Tuesday, 15 February 2011

AMK lancar program gerak kerja pertama PRK Merlimau


JASIN: Jingga Walk merupakan program gerak kerja pertama KEADILAN Melaka bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau Mac depan.

Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN, Shamsul Iskandar berkata, program tersebut telahpun dimulakan pada 29 Januari lalu di sekitar bandaraya Jasin.

“Pertemuan bersama masyarakat Cina bersempena sambutan Tahun Baru Cina Sabtu lalu akan dilanjutkan dengan pelbagai lagi program selepas ini.

“Alhamdulillah, saya dapati sokongan kaum Cina terhadap KEADILAN di Merlimau di luar jangkaan.

“Saya dimaklumkan sendiri oleh peniaga-peniaga di sana, mereka telah diberi RM400 daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri (Ali Rustam) semasa lawatannya di lokasi yang sama sehari sebelum itu.

“Bagaimanapun mereka (penduduk) memberitahu ‘gula-gula’ (RM400) berkenaan sesekali tidak menjejaskan sokongan mereka terhadap Pakatan Rakyat,” jelas Shamsul yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Melaka.

Pada kunjungan itu, Shamsul bersama jawatankuasa AMK Melaka mengedarkan 1000 naskhah akhbar rasmi KEADILAN – Suara Keadilan bersama buah limau.

Mereka juga turut memperkenal dan menerangkan kepada penduduk kawasan berkenaan berhubung peranan Buku Jingga yang menggariskan program 100 Hari Pakatan Rakyat.

“Sebab itu kami menggunakan tema warna jingga malah pemilihan nama program adalah bertepatan dengan pelaksanaannya,” jelas Shamsul.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Keadilan Daily


Bersedia hadapi program "Taqarrub" di Merlimau


SAYA tanya seorang ustaz, apa makna perkataan “taqarrub.” Katanya, mendekat atau menghampirkan dan dalam konteks agama mendekatkan diri pada Allah. Di Melaka pada bulan Ramadan ada program taqarrub Ramadan di masjid dan surau seluruh negeri.

Dulunya program ini dinamakan Sivik Ramadan. Pada kesempatan ini, penceramah undangan (tentunya yang diluluskan Jabatan Agama Islam negeri) akan memberi panduan, menyuntik semangat keagamaan dan sebagainya. Pada majlis ini juga, Pengerusi JKKK dan pemimpin kampung turut mengambil kesempatan menyampaikan amanat. Dalam program taqarrub ini beberapa penceramah akan bertugas dari sebuah masjid ke masjid lain sehinggalah berakhir bulan Ramadan.

Usaha mendekatkan (taqarrub) ummah kepada masjid dan ibadat bulan Ramadan adalah usaha terpuji tetapi ada satu lagi program taqarrub yang dilakukan pemimpin Umno Melaka sejak sekian lama yang jelas tidak menepati ciri-ciri kemuliaan dalam Islam.

Pada program taqarrub ini, pihak berkenaan akan mengadakan majlis spontan di sebelah program pihak lawan yang telah lama dirancang. Tujuannya adalah bagi mengganggu majlis di sebelah.

Taktik ini dipercayai akan digunakan di Dun Merlimau menjelang pilihan raya kecil 6 Mac depan berdasarkan apa yang berlaku di Tenang di mana ada aktivis melaporkan majlis mereka diganggu oleh pihak lawan yang mengadakan majlis kilat di sebelah.

Mereka sengaja menghalakan corong pembesar suara dan membuat bising bagi menggagalkan majlis berkenaan. Pemimpin mereka kemudian bercakap merapu-rapu termasuk menjawab “secara langsung” apa yang dilontarkan oleh penceramah pada majlis sebelah.

Pemimpin PAS tentu berpengalaman melalui program taqarrub di Melaka ini. Tahun lalu ketika kemuncak perlawanan bola sepak Piala Dunia, pihak berkaitan memasang skrin besar yang menyiarkan perlawanan semata-mata bagi mengganggu majlis ceramah di sebelah yang turut membabitkan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Malah suatu masa dulu, ketika Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berceramah, pemimpin nombor satu negeri membuat bising termasuk berkokok pada majlisnya yang diadakan di premis bersebelahan. Ada kaset dan CD dikeluarkan mengenai majlis ini.

Penulis sudah beberapa kali menghadiri majlis di mana ceramah pemimpin PAS diganggu oleh pemimpin Umno yang mengadakan majlis di premis sebelah. Pada salah satu majlis itu, Umno negeri menugaskan sekurang-kurangnya lima orang - daripada pemimpin negeri, majlis agama negeri, jabatan hal ehwal khas, ustaz dan ahli politik tempatan untuk menenggelamkan suara dua penceramah PAS dari luar.

Tuduhan seperti penyeleweng akidah, anak cucu Dajal, pembohong, siang dia tidur malam dia keluar berceramah untuk membohongi rakyat, bangsat, dia peluk kafir, ini kafir sebenar, dialah kafir, penyangak, penyamun wang..., kau ulama dalam semak, tuhan kau ialah..., ‘mencemari’ keheningan malam itu.

Penulis bimbang taktik begini akan berleluasa pada pilihan raya kecil N27 Merlimau di mana lebih 10,500 pengundi akan membuat pilihan – mengundi calon Umno-BN atau PAS-Pakatan Rakyat. Kira-kira 65 peratus pengundi adalah Melayu, 21 peratus Cina, 14 peratus India dan bakinya daripada kaum lain. Penamaan calon adalah pada 26 Februari dan jika ada pertandingan pilihan raya pada 6 Mac.

Dun Merlimau dalam Parlimen Jasin mempunyai tujuh daerah mengundi - Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Ladang Merlimau, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak. Antara landmark baru di sini adalah Politeknik Merlimau dan Kolej Komuniti Jasin tetapi pengunjung jangan lupa Rumah Penghulu Abdul Ghani/Mat Nattar yang tersergam indah tidak jauh dari Masjid Al-Rahim yang terletak berhampiran pekan Merlimau.

Rumah Penghulu penuh bersejarah ini “merakamkan” pelbagai peristiwa suka duka anak bangsa, tetapi alangkah eloknya jika dapat “menjadi saksi” kelahiran anak sulung PAS Melaka di bumi bertuah ini!

LanH ,

Harakah edisi 8 - 10 RABIULAWAL 1432 / 11 - 13 FEBRUARI 2011


Agensi Pelancongan Tipu


AYER KEROH - Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Melaka mengarahkan sebuah syarikat agensi pelancongan mengembalikan RM689 kepada seorang pelanggannya, Azry Abdullah, 36, dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kes itu dibicarakan.

Presiden Tribunal, Masnah Haron menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Azry tertipu dengan syarikat berkenaan yang juga sebuah agensi pelancongan bergerak sekitar bandar raya ini.

Azri berkata, dia telah membeli pakej promosi pelancongan berjumlah RM689, selain menerima hadiah percutian ke destinasi pilihan.

Menurutnya, dia membayar pakej itu secara tunai pada 2 Disember 2010.

“Saya merancang percutian keluarga dan apabila terlihat promosi berkenaan, saya tertarik dan terus mendaftarkan diri. Ketika itu, saya diminta memilih destinasi percutian secara percuma sebagai hadiah menjadi ahli,” katanya.

Bagaimanapun Azry berkata, dia cuba menghubungi syarikat berke�naan dan mendapati tiada sebarang jawapan diterima.

“Keesokan hari, saya ke tempat promosi dijalankan tetapi ia telah dikosongkan.

“Disebabkan rasa tidak sedap hati, saya terus menghubungi mereka selama beberapa hari secara berterusan,” katanya.

Menurutnya, pada hari keenam, dia berjaya menghubungi mereka tetapi diberikan alasan dia menghubungi nombor salah.

“Saya kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru dan dinasihatkan mendapatkan bantuan di TTPM.

“Kes difailkan pada 27 Disember 2010 dan sehingga kini pihak berkenaan tidak menghadirkan diri dalam dua perbicaraan yang dijalankan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian


Merlimau : Gelanggang dakwah ke 15


Majdan Dagang

Pilihan Raya Kecil (PRK) telah berlalu dan Umno berjaya mempertahankan kerusi mereka. PAS kalah dari segi angka, namun hakikat sebenar perjuangan dakwah Islam dianggap berjaya. Harus diingat, PAS bukan sekadar parti politik yang berdaftar secara sah mengikut perlembagaan, tetapi juga sebagai jemaah yang memikul tanggungjawab dakwah kepada orang Islam dan bukan Islam.

Hal ini memang jelas diketahui dan didokongi oleh pimpinan, ahli dan penyokong yang faham akan perjuangan PAS. Oleh sebab itu lah parti Islam ini menyertai pilihan raya umum dan pilihan raya kecil sejak belum merdeka lagi walaupun sedar bahawa pertandingan tersebut tidak memihak kepada mereka.

PRK Dun Tenang, Johor misalnya, walaupun sedar bahawa PAS memasuki gelanggang untuk “kalah”, namun atas dasar dakwah parti itu tetap memberikan cabaran. Terbukti, walaupun kalah dari segi undi, isu calon PAS yang enggan bersalam dengan lelaki ajnabi (kemudiannya calon memakai sarung tangan) telah menyerlahkan sikap hipokrit Umno dalam menyampaikan kefahaman Islam. Umno bukan sahaja tidak menyampaikan etika Islam kepada rakan-rakan bukan Islam bahkan gagal menyatakan perihal Islam yang sebenar kepada ahlinya yang mengaku beragama Islam.

PAS kini bukan sahaja berjaya mentarbiah kebanyakan ahlinya tentang Islam yang syumul bahkan kini berjaya menyampaikan pula penerangan tentang Islam kepada rakan-rakan bukan Islamnya. Dalam isu bersalam tangan, rakan-rakan bukan Islam yang bersama-sama PAS telah memberi penerangan tentang adab dan budaya agama Islam kepada orang ramai dan meminta mereka menghormati pendirian Islam tentang isu tersebut. Bukankah ini salah satu kejayaan PAS dalam menerangkan Islam?

Kini, PRK Dun Merlimau, Melaka sekali lagi memberi peluang kepada PAS untuk bertemu dengan seramai mungkin rakyat dan menyampaikan dakwah Islam. Peluang sebegini luas hanya datang setiap PRU dan PRK. Hakikat dakwah inilah yang tidak ada dalam Umno dan mereka tentunya berasa hairan kenapa PAS bersusah payah bertanding untuk “kalah”.

Umno juga tidak akan faham kenapa ahli-ahli PAS berjuang dan terus berjuang walaupun sedar mereka berada dalam keadaan serba kekurangan sama ada dari segi kewangan, logistik, pentadbiran dan segalanya. Umno perlu sedar bahawa PAS bukan berjuang untuk wang, harta dan pangkat, bukan juga demi individu tertentu atau pemimpin tertentu, tetapi ahlinya berjuang untuk Islam.

Suatu kisah ketika tentera Islam mempertahankan Baitul Muqaddas yang dikepung oleh tentera King Richards the Lionheart. Salahudin al-Ayubi telah menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat memusnahkan “kereta kebal” musuh yang digunakan untuk menembusi benteng pertahanan Baitul Muqaddas.

Salah seorang, juruteranya berjaya mencipta sejenis alat yang dapat membakar dan seterusnya memusnahkan “kereta kebal” tersebut. Apabila ditanyakan kepada jurutera tersebut apakah hadiah yang dimahukan, dia menjawab dengan tegas, “Ucapan terima kasih pun saya tak perlu, inikan pula hadiah. Saya berjuang bukan untuk tuan, tetapi untuk Allah.”

Semoga, semangat itu dapat diteruskan pula di Merlimau nanti. Mengikut rekod pilihan raya yang lepas-lepas, kawasan ini merupakan kubu kuat Umno. Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir daripada Umno-BN menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi – menyaksikan kekurangan hampir 3,000 undi berbanding PRU 11 pada tahun 2004. Ketika itu Mohamad Hidhir mendapat 6,332 undi menewaskan calon PKR iaitu Jayathas Sirkunavelu dengan majoriti 5,087 undi. Jayathas mendapat 1,245 undi.

PRK ini nanti bakal memberi peluang kepada 10,643 pengundi biasa dan 36 pengundi pos untuk memilih wakil baru mereka di Dun Melaka. Angka tersebut berdasarkan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010 (bagi bahagian pilihan raya berkenaan) yang telah dikemaskini sehingga 20 Januari 2011.

Di Melaka Umno mempunyai 18 kerusi di Dun, empat kerusi MCA, satu kerusi MIC dan DAP pula lima mendapat kerusi. Sehingga kini PAS masih menantikan anak sulungnya di Melaka setelah kesemua negeri di Semenanjung mempunyai wakil PAS.

Sehingga kini, telah 14 PRK telah berlangsung selepas badai tsunami Pilihan Raya Umum ke-12, 2008 yang lalu. Daripada siri PRK tersebut Pakatan Rakyat (PR) menang di Sibu, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Permatang Pauh, Permatang Pasir, Manek Urai, Penanti dan Bukit Selambau. Manakala Barisan Nasional (BN) pula menang di Tenang, Hulu Selangor, Galas, Tenang, Batu Sapi, Bagan Pinang dan Tenang.

Apakah akan berlaku kejutan di Merlimau pada kali ini? Walaupun secara logiknya, Umno boleh menang walaupun dalam keadaan mata terpejam, namun tidak ada siapa yang tahu kuasa Allah. PAS telah memperoleh anak sulungnya di Johor pada PRU 11 pada 2004 apabila Dr Ramli menang tanpa bertanding akibat calon Umno tersilap mengisi borang.

Tugas PAS hanyalah turun gelanggang untuk bertarung, urusan kalah dan menang terserah kepada Allah SWT.

Sumber : Harakahdaily


Kerajaan PR Selangor bantu mangsa banjir Melaka


SHAH ALAM: Sejumlah RM150,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri Selangor bagi disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir yang melanda Johor, Melaka dan Pahang.

Sehubungan itu, satu tabung khas telah diwujudkan bagi kerajaan negeri memberikan bantuan sewajarnya. Justeru Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Rodziah Ismail diberikan amanah mengendalikan tabung tersebut.

Tanggungjawab tersebut diberikan supaya setiap bantuan dapat disalurkan dengan baik, cekap dan cepat kepada mangsa terlibat, jelas Sekretariat Akhbar Menteri Besar.

“Bantuan kemanusiaan ini selaras dengan prinsip kebajikan rakyat yang diamalkan oleh Kerajaan Selangor yang mana sumber kekayaan negeri dikongsi bersama tanpa mengira sempadan terutama kepada mereka yang memerlukan bantuan,” kenyataan itu dipetik.

Sumber : Harakah keluaran 4 - 7 RABIULAWAL 1432 / 7 - 10 FEBRUARI 2011


Projek segera mula banjiri Merlimau




MERLIMAU: Pelbagai projek segera di Dun Merlimau sudah mula dilihat pada masa ini berikutan pilihan raya kecil yang akan diadakan pada 6 Mac nanti. Antara projek segera yang dapat dikesan adalah penurapan jalan, pembesaran jalan dan memotong rumput di laluan ke kuala sungai.


Merlimau tak pernah dihiraukan majlis kerajaan tempatan selama ini. Ketua Menteri, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam juga dilihat sudah berkampung di Merlimau dengan mengadakan pelbagai majlis seperti perasmian jentera BN di Politeknik Merlimau, penyampaian wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan TEKUN, wang zakat, termasuk mengadakan perjumpaan dengan guru-guru Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) baru-baru ini.

Mohd Ali diumumkan sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya BN PRK Dun Merlimau.



HARAKAH • 4 – 7 RABIULAWAL 1432 / 7 – 10 FEBRUARI 2011


PAS bantah BN kibar bendera di Merlimau


TEMERLOH, 12 Feb: PAS membantah tindakan Barisan Nasional (BN) yang telah pun menaikkan bendera parti itu dan Umno di simpang-simpang dan sepanjang jalan di Merlimau, Melaka kerana ia jelas bercanggah dengan akta pilihan raya.

Serentak dengan itu, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar bertindak segera menurunkan bendera-bendera tersebut sebagaimana yang dilakukan terhadap PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang yang bulan lalu.

“Proses penamaan calon bagi PRK Merlimau akan diadakan pada 26 haribulan ini dan menurut akta pilihan raya semua parti politik hanya dibenarkan berkempen selepas tarikh itu.

“Kita juga membantah kempen pihak BN di media,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Perhubungan PAS Pahang hari ini.

Pakatan Rakyat memilih PAS meletakkan calon dalam PRK Merlimau 6 Mac depan.

Tuan Ibrahim yang baru dilantik sebagai Pengarah PRK Merlimau bagi PAS berkata, jentera PAS akan mengambil pendekatan mesra rakyat, bersikap sederhana dan tidak akan melayan sebarang provokasi agresif yang dijangka akan dilakukan oleh parti lawan.

Tambahnya, meskipun PAS sedar Dun berkenaan merupakan kawasan tradisi BN namun ia tidak mustahil bagi parti itu untuk membuat kejutan kerana kawasan tersebut memiliki pengundi-pengundi bermaklumat yang bersedia melakukan perubahan dan semua peti undi mempunyai pelbagai kaum.

Menurut Tuan Ibrahim, Dun tersebut mempunyai 10,766 pengundi dengan Melayu 64.69 %, Cina (21.11%), India (14.16%) dan lain-lain (0.04%).

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan selepas mengalami serangan jantung pada 20 Januari lalu.

Dalam pilihan raya umum 2008 itu, Mohamad Hidhir mengalahkan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154, iaitu pengurangan hampir 3,000 undi majoriti berbanding pencapaian BN sebelumnya.

“Dari segi kempen kita akan menekankan betapa pentingnya dewan Negeri Melaka menghantar wakil yang membawa mesej Islam, keadilan dan mendedahkan penyelewengan-penyelewengan kerajaan BN selama ini.

“Pengundi akan disedarkan bahawa Melaka pernah menjadi sebuah empayar Islam dulu dan pernah mempunyai kanun undang-undang Islam jadi jika kembali kepada Islam imej negeri itu akan lebih baik.

“Pengundi akan diajak berfikir bahawa setelah 13 kali mereka memilih BN, mereka harus mencuba Pakatan Rakyat bagi merasai perbezaan. Umpamanya di Selangor rakyat sudah menikmati air paip percuma dan di Kelantan warga tua diberikan perlindungan Takaful Kifalah,” jelasnya.

Harakahdaily


Merlimau realisasikan anak sulung PAS Melaka?


***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"...Barangsiapa yang berpegang teguh kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus." (Ali Imran: 101)
***

PILIHAN raya kecil N27 Merlimau yang insya-Allah akan diadakan tidak lama lagi, membuka peluang kepada PAS Melaka melahirkan anak sulung yang diidam-idamkannya sejak sekian lama.

Ini peluang terbaik PAS Melaka merealisasikan impiannya kerana jika ditunggu pilihan raya umum ke-13, PAS bukan saja perlu melahirkan anak sulung tetapi kembar sembilan bagi membolehkan ia menerajui kerajaan negeri.

Perkara ini saya sentuh dalam artikel saya di ruangan ini sebelum ini. Apa yang saya maksudkan dalam artikel itu PAS negeri tidak boleh melakukan gerak kerja seolah-olah mahu melahirkan anak sulung saja sebaliknya perlu bekerja terlalu keras bagi memenangi sekurang-kurangnya sembilan kerusi untuk membolehkannya dengan rakan Pakatan Rakyat - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP - membentuk kerajaan negeri yang diterajuinya.

Namun dengan adanya pilihan raya kecil Dun Merlimau berikutan kematian penyandang kerusinya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lalu, PAS Melaka tidak perlu melahirkan anak sulung kembar sembilan tetapi cukuplah anak sulung tunggal yang akan menggembirakan penyokong dan pendukungnya.

Jika kerusi Dun Merlimau ini dapat diraihnya, PAS Melaka mencatat sejarah berjaya menghantar wakilnya ke Sidang Dun Melaka buat pertama kalinya sejak 1974. Ketika itu PAS Melaka ada wakil di Dun tetapi parti itu adalah anggota komponen Barisan Nasional (BN). Sudah pasti sejarah ini tidak mahu diingati ahli dan pemimpin PAS, jadi melalui pilihan raya kecil Merlimau ini pulang terbuka luas baginya membuka lembaran baru di Melaka.

Namun begitu laluan PAS Melaka bukan mudah. Dun Merlimau (dalam Parlimen Jasin) yang mempunyai 10,471 pengundi adalah kubu kuat Umno. Peratusan pengundi Melayu di sini adalah 64.69 peratus, Cina 21.11 peratus, India 14.16 peratus manakala kaum-kaum lain 0.04 peratus. Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,827 undi.

Sebahagian besar pengundi Melayu dikenal pasti sebagai penyumbang tetap dan setia kepada kemenangan calon Umno-BN namun dengan peratusan orang bukan Melayu yang tinggi (kira-kira 35 peratus), harapan PAS boleh dicapai jika ia berjaya membolot undi dan sokongan mereka.

Sokongan pengundi bukan Melayu kepada PAS di Melaka ketara di kawasan bermajoritikan Melayu tetapi mempunyai pengundi bukan Melayu yang besar. Pada pilihan raya umum 2008 misalnya, di kawasan pengundinya bercampur-campur seperti Dun Bukit Baru yang pengundi Melayunya hanya kira-kira 55 peratus, Ketua Menteri Mohd Ali Rustam hanya menang dengan majoriti 2,708 undi.

PAS juga mencatat keputusan baik di kawasan pengundi bercampur-campur seperti di Lendu dan Durian Tunggal di mana pengundi Melayunya kira-kira 70 peratus tetapi tidak di kawasan bermajoriti Melayu yang tinggi seperti Tanjung Bidara (pengundi Melayunya 93 peratus), Ayer Limau (89 peratus) dan Serkam (87 peratus).

Berdasarkan hujah ini, jelaslah PAS mempunyai harapan tinggi di Dun Merlimau kerana pengundi bukan Melayunya besar (35 peratus). Jika PAS dapat meraih separuh daripada undi orang Melayu dan tiga perempat undi bukan Melayu, insya-Allah akan lahirlah anak sulungnya di Melaka!

Berikut tersiarnya dengan artikel saya sebelum ini, beberapa pembaca telah membuat komen mengenainya. Pemimpin, ahli serta penyokong Pas Melaka perlu bersedia menerima teguran ini, setidak-tidaknya bagi membantu mereka menghadapi pilihan raya kecil Merlimau yang insya-Allah akan melahirkan anak sulung mereka.

* Perjuangan ikhlas untuk menang pilihan raya dengan PAS menggantikan Umno memerlukan diri sendiri yang mahu berubah. Di samping kita marah dengan sikap sikap Umno mentadbir negeri, pada masa yang sama, kita lihat, perbaiki, perkemaskan, perbaharui sikap kita yang perlu dibaiki.

Kita ‘check’ (semak) diri kita sama ada amalan solat kita lengkap lima waktu, puasa Ramadan kita bagaimana pula, cara kita mendapat rezeki bagaimana, kecintaan kita kepada dunia bagaimana? Perubahan untuk menukar kerajaan memerlukan kita sendiri seiring perubahan diri yang lebih baik sebab politik itu ialah siasah.

Pengorbanan wang, tenaga, harta, pandangan antara elemen yang perlu untuk menang pilihan raya. Jiwa yang tabah juga perlu ada dalam perjuangan politik.

Kita tak boleh mengharapkan orang mempunyai ketabahan sebagaimana yang kita ada. Dunia sekarang ni pelik, manusia mengejar wang. Saya pernah berpengalaman di Selangor dulu sebelum pilihan raya masuk kampung untuk memberi penerangan, bergaul dengan masyarakat agar pada pilihan raya umum ke-12 lalu Umno ditewaskan.

Pernah sampai tahap duit dalam seluar ada RM3.50, dalam perjalanan, ada pulak orang yang nak meminjam RM10, macam mana tu…terpaksa gagah sekejap berjumpa kawan lain untuk pinjam duit RM10, kemudian dengan duit itu berilah pinjam kepada orang yang hendak meminjam daripada saya.

Melawan Umno seumpama durian melawan mentimun, tentu ada calar balar, dihina biasa, tak ada duit biasa di pihak kita, jika ada duit itu dah jadi luar biasa.

Jika PAS Melaka mampu, ada ketabahan sebagaimana yang pernah saya rasa, insya-Allah bukan satu kerusi sahaja,malah kesemua kerusi yang Umno tandingi melalui BN, insya-Allah Pas akan menang.

Artikel asal : LanH


Rayuan Dana PRK Merlimau


MELAKA: Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka mengalu-alukan sumbangan daripada orang-ramai bagi membantu mengisi Tabung Pilihan Raya PAS Melaka untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Merlimau pada 6 Mac kelak.

Menurut Bendahari PAS Melaka, Husni Balis Ali, PAS Melaka telah menyediakan satu akaun khas bagi tujuan tersebut agar dapat melancarkan lagi gerakerja pilihan raya yang seterusnya membantu usaha memenangi PRK tersebut.

Untuk itu, segala sumbangan bolehlah dibuat terus atas nama Tabung Pilihan Raya PAS Melaka di Bank Islam (04015010060272). Husni mengucapkan terima kasih di atas umbangan yang diberikan itu dan mengharapkan segala sumbangan tersebut diterima oleh Allah sebagai amal salih yang akan membantu kita di akhirat kelak.

HARAKAH • 4 – 7 RABIULAWAL 1432 / 7 – 10 FEBRUARI 2011


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59