Wednesday, 13 February 2013

PR Melaka usaha keras mobilisasi mood pengundi tolak Umno



Melaka adalah sebuah negeri yang sukar untuk ditembusi oleh pembangkang dalam mana-mana pilihan raya umum sebelum ini. Malah pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), Melaka masih lagi berstatus 'Negeri Paling Kuat BN' walaupun tsunami politik melanda Negeri Sembilan yang bersebelahan dengan negeri kecil ini.
Melaka memiliki enam kawasan Parlimen dengan 28 kerusi Dun bakal dihidangkan kepada parti-parti yang akan menyertai PRU13 nanti. Enam Parlimen itu adalah, Masjid Tanah (BN), Alor Gajah (BN), Tangga Batu (BN), Bukit Katil (BN), Kota Melaka (DAP) dan Jasin (BN).

Keputusan pilihan raya lalu menunjukkan pengundi masih lagi kekal seperti sebelum ini walaupun ada beberap kawasan yang mengalami peningkatan undi kepada Pakatan Rakyat. Hanya DAP sahaja satu-satunya parti yang berjaya menambat hati pengundi itu pun di kawasan yang boleh dikatakan kubu kuat mereka iaitu di Kota Melaka.

Mereka berjaya menawan lima Dun, antaranya Ayer Keroh melalui Khoo Poay Tiong selain Dun Bachang, Duyong, dan Bandar Hilir. Begitu pun, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) mendapat penambahan undi hampir di semua kerusi ditandingi.

Meskipun isu membabitkan kepimpinan Tan Sri Mohd Ali Rustam sangat diperhatikan, namun penambahan undi Melayu hanya pada kadar 50 peratus sahaja. DAP sebaliknya menerima lonjakan penambahan pengundi Melayu dengan 70 peratus di Bachang. Namun, dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, pelbagai isu mula digeledah PAS dan Pakatan Rakyat Melaka yang menyebabkan adanya arus yang menggoncang negeri tersebut.
Antaranya isu tabung derma Palestin, isu wang zakat, hutang kerajaan negeri, rasuah politik, kegagalan projek-projek seperti Eye On, LTAM, Melaka River Cruise dan isu pemindahan pengundi. Beberapa kawasan di Semabok mengalami penambahan sokongan khasnya dalam beberapa ceramah PAS yang
diadakan di sana, sementara beberapa himpunan yang dianjurkan Pakatan Rakyat mula mendapat perhatian ramai.

Bagi PAS pula, beberapa kawasan boleh sahaja menjadi milik mereka sekiranya ada kecenderungan pengundi Melayu meningkatkan sokongannya, selain peningkatan drastik pengundi bukan Islam kepada
PAS sekitar 70 peratus. Ramai yang menjangkakan perubahan undi Cina akan berlaku di merata tempat di Semenanjung, namun di Melaka ianya sukar untuk dibaca.

Bagaimanapun, ianya bergantung kepada sejauh mana kerja-kerja kempen dan meyakinkan pengundi dijalankan oleh Pakatan Rakyat secara kolektif di Melaka. Pengundi di Melaka mahu melihat kesungguhan yang tinggi oleh tiga parti dalam Pakatan Rakyat bekerja secara pasukan menjelang PRU13.

Malah mereka juga mahukan setiap masalah membabitkan  rakyat khasnya pengudi diangkat
sebaiknya. Antara kawasan Melayu yang dijangkakan mengalami perubahan dalam PRU13 nanti antaranya ialah Kuala Linggi, Lendu, Durian Tunggal, Asahan, Bukit Baru, Merlimau, Rembia, Gadek, Machap, Paya Rumput dan Rim.

Namun, ianya memerlukan penambahan undi Melayu hingga 70 peratus dan peningkatan undi Cina kepada tahap maksima 70 hingga 90 peratus. Sementara bagi DAP, beberapa kawasan yang dimenangi akan terus dipertahankan jika pola undi Melayu meningkat dan undi Cina pada tahap maksima.

Begitu pun, suhu politik di Melaka sebenarnya sudah mula panas apabila isu tabung Palestin yang berjumlah lebih RM600,000 hingga kini gagal dijawab oleh Ketua Menterinya. Apakah tsunami di Negeri Sembilan akan berlaku di Melaka hingga rebah kerajaan BN, semuanya bergantung kepada usaha Pakatan Rakyat memobilisasi mood pengundi untuk menolak BN.

Sumber : Harakah 28 SAFAR - 1 RABIULAWAL 1434 / 11 - 13 JANUARI 2013

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59