Monday, 17 January 2011

Saman tiada tanda amaran


MELAKA - Tindakan kakitangan penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang secara tiba-tiba mengenakan tindakan saman terhadap kenderaan diletakkan di kawasan persendirian bersebelahan sebuah gereja di Jalan Bendahara, dekat sini menimbulkan tanda tanya pemilik kenderaan terbabit.

Ini kerana, sebelum ini, tiada sebarang tanda ama-ran diletakkan atau gari-san kuning yang memberi ingatan melarang sebarang kenderaan awam diletakkan di kawasan itu.

Pemilik kenderaan yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan itu, Norlidawati Ghazali, 26, berkata, dia kesal apabila pihak terbabit menyamannya pada 11 Januari lalu dan masa dicatatkan adalah 11.18 pagi atas alasan meletakan kenderaan di luar petak dibenarkan.

Menurutnya, sejak meletakkan kenderaan di situ hampir setahun lalu, tiada sebarang masalah atau amaran daripada pihak berkuasa mengenai kesalahan terbabit.

“Tetapi mengapakah pada hari itu sahaja mereka bertindak menyaman kenderaan di sini. Tambah mengecewakan saya, hanya beberapa kenderaan sahaja disaman sedangkan terdapat lebih seratus kenderaan lain diletakkan di sini.

“Musykil dengan apa yang dialami, saya terus ke pejabat MBMB untuk mendapatkan penjelasan, namun sekali lagi saya kesal dengan cara kakitangan yang bertugas melayan saya,” katanya.

Norlidawati berkata, bagaimanapun, dia sudah pun menjelaskan saman berkenaan yang berjumlah RM50 pada hari terbabit iaitu setelah kakitangan terbabit gagal memberikan jawapan yang pasti.

Menurutnya, atas rasa tidak puas hati, memaksa dia merujuk beberapa agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta kenalan yang bertugas di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jawapan yang saya terima menyatakan pihak berkenaan tidak patut mengenakan tindakan saman terhadap saya atas sebab tiada garisan kuning atau sebarang papan tanda menyatakan larangan meletakkan kenderaan di kawasan terbabit.

“Sekiranya pihak berkenaan melarang sebarang kenderaan diletakkan di situ perlu ada notis amaran supaya tidak menyusahkan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.

Norlidawati berkata, dia menagih jawapan pasti daripada pihak MBMB mengenai apa yang dialami pada 11 Januari lalu.

Pautan : Sinar Harian Edisi Melaka


Sajak : Yang degil bukan hanya Israel


Yang degil bukan hanya Israel
tapi kita juga degil
kerana sejak dahulu
kita enggan bersatu.

Malah selalu tak sekata
sama sendiri bersengketa
maka seramai mana pun kita
tidak akan berdaya melawannya.

Menjadikan kekejaman terus berleluasa
dengan kita tidak bisa berbuat apa-apa
selain mengutuk berdemonstrasi
yang tetap tidak dipeduli.

Sampai bilakah kita mahu menjadi begini
seperti sebatang lidi
yang dipatah-patahkan mudah sekali
atau bersatu menjadi sebuah penyapu
yang kuat dan padu
mematahnya tidak siapa pun mampu.

EHSAN JAMILY
Melaka

Harakah 25 - 27 MUHARAM 1432 / 31 DISEMBER 2010 - 2 JANUARI 2011


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59