Sunday, 20 February 2011

Dun Merlimau, perkiraan untung nasib PAS di bumi Hang Tuah


Hanya selang beberapa minggu sahaja pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang selesai, negara sekali lagi akan menyaksikan pertarungan satu lagi PRK iaitu di Dun Merlimau, Melaka.

Dun Merlimau merupakan kubu kuat Umno-BN sejak ianya mula didaftar sebagai Dun selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 1994.

Pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Dato' Mohd Hidhir Abu Hassan yang juga merupakan salah seorang Exco Kerajaan Negeri Melaka akibat sakit jantung.

Rakyat di Melaka amnya dan pengundi di Merlimau khasnya sudah mula menerima habuan berupa 'projek mee segera' dan kebanjiran pimpinan utama negara yang sudahpun mula berkempen secara 'tidak rasmi' meskipun penamaan calon hanya akan diadakan pada 26 Februari ini.

Melaka pernah menyaksikan pilihan raya Kecil sebelum pilihan raya umum 2008 dimana pada tahun 2007 di Dun Machap.Dalam pilihan raya tersebut Barisan Nasional (BN) diwakili MCA,Lai Meng Chong yang menang besar ke atas calon DAP, Liou Chen Kuang dengan majoriti 4081 undi.

Walaupun Merlimau merupakan kubu kuat Umno sejak empat pilihan raya umum lalu, namun pastinya PAS selaku wakil Pakatan Rakyat akan menjanjikan tentangan yang sengit.

Pada awalnya, kawasan ini mahu ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kekosongan kerusi Dun Merlimau.

Namun, setelah perbincangan antara kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat diadakan, mereka bersetuju mengekalkan PAS yang bertanding di Dun tersebut sebelum ini sebagai mewakili Pakatan Rakyat.

PAS pastinya mahu mencapai kemenangan di Dun Merlimau walaupun seperti yang disebut ramai penganalisis politik sebagai suatu yang sukar.

Ini kerana Melaka adalah satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang tidak mempunyai wakil pembangkang Melayu terutamanya daripada PAS.

Walaupun sejak 12 pilihan raya umum lalu PAS meletakkan calonnya di Melaka, namun PAS tidak pernah berjaya menghantar wakil ke Sidang Dun Melaka.

Negeri-negeri jiran yang dahulunya dikenali sebagai kubu kuat Umno sudah berjaya ditembusi PAS dimana di Johor PAS memiliki dua Dun, Sungai Abong dan Maharani, sementara di Negeri Sembilan PAS melahirkan anak sulongnya di Dun Paroi.

Di Melaka, PAS telah meletakkan calonna di 13 kerusi Dun dalam pilihan raya umum yang lalu, namun gagal mendapat walaupun satu kerusi.

Pembangkang yang berjaya menembusi Dun Melaka hanya DAP yang mana mereka berjaya menawan lima daripada lapan kerusi yang ditandingi iaitu Dun Bachang,Ayer Keroh,Kesidang,Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Mengikut rekod SPR, dalam PRU-12, PAS diwakili oleh Mejar (b) Jasme Tompang menentang Allahyarham Hidhir dengan majoriti undi lebih 2000. Keadaan Dun Merlimau hampir sama dengan Dun Tenang kerana Umno memiliki kekuatan undi Melayu yang sangat tegar sokongannya kepada mereka.

Pada pilihan raya Umum 1995, Dun Merlimau menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Semangat 46 dan Umno, dan kemudiannya pada tahun 1999 PAS mewakili Dun Tersebut, namun pada tahun 2004, PAS memberi laluan kepada KeADILan, sementara mengambilnya kembali pada tahun 2008 melalui Jasme.

Mengikut rekod, PRU 2008 menyaksikan seramai 10 471 orang pengundi berdaftar layak mengundi di Dun Merlimau.

Daripada jumlah tersebut,seramai 64.69 peratus pengundi adalah berbangsa Melayu, 21.11 peratus Cina, 14.16 peratus kaum India dan baki 0.04 peratus lain-lain kaum.

Merlimau yang terletak berhampiran Daerah Jasin adalah sebuah pekan kecil yang juga merupakan sempadan negeri antara Johor dan Melaka.

Kawasan Merlimau mempunyai tujuh buah daerah mengundi iaitu Ayer Merbau, Chinchin,Jasin Lalang,Ladang Merlimau,Merlimau Pasir,Permatang Serai dan Pengkalan Samak.

Merlimau memiliki kependudukan Melayu di perkampungan tradisional yang mengamalkan adat dan budaya masyarakat Melayu Melaka yang sangat kuat.

Sementara kaum-kaum lainnya iaitu kaum Cina tinggal di Pekan Merlimau dan India pula di beberapa estate dan kampung tradisis India yang mundur sejak British meninggalkan Melaka.

Sedikit pembangunan yang diterima Merlimau sejak dua pilihan raya umum kebelakangan ini dimana memiliki pusat pendidikan tinggi iaitu Politeknik Merlimau dan Kolej Komuniti Jasin.

Melihat kepada perkembangan pilhan raya umum yang lalu dan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, Merlimau bukanlah kawasan yang boleh diletakkan sebagai kawasan yang mudah bagi PAS untuk menang.

Namun, pastinya pilihan raya kecil pertama di Melaka sejak 2008 dan pertama juga di Merlimau sejak 1994, bakal menyaksikan perubahan lanskap politik bagi Melaka.

Sumber maklumat kedua dan ketiga yang 'jarang' diperolehi masyarakat di Merlimau bakal melimpah di sana bermula 26 Februari ini.

Antara isu yang dijangkakan akan menghiasi kempen di Merlimau termasuklah :

1) Sistem Keretapi Aliran Ringan Monorail-dilancarkan pada 20 Oktober 2010 namun rosak pada hari pelancarannya.

2) Jam bunga di hadapan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah - RM500,000. Apa pentingnya jam ini untuk rakyat. Bila rakyat mohon untuk peruntukan kebajikan dan lain-lain pimpinan kerajaan menjawab tiada wang.

3) Wang peruntukan setiap Dun ialah RM325,000 tetapi sehingga kini wang ini tidak dilaporkan kepada rakyat ke mana perginya Dun ini.

4) Banjir terus berulang melibatkan beberapa tempat seperti Durian Tunggal, Sungai Rambai dan dan lain-lain. Banjir kilat juga terus melanda di banyak tempat di seluruh Melaka.

6) Menipu rakyat dengan status negeri maju di mana OECD sendiri menafikan bahawa mereka mengiktiraf Melaka sebagai negeri maju.

7) Jumlah anak luar nikah puratanya 2.8 orang sehari dari tahun 2007 hingga 2009

8) Lapangan Terbang yang menelan belanja ratusan juta tetapi tiada pesawat yang beroperasi

9) Melaka ditadbir oleh seorang Ketua Menteri yang didakwa terbabit rasuah semasa pemilihan Umno.

10) Eye On Melaka yang ditutup menyebabkan kerugian puluhan juta wang rakyat.

11) Kegagalan kerajaan dan negeri menguruskan harta wakaf seperti yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2009.

12) Litar Go-Kart di Durian Tunggal yang ditutup kerana tidak berdaya maju sehingga pihak pengurusan gagal membayar sewa

13) Hutang kerajaan negeri yang berjumlah lebih RM500 juta dan dijangka meningkat kepada RM700 juta seperti dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2009.

Semua isu ini pastinya menjadi buah tangan PAS kepada pengundi Merlimau sebagai doktrin agar pengundi membuat perkiraan dalam memilih wakil rakyatnya kali ini.

HARAKAH 15 - 17 RABIULAWAL 1432 / 18 - 20 FEBRUARI 2011

Sumber online : Detik Daily


Pemuda PAS mahu dicalon di Merlimau, namun sokong siapa pun pilihan parti


KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Sabky Yusuf berkata, Pemuda PAS Melaka turut mengangkat calonnya sendiri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau bagi dipertimbangkan Jawatankuasa pilihan raya PAS peringkat negeri dan pusat.

Katanya, setakat ini mereka menghantar lebih daripada seorang. Namun katanya, senarai calon tersebut akan diputuskan pimpinan tertinggi parti dan Pemuda PAS akan menyokong sesiapa sahaja yang dipilih pucuk pimpinan.

“Dalam mesyuarat exco hari ini kita juga membincangkan mengenai Pilihan Raya Kecil Merlimau dan mendapat taklimat daripada Ketua Pemuda Melaka tentang statistik pilihan raya yang lepas, dan juga persiapan-persiapan yang dibuat jentera pilihan raya di Melaka,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS, dekat sini, Sabtu lalu.

Beliau juga berkata soal calon sama ada Muslimat atau lain-lain ia akan diputuskan pimpinan. Oleh itu katanya, semua pihak terutamanya peringkat bawah dia berhak mencadangkan nama-nama yang mahu dikemukakan.

“Begitu juga pemuda, muslimat di kawasan tersebut juga berhak untuk mencadangkan nama calon-calon mereka. Apa pun akhirnya keputusan di tangan parti,” ulasnya mengenai ura-ura calon muslimat akan dipertaruh di Merlimau.

Sementara itu, kata Sabky, persiapan bagi PRK Merlimau sama seperti pilihanraya pilihanraya yang lepas.

HARAKAH 15 - 17 RABIULAWAL 1432 / 18 - 20 FEBRUARI 2011


Pemuda PAS kenal pasti 3 ribu pengundi muda Merlimau


KUALA LUMPUR: Lebih 3000 pengundi muda dikenal pasti sebagai pengundi sasaran oleh Dewan Pemuda PAS Pusat (DMPP) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau kata, Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Firdaus Jaafar.

Katanya, jumlah itu merupakan 35 peratus daripada pengundi di Dun berkenaan. Justeru itu katanya, ini masa terbaik untuk Pemuda PAS menyusun langlah-langkah untuk berkongsi perjuangan dengan pengundi muda untuk menyampaikan mesej parti.

“Kita akan terangkan betapa besarnya kejayaan yang kita lakukan di negeri Pakatan Rakyat kerana pengundi muda perlu tahu dan perlu memahami konsep yang dibawa oleh PAS dan Pakatan Rakyat.

“Selama ini masyarakat melihat PAS seolah-olah parti serpihan ataupun tidak punyai kuasa. Sebenarnya kejayaan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan di Kelantan merupakan asnaf kepada perjuangan rakyat yang dipimpin oleh PAS,” katanya semasa ditemui di Pejabat Agung PAS, Sabtu lalu.

Jadi katanya, kesempatan di Merlimau itu Pemuda PAS akan menggerakkan jentera pilihan raya untuk mengajak pengundi muda memikirkan bahawa pilihan raya Merlimau masa untuk berubah dan kekal dengan slogan Pakatan Rakyat ‘Ubah sekarang selamatkan Malaysia.’

Malah katanya, keputusan pilihan raya Merlimau akan menjadi harapan baru kepada rakyat Malaysia khasnya mengenai kenaikan harga barang, petroleum, tol terutamanya pengangkutan awam cukup memberi kesan. Ini katanya, sudah boleh dilihat di Tenang kerana sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) menang pada sebelah petangnya harga minyak melambung.

Dengan itu tegasnya, pengundi muda di Merlimau yang 35 peratus itu perlu mengambil sikap berani untuk menolak BN. Katanya sekalipun kemenangan PAS tidak akan memberi kesan kepada kerajaan BN Melaka, paling kurang pengundi muda di Merlimau memberi isyarat tindak tanduk BN tidak dipersetujui rakyat.

Beliau berkata, walaupun masyarakat pedalaman Dun Merlimau rata-ratanya sudah ada pembangunan dan kemudahan asas namun kemudahan itu tidak boleh menenggelamkan segala penyelewengan kenaikan harga barang.

“Mungkin bagi mereka tidak penting tetapi memberikan keburukan kepada masyarakat dalaman di seluruh pendalaman seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Pengundi mesti matang untuk membuat keputusan,” katanya.

Dalam pada itu ujarnya, bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Merlimau pada 6 Mac depan beliau berharap pemuda dari Selangor, Negeri Sembilan dan Johor memberi lebih tumpuan untuk persiapan awal sebelum masuk pilihan raya umum yang dijangkakan pada tahun ini.

HARAKAH 15 - 17 RABIULAWAL 1432 / 18 - 20 FEBRUARI 2011


PAS kecam dolak-dalik Umno-BN Melaka


KUALA LUMPUR: PAS Melaka mengecam sikap Umno-BN yang terus menerus menggunakan kemudahan awam untuk program politik kepartian terutama menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau.

Demikian kata Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS di Melaka, Bahiki Ismail dalam satu kenyataannya baru-baru ini. Baru-baru ini kerajaan menyalahgunakan Dewan Politeknik Merlimau untuk program suai kenal bapa angkat dengan jawatankuasa peti undi Dun Merlimau, dakwanya.

Program tersebut melibatkan pengerusi perhubungan Umno Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam yang juga adalah Ketua Menteri. Program telah berlangsung Isnin lalu dan melibat semua ketua-ketua peti undi di Dun Merlimau. Umno-BN sering menuduh PAS berpolitik di masjid dan surau tanpa bukti tetapi sebaliknya merekalah yang sering menggunakan surau, masjid, sekolah dan institusi masyarakat yang lain untuk pogram politik mereka, katanya.


“Kita tidak kisah jika program itu adalah program kerajaan dan agensia-agensinya tetapi yang kita kesalkan ialah mereka secara terang-terang menggunakan harta rakyat yang dibiayai dengan duit rakyat untuk program politik mereka.” kata Bahiki.

Sehubungan itu, beliau menggesa tindakan menggunakan harta awam untuk program parti dihentikan serta merta kerana ia jelas mengheret institusi awam ke kancah politik. Bahiki juga mengingatkan semua pengarah, pengetua, guru besar dan pegawai kerajaan supaya tidak tunduk dengan tekanan politik kepartian sehingga membenarkan institusi di bawah tanggungjawab mereka digunakan sewenang-wenangnya oleh Umno-BN untuk program parti.

Mereka semua diberi amanah untuk menjaga harta dan kemudahan awam, janganlah kerana tekanan politik sanggup mengabaikan amanah yang dipikul, katanya.

“Penggunaan harta dan kemudahan awam sudah berlaku dari dulu, kini dan mungkin selamanya namun kita kesal kerana pihak berwajib seperti Polis, SPRM, SPR dan sebagainya tidak berani mengambil tindakan walaupun sudah acapkali kita membuat laporan agar tindakan diambil ke atas pihak terbabit” katanya.

Beliau berharap Umno-BN tidak mengulangi kesilapan itu pada kempen pilihan raya kecil Dun Merlimau kerana ia perbuatan menyalahgunakan duit rakyat. Umno-BN wajar mencontohi PAS yang menjalankan program di premis parti kerana PAS tahu etika dan undang-undang, katanya.
HARAKAH 15 - 17 RABIULAWAL 1432 / 18 - 20 FEBRUARI 2011


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59