Tuesday, 18 January 2011

Pas serius bangunkan pendidikan pra-sekolah



MELAKA: Kerajaan BN tidak serius dalam memajukan pendidikan prasekolah di negara ini, kata Pengarah Pasti Pusat, Azrin Ab Majid ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Guru Pasti Melaka dan Negeri Sembilan 2010 bertempat D’ Village Ayer Keroh, dekat sini, baru-baru ini.

“Kerajaan BN yang menerajui kepimpinan negara hari ini tidak serius dalam memajukan pendidikan pra-sekolah di dalam negara ini dan kalau kita lihat usaha kerajaan untuk tujuan tersebut cuma sekitar 65 peratus sahaja.

“Kerajaan hanya jadikan agenda besar kepada pendidikan prasekolah ini hanya pada tahun 2003 berbeza dengan PAS yang meletakkan Pasti sebagai pembentukan asas individu Muslim sejati sejak di awal usia.

“Untuk itu kita mempunyai ruang dakwah yang sangat besar di depan mata kita dalam mengisi kekosongan atau kelompangan ini. Ia satu peluang untuk memberi sumbangan besar Kerjanya juga tentulah besar serta memerlukan komitmen yang tinggi dari pada semua pihak,” ujar beliau.


Tambah beliau, PAS telah berjaya meletakkan program prasekolah hanya di bawah satu organisasi iaitu Jabatan Pasti berbanding pihak kerajaan yang terbahagi kepada beberapa kementerian hingga menyebabkan kecelaruan seperti Kemas, Jaim, prasekolah dan terbaru di bawah Permata Negara.

“Ini menunjukkan bahawa mereka tak serius untuk memajukan anak bangsa kerana di situ adanya berbagai kepentingan untuk diri mahupun kroni melalui peruntukan yang disalurkan, bukannya melihat atas kepentingan masa depan kanak-kanak tersebut. Syukur walaupun dihimpit dan ditekan kita masih boleh menambah cawangan dan pelajar pada setiap tahun. Kita mahu Pasti terus maju melalui komitmen semua pihak agar generasi yang dididik dengan asas Islam ini mampu memimpin negara kelak,” katanya.

Penganugerahan tauliah Sijil Perakuan Pasti Malaysia ini diberikan kepada guru-guru yang berjaya menamatkan kursus asas perguruan dan lanjutan Pasti. Seramai 30 orang guru dari Melaka dan 29 guru dari Negeri Sembilan berjaya menamatkan kursus.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek; Ketua Muslimat PAS Melaka, Dr Khatijah Jumangat; Pengarah Pasti Melaka, Abdul Kadir Dewa dan Pengarah Pasti Negeri Sembilan, Ustaz Nazri Zainuddin.

Sumber : Harakah keluaran 28 Muharam - 2 Safar 1432 / 3 - 6 Januari 2011


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59