Thursday, 31 October 2013

Ijtihad politik dan PAS


Kebelakangan ini, istilah ijtihad politik meniti di bibir penggiat politik terutama ketika berseminar, berdiskusi atau berborak mengenai politik. Istilah ini menjadi popular akibat pengaruh persekitaran politik negara yang melalui fasa-fasa baru politik yang dicorakkan oleh badan politik dan bukan politik sesuai dengan perkembangan dan realiti semasa.

Bagi sebahagian orang, istilah ini terasa seperti baru walaupun hakikatnya istilah ijtihad dan politik adalah istilah yang diguna pakai melebihi seribu tahun, khususnya dalam sumber-sumber rujukan Islam. Muaz bin Jabal menggunapakai istilah ijtihad semasa menjawab pertanyaan Rasulullah SAW mengenai kaedah beliau akan menjatuhkan hukuman jika berhadapan dengan sesuatu kes yang tidak ada petunjuknya daripada al-Quran dan sunnah [rujuk Sunan Abi Daud: 3119]. Sementara istilah siyasah [politik] disabdakan oleh baginda ketika menjelaskan mengenai Bani Israel yang dipimpin oleh para nabi [rujuk Sahih al-Bukhari: 3196 dan lain-lain].

Cuma, mungkin istilah ijtihad politik sebagai suatu bentuk disiplin pemikiran politik secara khusus masih terasa segar walaupun dari sudut praktiknya ijtihad politik ditunjukkan modelnya oleh Rasulullah SAW dan para sahabat dalam kedudukan mereka selaku pemimpin negara dan umat pada era masing-masing. Para ulama menyifatkan kaedah perlantikan Abu Bakar selaku pengganti Rasulullah SAW selepas kewafatan baginda, tindakan Abu Bakar memerangi golongan yang enggan membayar zakat, cadangan Umar kepada Abu Bakar supaya mengumpulkan al-Quran dalam satu mashaf pada era Abu Bakar dan penulisan semula al-Quran pada era Uthman; adalah ijtihad politik para sahabat.

Ijtihad politik boleh didefinisikan dengan pengerahan segenap keupayaan pemikiran berdasarkan data, maklumat dan fakta bertujuan memastikan kemaslahatan hamba. Ini bersesuaian dengan kedudukan politik itu sendiri yang merupakan suatu usaha menegakkan sesuatu yang mendatangkan maslahah kepada manusia. Sementara ijtihad pula adalah pengerahan segenap keupayaan dengan kewujudan persediaan yang mencukupi iaitu orang yang layak berijithad yang dikenali dengan mujtahid, persoalan yang dijtihad adalah zanni [terbuka kepada perbahasan] dan ijtihad itu sendiri adalah untuk mengeluarkan hukum.

Harus disedari, ijtihad adalah ruang yang bersifat ekslusif. Justeru, ijtihad politik tidak boleh dilakukan kecuali oleh mujtahid. Seseorang tidak boleh memasuki ruang ijtihad politik kecuali dia memiliki kelayakan untuk berijtihad kerana, jika ruang itu boleh disertai atau dimasuki oleh sesiapa sahaja, tentu akan berlaku bilangan mujtahid akan mengatasi bilangan orang biasa. Hal ini mengakibatkan tujuan ijtihad politik iaitu untuk kemaslahatan hamba akan terabai bahkan ternafi.

Kedudukan ijtihad politik adalah selari dengan ijtihad dalam hukum syarak yang lain. Ibnu Qaiyim dalam kitabnya al-Turuq al-Hukmiyyah menegaskan, ijtihad politik hanya boleh dilakukan oleh mereka yang memahami syariah, memahami realiti [waqi’] dan berupaya memadankan atau menyerasikan syariah dan realiti antara satu sama lain. Namun begitu, tulisan ini tidak berhasrat untuk mengupas satu persatu syarat-syarat kelayakan untuk berijtihad tersebut kerana ia akan mengambil ruang yang luas, sementelahan pula persoalan ini boleh dirujuk dengan mudah dalam kitab usul.

Ijtihad politik menjadi suatu keperluan mendesak khususnya dalam situasi politik semasa umat Islam kerana nas-nas dalam urusan politik adalah bersifat umum yang memerlukan ijtihad dalam konteks pelaksanaannya. Misalnya, perintah menunaikan amanah kepada ahlinya dan menjatuhkan hukuman dengan adil [an-Nisa’: 58], persoalan meminta jawatan [Yusof: 55 dan hadis al-Bukhari: 714], adalah nas yang bersifat umum yang berhajat kepada ijtihad dalam konteks pelaksanaannya dalam sistem politik moden hari ini.

Begitu juga, perkembangan baru dalam bidang politik seperti amalan demokrasi, hubungan politik antara kaum, kedudukan non muslim sebagai warganegara, penglibatan wanita dalam politik, perlantikan non muslim sebagai menteri, isu-isu berkaitan zimmi dan harbi, urusan pungutan jizyah, pelaksanaan syura dalam konteks demokrasi, kebebasan bersuara dan banyak lagi memerlukan para mujtahid tangkas menanganinya demi kemaslahatan manusia.

Itulah konsep ijtihad politik dalam konteks politik secara umum. Sementara PAS, dalam kedudukannya sebagai sebuah parti Islam dalam konteks setempat, ijtihad politik tetap berperanan besar. Keterlibatan PAS dalam sistem dan proses demokrasi yang melibatkan rakyat dalam pelbagai latar agama dan budaya memerlukan PAS melakukan ijtihad politik untuk memastikan PAS boleh hidup dengan segar bersama realiti tanpa mengorbankan dasar dan prinsipnya. Jika PAS gagal atau keliru dalam memahami dan menangani realiti dan tidak berupaya melakukan ijtihad politik untuk memadankan dan menyerasikan dasar dan prinsip PAS dengan realiti itu, kemaslahatan rakyat akan terabai.

Dasar Islam yang menunjangi PAS bukan bersifat retorik. Islam yang sentiasa menyerap perkembangan semasa kehidupan manusia pasti akan meletakkan PAS sentiasa relevan dengan semua situasi. Islam bukan agama yang beku dan tidak mengiktiraf kemampuan berfikir manusia. Islam tegak dengan hujah dan fakta. Al-Quran sendiri mengiktiraf kemampuan daya saing manusia dan realiti kehidupan mereka, bukan membenamkannya, bahkan mengaitkan kebiasaan itu dengan pengabdian diri kepada Allah, Tuhan Kaabah. Sila rujuk surah Quraisy yang mengiktiraf kebiasaan dan realiti kehidupan orang Quraisy berdagang pada musim panas ke Syam dan musim dingin ke Yaman.

Justeru, jika PAS tidak berupaya bergerak selari dengan realiti dan tuntutannya, atau terasa janggal untuk meletakkan dirinya relevan dengan realiti, itu bukan kesilapan dasar. Ia bertolak daripada kealpaan atau kegagalan PAS untuk melakukan ijtihad politik berpunca daripada kegagalannya memahami realiti, kemudian memadankan realiti itu dengan dasarnya. PAS tidak ada masalah dengan dasar, tetapi PAS mesti sentiasa pintar dan terkehadapan dengan pengurusan dasar atau aplikasi dasar. Pengurusan dan aplikasi dasar itulah medan ijtihad politik.

Keterlibatan PAS dalam sistem demokrasi adalah wasilah. Sementara hukum asal kepada wasilah adalah harus. Sesuatu wasilah diakui sah oleh syarak apabila ia tidak bertembung dengan nas syarak. Dasar Islam yang menunjangi PAS tidak membuka ruang keizinan untuk PAS mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara. Matlamat yang baik tidak boleh dicapai kecuali dengan wasilah yang baik. Sultan Ulama’, Izzuddin bin Abdus Salam menegaskan, kejahatan bukanlah jalan mendekatkan diri kepada Allah dan kejahatan juga bukan wasilah kerana tidak ada pendekatan diri kepada Allah kecuali dengan maslahah dan kebaikan. Tidak ada pendekatan diri kepada Allah dengan kerosakan dan kejahatan.

Wasilah demokrasi mendambakan ijtihad politik terkini. Pertembungan dengan seteru politik secara muwajahah salmiyyah, memperkenalkan sektor khidmat masyarakat, tahaluf siyasi, pewujudan Dewan Penyokong PAS, kebenaran calon bukan Islam bertanding atas tiket PAS, kebenaran wanita menjadi calon, tawaran negara berkebajikan adalah sebahagian ijtihad politik PAS yang membuahkan hasil yang yang positif dalam meletakkan PAS terus relevan dengan realiti demokrasi.

Pintu ijtihad politik terus terbuka. Isu-isu gender, pelaksanaan syariah secara menyeluruh dalam pemerintahan, isu-isu berkaitan hiburan dan sukan, kebebasan beragama, keterlibatan non muslim dalam penggubalan dasar negara, isu-isu hak asasi manusia dan banyak lagi, dari sudut aplikasinya membuka ruang ijtihad politik kepada PAS. Sama ada PAS bersedia atau tidak, mampu atau tidak, semua persoalan itu perlu ditangani berasaskan Islam. Kealpaan PAS dalam menangani persoalan ini bukan sekadar menatijahkan PAS terpinggir dari arus keperluan rakyat, dibimbangi menatijahkan fitnah kepada Islam dan umat Islam.

Timbul persoalan, siapakah yang layak melakukan ijtihad politik dalam PAS? Seperti yang ditegaskan sebelum ini, medan ijtihad bersifat ekslusif dan hanya boleh dijejaki oleh mujtahid. Timbul persoalan lagi, adakah wujud mujtahid dalam PAS jika dipadankan dengan kriteria mujtahid yang ditetapkan oleh para ulama usul dalam perbahasan mereka mengenai ijtihad? 

Diyakini, tidak ada seorang ulama dalam PAS yang bersedia mengaku mereka layak dikenali dengan mujtahid, apatah lagi secara individu. Namun begitu, PAS memiliki Majlis Syura Ulama yang berupaya melakukan ijtihad politik secara jamaei. Bilangan mereka yang munasabah memustahilkan mereka untuk berpakat membuat keputusan yang bercanggah dengan dasar PAS. Justeru, Majlis Syura Ulama boleh berperanan dengan berkesan dan aktif untuk melakukan ijtihad politik untuk memastikan PAS sentiasa relevan demi kemaslahatan umat.

Soalannya, adakah Majlis Syura Ulama sudah bersedia?


~harakahdaily



Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59