Thursday, 3 March 2011

Ali Rustam dikritik gagal atasi pencemaran sungai


DALAM keadaan Melaka disebut-sebut sebagai sebuah bandaraya serta Ketua Menterinya, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam yang dikatakan sangat efektif dalam membangunkan negeri Hang Tuah itu; masih ada masalah yang tidak enak didengar dan mengganggu penduduk khususnya di Merlimau.

Tinjauan Harakah di sekitar pekan Merlimau mendapati sebatang sungainya iaitu sungai Merlimau yang merupakan sumber pengairan penduduk yang mengusahakan sawah padi teruk tercemar.

Menurut maklumat yang diperolehi daripada penduduk persekitaran faktor yang menjadi punca kepada kejadian tersebut adalah pembuangan sisa kilang daripada Kawasan Perindustrian Merlimau yang tidak terkawal tanpa sebarang pantauan.

“Air sungai Merlimau yang merentasi pekan kini telah bertukar menjadi hitam dan berbau sangat busuk sehingga ia tidak lagi layak dipanggil sungai, tetapi longkang,” demikian ujar Zainuddin Mohamad, 32, seorang peniaga di Pekan Merlimau.


Tambahnya lagi, keadaan sungai tersebut yang dipenuhi sampah sarap kini memburukkan lagi keadaan malah ianya bertentangan dengan slogan yang seringkali dipamerkan pada papan tanda nama sungai iaitu ‘ sayangilah sungai kita’.

Bagi warga emas, Maznah Abdul Rahim, 72, keadaan sungai di Merlimau jelas membuktikan betapa ‘sayangnya’ kerajaan Umno-BN yang memerintah Melaka khususnya di Merlimau selama ini terhadap sungai yang sepatutnya dijaga dan dipelihara.

“Walaupun mereka gah melaungkan slogan ‘Merlimau Dunku sayang’ tetapi apa gunanya jika sungainya tidak disayangi?” kata seorang lagi penduduk, Hafizah Azman, 40 daripada Merlimau Pasir. Bahkan ianya secara tidak langsung mencemarkan permandangan serta nama baik Dun tersebut di mata orang luar yang datang berkunjung, sama ada pelancong tempatan apatah lagi daripada luar negara.

“Ianya bukan sahaja melibatkan isu kebersihan tetapi ia melibatkan nama baik Merlimau di mata orang luar. Harap ianya mendapat perhatian kerajaan negeri untuk berbuat sesuatu,” ujarnya.

Malah masalah pencemaran sungai tersebut dikatakan bukanlah suatu perkara yang baru kepada penduduk Merlimau. Sementara itu, Mohamad Abdul, 50, pula berkata masalah tersebut telah membelenggu penduduk sejak lebih daripada 10 tahun yang lalu.

“Kita telah mengalami masalah ini sudah lebih 10 tahun lalu, dan tiada sebarang tindakan yang diambil bagi menyelesaikannnya,” katanya.

Lebih teruk lagi, keadaan tersebut menyebabkan berlakunya bencana banjir apabila hujan turun dengan lebat. “Apabila sungai tercemar, masalah perparitan pun tidak selesai, maka apabila hujan turun dengan lebat beberapa hari sahaja banjir melanda kawasan ini sehingga menimbulkan banyak kerugian dan masalah kepada kami,” ujarnya.

HARAKAH Keluaran 29 RABIULAWAL – 1 RABIULAKHIR 1432 / 4 – 6 MAC 2011


Tekun: Pemimpin Umno tipu penduduk Merlimau


JASIN, 1 Mac: Tidak kurang 700 penduduk di kawasan Dun Merlimau, di sini, kini telah menjadi mangsa penipuan pemimpin Umno BN, apabila mereka dijanjikan pinjaman Tekun berjumlah RM3,000 tetapi kemudian mulai menjauhkan diri daripada mereka.

Lebih menyedihkan lagi, mereka turut dikenakan bayaran RM25 setiap seorang, tetapi tidak pula dikeluarkan resit bayaran sehingga menyebabkan mereka terasa jelas tertipu kemudiannya.

Seorang penduduk di kawasan itu, Ismail Abdul Rahman, 77, menjelaskan, perkara itu telah berlaku sejak 26 Februari lalu sebaik selesai proses penamaan calon bagi PRK Dun Merlimau yang akan berlangsung 6 Mac ini.

Menurut beliau, pemimpin Umno itu sememangnya dikenali oleh mereka yang terbabit dan mereka tidak menyangka akan ditipu sedemikian mudah, lebih-lebih lagi ketika Umno BN sedang terdesak untuk mendapat undi daripada orang ramai pada pilihanraya itu nanti.

Katanya, setelah mengutip wang itu, pemimpin Umno terbabit kini sudah amat jarang kelihatan, malah mereka seperti melarikan diri daripada mereka yang terbabit, manakala pinjaman Tekun sebanyak RM3000 yang dijanjikan itu pula tidak diperolehi oleh mereka.

"Sehubungan itu, mereka yang terbabit bercadang untuk membuat laporan polis sekiranya pemimpin Umno itu tidak memulangkan kembali wang RM25 yang dikutip daripada mereka itu," katanya ketika ditemui.

Bayaran RM25 itu, menurut Ismail, dikenakan kononnya sebagai bayaran perkhidmatan untuk memudahkan proses mendapatkan pinjaman Tekun.

Mereka yang berhajat untuk mendapatkan pinjaman itu tanpa teragak-agak terus memberikannya, walaupun ia tidak dikeluarkan resit.

"Tindakan pemimpin Umno terbabit jelas menyalahi undang-undang kerana mengikut undang-undang, setiap bayaran yang diterima oleh setiap pihak mestilah disertakan resit bayaran dan penerimaannya," katanya.

Beliau yang juga salah seorang pengundi di kawasan itu amat kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pemimpin Umno terbabit.

"Jadi maknanya, selain melakukan dosa kerana rasuah politik, pemimpin Umno BN juga sebenarnya turut mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menipu orang ramai sempena pilihanraya, khususnya PRK Dun Merlimau 6 Mac ini.

"Ini jelas membuktikan sikap sebenar pemimpin Umno BN yang tidak boleh dipercayai. Jika mereka menolong pun, mereka bukannya ikhlas hendak menolong, tetapi ada muslihat lain di sebaliknya untuk kepentingan mereka," katanya.

Berhubung dengan bantuan jalan tar hingga ke hadapan rumah yang diberikan oleh pemimpin Umno BN sempena PRK Dun Merlimau, beliau berkata, ketidakikhlasan pemimpin Umno BN dalam hal itu amat jelas kelihatan.

"Sesetengah mereka yang diberikan bantuan itu mendapat jalan tar sepenuhnya di hadapan rumah, tetapi banyak juga antara mereka yang hanya diberikan bantuan jalan tar separuh-separuh sahaja.

"Menurut pemimpin Umno BN, jalan tar yang baru diberikan separuh sahaja dulu itu akan dipenuhkan kemudiannnya, tetapi orang ramai tak yakin jalan itu akan diberikan sepenuhnya nanti," jelasnya.

Sebaliknya, beliau yakin bantuan jalan tar tersebut pasti hanya setakat itu sahaja dan ia pasti akan turut berakhir apabila selesainya PRK Dun Merlimau 6 Mac ini.

"Itu semua hanyalah gula-gula pilihanraya oleh para pemimpin Umno BN. Jadi kepada orang ramai, janganlah sekali-kali tertipu dengan sandiwara para pemimpin Umno BN itu," tegasnya.

Harakah Daily


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59