Tuesday, 18 October 2011

Perdaya isteri rakan




MELAKA: Seorang kakitangan sebuah bank di negeri ini mendakwa diperdaya seorang lelaki warga asing yang memaksanya melakukan hubungan seks sebagai balasan bagi membebaskan suami yang kononnya diculik.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa pada 8 Oktober lalu, wanita berusia 27 tahun itu mendakwa dirogol dan dipaksa melakukan seks oral oleh lelaki berkenaan selepas mengikuti suspek, 29, yang kononnya mahu membantunya mencari suaminya.

Menurut sumber, sehari sebelum kejadian (7 Oktober), mangsa mendakwa dia dan suaminya, lewat 20-an, membawa lelaki warga asing itu yang juga rakan suaminya, makan di sebuah restoran di Bukit Beruang, sebelum suaminya menghantar lelaki itu pulang, manakala dia menaiki sebuah lagi kereta.

“Beberapa jam kemudian, mangsa mendakwa lelaki berkenaan menelefonnya bertanya mengenai suaminya menyebabkan dia terkejut kerana sepatutnya dia bersama kenalannya itu.

“Lelaki warga asing itu yang juga ahli perniagaan kemudiannya menyatakan suaminya mungkin diculik dan menawarkan diri untuk membawa wanita itu ke balai polis untuk membuat laporan.

“Mangsa cuba menghubungi suaminya beberapa kali, namun gagal dan berikutan bimbang sesuatu yang buruk berlaku, dia akhirnya bersetuju mengikuti lelaki berkenaan,” kata sumber.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan, wanita itu mendakwa lelaki berkenaan mengherdiknya selain mengaku dia yang menculik suami mangsa dan disembunyikan di rumahnya di Bukit Beruang.

Katanya, wanita itu mendakwa kemudian dibawa ke rumah suspek sebelum dipaksa melakukan seks oral dan dirogol dengan ganas hingga mangsa mengalami kecederaan di kedua-dua belah pahanya sebagai balasan membebaskan suaminya.

“Mangsa mendakwa lelaki memberitahu dia ghairah melihat bentuk tubuhnya hingga mahu melakukan hubungan seks.

“Berikutan laporan polis yang dibuat mangsa, polis kemudian menahan lelaki warga asing berkenaan di rumahnya di Bukit Beruang Utama beberapa hari selepas itu.

Sumber berkata, kejadian culik itu dipercayai tidak berlaku dan suami mangsa pulang ke rumah keesokan harinya dan ketika kejadian, dia berada di tempat lain.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, warga asing itu turut membuat laporan berasingan kelmarin mendakwa wanita itu dan suaminya mereka-reka cerita kerana gagal memeras wang daripadanya.

H/metro


Bunuh Anak Tiri




ALOR GAJAH: Tempoh tahanan reman terhadap seorang jurujual yang menjadi suspek kes bunuh anak tirinya, Mohd Firdaus Mat Dan, 6, disambung enam hari lagi bagi membolehkan polis melakukan siasatan dengan lebih terperinci.

Majistret Siti Suriatey Mohamad Yusoff, membenarkan lelaki itu ditahan reman hingga 23 Oktober ini selepas tempoh reman suspek berusia 37 tahun itu berakhir semalam.

Ia tahanan reman kedua terhadap suspek berkenaan bagi membantu polis meneruskan siasatan berhubung kematian Mohd Firdaus pada 10 Oktober lalu.

Sebelum ini, suspek dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari bermula 11 Oktober lalu oleh mahkamah sama.

Suspek yang memakai baju lokap dibawa menaiki van polis dan tiba di Mahkamah Majistret Alor Gajah kira-kira jam 9.30 pagi.

Dia dibawa masuk melalui pintu belakang mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Akhbar ini pada 12 Oktober lalu melaporkan Mohd Firdaus yang dihantar bapa tirinya ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Hospital yang menyedari terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa termasuk kedua-dua kakinya dipercayai akibat terkena benda panas.


Bapa Maut




MELAKA - Seorang bapa kepada dua anak maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika kenderaan ditungganginya terjatuh di Jalan Datuk Mohd. Zain, Batu Berendam di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 3 petang, Shahrul Hisham Daud, 22, dikatakan baru pulang menghantar isterinya ke tempat kerja di sebuah pasar raya berhampiran.

Menurut sumber, mangsa ketika itu datang dari arah Taman Merdeka Permai menuju arah Bachang sebelum motosikalnya dikatakan terbabas dan terjatuh di tengah jalan.

Norhanisah sayu melihat mayat suaminya. Gambar kecil, Shahrul Hisham.

"Sebaik sahaja terjatuh, mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berusia 65 tahun," katanya di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Gelam, Tanjung Keling di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, isteri mangsa, Norhanisa Nordin, 21, berkata, dia tidak menyangka permintaan untuk menemaninya hingga ke kaunter wang tempat kerjanya itu merupakan permintaan terakhir arwah.

"Masih terngiang-ngiang kata-kata arwah yang beria-ia mahu menghantar saya sehingga ke kaunter pembayaran tetapi saya menolaknya kerana tidak mahu menyusahkannya.

"Tidak lama selepas itu, saya terkejut apabila diberitahu dia terlibat dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Hasil perkahwinan pada 2008, pasangan itu dikurniakan dua orang anak iaitu lelaki dan perempuan berusia tiga tahun dan 18 bulan.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59