Thursday, 31 March 2011

Ali Rustam diminta bantu golongan nelayan


Nelayan rugi tidak dapat ke laut

LEREH - Sebilangan besar nelayan yang berpangkalan di Muara Sungai Duyong, di sini, mengeluh kerana tidak dapat ke laut sejak kelmarin, berikutan laluan keluar dan masuk perahu di muara sungai terbabit terlalu cetek.

Keadaan itu sekali gus menyekat aktiviti nelayan ke laut dan mereka terpaksa menanggung kerugian ratusan ringgit kerana tidak dapat memungut hasil tangkapan.

Seorang nelayan, Samsuri Harun, 49, mendakwa, laluan muara sungai berkenaan semakin mengecil sejak lebih seminggu lalu.

Menurutnya, lantaran itu, perahu mereka rosak kerana bergesel dengan batuan yang terdapat pada bersebelahan tebing.

“Lebih membimbangkan, semasa air bergelora, perahu nelayan turut terdedah pada pukulan ombak.

“Keadaan itu menyebabkan nelayan terpaksa turun ke laut dengan menolak perahu ketika mahu keluar atau masuk ke pangkalan berikutan paras air terlalu cetek apabila air surut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Difahamkan, Samsuri menanggung rugi kira-kira RM400 hingga RM500 kerana tidak dapat memungut hasil tangkapan, kelmarin.

Menurutnya, mereka terpaksa menggunakan laluan sempit di sebelah kiri berikutan muara asal sudah dipenuhi timbunan beting pasir.

“Sebelum ini, kami ada membuat aduan kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan ini (Pangkalan Lanjut) dan pihak terbabit sudah membuat laporan pada pihak berkaitan tetapi hingga kini masih belum ada penyelesaian lagi,” katanya.

Selain itu, Samsuri berkata, dia turut menghantar SMS kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd Ali Rustam, pagi kelmarin, untuk meminta jasa baik beliau membantu nelayan di sini, bagi mencari jalan penyelesaian masalah yang mereka hadapi itu.

Sinar Harian


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59