Thursday, 13 January 2011

Tingkatkan program kebajikan kepada masyarakat – Ustaz Ghani


MELAKA: Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman meminta ahli PAS di semua peringkat meningkatkan program kebajikan kepada masyarakat sebagai salah satu cara untuk mempromosikan Islam khususnya kepada golongan bukan Islam.

“Program sebegini mampu mempromosikan pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS kerana mereka selama ini telah dikelirukan Umno-BN yang tidak mahu orang bukan Islam mendapat maklumat yang sebenar tentang Islam termasuk PAS,” kata beliau ketika turun padang bertemu masyarakat Tionghua di Taboh Naning, baru-baru ini.

Menurutnya, Islam memperjuangkan keadilan dan membela nasib semua bangsa di dalam negara ini termasuk golongan bukan Islam yang dinafikan haknya oleh Umno-BN walaupun berlainan kaum atau agama kerana Islam rahmat untuk seluruh alam ini.



“Jadi walaupun yang susah atau miskin itu bukan orang Melayu, bukan orang Islam, sebagai pemimpin yang berkuasa atau pemerintah di dalam sesebuah negara perlu membantu mereka agar mereka juga dapat hidup bahagia seperti orang lain. Tapi Umno-BN hari ini tak kira apa bangsa, apa agama sekalipun kalau tak sokong mereka, tak undi mereka dalam pilihan raya nanti bantuan atau sumbangan walaupun berhak akan disekat dan dinafikan,” katanya.

Beliau turut kesal dengan kegagalan kerajaan negeri Melaka meningkatkan keselesaan hidup kepada rakyat Melaka kerana masih ramai lagi golongan susah yang tidak mendapat pembelaan sedangkan kononnya Melaka telah diisytiharkan sebagai negeri maju.

Tambahnya, sepatutnya kerajaan menghentikan segera pembaziran yang dilakukan menerusi pelbagai projek mega yang dilaksanakan di Melaka kerana ianya langsung tidak membantu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat sebaliknya hanya menguntungkan kroni Ketua Menteri sahaja.

“Lihatlah apa dah terjadi pada ‘Eye On Malaysia’ rugi jutaan ringgit, air terjun buatan di Bukit Sebukor menelan kos RM1.7 juta duit rakyat dan belum termasuk kos penyelenggaraannya setiap bulan, bukankah itu satu pembaziran wang rakyat.

“Kalau PAS diberi peluang memerintah pada PRU-13 nanti perkara utama yang akan kita beri perhatian adalah kebajikan kepada semua rakyat sebagai contohnya bantuan sumbangan kepada waris simati yang dilaksanakan di negeri Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Sumber berita : Harakah keluaran 25 - 27 MUHARAM 1432 / 31 DISEMBER 2010 - 2 JANUARI 2011


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59