Sunday, 13 February 2011

Maut pikat burung


BUKIT KATIL - “Arwah ayah memang gemar memikat burung dan sewaktu kemalangan berlaku, dia dalam perjalanan memikat burung di kawasan belukar berhampiran.”

Demikian menurut anak kedua mangsa, Azmi Seman, 43, mengenai bapanya, Seman Bujang, 67, yang maut ketika melintasi jalan berhampiran Jambatan Sungai Tebing Tinggi, di sini, pagi semalam.

Azmi berkata, kali terakhir dia bertemu ayahnya sewaktu minum kopi di warung berhampiran rumahnya dan ketika itu arwah tidak menunjukkan tanda pelik.

“Tetapi semalam ketika bertemunya di warung kopi kira-kira jam 8 malam, ayah tidak banyak bercakap, jadi saya pun tidak syak apa-apa.

“Cuma setahu saya, ayah sudah lama tidak keluar memikat burung. Tidak tahu kenapa semalam dia tiba-tiba keluar, mungkin sudah takdir,” katanya yang reda dengan pemergian ayahnya itu.

Menurutnya, sebelum ini ayahnya memang sering keluar dan adakala bersama rakan untuk memikat burung.

“Itulah hobi ayah dan jika sudah banyak burung diperoleh, adakala ayah jual. Kadang-kadang ayah pergi memikat sampai ke luar Melaka,” katanya.

Sumber : Sinar Harian


Tiga tahun derita mental, batin



MELAKA - Demi cinta, seorang janda sanggup memeluk Islam untuk berkahwin dengan seorang duda.

Namun, sejak tiga tahun lalu, istana kasih yang dibina tiba-tiba dipukul badai apabila mendapati suaminya curang dengan wanita lain.

Kerana itu juga, Anne, 53, (bukan nama sebenar) bercadang untuk kembali kepada agamanya asalnya iaitu Kristian gara-gara terseksa batin dan mental sejak suaminya tidak lagi menyentuhnya.

Lebih malang, Anne mendakwa suaminya memperlakukannya seolah-olah ‘habis manis sepah dibuang’ apabila tidak lagi tidur sekatil selepas dia banyak berkorban wang ringgit membayar hutang puluhan ribu ringgit suaminya yang berusia setahun muda daripadanya itu.

Anne ketika menemui wartawan Sinar Harian dengan sebak bercerita, dia berasal daripada suku kaum Bidayuh di Sarawak, berkahwin dengan anak :kelahiran Melaka yang kini bekerja di salah sebuah jabatan penting di bawah kerajaan negeri.

Menurutnya, sebelum Islamnya, dia pernah berkahwin dan mempunyai tiga anak lelaki yang kini berumur 34, 31 dan 29 tahun.

“Cuma anak bongsu sahaja mengikut saya memeluk Islam dan kini sudah mendirikan rumah tangga.

“Sebelum berkahwin dengan suami sekarang, dia juga mempunyai seorang anak perempuan berumur 26 tahun hasilp perkahwinan terdahulu,” katanya.


Anne berkata, perkahwinan keduanya pada 2003 tidak dikurniakan anak dan kehidupannya bahagia.

“Mungkin ketika itu saya mempunyai wang simpanan. Walaupun suami tidak membimbing saya dengan sempurna, saya tetap mengambil inisiatif sendiri dengan mencari guru agama.

“Alhamdulillah, saya boleh buat semua yang dituntut Islam seperti solat dan mengaji,” katanya yang tertekan dengan penderaan batin oleh suami.

Menurutnya, suaminya mula menampakkan sikap dinginnya sejak 2007 lalu.

“Apa salah saya? Siapakah saya di sisi suami. Selama ini saya begitu patuh dengan suami sehingga selangkah hendak keluar rumah, saya minta izin kerana saya faham Islam melarang isteri keluar rumah tanpa izin suami.

“Apa lagi tanggungjawab yang tidak cukup saya jalankan? Sehinggakan saya habiskan segala wang simpanan saya untuk atasi masalah suami dengan bank, malah sebahagian besar kos belanja bina rumah kami sekarang saya tanggung sampai duit saya sudah tiada lagi,” katanya.

Anne berkata, hatinya sudah remuk dan amat sedih selepas tiga tahun bersabar dengan sikap suami yang tidak bertanggungjawab.

“Jika diikutkan hati, saya rasa bagai hendak keluar kembali daripada Islam walaupun hakikatnya saya sayangkan Islam.

“Lagipun, isteri mana yang tidak sakit hati jika terbaca khidmat pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbit suami yang tertera ayat cinta dan sayang daripada perempuan lain,” katanya.

Paling kecewa menurutnya, hasratnya mendapatkan pertolongan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) tidak banyak membantu sebaliknya pihak berkenaan hanya mampu menyuruhnya bersabar dan memberikan sedikit sesi kaunseling.

“Kerana tidak tahan dengan perangai suami, saya bawa hati yang lara tinggal bersama keluarga yang beragama Kristian dan kini menetap di negeri ini.

“Saya terpaksa keluar dari rumah daripada dilayan bagai tunggul kayu. Sekurang-kurangnya keluarga saya tetap melayan saya dengan baik,” katanya.

Menurutnya, suami tahu di mana dia berada tetapi tidak pernah mengambil peduli, sebaliknya tergamak menghantar pakaiannya yang masih tertinggal di rumah mereka.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Ghazale Mohammad ketika dihubungi terkejut dengan kejadian itu dan berjanji akan melakukan siasatan secara terperinci mengenai dakwaan yang dibuat wanita terbabit.

Menurutnya, pihak MAIM amat mengambil berat soal saudara baru terutama membabitkan hal kebajikan mereka.

“Saya bimbang, wanita berkenaan merujuk pada salah tempat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi sehingga terpaksa menanggung penderitaan sejak tiga tahun lalu.

“Apa pun, saya akan cuba dapatkan maklumat terperinci mengenainya dan akan segera membantu secepat mungkin,” katanya.

Artikel asal : Sinar Harian


PAS tandingi Merlimau, tiada percanggahan


PETALING JAYA: KeADILan menjelaskan keputusan meletakkan calon PAS untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Merlimau adalah muktamad dan ia sekali gus menolak spekulasi percanggahan pendapat antara parti itu dengan PAS untuk bertanding di kerusi tersebut.

Timbalan Presiden KeADILan, Azmin Ali menyifatkan Pakatan Rakyat secara muafakat bersetuju mengekalkan kerusi kepada PAS untuk bertanding di PRK Merlimau 6 Mac nanti. Jelasnya, walaupun terdapat cadangan meletakkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar sebagai calon mewakili parti itu, Azmin berkata ia hanya sebahagian daripada isu perbincangan Pakatan Rakyat, 7 Februari lalu.

“Kita bincang cadangan Shamsul mewakili pandangan KeADILan Cabang Jasin bukan kapasiti beliau sebagai Ketua AMK. Beliau adalah Ketua Cabang Jasin dan merupakan seorang tokoh tempatan dan telah lama berkhidmat dengan masyarakat di kawasan berkenaan,” jelas beliau.

Tambah Azmin, parti itu mengambil kita pandangan semua pihak termasuk PAS dan DAP untuk mengenalpasti kekuatan maksima bagi meletakkan wakil Pakatan Rakyat yang mampu merampas kerusi tersebut yang disandang BN sebelum ini.

“Maka dalam mesyuarat Pakatan Rakyat semalam kita menghormati pandangan dan maklumbalas yang dikemukakan Shamsul, tapi pada masa yang sama dalam perbincangan berkenaan kita telah mengambil kira semua pandangan yang dikemukakan termasuk PAS dan DAP.

“Akhirnya kita membuat keputusan untuk mengekalkan kerusi Dun Merlimau kepada PAS dan ini diterima baik Shamsul Iskandar. Beliau sekadar memberi pandangan untuk erbincangan. Tidak salah bagi kita mendengar dan menghormati pandangan beliau. Akhirnya Pakatan Rakyat telah bermuafakat untuk bersama-sama membantu PAS dalam pilihan raya kecil kali ini,” katanya.

Azmin turut menolak dakwaan bahawa PAS tidak berhasrat untuk bertanding di Dun Merlimau justeru jelasnya Pakatan Rakyat akan memberi sokongan kuat kepada parti itu seperti mana pilihan raya kecil lalu.

Kerusi Dun Merlimau kosong apabila penyandangnya Dato’ Mohd Hidhir Abu Hassan mewakili Umno-BN meninggal dunia akibat serangan jantung 20 Januari lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Putra.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan 6 Mac bagi pilihan raya kecil kali ke-15 Dun Merlimau.

Sementara itu, PAS akan mengadakan mesyuarat untuk meneliti senarai calon pada PRK itu pada 13 Februari ini. Pada Pilihan Raya Umum 2008, kerusi Merlimau diwakili calon PAS, Jasme Tompang, sebelum itu pada pilihan raya umum 2004 ia diwakili calon KeADILan, S Jayanthas.

Harakah edisi 8 - 10 RABIULAWAL 1432 / 11 - 13 FEBRUARI 2011


Tuan Ibrahim pengarah PRK Merlimau bagi PAS


TEMERLOH, 11 Feb: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik menjadi Pengarah jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau 6 Mac depan.

Menurutnya perlantikan tersebut dibuat oleh Lajnah Politik PAS Pusat yang bermesyuarat baru-baru ini.

Tuan Ibrahim yang mengesahkan perkembangan tersebut berkata, mesyuarat pertama jentera PAS bagi PRK berkenaan telahpun diadakan semalam.

Pilihan raya ini merupakan PRK ke 16 sejak pilihan raya umum (PRU) Mac 2008.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) telah memutuskan calon PAS yang akan membawa cabaran bagi merampas kerusi BN itu.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan selepas mengalami serangan jantung pada 20 Januari lalu.

Dalam pilihan raya umum 2008 itu, Mohamad Hidhir mengalahkan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154, iaitu pengurangan hampir 3,000 undi berbanding pencapaian BN sebelumnya.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Daftar Pemilih yang akan digunakan untuk PRK ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010 (bagi bahagian pilihan raya berkenaan) yang telah dikemaskini sehingga 20 Januari 2011.

Daftar Pemilih tersebut mengandungi 10,679 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 10,643 pengundi biasa dan 36 pengundi pos.

Daripada jumlah tersebut,seramai 64.69% pengundi adalah berbangsa Melayu,21.11% Cina,14.16% India dan baki 0.04% pengundi lain-lain kaum.

Sumber : Harakahdaily


Ke mana menghilang bas 'London' Melaka ?


HUTANG kerajaan negeri Melaka meningkat RM587.3 juta pada 2009 berbanding RM441.76 juta pada 2008, tetapi pemimpinnya terus boros berbelanja termasuk menjalankan projek pembangunan yang diragui keberkesanannya atau memberi manfaat kepada rakyat kebanyakan.

Pelbagai projek mega dijayakan dengan membuat pinjaman kepada kerajaan Pusat tetapi sebahagian daripadanya tidak berdaya maju sehingga terpaksa menanggung kerugian berjuta-juta ringgit.

Antara projek yang gagal, tersadai atau cuba dimajukan semula adalah Pulau Melaka, roda gergasi Eye On Malaysia dan Litar Go-Kart di Ayer Keroh.

Sekalipun rakyat Melaka khasnya dan seluruh Malaysia amnya digembar-gemburkan dengan kejayaan negeri ini dari segi fizikal termasuk perisytiharan sendiri sebagai negeri berstatus maju pada 2010, prasarana untuk rakyat awam tidak banyak berubah.

Misalnya, jika dikaji dari segi pengangkutan awam, keadaan bas berhenti-henti yang menjalankan operasi dari pusat bandar (Melaka Sentral) hampir semuanya adalah buruk-buruk belaka.

Jika seseorang berada di Melaka Sentral, jenguklah di bahagian yang menempatkan bas tempatan. Akan terlihatlah puluhan bas lama, berdedu dan keadaan ini berbeza dengan seksyen bas ekspres yang kebanyakan bas di situ adalah baru-baru belaka termasuklah jenis dua tingkat.

Selain pelbagai syarikat persendirian yang mengendalikan bas tempatan (berhenti henti) itu, ada sebuah syarikat kerajaan negeri (PM Culture and Tour, PMCT) tutut terbabit dengan menawarkan perkhidmatan bas Panorama di sekitar bandar raya Melaka.

Baru-baru ini kerajaan Melaka membeli 10 buah bas baru bagi menggantikan bas sedia ada. Sebuah bas yang ditempah khas dari China itu membabitkan harga RM235,000.

Apabila dikatakan bagi MENGGANTIKAN bas sedia ada, apakah bermakna sejumlah bas termasuk bas dua tingkat berwarna merah yang didatangkan khas dari London sudah dinyahkan. Patutlah sejak setahun ini, penulis tidak pernah lagi melihat bas London ini bergerak di jalan raya Melaka.

Tiga tahun lalu, bas London ini menjadi kebanggaan hampir kebanyakan pemimpin dan rakyat Melaka. Hakikatnya dua bas London ini sudah uzur (buatan 1981) dibeli dengan status bas terpakai daripada London Bus Export dengan harga RM200,000 setiap satu.

Adalah amat malang bagi rakyat Melaka jika wang pembelian dua bas ini sebanyak RM500,000 (termasuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan seperti pemasangan alat penghawa dingin berharga RM56,000) lebur dalam masa beberapa tahun saja.

Membeli bas buruk adalah kerja sia-sia, tetapi tentunya ada pihak ketawa berdekah-dekah kerana dapat menjual besi buruk dengan harga sebegitu tinggi, demikian juga mungkinkah ada pihak kenyang dengan projek terlalu ke belakang ini (al-maklumlah bas bersejarah tentunya sesuai untuk negeri bersejarah).

Dulu pemimpin amat berbangga dapat membeli bas ini kononnya ia pernah menjelajah tempat-tempat menarik di kota London seperti Istana Buckingham, Tower Bridge, Madamme Tussaud's Museum, Westminster Abbey dan West End, tetapi kini apakah bas tua ini masih mempunyai kudrat menyelusuri Jalan Bandar Hilir bagi melewati tempat-tempat bersejarah seperti A’Famosa, bangunan Stadhuys dan binaan baru seperti Menara Taming Sari? Atau pun bas tua ini sudah sampai masa persaraannya, dibiarkan nazak bersama berkaratnya besi buruknya di sebuah gubuk yang tidak diketahui lokasinya.

Sungguh malang bas tua dua tingkat dari London ini, tetapi lebih malang lagi rakyat Melaka yang pemimpinnya boleh menghabiskan wang RM500,000 begitu saja!
Hal ini tidak menghairankan kerana laporan Ketua Audit Negara 2009 membuktikan terlalu banyak pembaziran membabitkan kerajaan negeri termasuk di Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) sendiri.

Antara JKMM telah membelanjakan sejumlah RM2.47 juta bagi tempoh tahun 2006 hingga 2009 untuk perolehan 17 buah kenderaan baru. Laporan itu menyatakan keseluruhannya pengurusan kenderaan JKMM adalah tidak memuaskan kerana terdapat kelemahan yang telah mengakibatkan kerugian kepada kerajaan negeri dan pembaziran wang awam.

Demikianlah terlalu banyak berlaku pembaziran dan pemborosan oleh pemimpin negeri. ‘Kehilangan’ bas tua London daripada pandangan mata umum adalah bukti jelas pemimpin pandai bermain silap mata, jadi apakah rakyat mahu terus memilih orang jenis ini (sudah tua pun) sebagai pemimpin mereka pada masa depan?

Sumber : LanH


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59