Friday, 18 February 2011

Datuk Shah Rukh Khan hina TYT Negeri Melaka ?


Memalukan: Datuk 'Shah Rukh Khan' Hina Yang Di Pertua Negeri Melaka Bila Hanya Pakai Singlet Ketika Terima Kunjungan Pemimpin Itu Semalam

Tiada istilah lagi boleh digambarkan bila melihat gambar di bawah. Inilah yang dikatakan "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan". Apakah ini namanya adat atau satu penghinaan? Wajarkah artis Bollywood si Shah Rukh Khan berpakaian begini ketika mengadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob.

Malahan turut berada dalam sesi pertemuan tersebut ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam. Lihat saja cara berpakaian beliau ketika mengadap Tun Khalil itu. Apakah dek kerana beliau seorang artis terkenal maka dia tidak perlu mengikut protokol untuk berjumpa dengan pemimpin negara kita?

Bukankah Kerajaan Negeri Melaka telah menganugerahkan gelaran "Datuk" kepada beliau sebelum ini dan mengapakah ini balasan yang diberikan. Hanya memakai "Singlet" ketika bersalaman dengan Yang Dipertua Negeri Melaka itu. Perbuatan ini sesungguhnya adalah satu penghinaan yang tidak sewajarnya berlaku kepada seorang pemimpin Melayu. Bayangkan jika gambar ini dipaparkan pada media di negara India dan senatero dunia. Maka, sudah pastilah imej dan maruah negara kita akan tercemar.

Apa akan berlaku jika rakyat kita sendiri berpakaian seperti itu ketika mengadap pemimpin negara? Sudah pasti mereka akan dihalau dan dilarang untuk berbuat demikian. Tetapi kenapa Shah Rukh Khan dibenarkan? Sepatutnya Kerajaan Negeri Melaka berhak menarik balik gelaran "Datuk" yang telah diberikan kepada beliau dulu, jika inilah balasan yang dihadiahkan semula. Biar pun ketika kejadian Tun Khalil dipercayai sedang melawat lokasi penggambaran filem terbaru Shah Rukh berjudul "Don 2" di Bandar Baru Sungai Udang semalam. Namun itu perkara lain, dan sepatutnya kehadiran Yang Dipertua Negeri haruslah disambut dengan beradat. Mujurlah kemudian Pada lawatan tersebut, Tun Khalil dan Ali Rustam juga telah menghadiahkan beliau sehelai baju batik.



Anehnya, Kerajaan Negeri Melaka pula beriya-iya mahu membina sebuah studio dengan kemudahan produksi yang dikenali sebagai Studio, Filem dan Televisyen Antarabangsa Melaka dengan kos bernilai AS$7 juta (RM21.3 juta) Ketua Menteri Ali Rustam berkata, studio itu akan dibangunkan dengan idea dan kerjasama pelakon terkenal Bollywood itu.

Menurutnya, perbincangan dengan pelakon Bollywood itu kini di peringkat terakhir sebelum satu rumusan diambil bagi merealitikan impian membina sebuah studio tercanggih di negeri ini. “Pada dasarnya, Shah Rukh bersetuju bekerjasama dengan memberi idea dan pandangan bagi pembinaan studio yang dicadangkan di Rumah Media di Ayer Keroh. “Studio yang akan dibina ini bukan sahaja menyediakan kemudahan produksi tetapi juga akan menyediakan sebuah akademi untuk filem dan televisyen bertaraf antarabangsa,” katanya.

Mohd. Ali menambah, kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada Kementerian Pelancongan bagi membiayai pembinaan studio tersebut. “Jika semuanya berjalan lancar, pembinaan studio itu akan mula dibina tahun ini. “Kita juga merancangkan untuk menerbitkan sebuah filem muzikal yang mana Shah Rukh Khan bersetuju untuk menjadi pelakon utama,” katanya. Beliau menambah, dengan pembinaan studio itu ia dijangka menarik minat beberapa produser dari Bollywood untuk menggunakan kemudahan produksi selain menjadikan Melaka sebagai lokasi penggambaran filem.

Shah Rukh kini berada di negeri ini sejak 12 Februari lalu bagi menjalani penggambaran filem terbarunya Don 2 itu. Selain Melaka, Kuala Lumpur dan Langkawi turut menjadi lokasi penggambaran filem itu yang bakal ditayangkan di negara ini pada 23 Disember ini. Pengajaran daripada insiden ini, nampak benar betapa hinanya pemimpin Melayu apabila terpaksa turun ke tapak untuk bertemu dengan seorang artis terkenal seperti Shah Rukh Khan. Sepatutnya beliau dipanggil mengadap Yang Dipertua Negeri Melaka secara protokol di pejabatnya. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kita pula terpaksa menyembah artis Bollywood itu.

Persoalan kedua, kita masih ingat Tun Khalil ketika menjadi Menteri Penerangan pernah berjanji untuk membina sebuah studi perfileman ala Hollywood di Janda Baik Bentong Pahang. Namun, ia tidak menjadi kenyataan dan kini mahu membina ala Bollywood pula di Melaka. Apa yang mengelirukan kita, sejak Shah Rukh Khan mendapat gelaran "Datuk", entah masa bila beliau menggunakan gelaran tersebut agaknya?. Ini kerana, dalam filem-filem terkini beliau tidak langsung memaparkan gelaran "Datuk" di depan namanya ketika dipaparkan pada skrin. Maknya, gelaran tersebut sekadar "hiasan di dinding" semata-mata. Harapan kita agar tidak ada lagi rakyat asing yang akan mendapat gelaran itu, kerana ia cukup amat kontroversi sebenarnya.

Sumber : Pahangdaily


Projek mee segera PRK Merlimau menyalahi peraturan SPR


MELAKA: Projek ‘mee segera’ yang giat dijalankan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau adalah satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, kata Presiden Malaysia Untuk Pilihanraya Bebas dan Adil (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh.

Merujuk kepada pilihan raya kecil 6 Mac depan, beliau berkata, tindakan Barisan Nasional (BN) mengadakan ‘projek mee segera’ adalah kempen politik atas nama pembangunan fizikal dan infrastruktur.

“Jika benar wujud elemen ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil tindakan tegas. Selepas beberapa kali pilihan raya kecil (PRK), begitu banyak aduan dan SPR perlu bersikap adil,” katanya.

“Begitu juga di Merlimau, apabila kita dengar aduan ada pihak menggunakan sekolah sebagai tempat berkempen. Ini membuktikan SPR bersikap berat sebelah.

“Jika ada kakitangan kerajaan dibenar menyertai kempen untuk pihak tertentu, maka semua pihak termasuk guru harus dibenar turut serta berkempen,” katanya kepada KeadilanDaily.com.

Syed Ibrahim berkata, SPR harus menjadikan pilihan raya kecil sebagai medan untuk menguji kaedah baru bagi tujuan perjalanan pilihan raya yang bersih dan adil.

“Dalam masa terdekat, ada dua pilihan raya kecil iaitu Merlimau dan Kerdau. Jadi, ini masanya SPR mempraktik, antaranya penggunaan dakwat kekal, pembersihan daftar pemilih dan penggunaan kod hologram pada peti undi.

“Selain tujuan keselamatan, ia adalah proses penambahbaikan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada SPR. Banyak negara dunia ketiga sudah pelakukan perkara sama,” katanya.

Keadilan Daily


N27 Merlimau - menentang Umno dalam satu pasukan


Merlimau sudah dipastikan siapa yang akan bertarung di gelanggang. Umno dan Pas kembali ke tengah gelanggang. Gendang perang sudah dipukul, petugas-petugas Pas sudah bersiap sedia untuk melangkah. Kali ini biarlah kita melangkah sebagai satu pasukan tempur bukan satu pasukan yang hanya hebat di depan dan barai di belakang.

Usah bergantung kepada kelemahan musuh. Kita bergantung terus kepada Allah. Kali ini di Merlimau munajat kepada ilahi diperlukan terus. Hubungan manusia dengan pencipta hendaklah diteraskan dalam pertempuran kali ini. Jika yang islam jika ada solat hajat tolonglah bersama-sama. Tinggalkan dulu kamera, telefon bimbit dan apa jua. Bersatulah kita bermunajat kepada Allah. Hubungan kita dengan Allah terlalu longgar hinggakan syaitan mampu meresap di antara jemaah.

Kekosongan seinci yang ditinggalkan oleh jemaah memudahkan iblis memberikan bisikan mesra. Jika perhimpunan perarakan ada 5 ribu ahli, tolonglah bersama solat hajat jangan ada satu pun tertinggal bagi yang beragama Islam.

Kali ini kita wujud medan pertempuran baru, jangan dikisahkan sangat hal hal yang remeh temeh. Kita datang untuk menyerang bukan bertahan. Kita datang sebagai tentera bukan datang sebagai pemerhati bebas. Tak ada bebas dalam dunia agama. Yang bebas itu syaitan dan iblis. Datang bantu yang mana lemah jangan nampak lemah sengaja dibiarkan untuk modal menulis. Mana yang bocor tampal segera jangan bagi kapal kita karam semasa berperang.

Sampaikan segera apa yang perlu. 26 Februari akan bermula segala-galanya. Bertempur di kubu lawan amat mudah, Umno yang akan mempertahankan kubu mereka bukan Pas. Yang mempertahankan lebih payah dari yang menyerang. Segala maklumat tentang Umno hendaklah telus dan betul jangan pula pakai peluru yang dibekalkan oleh musuh.

Yang tak berselera nak berjuang di Merlimau tolong duduk rumah jangan bising di sini.

Merlimau perlu dihijaukan. Kalau di Kelantan mereka melancarkan gelombang merah, Pas lancarkan hijaukan bumi Melaka yang sudah lama tandus. Merlimau kita hijaukan seluruhnya dalam PRU yang akan datang. Pas Jasin sudah bersiap sedia untuk mengatur dan mengawal segalanya. Ini kawasan mereka. Bertindak mengikut arahan bukannya mengikut kepala masing-masing.

Merlimau pasti dalam tangan pas jika kita terus bersatu dengan tali Allah. Jangan kamu berpecah belah menghadapi musuh yang satu. Rapatkan saf dan luruskan barisan untuk menghadapi Umno yang sudah bengkang bengkok. Kalau kita rasa sakit, mereka juga akan merasai sakit dari kita.

Allah dah tunjukkan bukti kenapa kita masih meraguinya. Usah berduka dan bersedih jika kalah. Pedih sekejap pedih mereka masih berpanjangan. Jangan kita khianat kepada perjuangan islam, islam pasti menang.

Sumber : FZT


SAJAK : INI TANAH WARISAN LELUHUR KAMI


Tanah ini,
adalah warisan leluhur kita
dimiliki berabad-abad lamanya
menjadi pusaka zaman berzaman

Siapa mereka
yang berani datang menceroboh wilayah kita?
ini hak kita!
warisan milik kita!
mesti dipertahankan!
walaupun terjadi apa-apa!

Kita tahu mereka siapa!
mereka adalah para dewa dewata
yang rakus haloba
mencari emas dan tembaga
untuk dibina syurga
bukan untuk kita
tetapi untuk mereka.

Mereka mencari tanah pamah untuk dibangunkan
hutan belantara dicantas, digondolkan
bukit bukau ditarah diratakan
lembah paya ditambak, ditinggikan
gua denai disumbat dikambuskan
tanah milik harus diserahkan
demi pembangunan
rakyat marhean harus dikorbankan.

Hai! Para dewa dewata!
pembangunan itu untuk siapa?

Siapa yang akan memiliki harta itu selepas ini?
kerana tiada jaminan menjadi milik kami
ia akan menjadi milik para dewata
para kapitalis yang lahap haloba.
itukah pembangunan namanya?
setelah tanah warisan ini bertukar nama?

Apakah pembangunan itu
disukat dengan tingginya bangunan?
maka kita pun bersorak sorai
berangan-angan mahu memiliki syurga di kayangan
sedangkan hak milik terlepas di tangan?
persis Pak Kaduk
menang sabung, kampung tergadai.

Ingat! Para dewa!
meskipun kami miskin
tetapi tidak miskin jiwa dan raga
ini tanah warisan kami
perlu dipertahankan demi maruah
ini saja tanah yang kami ada
hanya sekangkang kera
masih mahu dirampas oleh para dewata!
penjajah baru, selepas merdeka!

Para dewa dewata punya kuasa
bisa menggunakan pelbagai akta
undang-undang yang mereka cipta
bukan untuk mereka, tetapi untuk kita.

Hai! Para dewa!
ingatlah! ada dewa yang lebih berkuasa!
iaitu Allah, namanya
kami tetap percaya
Allah tidak bersekongkol dengan kezaliman
kerana itu bukan sifat-Nya.

Jangan ditakut pada dewa!
kerana dewa itu bikinan manusia
yang juga binasa, macam kita.

Kalau para dewa sanggup
mempertahankan Putrajaya
biarpun itu bukan hak mutlak mereka,
sanggup berputih tulang, jangan berputih mata!
salahkah kami, mempertahankan tanah warisan ini?

Ingat para dewa dewata!
ini tanah warisan leluhur kami
kami akan pertahankan milik ini
kerana kami tidak mahu menjadi
Palestin di sebelah sini!

RAZALI ENDUN
Air Keroh, Melaka

Dipetik daripada Harakah keluaran 1 – 3 RABIULAWAL 1432 / 4 – 6 FEBRUARI 2011


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59