Monday, 24 January 2011

Masalah parit : kali ini di Bukit Pulau


Baru sahaja berita tentang masalah longkang di Taman Harta Pertama, Bukit Baru dipaparkan di Harakahdaily.com dan laman blog ini pada bulan lepas, kini isu yang hampir serupa melanda Kampung Bukit Pulau yang terletak bersebelahan dengan taman perumahan tersebut. Bezanya, parit di Bukit Pulau sedang menjalani proses menaik taraf namun apa yang berlaku adalah terdapat sesuatu yang ‘tidak kena' pada projek tersebut.

Projek parit di Bukit Pulau dikatakan tidak menepati piawaian yang ditetapkan apabila benteng batu yang dibina di tepi parit telah membuatkan laluan parit menjadi kecil. Ia dipercayai disebabkan oleh struktur tebing parit yang tidak cukup kuat untuk menampung benteng batu lalu menyebabkan sebahagian daripada benteng batu yang dibina ‘melorot’ ke bahagian tengah parit.

Tinjauan wakil Dewan Pemuda PAS Bukit Katil bersama dengan Penyelia DUN Bukit Katil, Cikgu Yusof Wahab baru – baru ini mendapati bongkah – bongkah batu yang sepatutnya menjadi benteng untuk menyokong tebing parit telah beralih kedudukan ke bahagian tengah parit. Ia telah menyebabkan laluan air menjadi sempit dan dikhuatiri akan menyebabkan perjalanan air menjadi tidak lancar apabila hujan lebat.


Tebing batu yang mengecilkan laluan parit

Cikgu Yusof Wahab dalam ulasan beliau mempertikaikan perlaksanaan projek ini yang mana sepatutnya perancangan dan kajian rapi tentang struktur tanah dilakukan dengan sempurna sebelum projek dijalankan.

“ Adakah pemilihan kontraktor yang diamanahkan untuk melaksanakan projek ini dibuat dengan telus dan berdasarkan kelayakan yang sewajarnya? Kita tidak mahu kos projek akan meningkat dengan kadar yang tidak munasabah akibat daripada kecuaian dan ketidakcekapan kontraktor yang terlibat “, ujar beliau.

Mat Zin, 45, yang merupakan salah seorang daripada ratusan penduduk tempatan yang sering berulang – alik menggunakan laluan jalan di tepi parit tersebut juga melahirkan kekhuatiran beliau tentang masalah banjir yang mungkin berlaku akibat daripada masalah ini.

“ Sebelum ini di beberapa tempat di kampung ini telah berlaku kejadian air parit melimpah ke tengah jalan di bahagian lain parit besar ini. Kita khuatir masalah banjir ini akan berlarutan malah merebak pula ke bahagian parit yang tidak dinaik-taraf dengan betul, akibat daripada kecuaian pihak yang berwajib terhadap projek ini”, kata beliau.

Laporan oleh Musab Umair

Penyelia Dun Bukit Baru menunjukkan saliran parit yang mengecil

Saliran asal parit yang lebar


Susulan Penahanan AJK Pemuda PAS Kawasan Jasin : Pemuda PAS Melaka buat bantahan


MELAKA: Pemuda PAS Melaka membantah penahanan tiga Ahli Jawatankuasanya pada malam tahun baru ketika program ‘Ekspedisi Dakwah’ mengedarkan risalah penerangan kepada orang ramai di Dataran Sejarah, Ayer Keroh, di sini.

Menurut Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sedik bahawa Pemuda PAS membantah keras serta kecewa dengan penahanan tersebut dan mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

“Mereka ditahan kira-kira jam 12.00 tengah malam dan hanya dibebaskan sekitar tengah hari keesokan harinya malah langsung tidak diberikan sebarang makanan. Lebih menyedihkan mereka juga cuba dinafikan hak untuk bersolat subuh sehingga tinggal lima minit lagi habis waktu baru dibenarkan solat setelah didesak berkali-kali,” ujarnya.

Tambah beliau, mereka yang ditahan itu adalah sebahagian daripada 30 Pemuda PAS yang mengedarkan risalah sempena Sambutan Tahun Baru pada 31 Disember lalu yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu di Dataran Sejarah, Ayer Keroh dan Dataran Pahlawan Banda Hilir.

“Ekspedisi Dakwah ini adalah aktiviti tahunan yang kita adakan pada setiap kali Sambutan Hari Kemerdekaan dan Tahun Baru tetapi pada kali ini pihak penguatkuasa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menghalang usaha murni kami sehingga berlaku pertikaman lidah yang membawa kepada penahanan mereka bertiga.

“Sepatutnya perkara seperti ini tidak berlaku dan kita harap pihak keselamatan berlaku adil terhadap kami di dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pegawai keselamatan bukannya bertindak atas dasar kepentingan politik Umno-BN.

“Tindakan seperti tidak akan mematahkan semangat kami untuk meneruskan penyampaian maklumat kepada rakyat khususnya di Melaka ini agar mereka melakukan perubahan demi kesejahteraan hidup semua masyarakat,” katanya.



Sumber : Harakah keluaran 3 – 5 SAFAR 1432 / 7 – 9 JANUARI 2011


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59