Friday, 29 November 2013

Apakah rakyat Malaysia perlu hidup melarat demi melayan ego Dr Mahathir?


Sering kali ramai yang bertanya, apakah negara ini diuruskan untuk kesejahteraan rakyatnya atau untuk melayan ego kepada seorang bekas perdana menteri yang tidak habis-habis mencampuri urusan negara walaupun sudah 10 tahun bersara?

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) memberikan amaran kepada kerajaan, memansuhkan sistem Permit Import (AP) kereta akan menyebabkan riwayat dua kenderaan nasional Proton dan Perodua tamat.

Kenyataan beliau hadir selepas bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang berkhidmat dalam Kabinetnya menggesa kerajaan memansuhkan sistem AP agar rakyat Malaysia dapat membeli kereta dengan lebih murah. "Memansuhkan AP bermakna harga kereta yang lebih murah untuk rakyat," kata Daim.

Menulis di blognya, Dr Mahathir berkata, tanpa sistem AP, kenderaan import akan membanjiri pasaran tempatan menyebabkan Proton dan Perodua gagal untuk bersaing. “Orang Melayu dan Bumiputera lain tidak akan berjaya masuk ke dalam perniagaan automotif tanpa sistem AP kerana mereka tidak biasa dengan pasaran,” kata Dr Mahathir.

Tidakkah Dr Mahathir berfikir bagaimana pula dengan ramai rakyat Malaysia disenaraihitamkan oleh institusi kewangan kerana tidak mampu untuk membayar hutang kenderaan yang mahal? Baru-baru ini dalam satu Seminar Kebangsaan Maqasid Syariah 2013 anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Setiausaha Penasihat Syariah Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Mohd Nazri Chik, berkata sehingga Mac 2013, angka hutang isi rumah meningkat kepada 82.9 peratus dan merupakan yang tertinggi di rantau ini.

Katanya, pinjaman terkumpul bagi pembelian harta kediaman dan kenderaan iaitu 64 peratus adalah bahagian terbesar pinjaman isi rumah. Ertinya, pinjaman untuk membeli kenderaan antara penyumbang kepada hutang isi rumah rakyat Malaysia kerana harga kereta di negara ini merupakan yang kedua tertinggi di dunia seperti dinyatakan dalam kajian sebuah laman web berpengaruh berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) www.jalopnik.com.

Akhbar perniagaan The Edge melaporkan pada September, kajian Jalopnik mendapati Malaysia berada di tangga kedua selepas Singapura bagi 10 negara yang mempunyai harga kereta termahal di dunia. Apakah rakyat Malaysia perlu diseksa membayar harga mahal untuk membeli kenderaan hanya kerana untuk menyelamatkan Proton dan Perodua?

Di atas rasional apa harga Proton di negara luar jauh lebih murah berbanding di negara ini? Sudah pasti kerana jika harga terlalu mahal, ia pasti tidak akan dibeli oleh rakyat di negara jiran seperti di United Kingdom, Indonesia dan negara-negara Arab. Mengapakah rasional yang sama tidak dapat digunakan dalam negara ini?

Kerana pasaran di Malaysia terlalu kecil untuk mengeluarkan kenderaan dengan jumlah besar untuk mengurangkan kos pengeluaran. Jumlah pengeluaran yang kecil menyebabkan kos pengeluaran menjadi lebih mahal berbanding jumlah pengeluaran lebih besar.

Mengapa kita perlu mempunyai kenderaan nasional walaupun pasaran dalam negara terlalu kecil? Kerana untuk memuaskan hati seorang pemimpin yang mahukan segala-galanya walaupun beliau mengetahui Malaysia masih belum bersedia.

Hanya kerana mahu memberikan AP kenderaan kepada beberapa tokoh korporat Melayu dan Bumiputera, majoriti rakyat Malaysia terpaksa membayar hutang isi rumah yang tinggi setiap bulan.

Hanya kerana orang Melayu dan Bumiputera tidak biasa dengan pasaran automatif, majoriti rakyat disenaraihitamkan oleh institusi kewangan kerana tidak mampu membayar hutang kenderaan. Sudah sampai masa bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membuat pilihan.

Sama ada untuk melayan ego Dr Mahathir atau menjaga kebajikan rakyat Malaysia yang memberikan beliau peluang untuk memerintah bagi penggal kedua. Jika orang Melayu dan Bumiputera terlalu lemah dan tidak biasa dengan perniagaan automotif, masih banyak sektor perniagaan yang boleh menjadikan mereka kaya.

Sektor pertanian umpamanya. Itulah asal-usul kepada majoriti orang Melayu. Tahukah anda menjual hasil pertanian juga boleh menyebabkan perniagaan anda berkembang ke peringkat antarabangsa? ~the malaysian insider






Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59