Wednesday, 23 February 2011

UPU Pengkalan Samak bantu OKU


MELAKA: Seorang Orang Kelainan Upaya, Hamzah Ibrahim, 43, yang tinggal di Jalan Kilang Berapi 7, Merlimau, di sini merayu sumbangan bagi meringankan sedikit kesusahan yang dialaminya setelah kehilangan tangan kiri sejak umur 18 tahun.

Beliau menceritakan kemalangan yang berlaku ketika bekerja kilang pada masa itu menyebabkannya kehilangan tangan kiri yang menyukarkannya untuk melakukan kerja-kerja berat dan sebagainya, manakala isterinya, Haidah Surip, 43, cuma bekerja sebagai pembantu kantin sekolah.

Walaupun menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan namun ianya tidak mencukupi memandangkan beliau mempunyai dua anak yang masih kecil masing-masing berumur 10 dan 2 tahun.


Unit Peti Undi Pengkalan Samak yang bersimpati dengan nasib keluarga Hamzah turut menyampaikan sedikit sumbangan barangan keperluan asas ketika menziarahi rumah beliau yang diketuai Ketuanya, Md Nor Modeng.

Sesiapa yang ingin memberikan sumbangan bagi meringankan kesusahan yang ditanggung keluarga beliau bolehlah menghubunginya di talian 012-3554234 atau memasukkan terus ke dalam akaun Maybank bernombor 101048527507.

HARAKAH 18-21 RABIUL AWAL 1432 / 21-24 FEBRUARI 2011


Penduduk Merlimau 'disantuni' dengan projek, projek dan projek


***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh, dan berkata, 'sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri'." (Fussilat: 33)
***

KETIKA berkunjung ke Merlimau baru-baru ini, saya berkesempatan merehatkan diri di anjung rumah Penghulu Mad Natar/Abdul Ghani yang terletak di Kampung Permatang Serai, Merlimau Tengah.

Sambil berbual-bual dengan waris dan penjaga rumah itu, Rizal Mad Rahim, 35, mata saya mengawasi kerja-kerja melebarkan jalan kampung di sebarang jalan dari rumah tradisional berkenaan. Sebuah traktor sedang menimbun tanah manakala beberapa pekerja sibuk memeriksa longkang di sisi jalan.

Seorang wanita tua yang layak dipanggil nenek turun daripada basikal tuanya, kemudian menyatakan sesuatu kepada pemandu traktor. Saya difahamkan dia meminta lelaki itu menimbus lubang di persimpangan jalan itu bagi mengelakkan kereta orang kampung (saya difahamkan wanita itu ada anak yang memiliki kereta) tercebur dalam longkang.

Demikianlah orang Merlimau kini mewah dengan projek rakyat yang mencurah-curah di kawasan mereka. Al-maklumkan pilihan raya kecil akan diadakan di Dun ini pada 6 Mac nanti.

Penamaan calon adalah pada 26 Februari – masanya ada lebih kurang dua minggu lagi, sebab itulah projek-projek kilat ini perlu disegerakan sebelum pemimpin dan penyokong pihak bertanding menyerbu ke kawasan selatan Melaka ini yang mempunyai lebih 10,500 pengundi – 65 peratus daripada mereka Melayu, 21 peratus Cina, 14 peratus India dan bakinya bangsa-bangsa lain.

Selepas puas memerhatikan kerja-kerja membesarkan jalan di depan Rumah Penghulu Mad Nattar itu, saya pun singgah di depan Masjid Al-Rahim. Pekerja kelihatan bertungkus-lumus membaiki itu dan ini di kawasan masjid. Antara yang dibaiki ada tandas dan tempat mengambil wuduk. Itulah apabila ada pilihan raya, bukan pemilik rumah tersenyum, kaki masjid pun gembira kerana kerosakan di masjid mereka segera dibaiki.

Bercakap mengenai nasib pemilik rumah kampung, bagi menghadapi pilihan raya kecil ini, saya difahamkan sejumlah RM500,000 diperuntukan bagi membaiki rumah orang miskin melalui Dana 1-Malaysia Development Berhad (1MDD). Ooh, alangkah beruntung orang Merlimau, tak tahulah bila peluang keemasan seperti ini akan muncul lagi.

Demikianlah, apabila pilihan raya muncul, tiba-tiba rakyat disantuni bagai raja. Saya lihat banyak jalan masuk ke rumah orang-orang kampung sudah ditar. Kini jalan orang kampung sudah lebar dan cantik.

Di persimpangan jalan utama Melaka-Muar/Merlimau Tengah, kelihatan sekumpulan buruh berkulit gelap sibuk menurup laluan persendirian yang menghala ke rumah penduduk. Panas matahari tidak mereka hiraukan, mungkin mereka mahu menyiapkan projek dengan kadar segera kerana habuan sudah siap menunggu. Lagi pun tidak lama lagi pemimpin kecil, sederhana dan besar akan berkampung di Merlimau.

Penulis berkesempatan singgah di sebuah warung kopi bagi mendengar perbualan penduduk. Sambil menghirup teh 0 limau, penulis mendengar seorang buruh dalam usia 40-an berkata: “Aaah, sekarang mintaklah apa saja. Mesti dapat punya.”

Seorang lelaki menyampuk: “Kalau nak jalan tar sampai tangga rumah pun boleh dapat. Inilah masa untuk kita desak itu dan ini.”

Demikianlah projek begitu sinonim dengan pilihan raya kecil. Apabila di sesebuah kawasan itu berlaku kematian ahli Parlimen atau Adunnya, maka banyaklah pojek pembangunan akan dicurahkan di sana.

Namun satu hal yang sangat mengusarkan apabila ditanya kepada menteri-menteri berhubung projek-projek berkenaan, mereka berkata ia tidak ada kena mengena dengan pilihan raya. Mereka cekap untuk menyatakan projek itu sudah lama dirancang, tinggal lagi belum dilaksanakan. Dan secara kebetulan, ia dilaksanakan ketika pilihan raya akan diadakan.

Tinjauan penulis di Dun Merlimau, memperlihatkan Umno-BN sudah meningkatkan kempennya termasuk mendirikan bilik gerakan pilihan rayanya seperti di Permatang Bukit yang terletak di depan Merlimau Inn iaitu satu-satunya hotel di pekan ini yang boleh dimasuki melalui jalan lama Melaka-Muar, jalan persisir pantai, jalan Batu Gajah, Lebuh AMJ dan juga Lebuh Raya Utara Selatan melalui susur keluar di Lipat Kajang seterusnya menggunakan jalan lama Jasin-Merlimau.

Dua bendera gergasi BN juga sudah dipasang di depan ‘Kedai Asam Pedas Oren D’ Corner’ yang terletak berhampiran Politeknik Merlimau di jalan Jasin-Merlimau. Di kawasan ini juga sudah diadakan bilik gerakan pilihan raya Barisan Nasional bagi Dun Merlimau. Selain itu banyak kain rentang parti-parti seperti IPF menyatakan sokongan kepada PM Najib Razak dan KM Mohd Ali Rustam.

Diberitakan pemimpin-pemimpin BN termasuk TPM Muhyiddin Yassin akan menjadikan Politeknik Merlimau sebagai ‘markas’ perjumpaan ahli dan penyokong mereka sedangkan sejak dulu, kini dan selamanya mereka kerap mengungkapkan: “jangan politikkan sekolah dan masjid.” Itulah pemimpin Umno-BN yang cakap tidak serupa bikin, jadi relalah rakyat menyerah diri kepada mereka?

LanH


SPR Benar PAS Cetak Gambar Pemimpin Pakatan Rakyat Ketika Kempen di Merlimau


JASIN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memberi sedikit kelonggaran kepada parti yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau bagi memastikan proses itu bebas unsur negatif.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata antara kelonggaran itu ialah membenarkan parti PAS mencetak gambar pemimpin parti rakan sekutu mereka pada bahan kempen.

SPR mahu menguatkuasakan peraturan pilihan raya secara mesra pengguna dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak, katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

Pada masa yang sama, Wan Ahmad turut meminta semua pihak agar mematuhi peraturan pilihan raya dan arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Sementara itu, Wan Ahmad berkata sebanyak RM900,000 dipohon bagi SPR melaksanakan pilihan raya kecil DUN Merlimau tersebut.

Kerusi DUN itu kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari Barisan Nasional meninggal dunia pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

SPR menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pula pada 6 Mac jika ada pertandingan.

-BERNAMA


Apabila Ali Rustam sedia jadi "Tukang Karut"


PAKATAN Rakyat, khususnya PAS dijangka tidak mendapat laluan mudah pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, Melaka, bulan depan. Selain kawasan itu secara tradisi menjadi kubu Barisan Nasional (BN), pengalaman politik dilalui pembangkang di negeri itu juga membuktikan betapa parti pemerintah negeri tersebut antara yang paling tidak “bertamadun” dalam tindak-tanduk politiknya.

Justeru, PAS bakal berdepan suasana kempen yang tegang dan amat tidak selesa, sama sekali berbeza dengan “ketenangan” dilaluinya sewaktu PRK Dun Tenang, dua minggu lalu. Isyarat itu bagaikan terbayang menerusi kesediaan Pengerusi BN negeri merangkap Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam berdebat dengan parti lawan sepanjang tempoh kempen nanti.

“Saya sanggup, saya berani menjawab semua isu dibangkitkan pembangkang mengenai negeri ini, termasuk isu Melaka Maju, Sekolah Harapan dan isu lain yang mengutuk tindakan kerajaan negeri.” Media cetak pada Sabtu, 12 Februari lalu, memetik katanya yang telah pun “turun padang” ke Merlimau. PRK berkenaan bakal diadakan ekoran kematian penyandangnya, Dato’ Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari.

Dun Merlimau mempunyai 10,471 pemilih berdaftar dengan komposisi 64.69 peratus pengundi Melayu, diikuti Cina (21. 11%) dan India (14.16%). Komposisi pengundi campuran itu sedikit menggarap harapan buat PAS. Biarpun berbekalkan peratusan undi majoriti kekalahan agak tinggi, parti itu sekurang-kurangnya mampu mencongak bahawa BN sebenarnya tidak ada kelompok pengundi khusus yang boleh dijadikan “kubu” kekuatannya.

“Agak menariknya seluruh peti undi di Dun Merlimau mempunyai pengundi campuran, tidak ada pengundi khusus berbanding di Dun Tenang, yang ada peti undi dikuasai Melayu, Cina dan Orang Asli. Bagaimanapun, di Merlimau pengundinya bersifat campuran. Tidak ada kawasan boleh dibanggakan BN yang menjadi kubu kuat mereka.”

Media cetak pada Isnin (14 Februari) memetik ulasan Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man bersandarkan perkiraan itu, beliau yang juga pengarah PRK itu malah menyuarakan keyakinan tidak mustahil PAS berupaya mendapat kerusi pertamanya di Melaka menerusi PRK itu.

Memang tidak ada yang mustahil dalam politik. Namun, mengambil kira realiti dan latar politik setempat, secara jujur wajar diakui bahawa keyakinan itu agak ambitiousbuat PAS.

Jangan lupa bahawa BN Melaka diterajui seorang yang terkenal dengan perwatakan keras dan sukar berdiplomasi apabila berdepan pihak lawan. Selain Umno Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Idris Jusoh yang ada rekod menghalau pelajar-pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dari bangunan sekolah mereka, kerja terkutuk seumpama itu dilaporkan turut berlaku di Melaka.

Sebab itu apabila siang-siang lagi Ali Rustam telah melaungkan akan “mengiringi” majlis ceramah PAS dengan hujah balasnya, itu bukan perkara main-main. Pemimpin yang pernah dilucutkan kelayakan bertanding jawatan utama Umno itu tidak sekadar bercakap apabila menyatakan kesediaannya “berdebat” mengikut caranya tersendiri.

“Lebih baik jika program itu (debat dengan pembangkang) dilakukan dalam satu kawasan, bukan di pentas sama. Cuma saya di sebelah kiri, dia (pembangkang) di sebelah kanan dan setiap kali dia bertanya, saya akan menjawab masa itu juga,” kata Ali Rustam.

Harus diingat pemimpin ini pernah mempraktikkan cara beliau maksudkan itu beberapa tahun lalu. Sebilangan kita barangkali masih ingat insiden di mana beliau seakan seorang yang hilang akal tergamak mewujudkan kacau-ganggu sedemikian pada ceramah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Melaka.

BN sengaja mengadakan ceramah di seberang jalan bersetentang pentas ceramah PAS yang telah dirancang lebih awal. Lalu pada malam itu Ali Rustam tampil di pentas seumpama seorang “tukang karut” dalam persembahan dikir barat.

Setiap kali Tuan Guru Abdul Hadi menyatakan hujahnya, kedengaran suara pemimpin Umno itu mengulas dari seberang jalan, dalam nada menyergah dan mempersenda. Kita percaya tindakan sebegitulah yang dimaksudkan untuk diulanginya di Merlimau nanti.

“Tidak kisah siapa akan berada di pentas sebelah kanan, sama ada Nik Aziz (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat), Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng atau Lim Kit Siang. Semua saya sanggup berdepan,”katanya.

Kita bimbang jika hasrat itu diteruskan atau Ali Rustam dibenarkan oleh pihak keselamatan untuk menjadi “tukang karut” lagi, ia akan mengundang suasana tegang dan tidak terkawal. Suhu sepanjang tempoh kempen PRK tidak sama dengan hari-hari biasa. Waktu itu penyokong dan jentera pilihan raya Pakatan Rakyat, khususnya PAS yang hadir bukan sahaja orang Melaka.

Mereka dari serata negara. Kita bimbang tidak semua mereka mampu mengawal perasaan, terutama apabila majlis parti mereka diejek dan dikacau ganggu secara berterusan. Justeru, semua pihak yang mahu melihat kempen PRK Dun Merlimau berjalan secara budiman harus memandang serius hasrat pemimpin Umno itu.

HARAKAH 15 - 17 RABIULAWAL 1432 / 18 - 20 FEBRUARI 2011


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59