Saturday, 2 February 2013

Mahkamah putus Kerajaan Melaka pecat penghulu sebagai tidak sah


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang Penghulu ke atas Kerajaan Melaka apabila hakim memutuskan hukuman buang kerja yang dibuat oleh kerajaan negeri ke atasnya tidak sah dan terbatal.

Di dalam keputusan bertulisnya yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Puan Diana binti Md Razali petang tadi (4.30 petang) Hakim Hakim Tuan Abang Iskandar bin Abang Hashim menyatakan bahawa hukuman buang kerja atau pemecatan ke atas Penghulu, Encik Shamsudin bin Mohd Bakhid adalah menggunakan peruntukkan undang-undang yang salah.

Oleh itu segala keputusan yang dibuat oleh Responden iaitu Lembaga Tatatertib Bagi Kumpulan Sokongan (No 1) dan Kerajaan Melaka adalah salah di sisi undang-undang.

Justeru itu Hakim telah memerintahkan perintah certiorari membatalkan keputusan buang kerja tersebut dan juga perintah mandamus bagi memaksa  Responden-Responden mengambil langkah –langkah yang perlu dan wajar untuk menempatkan semula penghulu tersebut ke jawatan asal beliau sebelum keputusan tersebut dibuat.

Mahkamah juga memerintah Kerajaan Melaka membayar segala gaji, elaun dan emolument yang layak diterima oleh penghulu tersebut dari 1/4/2011 sehingga tarikh perintah hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan Kerajaan Melaka membayar gantirugi am, gantirugi tauladan (exemplary damages)  dan gantirugi melampau (aggravated damages) kepada penghulu tersebut serta kos.

Fakta kes tersebut adalah pada 2/5/2000 pemohon telah dilantik sebagai Penolong Pegawai Tadbir (Penghulu) N6 (Gred NP 27) di Pejabat Tanah dan Daerah Alor Gajah, Melaka yang mana beliau adalah seorang Penjawat Awam yang berjawatan tetap dan berpencen.

Melalui surat bertarikh 10/8/2001 daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam kepada pemohon, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam telah meluluskan pengesahan lantikan pemohon sebagai Penolong Pegawai Tadbir (Penghulu) Gred 6 bermula 2/5/2000.

Gaji terakhir Pemohon sebagai Penolong Pegawai Tadbir (Penghulu) N6 (Gred NP 27) adalah berjumlah RM2,202.80 sebulan.

Melalui surat bertarikh 17/1/2011 yang dikeluarkan oleh Responden ke atas Pemohon, Responden memaklumkan kepada pemohon bahawa beliau patut dikenakan tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atas dua pertuduhan yang berasingan.

Pertuduhan pertama pemohon di tuduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 manakala bagi pertuduhan kedua Pemohon dikenakan pertuduhan di bawah Peraturan 4 (2) (i) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Melalui surat bertarikh 7/2/2011 pemohon telah membuat representasi bertulis kepada Responden.

Melalui surat bertarikh 31/3/2011 yang diterima oleh Pemohon pada 6/4/2011 Responden Pertama iaitu Pengerusi Lembaga Tatatertib memaklumkan kepada pemohon bahawa Lembaga Tatatertib telah memutuskan bahawa beliau telah didapati bersalah ke atas pertuduhan yang pertama dan pemohon dikenakan hukuman buang kerja mengikut Peraturan 38 (g) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi pertuduhan Pertama berkenaan yang berkuatkuasa pada 15/3/2011.

Pemohon yang tidak berpuashati dengan keputusan tersebut telah melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Februari 2012 yang lalu.

Di dalam penghujahan di Mahkamah sebelum ini peguam pemohon telah berhujah bahwa wujudnya "procedural impropriety" yang dilakukan oleh Responden apabila mereka mengambil tindakan tatatertib ke atas pemohon di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 tanpa mengambil kira bahawa bagi pertuduhan pertama yang dikenakan ke atas pemohon prosedur yang wajib dipatuhi dan diikuti oleh adalah Peraturan 32 dan 33 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan bukannya Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Peguam pemohon juga berhujah bahawa memandangkan Responden telah gagal mematuhi Peraturan 32 dan 33 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993  bagi pertuduhan pertama ke atas pemohon maka keputusan tersebut adalah satu keputusan yang “illegal” (tidak sah) kerana Responden-Responden telah gagal mengambil kira dan menimbangkan laporan ke atas  pemohon, rekod perkhidmatan pemohon dan perakuan Ketua Jabatan pemohon sepertimana yang ditetapkan atau dikehendaki oleh Peraturan 32 (2) dan Peraturan 33 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Penghulu tersebut amat bersyukur dengan keputusan Mahkamah tersebut kerana beliau tetap percaya bahawa tindakan yang dikenakan ke atas beliau mempunyai unsur-unsur politik yang mengakibatkan beliau terpaksa menganggur selepas dipecat oleh Kerajaan Ali Rustam itu.

Menurutnya, sebelum pemecatan tersebut, beliau pernah beberapa kali tidak dibenarkan untuk menyertai mana-mana mesyuarat di peringkat daerah dan juga tidak dibenarkan mewakili jabatan beliau untuk menghadiri mesyuarat di peringkat negeri.

Penghulu tersebut diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin bersama-sama Cik Azhana Mohd Khairudin manakala Kerajaan Negeri Melaka diwakili oleh Puan Norhasmiza bin Othman

Sumber : Harakahdaily

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59