Friday, 14 January 2011

Penduduk taman bantah pembinaan jalan


MELAKA: Belum pun reda isu perobohan surau dan markas PAS Kawasan Bukit Katil atas alasan pembinaan jalan raya dari jalan Bukit Katil-Duyong ke persimpangan jalan Bukit Bruang kini timbul pula bantahan daripada penduduk taman yang terlibat.

Penduduk Taman Merak Mas yang terbabit dengan pembinaan itu membantah cadangan laluan jalan utama melalui taman perumahan yang mereka duduki sejak lebih 10 tahun itu kerana ianya akan mengganggu ketenteraman dan keselamatan mereka selama ini.

Menurut Salleh Ahmad, 49, bekerja sendiri, bahawa sebelum ini mereka sudah terganggu dengan kesibukan lalu lintas di dalam taman perumahan itu dan jika ianya dilaksanakan bakal meningkatkan kesibukan yang sedia ada.

“Ianya akan mengganggu kententeraman kami, bising dengan bunyi kenderaan, kalau tak buat pun tak apa bukannya ada keperluan sebab laluan keluar ke jalan utama yang sedia ada dalam taman ini sudah cukup,” katanya.

Seorang pesara, Kasim Abd Samad, 67, berkata bahawa beliau sangat tidak bersetuju kerana laluan tersebut akan membahayakan keselamatan kanak-kanak di dalam kawasan perumahan itu.

“Masa buat taman dulu mereka tak kata pun akan dibuat jalan raya utama merentangi kawasan taman ini dan kita bersetuju beli kerana merasakan kawasan ini sesuai untuk tinggal sebab jauh dari hiruk-pikuk jalan raya,” ujar beliau.

Menurut Md Jas Abd Rahman, 63, pesara, penduduk membantah cadangan ini kerana ianya tidak sesuai dan praktikal memandangkan banyak kawasan perumahan yang terdapat di dalam laluan itu berbanding kawasan lain yang kosong serta lebih sesuai dibina jalan raya.

“Kita sangat tak setuju bina jalan raya dua lorong di dalam kawasan taman ini kerana bukannya banyak sangat kenderaan yang nak lalu sini,” tegasnya.

Pelan terbaru yang diterima oleh pemilik tanah bagi cadangan pembinaan jalan utama dari persimpangan Jalan Bukit Beruang- Jalan Tun Razak Ayer Keroh ke persimpangan Kampung Bukit Bayan dan persimpangan Jalan Bukit Katil Duyong ini adalah pelan ketiga di mana Markas PAS Bukit Katil bakal dirobohkan.

Sumber : HARAKAH Keluaran 3 - 5 SAFAR 1432 / 7 - 9 JANUARI 2011


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59