Sunday, 27 February 2011

Pengundi Merlimau tolak menteri nikah kahwin


PENGUNDI di Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau mungkin tersintuk limau dengan kemajuan Negeri Melaka sekarang ini. Maka, mereka tidak dapat berfikir lebih jauh, benarkah kemajuan negeri itu, menyebabkan mereka maju juga, termasuk maju dari segi bertindak?

Pertanyaan ini timbul kerana orang Melayu Melaka sering dinyanyikan dengan lagu-lagu serupa, tidak berirama dondang sayang, kononnya Melakalah yang paling maju hingga menyebabkan apa yang dibuat Ketua Menteri (KM) Dato’ Seri Mohd Ali Rustam jadi betul belaka.

Hingga, ada dakwaan mengatakan, dalam catatan sejarah bagaimana Melaka menjadi maju seperti hari ini, KM Melaka hari ini tidak mencatatkan nama bekas KM yang didakwa bertanggungjawab menanam asas kemajuan yang dituai hari ini.

Maknanya, Ali Rustam sedaya upaya mahu menceritakan kepada umum bahawa Melaka itu Ali Rustam dan Ali Rustam itu Melaka. Kononnya, tanpa Ali Rustam, Melaka tidak akan sampai ke tahap sekarang dan pelbagai bahan cetak diterbitkan untuk menceritakan kepada umum, bahawa tiada sesiapa selain dirinya yang menjadikan Melaka seperti hari ini.

Inilah pembohongan paling besar Ali Rustam. Dia sebenarnya banyak kali berbohong dan pembohongannya dipercayai penyokong Umno tegar. Itulah sebabnya, apabila dia dilarang bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Umno, orang-orangnya beranggapan bahawa Ali Rustamlah yang akan menang jika dibenarkan bertanding.

Atas sebab apa mereka kata Ali Rustam akan menang kalau bertanding, kerana Ali Rustamlah satu-satunya pemimpin Umno yang layak untuk dilantik menjadi Menteri Nikah Kahwin, jika wujud portfolio tersebut.

Apa tidaknya, pantang ada jemputan kahwin, daripada kalangan mereka yang layak menjadi perwakilan Umno, akan dihadirinya, walaupun sudah lewat malam. Sebagai Ketua Menteri, Ali Rustam merasakan Melaka terlalu kecil baginya menjelajah. Itulah sebabnya, dia akan berada di mana-mana sahaja, bukan kerana bekerja tetapi kerana mencari pengaruh peribadinya.

Bertanyalah mereka yang menyokong Ali Rustam, jika bukan kerana dapat rasa duitnya, tentu orang itu dapat bintang atau darjah kebesaran atas sokongan Ali Rustam. Mentang-mentanglah Melaka merupakan kilang darjah terbesar di Malaysia, menyebabkan hari ini, ramai yang bergelar di awal nama masing-masing, dapatnya dari Melaka.

Pengundi Merlimau mestilah mempunyai kemahuan dan semangat yang tinggi. Jika mereka tidak mempunyai cukup keberanian, buatlah secara senyap-senyap, menolak BN dan mengundi PAS. Satu undi mereka, mungkin dapat menegur bakal Menteri Nikah Kahwin ini supaya jangan melupakan jasa bekas KM yang lalu dan satu undi itu kelak akan dapat menghalang KM Melaka ini menyewa pesawat bersama-sama kawan-kawannya untuk ke Indonesia, dengan alasan menarik pelabur.


Bayangkan, jika Ali Rustam menang kerusi Timbalan Presiden Umno, ketika dia hanyalah seorang Adun, apakah dia akan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri? Dia tidak pernah menjadi Menteri, tiba-tiba mengidamkan kerusi Timbalan Perdana Menteri melalui pertandingan jawatan Timbalan Presiden Umno, apakah yang Ali Rustam kejar sebenarnya dalam hidupnya?

Satu persoalan yang perlu ditanya kepada Ali Rustam, apakah dia menawarkan diri bertanding kerusi Timbalan Presiden Umno kerana disuruh oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi? Jika jawapannya ya, sejauh mana kesetiaannya kepada PM sekarang, Mohd Najib Tun Abd Razak?

Jika rekod dan pencapaian bekas KM Melaka, Tan Sri Abd Rahim Tamby Chik mahu dipadamkannya dari sejarah Melaka Moden, tidak mustahil Ali Rustam akan melakukan perkara yang sama, jika dia sampai ke satu tahap tertinggi dalam politik negara ini. Dia sendiri pernah menjadi pegawai khas kepada Rahim ketika Rahim menjadi Ketua Menteri.

Malahan, pejabat KM yang dia duduk sekarang ini, adalah hasil sentuhan Rahim sebagai Ketua Menteri Melaka. Tetapi, mahukah Ali Rustam mengakui semua itu adalah jasa daripada bekas bosnya yang dulu? Ali Rustam terlalu yakin dia layak menjadi Timbalan Presiden Umno kerana dia rajin bersalam-salaman dengan perwakilan Umno, tidak kira lelaki atau perempuan.

Itulah modalnya, selain memenuhi jemputan ke majlis kahwin, tanpa mengira waktu – termasuk tengah malam dan mengejutkan pengantin yang sedang tidur untuk bergambar dengannya, walaupun ketika itu jam sudah pukul dua pagi.

Kepada perwakilan Umno, termasuk ketua-ketua bahagian yang memerlukan wang ringgit dari calon-calon yang bertanding, mereka memuji-muja Ali Rustam kerana “sumbangan” yang jarang dia dapat daripada calon-calon lain. Jika dapat pun, tidak semewah yang mereka dapat dengan menyokong Ali Rustam.

Itulah sebabnya, apabila Ali dilarang oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno daripada bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden, ramai yang kecewa kerana sumbangan yang patut mereka terima, terhenti sudah. Ada sesiapa berani mengajak Ali Rustam ke masjid untuk bersumpah laknat menafikan bahawa dia menggunakan wang ringgit mencari pengaruh?

Atau, ada sesiapa yang berani mempelawa Ali Rustam menjunjung Quran bersumpah bahawa sokongan kepada seseorang untuk mendapat darjah dan pingat tidak dibuat kerana kepentingan pengaruh peribadinya? Sebenarnya, kemajuan Melaka hari ini, suka atau tidak, adalah ilham dan idea Rahim Tamby Chik. Hakikat ini sukar untuk diakui oleh kawan dan lawan.

Itulah sebabnya, usaha sedang dilakukan sekarang untuk memadamkan rekod ini bagi melupakan semua itu. Sebenarnya, tiada siapa yang lebih hebat dari Melaka, selepas Allahyarham Tun Ghafar Baba yang pernah menjadi Ketua Menteri dan akhirnya menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Dato’ Seri Adib Adam, yang pernah menjadi Ketua Menteri dan Menteri kerana selepas itu, seperti berlaku sumpahan, tiada seorang pun anak Melayu Melaka yang pernah dilantik menjadi Menteri, selepas menjadi Ketua Menteri.

Abu Zahar Isnin hanya dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas menjadi Ketua Menteri hinggalah gugur dalam PRU 11, Mac 2004 yang lalu. Ini sejarahnya Melaka yang terkenal dengan kehebatan Tun Perak dan Laksamana hang Tuah.

HARAKAH 22 – 24 RABIULAWAL 1432 / 25 – 27 FEBRUARI 2011


PERAWAN seru anak Merlimau sokong PAS


MELAKA: Persatuan Anak Melaka di Perantauan (Perawan) menyeru anak-anak Merlimau yang berada di perantauan pulang untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau pada 6 Mac nanti.

Menurut Pengerusinya, Saad Shaari, 49, Perawan menyokong penuh calon PAS yang bertanding pada PRK ini dan meminta anak Merlimau yang berada di perantauan agar pulang untuk mengundi calon PAS.

“Kami menyokong penuh calon PAS kerana kami melihat kegagalan kerajaan Umno-BN Melaka menangani isu yang berkaitan soal moral sehingga menjadikannya bertambah parah, Sekolah Harapan yang tidak berkesan dan banyak lagi.

“Jadi kita mahu adanya wakil yang akan membawa suara Melayu-Islam di dalam sidang Dun Melaka untuk membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan agama dan bangsa Melayu yang selama ini gagal diberi perhatian.

“Umno telah gagal memainkan peranan untuk membawa suara Melayu-Islam apatah lagi untuk mempertahankan hak orang Melayu-Islam sehingga berlakunya salah guna wang zakat dan penyelewengan tanah wakaf,” katanya.

Beliau turut mengharapkan kepada anak-anak Melaka di perantauan yang masih belum lagi mendaftar sebagai ahli Perawan supaya mendaftarkan diri ke dalam Badan Bukan Kerajaan tersebut bagi bertukar-tukar fikiran dan memberikan sumbangan ke arah kemajuan negeri Melaka.

HARAKAH 22 – 24 RABIULAWAL 1432 / 25 – 27 FEBRUARI 2011


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59