkaitan, beliau akan membawa perkara itu pada persidangan Dun.



Begitupun, selaku wakil rakyat kepada penduduk berbilang kaum di Dun Bukit Baru, permasalahan setempat akan terus disentuh dan disalurkan kepada jabatan-jabatan dan agensi-agensi berkenaan.



Isu berkaitan zakat dan sekolah agama rakyat rakyat (SAR) antara perkara yang menjadi fokus beliau untuk diketengahkan pada persidangan Dun nanti.



Ini kerana PAS Melaka sebelum ini pernah mendakwa wujud penyelewengan menggunakan wang zakat berkait dengan pembinaan bangunan. 



Isu itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat walaupun pembinaan bangunan itu dikatakan daripada duit ‘lebihan’ sedangkan masih ramai golongan miskin tidak mendapat pembelaan melalui agihan wang zakat.



Walaupun isu itu timbul sebelum beliau menjadi wakil rakyat dan di bawah kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri yang lalu, namun aspek pengagihan zakat kepada asnaf yang layak akan diberikan perhatian.



Ini, katanya termasuk sumbangan zakat kepada asnaf fisabilillah seperti para pelajar yang mengambil kursus pengajian Islam di luar negara.



Tambahnya, beliau tidak pasti sama ada benar atau tidak mengenai aduan para pelajar yang menerima bantuan zakat dikatakan perlu membayar semula.



Justeru, perkara seperti itu dan pengagihan kepada semua asnaf akan diketengahkan dalam persidangan Dun untuk mendapat penjelasan daripada kerajaan negeri.



Selain itu, Dr Khalid akan turut menyentuh keadaan SAR yang kebanyakannya masih daif dan sukar untuk meneruskan operasi.



“Saya juga akan cuba membangkitkan isu yang berkait dengan masa depan guru-guru SAR dan Kafa di negeri ini agar pihak kerajaan negeri memberikan perhatian untuk membela nasib mereka,” ujarnya.



Bagi mantan Timbalan Pengarah Hospital Melaka itu, guru-guru SAR dan Kafa sewajarnya mendapat pembelaan daripada kerajaan negeri dari segi gaji, status jawatan dan lain-lain yang berkaitan.



Dalam pada itu, beliau mendapati ramai para pelajar dalam Dun Bukit Baru  berpotensi untuk maju tetapi menghadapi masalah kekangan kewangan.



Menyedari pentingnya pelajaran, beliau merancang untuk mengadakan kelas bimbingan secara percuma kepada para pelajar agar mereka dapat memberikan tumpuan yang sebaik-baiknya untuk mencapai kejayaan.



Justeru, Dr Khalid mengharapkan sumbangan daripada orang ramai bagi mewujudkan kelas-kelas bimbingan dan melaksanakan lain-lain aktiviti kebajikan kepada rakyat yang diwakilinya selaku Adun pertama PAS di negeri ini.



Sumbangan boleh dibuat atas nama Tabung Dana Dun Bukit Baru melalui akaun Maybank 554026265358 atau BIMB 04015010064536. ~harakahdaily






Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59