Thursday, 7 April 2011

Nelayan Sg. Lereh dilanda masalah lagi


LEREH - Nelayan di Muara Sungai Lereh di sini kecewa berikutan masalah laluan muara yang sempit dan cetek di situ masih belum dapat diatasi pihak berkenaan meskipun pernah berjanji untuk menyelesaikannya secepat mungkin.

Keadaan itu menyebabkan mereka sentiasa dihimpit kebimbangan berikutan risau keselamatan perahu menangkap ikan yang terpaksa diletakkan di luar muara.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pengkalan Lanjut, Lereh, Rasiddin Samaon berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak 10 hari lalu tetapi sehingga kini masih tiada tindakan diambil.

Menurutnya, masalah yang wujud itu mengakibatkan nelayan di muara terbabit terpaksa meletakkan perahu menangkap ikan masing-masing di luar muara iaitu di sebalik beting pasir yang ada.

Malah katanya, keadaan itu sekali gus boleh menyebabkan perahu nelayan yang diletakkan di luar muara terdedah bahaya sehingga boleh mengalami kerosakan jika dipukul ombak.

“Nelayan terpaksa meletakkan perahu di situ kerana tidak boleh melepasi laluan sedia ada apabila air surut berikutan air cetek, selain turut berdepan masalah laluan di celah batu yang sempit.

“Sehubungan itu, kami berharap pihak berkenaan dapat mengorek beting pasir yang terkumpul di muara ini dengan segera supaya nelayan dapat menjalankan aktiviti harian mereka seperti sediakala,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam pada itu, Rasiddin berkata, tiada maknanya sekiranya keadaan Sungai Lereh sudah diperindah tetapi laluan perahu terkepung sehingga menimbulkan masalah kepada nelayan yang berpangkalan di muara berkenaan.

“Sekiranya masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, JKKK akan merujuk perkara ini kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk mendapatkan bantuannya,” katanya.

Sementara itu, nelayan, Saiful Nizam Othman, 31, berkata, setiap hari nelayan yang keluar masuk di muara berkenaan terpaksa menunggu sehingga air pasang bagi membolehkan mereka menyusur masuk ke muara.

Menurutnya, sejak masalah itu wujud, nelayan turut berdepan masalah rutin harian yang lain.

“Masalah ini berpunca daripada kesulitan membawa perahu dan hasil tangkapan ke darat sebaik pulang dari laut kerana terpaksa menunggu berjam-jam lamanya sebelum air pasang.

“Sebelum ini ada pihak berjanji, satu atau dua hari beting pasir di muara ini akan dikorek, namun sehingga kini masih tiada perubahan berlaku,” katanya.

Sinar Harian


Melaka maju tetapi periuk nasi peniaga terjejas


BANDA HILIR - Lebih 20 peniaga di Heritage Bazaar, Dataran Pahlawan di sini, mempertikaikan tindakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengenakan tindakan kompaun terhadap mereka.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berbuat demikian atas alasan lesen perniagaan tamat tempoh, serta gagal mempamerkan lesen perniagaan masing-masing.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Melaka, Aziz Embi berkata, tindakan itu dianggap tidak wajar kerana kebanyakan peniaga sebelum ini pernah beberapa kali memohon lesen, namun ditolak MBMB.

Menurutnya yang juga Pengerusi Kraf Tangan dan Makanan Tradisional Dataran Pahlawan Megamall, tindakan MBMB itu sebenarnya berpunca daripada kegagalan peniaga di situ menjelaskan kadar tunggakan sewa yang sudah berlarutan sejak beberapa bulan.

“Itulah yang menjadi penyebab MBMB enggan menghidupkan lesen perniagaan kami. Biarpun kami sudah memohon beberapa kali kepada PBT terbabit.

“Lagipun, dengan kadar sewa RM500 sebulan dan sekiranya dicampur dengan bayaran penjagaan RM200 sebulan, ia membebankan, sedangkan perniagaan kami di sini kurang mendapat sambutan,” katanya semasa membuat lawatan di situ, semalam.

Turut serta, Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah.

Aziz berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan 29 Mac lalu dan MBMB sewajarnya memberikan amaran terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan tegas diambil.

“Ada juga di kalangan peniaga yang cuba menjelaskan kadar tunggakan sewa berkenaan, namun dibebani pula dengan kadar tunggakan lesen perniagaan yang dikenakan untuk beberapa tahun.

“Ini amat membebankan peniaga yang berniaga hanya mengharapkan musim tertentu sahaja untuk meraih pendapatan lebih,” katanya.

Menurut Aziz, sebelum ini, peniaga pernah dikenakan tindakan serupa, namun dipertimbangkan semula Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar sebelum ini, Datuk Latiff Tamby Chik.

Dalam perkembangan sama, peniaga menasihatkan MBMB mengambil tindakan terhadap peniaga menjalankan peniagaan di sekitar A Farmosa, Bukit St Paul dan beberapa kawasan yang ternyata tidak memiliki lesen perniagaan yang sah.

Sinar Harian


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59