Thursday, 10 March 2011

Merlimau: Antara unta dan kambing; pekasam dan belacan


PRESIDEN PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini meluangkan sedikit daripada masa amat berharga beliau bagi menemui petugas Harakah dan Harakahdaily. Dalam amanat kepada wartawan, beliau mengingatkan kepentingan dan peranan bidang penulisan sebagai wadah dakwah yang perlu dilakukan secara bijaksana, berhikmah dan berhemah.

Saya tertarik akan uslub dakwah yang diterangkan Tuan Guru. Beliau membahagikan kawasan penyebaran Islam global sebagai rantau utara dan selatan yang mana orang utara adalah sinonim dengan unta manakala orang selatan dengan kambing.

Jadi, kata Tuan Guru, sejajar dengan sifat dan perangai unta yang keras dan agresif, penyebaran Islam di bahagian utara kebanyakannya adalah melalui perang manakala di selatan yang penduduknya “berinteraksi” rapat dengan kambing yang sifat dan kelakuannya lemah lembut; Islam tersebar secara meluas melalui dakwah mulut dan contoh teladan.

Islam diterima melalui dakwah berhemah di Yaman, seterusnya ke benua kecil India oleh saudagar-saudagar Arab dan kemudian ke Alam Melayu juga oleh saudagar Arab dan India. Apabila pemerintah kerajaan Melayu seperti Pasai/Samudera dan Melaka memeluk Islam selepas terkesan dengan dakwah berhemah saudagar-saudagar berkenaan, maka rakyat pun berbondong-bondong memasuki Islam.

Pada sesi soal jawab, saya mengambil kesempatan bertanyakan Tuan Guru akan uslub paling sesuai untuk orang selatan tanah air menerima PAS kerana ternyata negeri-negeri ini (Johor, Melaka dan Negeri Sembilan) adalah paling lewat penerimaannya, dengan PAS gagal “melahirkan anak sulung” di negeri Hang Tuah (terbaru PAS tewas dalam pilihan raya kecil Dun Merlimau apabila calonnya Yuhaizat Abdullah mendapat 2,319 undi berbanding Roslan Ahmad daripada Umno- BN yang meraih 5,962 undi. Undi majoriti BN meningkat daripada 2,154 pada pilihan raya umum 2008 kepada 3,643 undi kali ini.

Saya katakan pendekatannya (uslub dakwah) mungkin perlu berbeza kerana orang utara sinonim dengan pekasam sedangkan orang selatan (Melaka) dengan belacannya. Juga orang Melaka masih dengan kebanggaan mereka sebagai keturunan Laksamana Hang Tuah, lantas siapa saja yang cuba membawa perubahan akan dicop sebagai Jebat, si penderhaka.


Tuan Guru mengingatkan bahawa sejarah kedaulatan Islam di bumi Melaka sudah lama ditenggelamkan, kini sudah tiba masanya bagi pejuang termasuk penulis mengangkat kembali peranan tokoh yang mendaulatkan Islam seperti Bendahara Tun Perak dan Sultan Alauddin Riayat Shah pada zaman Kesultanan Melayu Islam Melaka dan pada zaman kemudiannya seperti Penghulu Dol Said dari Naning.

Sumbangan tokoh-tokoh ini kepada kemajuan Islam amat besar yang sewajarnya mengingatkan anak-anak tempatan untuk kembali mendaulatkan Islam dalam semua lapangan kehidupan termasuklah melaksanakan hukum-hakamnya.

Malangnya sumbangan mereka terhadap kehidupan Islam sudah dikesampingkan, sebaliknya apa ditonjolkan sekarang ketaksuban kepada bangsa seperti digambarkan melalui watak Hang Tuah – pantang Melayu derhaka. Jika diamat-amati perkembangan Islam di Alam Melayu, apabila seseorang raja atau pembesar itu memeluk agama Islam, seluruh rakyat mengikutinya, kini bolehlah difikir-fikirkan jika PAS berjaya “mem-PAS-kan” pemimpin Melaka yang amat “disanjungi” rakyat negeri seperti Ketua Menteri sekarang, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam, seluruh rakyat jelata akan mengikutinya. Bolehkah ini dilakukan atau wajar berlaku?

Alangkah indahnya jika Islam dapat didaulatkan sepenuhnya pada ketika Melaka bersiap sedia mengenang ulang tahun ke-500 kejatuhannya di tangan Portugis pada bulan Julai 1511!

HARAKAH 6 - 8 RABIULAKHIR 1432 / 11 - 13 MAC 2011


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59