Thursday, 8 December 2011

Teh Tarik Terakhir Sebelum Ajal




MELAKA: Seorang pengawal keselamatan sempat menikmati teh tarik terakhir sebelum maut selepas basikal ditungganginya dirempuh sebuah Perodua Kenari di Jalan Telok Emas-Melaka berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Zulkepli Ab Rauf, 58, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan.

Mangsa yang masih bujang ketika itu hanya beberapa meter dari kawasan sekolah tempatnya bekerja. Jiran mangsa, Md Radzi Senin, 30, berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu mangsa meninggal dunia kerana baru berbual dengannya sambil minum bersama di sebuah gerai di Alai.

Katanya, ketika itu arwah memberitahu mula bekerja jam 7 petang dan sempat minum teh tarik sebelum mengayuh basikalnya meninggalkan gerai untuk ke tempat kerja.

“Ketika duduk bersama rakan lain, tiba-tiba orang memberitahu arwah dilanggar kereta dan meninggal dunia sebelum saya bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika tiba saya mendapati badannya sudah terkujur di tepi jalan dan tidak menyangka sempat menemuinya sebelum meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang basikal memasuki arah kanan menghala ke sekolah berkenaan.

“Ketika itu, sebuah Perodua Kenari dari pusat bandar raya merempuh mangsa menyebabkannya maut di tempat kejadian,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk dikebumikan.


Pelacuran Aktif Negeri Melaka




MELAKA: Satu sindiket pelacuran yang aktif di negeri ini sejak sekian lama dengan menjadikan wanita warga Vietnam sebagai pelayan pelanggan (GRO) dan pelacur tumpas apabila diserbu anggota Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Melaka, semalam.

Operasi dijalankan di dua unit sebuah kondominium di Klebang, dekat sini, jam 12.30 tengah hari itu menahan 29 wanita berusia 18 hingga 55 tahun.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail, berkata anggotanya terpaksa memotong kunci pintu sebuah unit kondominium itu selepas keengganan wanita berusia 55 tahun dipercayai ibu ayam memberikan kerjasama.

“Serbuan diketuai Timbalan Penolong Pengarah negeri, Salmah Omar bersama 14 anggota selepas menjalankan risikan selama dua minggu dan hasil maklumat awam.

“Pasukan kami menahan 29 wanita warga Vietnam iaitu 12 wanita ditahan di unit pertama manakala bakinya di unit kedua. Ketika diserbu, mereka tidak melarikan diri, sebaliknya ada yang tidur dan makan,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap semua yang ditahan mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (c) dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 serta Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, risikan dilakukan mendapati dua unit kondominium berkenaan dipercayai hanya dijadikan tempat penginapan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati dua daripada ditahan tinggal lebih masa, lapan tiada pas manakala 19 lagi termasuk ibu ayam itu menyalahgunakan pas lawatan.

“Mereka masuk menggunakan pas lawatan sosial, namun bekerja di sini, malah ada yang datang semula selepas sebulan pulang ke negara asal dan memasuki negara ini pada hari sama,” katanya.

Kamalludin berkata, hasil risikan mendapati sindiket itu menggunakan modus operandi dengan mengambil wanita berkenaan di kondominium itu jam 7.30 petang sebelum dihantar ke pusat hiburan.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan, selain kad kerja semua wanita itu, enam ikat resit perkhidmatan dirampas.

“Terdapat dua jenis resit iaitu kuning dan putih dengan kuning untuk khidmat minuman manakala putih untuk khidmat seks,” katanya.


Wednesday, 7 December 2011

Mayat Dalam Sungai Malim




MELAKA: “Mulanya saya sangkakan sampah hanyut di Sungai Malim. Namun, sebaik sampah itu hampir di tempat saya buat kerja pembersihan, saya terperanjat besar melihat mayat manusia hanyut dibawa arus dalam keadaan tertangkup.”

Begitu kata seorang pekerja am Jabatan Pengairan dan Saliran Melaka, Al Hadi Md Yunus, 42, berhubung penemuan mayat seorang lelaki disyaki warga asing di Sungai Malim, jam 11.40 pagi semalam.

Difahamkan, siasatan awal polis mengesyaki mayat mangsa dihanyutkan arus deras dari Durian Tunggal, Alor Gajah iaitu 25 kilometer sebelum ditemui di Sungai Malim.

Menurut Al Hadi, dia bersama seorang rakannya ketika itu membersihkan sampah sarap tersekat pada pintu air Sungai Malim dan juga memotong rumput panjang.

Katanya, sebaik melihat mayat lelaki berpakaian lengkap itu, mereka cuba menariknya ke tebing namun tidak berjaya.

“Saya terus mengikut mayat berkenaan hanyut dibawa arus deras itu dan pada masa sama saya menghubungi polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Hashim Kaus berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis jam 12.24 tengah hari mengenai penemuan mayat berkenaan.

Katanya, berikutan itu, sepasukan lapan anggota termasuk dua daripada unit skuba dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu kerja menyelamat mayat berkenaan daripada dihanyutkan arus.

“Kita berjaya menaikkan mayat ke darat kira-kira jam 12.50 tengah hari sebelum diserahkan kepada pihak polis. Setakat ini, pihak kami belum mengetahui identiti mayat lelaki terbabit dan siasatan lanjut dilakukan pihak polis,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat mayat mangsa oleh pakar patalogi Hospital Melaka (HM) bagi mengetahui identitinya.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mengesyaki mayat mangsa dihanyutkan arus deras dari Durian Tunggal, Alor Gajah sebelum ditemui di Sungai Malim kerana Empangan Gangsa dibuka. “Kita syak mayat ini temui kurang dua hari selepas ia dihanyutkan air deras hingga ke Sungai Malim. Namun, polis sukar mengenal pasti identitinya kerana keadaan mayat yang hancur pada bahagian muka mungkin disebabkan dimakan binatang dan juga terhantuk pada objek ketika dihanyutkan air. 

“Selain itu tiada sebarang dokumen ditemui pada mayat malah jari-jarinya juga hampir reput dan sukar untuk dibuat pengecaman. Kita mengesyaki mayat ini adalah warga asing berdasarkan pakaiannya saja,” katanya.

Muhammad Koey berkata, pihaknya meminta mana-mana pihak kehilangan saudara mara atau rakan untuk menghubungi Balai Polis Durian Tunggal di talian 06-553 1122 untuk membantu siasatan.


Monday, 5 December 2011

Dua Kemalangan Maut




MELAKA: Seorang wanita warga emas menemui ajal dalam satu kemalangan ngeri berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Permatang Duyung, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.25 malam itu, mangsa Rohayah Othman, 53, dikatakan dalam perjalanan ke sebuah pasar raya di Jalan Permatang Duyung, dekat sini, dengan membonceng motosikal ditunggang seorang daripada dua anak kembarnya, Mohd Fadzil Abdul Latif, 19.

Mohd Fadzil bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan selepas motosikal dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah lori.

Menurut anak sulungnya, Norhudah, 35, selepas bersolat Isyak dan menikmati makam malam, ibu dan adiknya bergerak ke pasar raya Family Store untuk membeli barang keperluan harian.

“Sebelum keluar ke pasar mini berkenaan, kedua-dua anak saya beritahu bahawa nenek mereka sempat berpesan supaya mereka jaga diri baik-baik.

“Tak sangka, itu pesanan akhir arwah yang menjadi petanda dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat, Hospital Melaka (HM), pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi berkata, siasatan awal pihaknya mendapati lori berkenaan dari arah Bukit Duyung dan hendak memasuki simpang sebelah kiri di Jalan Permatang Duyung berhampiran pasar raya berkenaan.

“Ketika lori berkenaan sampai di tempat kejadian dan hendak membelok ke kiri, ia berlanggar dengan motosikal itu yang melawan arus dari arah depan. Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal cedera ringan, manakala pemboncengnya maut.

“Pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan seorang juruteknik, Wan Mohd Hafizi Wan Kamaruzaman, 24, terbunuh selepas motosikal ditungganginya dikatakan dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di atas Jambatan Duyung, di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), dekat sini, awal pagi, kira-kira jam 12.25 tengah malam.

Kemalangan itu membabitkan keseluruhan enam kenderaan iaitu empat kereta dan dua motosikal.

Difahamkan menurut beberapa orang awam dan pemerhatian di tempat kejadian, mendapati motosikal ditunggangi mangsa terperosok di bawah kereta Proton Waja dan diseret hampir 100 meter di tempat kejadian.

Menurut Salehhudin, siasatan pihaknya mendapati semua kenderaan berkenaan dari arah Merlimau menghala ke pusat bandar.

“Dalam kemalangan ini, seorang penunggang motosikal maut (Wan Hafizi), manakala seorang lagi mangsa yang menunggang motosikal berlainan mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Melaka. Setakat ini, polis masih menyiasat punca berlakunya kemalangan ini,” katanya.

Beliau berkata, kes kemalangan maut itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mana-mana saksi awam yang melihat atau mengetahui kemalangan ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di talian 06-2834139 untuk membantu siasatan,” katanya.


Anak Gajah Mati




MELAKA: Seekor daripada lapan gajah yang ditempatkan di Zoo Melaka bagi tontonan pengunjung ditemui mati, kelmarin, dipercayai disebabkan faktor kesihatan.

Pengarah Zoo, Ahmad Azhar Mohammed, berkata anak gajah berusia satu tahun setengah itu pernah luka kerana terkena jerat dan dihantar ke Zoo Melaka untuk menjalani rawatan.

“Anak gajah itu masih menyusu dan ditinggalkan ibu. Ia dihantar ke sini (Zoo Melaka) untuk proses rawatan dan seperti biasa ada kalanya haiwan yang dirawat berjaya diselamatkan, ada yang tidak.

“Ia perkara biasa kerana selain luka akibat dijerat mungkin anak gajah ini tidak serasi di tempat baru. Bagaimanapun, kematiannya tidak disebabkan penyakit,” katanya.

Beliau mengulas mengenai dakwaan seekor gajah dan zirafah di bawah jagaan Zoo Melaka mati masing-masing pada kelmarin dan minggu lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, seekor zirafah dewasa yang ditempatkan di zoo itu mati pada minggu lalu akibat komplikasi ketika melahirkan anak.

“Seperti manusia, zirafah juga mempunyai masalah ketika bunting dan zirafah dewasa yang mati minggu lalu disebabkan komplikasi ketika mahu melahirkan anak. Bagaimanapun, ia dan kandungannya gagal diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di zoo berkenaan mendapati ia menerima kunjungan orang ramai. Gajah dan zirafah dipertontonkan seperti biasa.


Thursday, 1 December 2011

44 Nyaris Maut



ALOR GAJAH: “Mujur saya tak panik apabila beberapa guru yang duduk di bahagian depan dan belakang saya menjerit dengan kuat apabila melihat sebuah kereta tiba-tiba muncul di satu selekoh tajam,” kata Mohd Hafiz Ismail, 22, mengenai kemalangan membabitkan bas sekolah dipandunya dengan sebuah kereta di selekoh Kampung Telok Belanga, Kuala Sungai Baru, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, Mohd Hafiz bersama 44 penumpang termasuk 38 pelajar sekolah pendidikan khas dan enam guru pengiring mereka berdepan detik cemas akibat perlanggaran kuat itu yang turut menyebabkan pemandu kereta berusia 20-an parah apabila keretanya remuk teruk. Difahamkan, sebelum kejadian, bas sekolah terbabit dalam perjalanan ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Taman Desa Bayu, di sini, selepas mengadakan lawatan sehari di Jasin.

REMUK...keadaan kereta selepas terbabit dalam kemalangan dengan bas sekolah. Gambar kecil, Mohd Hafiz.

Menurut Mohd Hafiz, dia cuba memaut stereng ke kiri, namun belum sempat berbuat demikian kereta berkenaan yang datang dari arah Kuala Sungai Baru meluncur laju dan merempuh bahagian hadapan kanan bas.

“Beberapa guru yang duduk di bahagian hadapan menjerit kepada saya supaya mengelak dari terus melanggar kereta itu namun saya cuma mampu mengelak ke kiri jalan.

“Dalam keadaan cemas saya sedar di sebelah kiri jalan terdapat penghadang besi dan gaung, jika saya gagal kawal bas dengan baik berkemungkinan boleh meragut 44 nyawa yang ada dalam bas,” katanya.

Katanya, akibat perlanggaran kuat itu beberapa pelajar berusia antara tujuh dan 12 tahun tersungkur di atas lantai dan di bawah kerusi manakala kereta berkenaan berpusing beberapa kali.

“Apabila berjaya memberhentikan bas dan memastikan semua penumpang selamat dan tidak cedera saya turun melihat keadaan pemandu kereta yang tidak sedarkan diri dan tersepit di tempat duduk sebelum dikeluarkan orang ramai dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.

“Sementara itu, saya dan beberapa guru pengiring terpaksa menahan beberapa buah bas kilang untuk menghantar pelajar tadi pulang ke PDK yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana mereka semua terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Saharuddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan mengesahkan tiada kemalangan jiwa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 06-556 3222 atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan.


Dera Anak




MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini, semalam mendenda seorang mekanik RM7,500 selepas dia mengaku bersalah mendera anak kandungnya yang berusia 10 tahun pada April tahun lalu.

Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman itu terhadap How Huan Teng, 40, selepas menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwa. Mengikut pertuduhan, How didakwa mendera anak lelakinya, How Han Ting secara fizikal di sebuah rumah di Taman Jaya Machap Umboo, Alor Gajah jam 12.30 awal pagi pada 25 April tahun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat manakala tertuduh diwakili peguam Lawrence Tan.


Masjid Disimbah Cat




MELAKA: Penduduk di Kampung Pinang Barat, Tanjung Kling, dekat sini, gempar seketika apabila satu-satunya masjid lama di kampung terbabit, iaitu Masjid Pokok Assam yang dianggar berusia lebih 70 tahun dan kini di peringkat akhir proses baik pulih, disimbah cat merah, pagi semalam.

Kejadian disedari jam 9.30 pagi oleh seorang penyelia subkontraktor yang melakukan kerja baik pulih dan menaik taraf masjid itu sejak lebih setahun lalu bagi menyediakan ruang ibadat lebih luas dan selesa serta dapat menampung jumlah jemaah lebih ramai.

Tinjauan di tempat kejadian mendapati cat merah itu disimbah ke dinding ruang solat di hadapan dan juga di tandas selain terdapat terdapat beberapa kesan tompokan cat di lantai marmar.

Malah, beberapa kemudahan paip air di tempat mengambil wuduk turut dirosakkan.

Didapati cat merah disimbah pada dinding berkenaan mempunyai tulisan ‘Tolong Jelaskan Gaji Kami’ selain dilukis simbol ringgit.

Ketika tinjauan juga, beberapa pekerja kontrak sedang menjalankan kerja memasang lampu serta mengecat semula bahagian yang disimbah cat merah itu.


Luahan Peniaga




MELAKA - Beberapa peniaga di Medan Selera, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Tanjung Kling di sini merayu kepada MBMB supaya menaik taraf premis perniagaan itu yang kini semakin daif sejak dibina 22 tahun lalu.

Mereka yang ditemui kecewa dengan keadaan dinding bangunan premis itu yang semakin dimakan anai-anai, saluran longkang yang tidak sempurna dan siling bocor serta reput.

Keadaan itu menurut peniaga, turut menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan pengunjung medan selera itu tetapi tidak mempunyai pilihan lain kerana lokasi yang dekat dengan tempat kerja selain harga ditawarkan juga berpatutan.

Seorang peniaga, Omar Aman, 61, berkata, gerainya mengalami kerosakan agak teruk apabila siling bocor dan reput selain dinding juga telah reput dimakan anai-anai.

"Saya telah berniaga di sini sejak hampir 20 tahun lalu dan ramai juga pelancong yang datang ke Melaka melalui jalan lama dari Seremban atau utara akan singgah makan di sini.

"Penduduk tempatan pula gemar makan di sini kerana lokasinya yang dekat dan mereka juga ada mengadu mengapa keadaan medan selera ini daif dan tidak dinaik taraf," katanya.

Seorang lagi peniaga, Norlizah Amzah, 43, berkata, dia sedia bekerja sama sekiranya MBMB bersetuju menaik taraf gerai yang disewa daripada pihak berkuasa tempatan itu pada harga RM112 sebulan.

"Malah, kalau gerai baru siap nanti, saya juga tidak kisah jika kadar sewa dinaikkan tetapi biarlah berpatutan dengan lokasinya yang terletak di kawasan kampung ini," katanya.

Seorang pelanggan di medan selera itu, Naimah Azizan, 25, berkata, medan selera itu menjadi destinasi tetapnya untuk menikmati makan tengah hari setiap hari bekerja.

"Saya bekerja di kawasan berhampiran, jadi tentulah medan selera ini menjadi pilihan kerana makanannya yang sedap dan harga yang berpatutan.

"Cuma saya rasa memang sudah sampai masanya MBMB menaik taraf medan selera ini yang dilihat tidak lagi sesuai status Melaka sebagai sebuah negeri maju," katanya.


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59