Sunday, 2 January 2011

Lagi penindasan terhadap peniaga bumiputera Melaka


MELAKA: Beberapa peniaga bumiputera kecewa dengan tindakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang mengarahkan mereka pindah daripada premis yang disewa sejak lebih 10 tahun lalu kerana bangunan tersebut ingin dijadikan hotel.

Mereka adalah di antara penyewa di enam kedai pada bahagian bawah bangunan empat tingkat milik MAIM di Jalan Kee Ann itu dan tapak bangunan tersebut merupakan tanah wakaf Kampung Hulu, sementara di tingkat atasnya dijadikan pejabat bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka dan kini dikosongkan selepas dipindahkan ke Bukit Baru.

Menurut Setiausaha PAS Melaka, Harun Mohamad bahawa PAS bukannya antipembangunan tetapi persoalannya ialah mengapa setiap kali projek pembangunan yang dibuat di Melaka ianya akan mengorbankan kepentingan atau hak bumiputera.

“Kita tidak anti pembangunan tapi jangan ketepikan peniaga bumiputera dengan sewenangnya tanpa memberikan pembelaan dan layanan yang sewajarnya kerana mereka antara beberapa kerat sahaja peniaga bumiputera yang masih tinggal di kawasan bandar Melaka.

“Kita tak mahu nasib mereka sama seperti nasib 20 peniaga bumiputera di bangunan MARA yang dirobohkan dan dihalau keluar sedikit masa dahulu hanya untuk dijadikan tempat meletak kenderaan yang kini dikenali Padang Nyiru,” kata beliau.

Menurut seorang peniaga buku agama dan pakaian, Abdul Rahman Muhamad, 54, mereka kecewa dan kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh MAIM supaya berpindah daripada premis itu tanpa sebarang pampasan dan tidak menyediakan satu tempat perniagaan yang baru bagi peniaga.

“Nak pergi pindah tempat baru, nak mula balik, cari pelanggan baru balik amat menyukarkan kami sedangkan masing-masing ada komitmen nak bayar hutang bank dan sebagainya yang tak boleh ditangguhkan, inikah yang dikatakan rakyat didahulukan.

“Saya nak bertanya kepada kerajaan negeri di manakah pembelaan untuk peniaga Melayu di dalam kawasan bandar kerana hanya tinggal kami ini sahaja dan selepas ini tiada lagilah peniaga bumiputera di dalam bandar Melaka.

“Tempat ini dulunya mati tak ada orang nak sewa tapi kita berjaya majukan dengan berniaga di sini walaupun dalam keadaan rugi kita mampu bertahan tapi kini kenapa MAIM tak hargainya,” ujarnya.

Seorang peniaga kelengkapan pakaian seragam, Syed Mustapha Hassan, 59, berkata, para peniaga ini semuanya berpindah daripada kawasan perniagaan Kampung Jawa yang mengalami kebakaran sedikit masa dahulu.

“Kami kecewa kerana ini bangunan kerajaan di mana kerajaan kata nak galak peniaga Melayu berniaga tapi kita tengah berniaga disuruh keluar begitu sahaja dan pandai sendirilah nak hidup,” katanya.

Sementara itu, Mokhtar Omar, 52, yang berniaga pakaian dan kitab agama meminta kerajaan negeri menyediakan satu tempat yang strategik bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan seperti biasa.

“Peniaga minta kerajaan negeri atau MAIM memikirkan pampasan untuk kami bagi menampung kos perpindahan dan kita harap kerajaan dapat membantu kami,” tambah beliau.

Sumber : Harakah 14 – 17 MUHARAM 1432 / 20 – 23 DISEMBER 2010


Kenyataan Media


Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil ( DPPKBK ) menyelar tindakan pihak polis yang telah menangkap 3 orang pimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin ketika program XPDC Dakwah anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka pada malam tahun baru 2011 yang lepas di Dataran Ayer Keroh.

DPPKBK memandang berat tentang tangkapan yang jelas mempunyai motif politik, kerana risalah yang diedarkan adalah tidak mempunyai apa - apa niat jahat, fitnah mahupun penipuan. Ianya semata - mata berdasarkan konsep kebebasan media yang mahukan rakyat Melaka peka, rasional dan berpengetahuan.

Tindakan ini adalah bukti kegentaran pihak berkuasa apabila risalah mengenai kepincangan kerajaan negeri Melaka didedahkan kepada masyarakat tempatan. Dengan ini DPPKBK menyokong penuh pengisytiharan yang termaktub di dalam Buku Jingga yang menyarankan pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang nyata telah disalahgunakan oleh pihak berkuasa bagi melindungi kerajaan Umno / Barisan Nasional negeri Melaka.

Bersatu membawa perubahan,

Jauhar Md Dawi,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil
2 Januari 2011

Harakahdaily


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59