Saturday, 19 February 2011

Apakah bentuk kempen yang akan berlaku di Merlimau?


Merlimau merupakan satu kawasan di Jasin, Melaka. Ada pelbagai kempen yang akan dibuat oleh PAS, dan analisa penulis kepada Merlimau adalah menjurus kepada satu perkara; Merlimau satu kawasan melayu. Umno menang di kawasan melayu. Sebut aje melayu sekarang pasti menakutkan pembangkang.

Tapi selama ini Pas menang pun dengan undi melayu. Melayu akan beri kemenangan kepada pembangkang. Melayu tak akan mudah melupakan apa yang berlaku. Sejarah yang panjang kekalahan tanah melayu kepada Portugis, Belanda mahupun Inggeris akan terus menjadi sejarah. Apakah melayu tak mahu berubah seiring dengan kemajuan dunia dan peredaran zaman? Retorik ini dimainkan oleh pembangkang sendiri. Tanpa undi melayu pembangkang tak akan kemana mana pun. Sedar dan insaflah undi melayu amat diperlukan oleh pembangkang.

Nampaknya ada dah sumber luar mengatakan PAS datang hanya untuk mempertahankan undi saja. Nak menambah katanya susah sangat. Susah ke senang ke kena bekerja baru puas hati. Pas Jasin sudah bersemangat "gila" kenapa Pas kawasan lain takut nak datang berperang di sini. Pas Jasin sudah bersiap sedia. Di Tenang lagi mereka dan bersiap sedia untuk bertempur dengan Ali Rustam. Mungkin Pas Jasin nampak apa yang petugas Pas lain tak nampak. Pas di luar mungkin susah nampak apa isu-isu yang boleh dimainkan.

Pas Jasin sudah mempunyai "senjata canggih" yang tak nampak di mata umum. Pendemo - pendemo yang berhati waja yang berani bertempur dengan polis / FRU tolonglah datang ke Merlimau. Di sini antara pentas paling hebat. Semua digaul menjadi satu suasana dan pengalaman yang susah digambarkan di kepala. Marilah bantu Pas Jasin untuk menang di Merlimau. Jangan biarkan Pas Melaka terus kempunan. Bantulah kami agar sejarah Pas di sini akan lebih bersinar terang.

Diedit dari tulisan asal : FZT


PRK Merlimau: Ayuh katakan 'tidak' pada Ali Rustam!


Ketika ini, Umno-BN cukup berbangga dengan nostalgia kemenangan mereka di Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, yang menyebabkan mereka tidak pernah mengambil kira mereka boleh kalah. Memang sekali imbas, untuk PAS menang di Merlimau macam perkara mustahil, tetapi siapakah yang boleh mendahului kuasa Allah, jika ditakdirkan BN kalah kali ini, walaupun dari segi rekodnya, Melaka merupakan satu-satunya negeri yang tidak terlepas walau satu pun kerusi yang diwakili Umno.

Jika benar di Dun Merlimau PAS tidak ada isu untuk dimainkan tetapi di Melaka, isu paling besar ialah kepimpinan Mohd Ali Rustam sendiri perlu dilihat secara menyeluruh untuk memastikan Melaka bersih dari segala bentuk penyelewengan dan rasuah.

Orang-orang Melayu di Melaka boleh seronok dengan infrastruktur dan landscape yang menarik tetapi apabila Mohd Ali dilarang bertanding dalam pemilihan Umno baru-baru ini, ia tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

Jika wang menjadi sebab mengapa Mohd Ali dilarang dari bertanding, ahli-ahli Umno dan pengundi di Dun Merlimau kena bertanya, dari mana wang Mohd Ali dapat untuk digunakan bagi menjalankan kempen untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.

Di mana-mana sahaja, Mohd Ali akan sampai, termasuk di hujung kampung di Sabah, bagi mendekati rakyat kononnya atas nama mesra rakyat tetapi, hakikatnya Mohd Ali mencari undi untuk mencuba nasib memenangi kerusi Timbalan Presiden Umno.

Malangnya, Mohd Ali tidak diyakini oleh Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mampu memikul tanggungjawab tersebut, menyebabkan dia dihalang dari bertanding dan kebetulan, khabarnya Ibu Pejabat Umno yang kebanyakkannya mendapat anugerah Dato' dan Dato' Seri dari Melaka, terpaksa juga berusaha menangkap beberapa proksi Mohd Ali bagi mengaitkan Ketua Menteri Melaka ini dengan politik wang.

Itu cerita lama. Cerita lebih dua tahun dulu. Tetapi, ia belum boleh dilupakan. Mohd Ali sebenarnya mahu ditangkap kerana terlibat dengan politik wang serentak dengan tangkapan terhadap Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad beberapa tahun yang lalu.

Tetapi keperluan Umno ketika itu hanya mahu Mohd Isa sahaja disingkirkan dan tiga tahun kemudiannya, Mohd Ali pula.

Perlu disebut, ketika itu Mohd Isa adalah Naib Presiden Umno nombor satu, Mohd Ali adalah Naib Presiden Umno nombor dua dan Muhyiddin Mohd Yassin Naib Presiden Umno nombor tiga.

Mohd Ali bernasib baik kerana Najib tidak ada pilihan lain, selain Mohd Ali untuk dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka, menyebabkan Mohd Ali bukan sahaja dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka dan Ahli MT, tetapi dikekalkan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Ketika ini, Mohd Ali seolah-olah mencabar PAS supaya berdebat dengannya dalam isu Melaka Maju 2010 dan membandingkan Melaka dengan Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang tetapi, Mohd Ali lupa bahawa kesemua Ketua Menteri dan Menteri Besar negeri-negeri yang di kuasai Pakatan Rakyat tidak pernah terlibat dengan politik wang seperti yang terpalit pada batang tubuh Mohd Ali.

Biasalah, dalam Umno, kesalahan politik wang bagi mereka yang berjawatan tinggi, biasanya tidak terkait dengan kehilangan jawatan, kecuali Mohd Isa tetapi bagi mereka yang terkait dengan isu politik wang di peringkat bahagian, akan terhukum dengan hukuman yang cukup berat.

Kisah terbaru, Mohd Ali dan rombongannya menyewa kapal terbang untuk mencari pelabur di Indonesia. Ramai yang berada di dalam kapal terbang tersebut, antaranya anak kepada Perdana Menteri.

Nasib baik Tentera Nasional Indonesia (TNI) tidak mahu memanjang-manjangkan isu ini, walaupun kapalterbang ini ditahan di Lapangan Terbang Surabaya dan melepaskan Mohd Ali pulang dengan pesawat lain, tetapi kalaulah boleh diketahui siapakah 85 orang yang menganggotai rombongan Mohd Ali ini, mungkin banyak lagi rahsia akan terdedah.

Sebenarnya, sebagai Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali bernasib baik kerana dia sentiasa dilihat seorang pemimpin yang sering berada di mana-mana ketika kebakaran, banjir, majlis perkahwinan dan kematian.

Tetapi, hakikat sebenarnya, jikalah perbelanjaan Mohd Ali boleh diaudit, rakyat akan tahu banyak mana wang digunakan untuk dia melakukan kerja-kerja di luar bidang tugasnya sebagai Ketua Menteri termasuklah kekerapannya ke Sumatera, Indonesia dengan pelbagai alasan termasuk menarik pelaburan.

Suatu ketika dahulu, timbul isu kemurahan hati Kerajaan Negeri Melaka terhadap penganugerahan darjah Dato' kepada macam-macam jenis manusia. Namun, isu ini senyap begitu sahaja walaupun Melaka pernah digelar "kilang" Darjah Dato' di Malaysia.

Ada di antara penerima Darjah Dato' Melaka, entah pernah atau tidak datang ke Melaka, tiada siapa yang tahu.

Namun, tiada siapa boleh menyuarakannya kerana itu adalah hak beliau untuk mencadangkan penganugerahan tersebut, hingga ada yang menerima anugerah Dato' tersebut terlibat dalam kes pergaduhan dan sebagainya.

Ketika pihak Istana Negeri Sembilan mahu kajian semula dibuat terhadap penganugerahan JP, Melaka mungkin negeri yang paling risau mengenainya kerana Melaka juga boleh dikatakan cukup berminat menganugerahkan JP kepada kawan-kawan orang tertentu.

Kalau pengundi di Merlimau mahu menghentikan semua perkara ini, mereka boleh mengurangkan undi kepada calon BN. Mesej ini jika ditunjukkan dalam peti undi, ia akan berjaya merubah situasi Ketua Menteri yang sering berbuat sesuka hatinya sahaja.

Ketika beliau menunjukkan dia mesra rakyat dan dekat dengan orang ramai, dalam masa yang sama dia juga sering ke sana ke mari untuk menghabiskan wang rakyat Melaka yang sepatutnya dicurahkan kepada orang-orang yang benar-benar memerlukannya.

Berapa banyak wang digunakan untuk menyewa kapal terbang untuk bersama-sama 85 yang lain, mungkin akan diceritakan kononnya ada syarikat swasta yang membiayainya, sedangkan mustahil ada syarikat swasta yang mahu menaja jika tiada "harapan menanti di depan" – juga akan menyebabkan berlaku penyelewengan.

Di tangan pengundi Merlimau, jika mereka sayangkan Melaka dan sayangkan Malaysia, negara yang sedang kehilangan banyak wang ini, boleh dimulakan dengan memberi undi kepada calon PAS.

Ia mungkin tidak akan menyebabkan Mohd Ali jatuh dari kerusi Ketua menteri tetapi sekurang-kurangnya dapat menegur dan menyedarkannya dari keborosan dan kemewahan hidup sebagai seorang Ketua Menteri yang bebas untuk ke sana ke mari berkempen dalam Umno dan ke sana ke mari atas alasan kononnya menarik pelaburan.

Dicatat oleh Tarmizi Mohd Jam di Sabtu, Februari 19, 2011

Sumber online :Sanggahtoksago

HARAKAH 15 - 17 RABIULAWAL 1432 / 18 - 20 FEBRUARI 2011


Ali Rustam ajak PAS berdebat, tetapi takut?


KUALA LUMPUR: PAS Melaka menyambut baik cabaran Ketua Menteri negeri tersebut, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam yang bersedia untuk berdebat dengan pemimpin Pakatan Rakyat. Mohd Ali sebelum ini berkata beliau bersedia untuk berdebat dengan sesiapa sahaja daripada kalangan pimpinan Pakatan Rakyat.

Mengulas isu tersebut, Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Yusof Wahab berkata, PAS sudah lama menyahut cabaran Ketua Menteri namun sehingga kini beliau tidak bersedia untuk berdebat dengan PAS.

Cabaran Ali Rustam sudah lama disahut oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani tetapi beliau sering berdolak-dalik dan memberikan alasan, katanya.



Tindakan beliau yang mencadangkan debat dilaksanakan secara bersebelahan amat menggelikan hati dan membuktikan beliau tidak berani berdebat secara berdepan, katanya.

“Mana ada orang berdebat dari jauh atau bersebelahan, di Amerika dan lain-lain Negara maju pimpinan mereka berdebat di atas pentas yang sama, rakyat dan wakil media bertanya secara spontan dan kedua-dua pendebat menjawabnya.”

Menurut Yusof, tindakan Ali Rustam yang mencadangkan debat dilaksanakan secara berselahan merupakan debat cara orang penakut dan tidak berani berdepan.

Justeru jika Mohd Ali benar-benar mahu berdebat, pilihan raya kecil Dun Merlimau adalah pentas terbaik, katanya.

HARAKAH 15 - 17 RABIULAWAL 1432 / 18 - 20 FEBRUARI 2011


PAS tidak tolak kemungkinan letak calon muslimat di Merlimau


KUALA LUMPUR: PAS tidak menolak kemungkinan sekali lagi akan menampilkan calon muslimat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau selepas meletakkan calon Muslimat di Dun Tenang baru-baru ini.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, sekarang kemungkinan boleh berlaku dan PAS tidak menolak untuk turut menamakan calon Muslimat sebagai pertaruhan di Merlimau.

Beliau menyifatkan kekalahan PAS pada pilihan raya kecil Dun Tenang pada 30 Januari lalu dengan meletakkan calon wanita tidak sesekali menggoyahkan hasrat parti itu untuk mempertaruhkan calon wanita untuk bertanding di Merlimau nanti.

Bagi Salahuddin, faktor kekalahan dan juga kemenangan bukanlah bergantung kepada jantina kerana yang penting adalah komitmen calon untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian markas induk PAS Dun Merlimau oleh mursyidul am parti itu, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di Taman Muhibbah, di Melaka. Menurut Salahuddin, tidak kira wanita atau lelaki, PAS akan menurunkan calon-calon yang pastinya boleh membawa kepada perubahan kepada Dun Merlimau.

Seperti yang dipersetujui Ketua Umum Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk meletakkan calon PAS bagi bertanding dalam Pilihan Raya Dun Merlimau, jadi calon-calon yang akan PAS turunkan pastinya sesuatu yang beri pembaharuan dalam PRK dan Dun Merlimau, katanya.

Kerusi Dun Merlimau kosong berikutan kematian Dato’ Mohamad Hidhir Abu Hassan selepas mengalami serangan jantung pada 20 Januari lalu. Pada pilihan raya umum 2008 itu, calon parti PAS Jasme Tompang tewas di tangan Mohamad Hidhir dengan majoriti 2,154 - peningkatan hampir 3,000 undi berbanding pencapaian pembangkang empat tahun sebelumnya.

Dun Merlimau mengandungi 10,679 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 10,643 pengundi biasa dan 36 pengundi pos.

HARAKAH 15 - 17 RABIULAWAL 1432 / 18 - 20 FEBRUARI 2011


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59