Banner Ramadan

Banner Ramadan

Rayuan Derma

Tuesday, 12 February 2013

Terpaksa menapak 2 kilometer


BANDARAYA MELAKA - Lima termasuk seorang wanita terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira dua kilometer untuk pulang ke rumah selepas kereta dinaikinya disita dalam operasi bersepadu membabitkan sembilan agensi penguatkuasa di Lebuh AMJ, dekat sini, malam kelmarin.

Kelima-lima warga Indonesia itu yang dalam perjalanan pulang dari menangkap ketam di Pantai Klebang terpaksa berbuat demikian selepas salah seorang daripada mereka tidak mempunyai lesen ketika memandu kereta jenis Perodua Kancil.

Akibatnya, lima sekawan berusia sekitar 30-an itu terpaksa memikul hasil tangkapan masing-masing dan menapak pulang ke rumah, selepas dilepaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri kerana memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Dalam operasi bermula 8 malam itu, turut menyaksikan dua lelaki, masing-masing seorang pemandu dan penumpang kereta, kelam kabut mencari seluar selepas menyedari anggota penguatkuasa melakukan sekatan jalan.

Ini kerana, kedua-dua mereka hanya memakai seluar dalam ketika berada dalam kereta, bagaimanapun tidak diketahui punca mereka berbuat demikian.


Sementara itu, seorang lelaki berusia 32 tahun cuba menafikan dia mengambil syabu meskipun ujian saringan urin oleh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan dia positif metamfetamin.

“Saya tidak ambil benda tu (syabu). Walaupun saya kerja di kelab malam, saya hanya minum (arak) sahaja,” katanya.

Lelaki yang bekerja di sebuah kelab malam di Melaka Raya itu antara enam didapati positif  dadah termasuk seorang lelaki berusia 52 tahun.

Dalam pada itu, Pengarah JPJ negeri, Mohd Fadhil Hassan berkata, pihaknya mengeluarkan 87 saman membabitkan pelbagai kesalahan termasuk lesen memandu tamat tempoh, tiada cukai jalan dan cermin gelap.

"Operasi berakhir empat jam kemudian itu turut mengesan 64 kes kesalahan tidak mempunyai lesen memandu atau lesen tamat tempoh, selain 22 daripadanya membabitkan Lesen Memandu Kompeten (CDL)," katanya.

Menurutnya, sebanyak 20 saman dikeluarkan atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh, nombor pendafta-ran tidak mengikut spesifikasi (11), cermin gelap (10) dan tiada insurans (20).

“Kita turut menyita lapan kenderaan termasuk sebuah kereta dipandu warga asing tanpa lesen memandu.

"Selain itu, enam tangkapan membabitkan semua lelaki berusia 20 hingga 52 tahun dilakukan AADK mendapati tiga daripadanya disyaki positif metamfetamin, dua morfin dan seorang tetrahidrokanabinol (THC)," katanya.

Mohd Fadhil berkata, seramai sembilan agensi terlibat dalam operasi itu termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR).

Sumber : Sinar Harian

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59