Thursday, 3 February 2011

Teguhkan hubungan ahli Pakatan Rakyat


SUDAH hampir tiga tahun Pakatan Rakyat ditubuhkan, tetapi hubungan antara ahli-ahli daripada tiga parti yang berbeza masih perlu diperbaiki. Mungkin ia disebabkan oleh status-quo negara kita yang masih bersifat perkauman, ataupun ideologi parti yang berbeza.

Saya merupakan seorang ahli DAP dari Melaka, dan saya ingin merapatkan hubungan dengan ahli KeADILan serta PAS dari Melaka. Malangnya, apabila saya bertanya-tanya daripada rakan saya, merekapun jarang berinteraksi dengan ahli PAS. Perkara ini agak serius kerana ini akan menyebabkan salah faham, bahawa rakyat akan membuat perbandingan antara Pakatan Rakyat dengan BN, apakah perbezaan kedua-dua parti ini?

Yang saya tahu, Pakatan Rakyat terdiri daripada parti ‘multi-racial’ dan anti-rasis, demi kesejahteraan negara dan bangsa. Kita berpakat dan sudi melawan politik perkauman BN yang mempecahbelahkan Malaysia yang tercinta.

Justeru, ketiga-tiga parti politik Pakatan Rakyat harus mengetepikan agenda sendiri dahulu dan lebih bersepadu sesama ahli yang berlainan parti. Seperti yang umum tahu, selatan Malaysia merupakan kubu BN. Ada segelintir rakyat negeri Johor memberitahu kepada saya, bahawa tiada cabang Pakatan Rakyat di kawasan mereka. Walaupun terdapat cabang KeADILan, tetapi ia tidak berfungsi langsung.

Dalam keadaan sebegini, rugilah Pakatan Rakyat kerana tidak merapatkan hubungan dengan penduduk tempatan. Yang lain pula, kaum Cina masih bingung apabila berhadapan dengan PAS di kawasan mereka. Mereka masih berkeliru dan menganggap PAS adalah parti Islam yang berkhidmat untuk kaum Melayu sahaja. Bukan semua kaum Cina seperti saya, mampu mendapatkan informasi terkini PAS daripada Harakah. Kebanyakan mereka masih mempercayai teori karut MCA.

Cadangan saya adalah, rapatkan hubungan antara ahli Pakatan Rakyat dahulu, dan sudi melawat dan berkhidmat untuk rakyat secara automatik, jangan biarkan rakyat susah-susah mencari anda. Mengadakan ceramah yang bersifat semangat Pakatan Rakyat. Ahli parlimen dan Adun daripada ketiga-tiga parti politik dijemput untuk memberikan ucapan dan pandangan mereka.

Pada hari Jumaat yang lalu, saya berasa gembira kerana DAP dapat menjemput Mujahid Yusof Rawa ke dewan rakyat DAP, dan para hadirin terdiri daripada pelbagai kaum, termasuk ramai daripada KeADILan dan PAS.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Apabila Pakatan Rakyat bersepadu, barulah BN cepat hancur.

Hidup Rakyat, Hidup Perpaduan!

• SAW TAN
Ahli DAP Melaka

HARAKAH 20 – 23 SAFAR 1432 / 24 – 27 JANUARI 2011


PAS Melaka sedia bertanding di Merlimau


MELAKA: PAS Melaka telah bersedia bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau yang akan diadakan sedikit masa lagi,” kata Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.

Menurutnya, Dun Merlimau adalah antara Dun berpotensi yang menjadi sasaran PAS untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum nanti dan PAS telah meningkatkan gerak kerja jentera di pelbagai peringkat selepas PRU 2008 berdasarkan sokongan yang memberangsangkan kepada PAS.

“Kebetulan PAS Melaka telah mengadakan ‘Program Mendekati Rakyat’ di ke semua Dun yang PAS bertanding pada 2008 dan Dun Merlimau baharu seminggu kita mengadakan program yang sama di situ di mana sokongan yang diterima begitu menggalakkan.

“Walau bagaimanapun semuanya akan diputuskan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat di peringkat pusat yang akan bermesyuarat untuk menentukan keputusannya kerana peningkatan undi Dun Merlimau adalah antara yang tertinggi diterima PAS pada pilihan raya lalu,” katanya.

Malah katanya, Umno- BN akan berdepan dengan tentangan sengit daripada PAS yang kali ini mendapat kerjasama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat seperti DAP serta KeADILan.

“Kita telah mempunyai calon-calon yang sesuai dan berwibawa untuk memenangi PRK Dun Merlimau ini serta disenangi masyarakat setempat,” ujarnya.

Beliau menambah, berdasarkan perkembangan semasa selepas memenangi sembilan daripada tiga belas PRK, kita yakin rakyat Melaka sudah berani melakukan perubahan dan akan memberikan kemenangan kepada PAS.

Dalam Pilihan Raya Umum tiga tahun lalu, calon PAS Mejar (B) Jasme Tompang tewas di tangan Dato’ Mohamad Hidhir Abu Hassan dengan majoriti 2,154 iaitu peningkatan hampir 3,000 undi berbanding calon KeADILan Jayathas yang kalah teruk dengan majoriti 5,087 undi pada 2004.

Daripada 10,471 pengundi di Dun itu, 64.69 peratus adalah Melayu, Cina (21.11 peratus), India (14.16 peratus) dan lain-lain sebanyak 0.04 peratus.

HARAKAH • 27 – 30 SAFAR 1432 / 31 JANUARI – 3 FEBRUARI 2011


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59