Thursday, 10 November 2011

MBMB Goyang Kaki Je Ke?




Aduan telah banyak kali dibuat, keluhan pengguna pun sudah muak disiarkan, tetapi situasinya tetap sama.

Soalnya, mengapa tindakan tidak diambil oleh pihak berwajib walaupun kesalahan yang dilakukan, ibarat sudah terang lagi bersuluh.

Pemandangan kerusi dan meja yang dipasang 24 jam di kaki-kaki lima seperti sudah menjadi perkara biasa sejak bertahun-tahun lalu di sekitar Melaka Raya, terutamanya Jalan Melaka Raya 4.

Yang peliknya, pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sudah mengakui, tindakan itu memang menjadi satu kesalahan.

“Kita memang tidak mengeluarkan lesen untuk membolehkan peniaga meletakkan apa-apa halangan seperti kerusi dan meja makan di kawasan kaki lima premis. Ia memang menjadi satu kesalahan.

Itu penjelasan ringkas yang diberikan Setiausaha MBMB, Azmi Hussein apabila masalah yang bukan baru itu diadukan wartawan Utusan Malaysia kepadanya baru-baru ini.

Azmi lantas terus menghubungi anggota penguatkuasanya bagi memeriksa aduan tersebut.

Sebelum ini pun, berpuluh-puluh cerita mengenai halangan yang dilakukan pemilik-pemilik restoran ini dengan meletakkan meja dan bangku di laluan pejalan kaki disiarkan media.

Tidak cukup dengan siaran di akhbar, kisah sama ini diadukan pula secara terus kepada pegawai yang berkenaan.

Namun, apa yang dikesalkan, sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil terhadap peniaga terbabit.

Agak lucu pula, apabila tiga atau empat buah motosikal yang diletakkan di kaki lima yang langsung tidak menghalang lalu lintas pula yang dikompaun.

Sedangkan pada masa sama, pengusaha restoran yang melakukan kesalahan itu terus bermaharajalela.

Pejalan kaki pula, yang sepatutnya mempunyai hak menggunakan kaki lima premis itu terpaksa berkongsi laluan dengan pengguna jalan raya sekali gus terdedah kepada kemalangan sekiranya dilanggar kereta ataupun motosikal.

Selain terdedah kepada cuaca panas atau hujan, lebih malang, pejalan kaki juga berisiko menjadi mangsa ragut.

Daripada aspek kebersihan pula, golongan peniaga juga didapati mengotorkan kawasan luar premis kedai dengan air basuhan pinggan mangkuk atau barangan perniagaan mereka.

Keadaan ini juga mencacatkan pemandangan indah bandar Melaka kerana ia secara tidak langsung mewujudkan ketidakseragaman premis perniagaan apabila bunting, bumbung dan payung dipasang sesuka hati.

Mungkin pihak berkuasa telah mengambil tindakan, tetapi sampai bilakah jawapan ‘terdapat peniaga yang masih berdegil walaupun telah beberapa kali dikompaun’ perlu diberikan?

Atau ‘akan mengambil tindakan lebih tegas dengan merampas barangan peniaga yang masih berdegil’, tetapi hakikatnya, peniaga terus beroperasi siang dan malam tanpa rasa takut.

Justeru, adalah diharap agar Datuk Bandar MBMB sendiri turun padang melihat situasi sebenar dan melihat sendiri kerakusan para peniaga merampas laluan pejalan kaki demi keuntungan mereka.


Tragis Pembunuhan Seorang Wanita




ALOR GAJAH – Seorang lelaki dicari polis berikutan tindakannya merompak dua buah kedai dalam tempoh 30 minit hingga menyebabkan salah seorang pemilik premis itu mati selepas ditikam sebanyak tujuh kali di sini semalam.

Kejadian pertama berlaku pukul 1.45 petang hingga mengakibatkan pemilik kedai runcit, Teh Ah Key, 64, di Kampung Parit Melana di sini mati selepas ditikam di rusuk kanan, paha, perut dan dada oleh suspek berusia lingkungan 20-an itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Sharuddin berkata, sebelum kejadian, suspek datang ke kedai wanita itu dengan menunggang sebuah motosikal.

“Kita percaya berlaku pergelutan di antara suspek dengan mangsa sebaik lelaki itu masuk ke dalam kedai. Ia berikutan suspek cuba merompak wang hasil perniagaan mangsa.

“Suspek kemudian terus melarikan diri bersama wang tersebut dan kejadian itu hanya disedari oleh seorang penduduk yang terkejut melihat mangsa terbaring berlumuran darah ketika dia masuk untuk membeli sesuatu,” katanya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59