Thursday, 20 October 2011

Patah Pinggul Bertembung Kereta




ALOR GAJAH: Seorang pemandu lori patah tulang pinggul manakala dua kelindan terselamat selepas lori dinaiki berlanggar dengan sebuah kereta Proton Wira di Jalan Bukit Putus-Tebon-Gemencheh, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu, pemandu lori, Mohd Shukor Bahari, 40-an, bersama Mohd Asyraf Arsad, 26, dan Khairul Azlan Othman, 20, dalam perjalanan pulang dari Durian Tunggal ke Maran, Pahang selepas selesai kerja.

Difahamkan, kereta Wira terbabit yang dipandu Nordin Senin, 28, dari arah Gemas ke Tebong cuba memotong sebuah lori muatan tiga tan namun gagal hingga bertembung dengan sebuah lori lain dari arah Gemas.

Menurut Mohd Asyraf, mereka bertiga terkejut sebaik menyedari kereta Wira terbabit tiba-tiba memotong sebuah lori lain namun gagal dan bertembung lori dipandu rakannya biarpun Mohd Shukor cuba mengelak ke kiri.

“Kereta Proton Wira itu tiba-tiba memotong sebuah lori di hadapannya, tetapi tidak lepas dan terus merempuh bahagian depan sebelah kanan lori yang kami naiki biarpun Mohd Shukor cuba mengelak ke kiri.

“Malah, lori yang kami naiki juga nyaris merempuh tiang elektrik berhampiran. Akibat pelanggaran itu pemandu kereta itu cedera di bahagian badan akibat tersepit manakala Mohd Shukor patah tulang pinggul.

“Saya dan Khairul Azlan bagaimanapun bernasib baik kerana tidak cedera,” katanya.

Menurut Mohd Asyraf, dia dan Khairul Azlan tergamam dan tidak berani menolong Mohd Shukor dan Nordin kerana bimbang mereka mengalami kecederaan lebih teruk sebelum orang awam cuba membantu dan menghubungi ambulans.

Sementara itu jurucakap hospital berkata, kedua-dua pemandu yang cedera dihantar ke Hospital Tampin, Negeri Sembilan untuk rawatan sebelum Mohd Shukor dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.


Kemalangan Bas-Treler




JASIN: “Saya terkejut kerana ketika cuba masuk ke lorong kecemasan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman dan melihat sebuah bas terbabas ke kanan jalan,” kata pemandu treler, Aziz Romzi Sarkam, 42.

Dalam kejadian jam 2.30 petang semalam, dua penumpang termasuk wanita sarat mengandung lima bulan cedera, manakala 14 penumpang lain tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan treler di Kilometer 186.7 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Plaza Tol Lipat Kajang.


Menurut Aziz, ketika kejadian dia cuba memasuki lorong kecemasan bagi memberhentikan treler muatan besi buruk yang dipandu berikutan masalah brek kanan dialami.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, bas berkenaan membawa 16 penumpang dengan empat daripadanya ke Singapura dan selebihnya ke Johor Bahru, manakala treler itu dari Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.

“Dua penumpang cedera dalam kemalangan itu, seorang daripadanya yang identitinya masih belum dikenal pasti mengalami patah kaki kanan dan dihantar ke Hospital Tangkak, Ledang untuk rawatan.

“Manakala, wanita mengandung lima bulan dikenali sebagai Loh Hua Moi, 40, dari Kampung Sarang Buaya, Semerah, Batu Pahat, Johor pula hanya cedera ringan dan kini menerima rawatan di Hospital Melaka sebagai pesakit luar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Che Suza berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas dikenali sebagai Raja Chandran berusia 40-an dari syarikat Jebat Ekspres itu dipercayai cuba memotong di sebelah kanan jalan, sebelum terlanggar belakang treler terbabit yang ketika itu sedang bergerak perlahan ke lorong kecemasan.

“Ketika kejadian, treler ini mengalami kerosakan pada bahagian brek kanannya dan bergerak perlahan dari laluan kiri untuk memasuki ke lorong kecemasan dan sebelum sempat keseluruhan bahagian badan treler masuk ke lorong itu ia dilanggar bas ekspres terbabit.

“Akibat rempuhan kuat itu, seluruh dinding bahagian kanan badan treler ini rosak teruk dan termasuk ke dalam bas, manakala bas ekspres berkenaan pula rosak di bahagian kiri depannya,” katanya.

Menurutnya, pemandu bas dan treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

H/metro


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59