Saturday, 26 February 2011

Luahan hati seorang penduduk Merlimau


***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Larangan memuliakan orang kaya

Berkatalah Ibnu Abbas r.a.: "Dilaknati orang yang memuliakan si kaya dan menghinakan si miskin." Sementara Luqman Al-Hakim berpesan kepada anaknya: "Jangan kamu hina seseorang kerana pakaiannya sebab Tuhannya dan Tuhanmu adalah satu."
***

SELEPAS beberapa kali mengunjungi dan membuat tinjauan serta menulis laporan perkembangan di Dun Merlimau yang akan menyaksikan satu pilihan raya kecil 6 Mac depan, pada keluaran kali ini saya memberi laluan kepada seorang warga Merlimau meluahkan isi hatinya. Berikut adalah curahan isi hati beliau yang dikirim melalui e-mel.

Assalamualaikum,

RENCANA tuan 'Nothing to loose by voting PAS in Merlimau' (Tidak rugi apa-apa jika mengundi PAS di Merlimau) sebelum ini sungguh menarik sebagai mukadimah semarak kempen pilihan raya kecil Merlimau.

Memang hasrat hati meronta-ronta bagaimana nak menyedarkan orang Melaka yang amat berkarat pemikiran mereka tentang politik. Ini berdasarkan pelbagai cara dan karenah yang telah orang-orang Umno lakukan terhadap mereka yang mempunyai kesedaran dan yang mula sedar. Memang banyak ceriteranya, cumanya tidak tahu kepada siapa dan bagaimana nak disampaikan mesej.

Nah, setelah membaca artikel berkenaan, baru tersingkap peluang. Sekurang-kurangnya dapat diperpanjangkan untuk menyedarkan orang Melayu Melaka tetutamnya orang Merlimau yang selama ni menjadi pak angguk, pak bodek dan pak pengecut. Kenapa saya kata begini, kerana baru hari Isnin lepas saya ada bertemu beberapa orang kawan yang mengajar sekolah menengah di Merlimau.

Mereka memberitahu pengetua telah membuat bancian dan mengambil nombor kad pengenalan guru-guru yang mengundi di kawasan Merlimau pada pilihan raya kecil yang akan datang. Ada antara guru-guru tersebut dah mula takut dan bertanyakan sama ada kerajaan khususnya Menteri Pelajaran (yang juga Timbalan Perdana Menteri) tahu apa yang mereka pangkah. Kerana sebelum ini dulu cakap berdegar-degar tidak akan berganjak tetap memilih dan memangkah Pakatan Rakyat. Sekarang takut dah mula menguasai guru-guru yang sebelum ini semangat berkobar-kobar menyokong terutamanya Anwar Ibrahim. Dijentik telinga sedikit dah menggelabah.

Saya memberitahu guru-guru berkenaan bahawa ini adalah suatu taktik untuk menakut-nakutkan guru-guru yang dilakukan oleh pengetua-pengetua sekolah sebab nak merebutkan ganjaran yang diisytiharkan oleh TPM Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran baru-baru ini, bahawa guru-guru besar dan pengetua-pengetua akan diberi ganjaran RM5,000 hingga RM6,000 sebagai menghargai kecemerlangan prestasi mereka. Inilah dia masanya untuk tunjukkan kezaliman dan kebodekan diri untuk mendapatkan ganjaran tersebut.

Tambahan pula sekarang harga barang-barang mahal sementara kehendak dan cita rasa tinggi. Kereta nak ditukar yang baru sebab guru-guru di bawah mereka memiliki kereta yang lebih hebat daripada mereka. Walau bagaimanapun, ganjaran yang diumumkan oleh Muhyiddin itu pun, adalah reaksi ketakutan dan kekhuatirannya dengan pengumuman Anwar yang akan memberikan bonus kenaikan gaji setiap bulan sebanyak RM500 kepada semua guru jika Pakatan memerintah. Kalau tidak, jangan nak mimpilah guru-guru.

Saya menjelaskan kepada guru kawan-kawan saya itu bahawa ini taktik menakutkan guru-guru sebab itu pengetua umumkan dan tunjukkan. Kenapa perlu jumpa guru-guru minta nak minta nombor kad pengenalan sedangkan di pejabat sekolah, apanya yang tak ada. Dokumen terperinci setiap guru-guru ada. Sebagai pengetua dan guru besar, dia boleh ambil pada bila-bila masa dan keadaan tanpa memberitahu guru-guru tersebut. Apa perlu beritahu.

Tuan ada menyentuh tentang Merlimau Inn. Di sini ada cerita yang besar yang boleh dijadikan isu membela rakyat dan membongkar penyelewengan. Pada suatu pagi, beberapa tahun lalu, saya didatangi seseorang. Dia bercerita dan memberitahu kesedihannya yang dirundung malang sebagai rakyat marhaen yang dipermain dan diperkotak-katikkan.

Menurut kawan ini, dia memberitahu, dia baru saja diingatkan oleh seorang tua yang anaknya ada hubungan rapat dengan pemimpin tinggi negeri dan orang kuat Yayasan Melaka. Ia berhubung dengan tanah di hujung Merlimau Inn. Tanah yang bersebelahan dengan Merlimau Inn ini, sebelum ini ia adalah tanah kawan ini.

Apabila rancangan untuk memperbesarkan bandar Merlimau, atas nama Akta Pengambilan Tanah yang kononnya tidak boleh tidak mesti jual dan serah bagi tujuan untuk membesarkan bandar Merlimau, kawan ini pun turut serta. Tanahnya yang bersebelahan Merlimau Inn dijualkannya. Semasa menandatangani surat jual beli itu, kawan tadi meminta kepada Pegawai Daerah yang bertanggungjawab semasa itu, bahawa selagi tanah itu belum dimajukan atau diterangai bagi tujuan membesarkan bandar Merlimau, dia meminta untuk mengambil hasil yang ada di tanah tersebut iaitu buah kelapa.

Menurut kawan tadi, pegawai daerah tersebut bersetuju. Lebih kurang setahun dia mengambil buah-buah kelapa tersebut, pada suatu pagi semasa dia mengutip buah kelapa, dia didatangi seorang tua dan orang tua itu bertanyakan apa yang dia buat di kebun tersebut. Kawan tersebut menyatakan, dia mengambil buah kelapa dan menceritakan kepada orang tua itu, bahawa dulu kebun ini adalah kepunyaannya dan pegawai daerah memberikan kebenaran untuk dia mengambil hasilnya selagi kawasan itu belum dibangunkan.

Orang tua tersebut mengingatkan kawan tersebut, mulai hari itu jangan ambil lagi buah-buah kelapa di kebun ini sebab tanah ini adalah kepunyaan anaknya dan anaknya sudah membelinya daripada Yayasan Melaka. Dan anaknya bercadang nak membina stesen minyak di tanah tersebut. Itulah sebabnya kawan ini tadi datang mengadu kepada saya. Saya menasihati untuk merujuk hal itu kepada peguam untuk mengetahui sama ada sudah berlaku penyelewengan atau penipuan. Kawan ini menyatakan tidak mampu untuk mengambil peguam. Saya cadangkan pula kepadanya untuk mendapatkan bantuan daripada parti politik yang saya rasa boleh membantu kerana parti politik ramai peguam yang sanggup membantu.

Jawapan kawan saya ini, dia tak hendak sebab dia adalah orang atau ahli Umno, nanti apa kata Umno pula. Di sini kita dapat lihat betapa seksanya seorang Umno. Dah ditipu terang-terangpun masih taat dan setia. Hang Tuah betullah orang Melaka ni!

Isu yang lain pula ialah betapa banyaknya hutang kerajaan negeri kepada kontraktor-kontraktor. Salah seorang kawan saya hampir RM400,000 tidak dibayar begitu sekian lama sehingga meminjam hendak beli barangan keperluan rumah. Cakap meninggi dengan pengisytiharan bandar raya antarabangsa. Hutang melambak tak terbayar. Pilihan raya ini menjadi kecutlah kontraktor-kontrakror tersebut. Agar semua hutang itu kira habis dan tak perlu dibayar, jangan-jangan kontraktor-kontraktor dipaksa memberi sumbangan wang kepada kerajaan yang selama ini membantu kontraktor dan apabila menang nanti akan diberi lebih banyak peluang. Ini semua tipuan dan penyelewengan dan salah guna kuasa. Sebab bukan semua ahli Umno dan ramai yang benar-benar buat kerja dan ada yang tidak menyebelahi mana-mana parti. Tapi bagi kontraktr apa nak kata, mengadu pada Pakatan nanti habis kena ‘terminate’ (ditamatkan kontrak). ‘Sabau’ aje la labu...

Isu nasional pula ialah berhubung dengan sekatan yang dikenakan kepada anak-anak dan penjamin pinjaman Mara yang peminjamnya tidak membayar pinjaman tersebut. Semua anak-anak dan penjamin pertama dan kedua tidak boleh melanjutkan pelajaran ke MRSM, UiTM, menyewa premis dan gerai Mara serta apa-apa yang ada hubungan dengan dengan Mara. Dua orang ahli keluarga saya sendiri telah menerima surat pemberitahuan tersebut. Innalillahiwainnahirojiun...demikianlah nasib anak-anak Melayu.

Sekian dimaklumkan dan saya pohon maaf jika ada terkasar kata dan terlanjur bahasa. Terima kasih atas keprihatinan pihak tuan. Wassalam. – ANAK MERLIMAU

HARAKAH 22 – 24 RABIULAWAL 1432 / 25 – 27 FEBRUARI 2011

Edisi online : LanH


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59