Thursday, 2 February 2012

Ugut Guna Pistol Palsu




AYER KEROH - Seorang penjual burger mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam, atas dua tuduhan, termasuk mengugut menggunakan pistol palsu, pertengahan Disember tahun lalu.

Zuhairi Zakaria, 29, dari Cheng, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Zuhairi didapati dengan sengaja melakukan ugutan jenayah sambil mengacukan sepucuk pistol tiruan bagi mendatangkan ketakutan dan kegusaran terhadap Ahmad Tamyiz Mak Aris, 41.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Restoran Hijrah Sari Cheng, Nasi Ayam Hailam, Cheng kira-kira jam 4.10 petang pada 15 Disember 2011.

Zuhairi didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 32(2) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan penalti tambahan penjara tidak lebih 10 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, Zuhairi didapati memiliki sebilah parang berhulu dan bersarung kayu sepanjang kira-kira 36 sentimeter, sebilah pisau bersarung besi bulat kira-kira 56 sentimeter di dalam sarung kain warna hijau diletakkan di dalam sebuah kereta Viva berwarna hitam.

Kesalahan itu dilakukan di tempat letak kereta berhadapan Rumah Pangsa Taman Anika, Lorong Pandan kira-kira jam 5.45 petang pada hari sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan boleh dihukum di bawah akta sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ahmad Sazali membenarkan Zuhairi diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 29 Februari depan tarikh sebutan semula kes.

Dalam prosiding berbeza di mahkamah sama, seorang mekanik mengaku tidak bersalah merogol dan mencabul teman wanitanya tahun lalu.

Mohd Redzuan Mohamad, 26, didakwa merogol perem­puan berusia 15 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Jalan Lipat Kajang, Kampung Kandang, kira-kira jam 1.30 pagi pada 24 Oktober 2011.

Mohd Redzuan juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap perempuan sama di rumah tidak bernombor di KM 8 Kampung Alai kira-kira jam 1.40 pagi pada 22 November 2011.

Bagi kesalahan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan sementara kesalahan mencabul, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

Ahmad Sazali membenarkan jaminan RM10,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 29 Februari depan.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59