Saturday, 30 November 2013

Pemuda PAS mesyuarat semula 5 Dis, lantik SU


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan mesyuarat sekali lagi bagi melengkapkan perlantikan anggota Dewan Harian sayap itu.

Ketuanya Suhaizan Kaiat berkata, mesyuarat pertama yang diadakan Khamis lalu, telah berjaya membuat perlantikan bagi jawatan Bendahari, Ketua Penerangan dan juga Pengarah Pilihan Raya.

Bagaimanapun bagi jawatan Setiausaha dan Penolong Setiausaha, mereka masih belum mencapai keputusan konsensus.

"Perbincangan belum selesai sepenuhnya. Jawatan Setiausaha dan Penolong Setiausaha belum diputuskan.

"InsyaAllah kita akan sambung mesyuarat tersebut pada 5 Disember ini untuk melengkapkan jawatan Dewan Harian ini," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut beliau berkata, pada peringkat awal hanya satu nama dicadangkan untuk mengisi jawatan Setiausaha namun bertambah menjadi empat semuanya menjelang akhir perbincangan.

Bagaimanapun katanya, kesemua nama-nama itu akan dibincang semula pada mesyuarat akan datang ini.

"Berilah kepercayaan kepada ketua pemuda untuk melantik setiausaha atas kesesuaian dan keserasian yang dirasakan munasabah," katanya. 

Dewan Harian Pemuda PAS terdiri daripada ketua, timbalan ketua, naib ketua, setiausaha, bendahari, ketua penerangan dan ketua pengarah pilihan raya Pemuda.

Fasal 53(3) Perlembagaan PAS 2011 memperuntukkan bahawa “Setiausaha, Penolong-Penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihan Raya Pemuda dan satu per tiga daripada jawatankuasa yang disebutkan dalam ceraian (1)(i) fasal ini hendaklah dilantik oleh Ketua daripada pemuda-pemuda ahli PAS yang berumur empat puluh tahun ke bawah di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu". ~harakahdaily




Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59