Sunday, 13 March 2011

Ali Rustam kepanasan kerana isu banjir


MELAKA: Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-21, menyebabkan Ketua Menteri, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam ‘kepanasan’ apabila isu banjir dibangkitkan oleh wakil pembangkang bertalu-talu.

Isu banjir menjadi perbincangan utama pada persidangan kali ini dan daripada 99 soalan lisan yang dikemukakan, lapan soalan terpaksa dijawab serentak oleh Ketua Menteri di antaranya apa punca banjir, usaha Kerajaan Negeri menangani bencana tersebut dan jumlah peruntukan bagi menyelesaikan masalah itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana (Adun), Betty Chew Geok Cheng ketika mengemukakan soalan tambahan berkata mengapa banjir masih berlaku di kawasan bandar walaupun pelbagai usaha telah dilakukan dan perubahan yang diharapkan masih tidak dirasakan rakyat.

Mohd Ali yang berang dengan soalan itu mengatakan bahawa Betty tidak merasai perubahan terhadap usaha dijalankan Kerajaan Negeri bagi menangani masalah banjir disebabkan wakil rakyat itu tidak menetap di Melaka.

“Memanglah Yang Berhormat Adun Kota Laksamana tidak rasa perubahan di sini sebab Yang Berhormat tinggal di Penang, bersama suami (Lim Guan Eng),” katanya.

Mohd Ali berkata, banjir yang berlaku pada 31 Januari hingga 10 Februari lalu, antaranya berpunca daripada hujan lebat selama tiga hari berturut-turut dan pada masa yang sama air laut pasang menyebabkan air sungai tidak dapat mengalir ke laut.

Hampir RM2,892,858 telah dibelanjakan Kerajaan Negeri dan persekutuan sejak dari tahun 2000 hingga Mac 2011 untuk membina projek-projek tebatan banjir, empangan dan menaik taraf saliran air, sungai dan parit malahan, Kerajaan Negeri bercadang membina dua lagi projek tebatan banjir tetapi masalah tersebut masih gagal diatasi.

HARAKAH 9 - 12 RABIULAKHIR 1432 / 14 - 17 MAC 2011


RM7.78 juta dibelanjakan BN bagi PRK DUN Merlimau


MELAKA: Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka diberitahu hampir RM7.78 juta diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membiayai 160 projek di sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, 6 Mac lalu.

Projek tersebut adalah di bawah peruntukan Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Sosial (PIAS) dari 21 Januari sehingga 5 Mac lalu yang dibiayai Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Dato’ Latiff Tamby Chik peruntukan itu termasuklah membiayai 81 projek penyelenggaraan serta menaik taraf jalan bernilai kira-kira RM3.86 juta.

“Ia termasuklah membina serta menaik taraf longkang (32 projek) bernilai RM1.58 juta, membina dan menyelenggarakan balai raya serta dewan (20 projek) bernilai kira-kira RM1.33 juta dan enam projek pembinaan jambatan bernilai RM250,000. Selain itu, RM388,000 turut disalurkan untuk membiayai 11 projek pembinaan dan penyelenggaraan masjid dan surau, selain RM355,000 lagi untuk lain-lain projek,” katanya ketika menjawab soalan Adun Bandar Hilir (DAP), Tey Kok Kiew.

Tambahnya, kerajaan negeri sudah memohon 1,931 projek daripada Kerajaan Pusat untuk dilaksanakan di seluruh kawasan Dun di Melaka.

Tey Kok Kiew dalam soalan tambahannya mempersoalkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang melakukan kerja di kawasan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), sekali gus menunjukkan wujud salah guna kuasa tetapi dijawab Latiff ianya terjadi disebabkan MPJ tidak mempunyai kakitangan mencukupi.

HARAKAH 9 - 12 RABIULAKHIR 1432 / 14 - 17 MAC 2011


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59