Thursday, 24 February 2011

Perkasa Melaka mendakwa difitnah


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Melaka, hari ini membuat laporan polis ekoran pengedaran risalah yang didakwa memfitnah pertubuhan itu dan berbaur hasutan.

Laporan itu dibuat yang dipertua PERKASA Melaka, Abdul Rahim Osman di balai polis Merlimau kira-kira jam 1.30 petang tadi

Menurutnya, risalah tersebut bermotifkan politik dan bertujuan menghasut serta membangkitkan kemarahan kaum bukan Melayu, khususnya Cina.

"Kami mendapati risalah yang diedarkan ini berbaur hasutan dan membangkitkan provokasi dengan menggunakan nama PERKASA.

"Ia dikesan diedarkan di taman-taman perumahan sekitar Merlimau pada malam semalam," katanya ketika ditemui di Perkarangan Balai Polis Merlimau hari ini.

Abdul Rahim berkata, PERKASA menafikan sekeras-kerasnya terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penerbitan, pengeluaran, percetakan dan pengedaran atau penyebaran risalah berkenaan kepada umum, khasnya pengundi di dalam DUN Merlimau.

"Kami PERKASA tidak pernah berkempen untuk mana-mana parti politik dan menyifatkan tindakan itu sebagai tindak balas yang tidak bertanggungjawab selepas ceramah yang diadakan pertubuhan ini tiga hari lalu di kampung Pengkalan Samak.

"Kami adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak pernah menafikan sumbangan kaum Tiong Hwa dalam pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata, PERKASA tidak pernah mengajar ahli untuk bersifat perkauman, malah mengajak orang Melayu bersama-sama mempertahankan perlembagaan negara dan hak-hak mereka.

"PERKASA sentiasa mengamalkan sikap berbaik-baik kepada semua pihak dan menyeru ke arah keharmonian kaum-kaum yang terdapat di negara ini.

"Antara lokasi yang kami kesan dipercayai berlakunya pengedaran risalah terbabit termasuk di sekitar Taman Muhibbah, Taman Merlimau Baru, Taman Debunga, Taman Seri dan Taman Pasir," katanya.

Tiga hari lalu, PERKASA menganjurkan Program Perdana PERKASA bertajuk 'Membongkar Rahsia Pengkhianat Melayu' di perkarangan rumah seorang penduduk berhampiran Makam Tun Teja, Kampung Pengkalan Samak.

Berucap di ceramah tersebut ialah beberapa penceramah termasuk, Presiden PERKASA Malaysia, Datuk Paduka Ibrahim Ali, Ketua Penerangan PERKASA, Ruslan Kasim dan Ketua Wira PERKASA Malaysia, Arman Abu Hanafiah.

Sumber : Blog YB Idham Lim


Jalan tidak diturap sejak 9 tahun dulu


MERLIMAU: Lebih 20 rumah di Jalan Air Tawar Baruh yang bakal menjadi pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, 6 Mac ini mendakwa mereka seperti “dianaktiri” kerana dinafikan kemudahan asas.

Menurut Fazizal Sulaiman, 30, jalan tersebut bukan sahaja digunakan oleh penduduk setempat tetapi turut digunakan oleh orang ramai yang ingin pergi ke kawasan pantai seperti mencari siput dan sebagainya.

“Selain itu, jalan ini juga digunakan sebagai jalan alternatif oleh pelajar-pelajar untuk ke sekolah yang berhampiran kerana ianya lebih selamat dan dekat,” katanya.

Menurut Zulkefli Mantan, 52, pada Pilihan Raya Umum lalu, kawasan itu yang terletak di dalam Kampung Air Tawar telah dibahagikan kepada dua Dun iaitu Dun Merlimau dan Dun Sungai Rambai.


“Kami berasa sangat terpinggir kerana di sebalik pelbagai limpahan kemudahan di sekitar Pekan Merlimau, kami di sini tidak mendapat sebarang kemudahan walaupun semua penduduk di sini merupakan pengundi Dun Merlimau.

“Bahkan, jalan yang menjadi penghubung kami penduduk keluar masuk ke jalan besar ini sudah sembilan tahun kami pohon untuk diturap namun sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan diambil.

“Permasalahan jalan tidak berturap sejauh kira-kira dua kilometer ini pernah kami adu pada pihak sepatutnya, namun menyedihkan apabila tiada sebarang tindakan dilakukan,” katanya.

Menurut Azman Ali, 42, jalan yang tidak berturap terbabit bukan sahaja menimbulkan kesukaran kepada pemilik kenderaan yang keluar masuk tetapi turut membahayakan keselamatan mereka.

“Sebelum ini, ada pihak menjanjikan mahu membaiki jalan sebaik projek mereka selesai namun apa yang dilakukan hanya menampal lubang berkenaan dengan batu kasar sahaja,” katanya.

HARAKAH 18-21 RABIUL AWAL 1432 / 21-24 FEBRUARI 2011


Kempen rumah ke rumah amat penting di Merlimau


***
In the name of Allah, the Beneficent, the Merciful; blessings and peace be upon Prophet Muhammad s.a.w.

Reflection
"We did not create heaven and earth and everything in between them as a game. If We had desired to have some amusement, We would have derived it from Our Presense, but We do not do that." (Qur'an, 21:16-17)
***

DISEBABKAN padang permainan pilihan raya tidak adil, hanya ada satu cara bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat (PAS) pada pilihan raya kecil Dun Merlimau, Melaka yang bakal diadakan pada 6 Mac depan, dakwa Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution.

Bercakap dalam ceramah umum sulung Pakatan Rakyat pada malam 12 Februari lalu di Maahad Tahfiz Solihin di Permatang Pasir dekat pekan Merlimau menjelang penamaan calon (26 Februari), Saifuddin mengambil contoh kejayaan beliau dalam pilihan raya kecil Lunas pada 2000 melalui pendekatan tersebut yang dijalankan secara terancang dan dilaksanakan sepenuh hati.

“Pada pilihan raya umum sebelumnya (1999), kita kalah dengan majoriti lebih 6,000 tetapi pada pilihan raya kecil itu (tahun 2000) saya pula menang dengan majoriti lebih 200 undi. Ini bermakna kita boleh memadamkan sokongan 6,000 pengundi kepada BN; bagaimana kita lakukannya? Saya percaya jentera kita yang bergerak secara efisyen dari rumah ke rumah berjaya mendapatkan sokongan bagi kejayaan itu.

“Jadi saya percaya inilah cara untuk kita menang di Merlimau. Pasti kita tidak terlepas daripada mengunjungi walau sebuah rumah pengundi pun,” katanya dalam ceramah yang turut membabitkan Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin; Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke; dan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelatan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Saifuddin antara lain menyenaraikan ketidak-adilan proses pilihan raya seperti penetapan hari mengundi (hari mingguan bagi kawasan yang berpotensi dimenangi BN tetapi hari bekerja bagi kawasan di mana pembangkang kuat), pelambakan projek segera, penyalah-gunaan jentera kerajaan (di Merlimau, Politeknik Merlimau sudah jadi macam markas BN), penguasaan terhadap media massa, dan pemberian hadiah dan wang, menyebabkan pengundi menjadi gelap mata.

“Itulah sebabnya kita perlu berjumpa setiap pengundi, menyakinkan dia untuk mengundi kita,” katanya. Menurut beliau tidak kiralah mereka ahli atau penyokong Umno-BN, biarlah mereka begitu tetapi apa yang amat mustahak mereka mengundi (memangkah) calon PAS (Pakatan).

Benar, penulis yang mengikuti majlis ceramah berkenaan yang dihadiri lebih 3,000 orang itu mengakui poin (point) yang dikemukakan oleh Saifuddin. Memang hadirin ramai pada majlis itu (dan juga pada kebanyakan majlis ceramah Pakatan Rakyat) tetapi hal itu tidak boleh diterjemahkan sebagai sokongan padu pengundi kepada calon Pakatan Rakyat. Ini kerana kebanyakan mereka yang hadir itu penulis kesan bukanlah orang tempatan tetapi orang luar yang sanggup datang dari jauh.

Orang luarlah yang memeriahkan setiap ceramah umum Pakatan Rakyat. Peminat sanggup datang dari jauh bagi mendengar ucapan pemimpin dihormati dan diminati mereka seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Anwar Ibrahim tetapi apakah majlis ceramah ini boleh mendatangkan impak yang kuat kepada pengundi?

Berdasarkan pengalaman penulis singgah di masjid sebelum ke majlis ceramah, didapati penduduk tempatan tidak ghairah malah ada yang mencemuh majlis-majlis ini yang kononnya menimbulkan pelbagai masalah di tempat mereka seperti kesesakan dan bunyi bising. Ini bermaksud kebanyakan orang tempatan tidak tergerak hati mereka, jadi benarlah kata Saifuddin pengundi mesti ditemui seorang demi seorang; jangan seorang pun ‘dibiarkan terlepas’!

Merujuk kepada pengundi Dun Merlimau, Saifuddin berkata, petugas dari rumah ke rumah mesti memasuki kubu kuat Umno-BN seperti di Permatang Serai. Umno memang kuat di kawasan ini, tetapi kalau PAS (Pakatan) bermatlamat menang, mahu tidak mahu penduduk zon ini perlu disantuni. Satu majlis ceramah besar membabitkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu diadakan di Permatang Serai pada 15 Februari dan selepas itu petugas PAS (Pakatan) perlu mendekati seterusnya menyantuni penduduknya.

Dun Merlimau yang mempunyai lebih sedikit daripada 10,500 pengundi, kira-kira 65 peratus daripadanya Melayu; 21 peratus Cina; 14 peratus India dan bakinya bangsa-bangsa lain, tidaklah luas sangat dengan kebanyakan penduduknya tidak terlalu aktif pergerakan mereka (seperti pekedai, petani, pekerja estet dan kakitangan kerajaan dan swasta) membolehkan petugas menemui mereka dengan selesa bagi menerangkan kepentingan mengundi calon Pakatan.

Pengundi boleh diterangkan bahawa memenangkan calon PAS (Pakatan) sebenarnya tidak membawa perubahan status quo kerajaan Negeri Melaka, hakikatnya mereka akan mendapat lebih banyak lambakan projek jika kawasan ditawan pembangkang. Ini kerana bagi memenangi kawasan itu pada pilihan raya berikutnya, pihak berkenaan akan bekerja lebih keras, sekali gus membawa faedah kepada penduduk.

Lagi pun terlalu sangat kurang risikonya untuk membuat ujian dengan memberi hadiah anak sulung kepada PAS kerana tempoh khidmat wakil rakyat Dun Merlimau ini terlalu singkat, kurang dua tahun sebelum pilihan raya umum ke-13. Malahan tempohnya hanya beberapa bulan saja jika pilihan raya umum mahu diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan pertengahan tahun ini. Jadi, kepada pengundi Dun Merlimau, inilah masa terbaik membuat UJIAN!

LanH


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59