Wednesday, 30 November 2011

Siapa Menipu? Audit atau Menara Taming Sari Melaka


Pihak manakah yang benar? Pihak audit atau Menara Taming Sari Melaka dalam isu menjelaskan tunggakan sewa. Daripada dua sumber yang telah dikaji ada sedikit percanggahan fakta yang merujuk kepada Menara Taming Sari Melaka. Pertama fakta yang dikemukakan oleh pihak Menara Taming Sari Melaka yang di wakili oleh Mohd Husni Husin selaku Pengurus Jualan & Pemasaran dan kedua fakta yang dikemukakan oleh pihak audit.

Menurut Mohd Husni Husin selaku Pengurus Jualan & Pemasaran sehingga Jun 2010, pihak Menara Taming Sari telah membuat bayaran kepada pemilik harta iaitu pihak Kumpulan Melaka Berhad (KMB)sebanyak RM7,534,871.60 dan bukan seperti yang didakwa oleh pihak audit iaitu RM4.72 juta.

Sehingga kini iaitu bulan Nov 2011, pihak MTSB telah membayar sebanyak RM8,263,305 Juta kepada pihak KMB.

Manakala menurut laporan audit pula, sehingga Jun 2010, KMB hanya menjelaskan bayaran balik pinjaman berjumlah RM2.30 juta dan baki tunggakan berjumlah RM5.20 juta masih belum dijelaskan walaupun KMB telah menerima hasil sewa RM4.72 juta daripada Melaka Taming Sari Berhad (MTSB).

Sekarang siapa yang tipu siapa? Diharapkan pihak yang bertanggungjawab tampil menjelaskan fakta yang sebenar. Ini melibatkan kepentingan rakyat Melaka dan juga prestasi negeri. Sekiranya kedua-dua fakta ini bercanggah, dengan siapakah harus dirujuk perkara ini dalam menyelesaikan isu berkaitan Menara Taming Sari Melaka ini?

Laporan audit 

Laporan Menara Taming Sari Melaka


Tuesday, 29 November 2011

Laungan Azan Selamatkan Saya




MELAKA: “Saya terkejut apabila kereta terus berhenti secara mengejut dan melihat kira-kira 20 batang besi yang diikat menembusi ke dalam kereta hingga mengenai gear automatik kereta,” kata Faridah M Lajis, 40, yang terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan besi di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran pasar raya Tesco, dekat sini, petang kelmarin.

Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca apabila kira-kira 20 batang besi dibawa lori satu tan dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an itu tidak diikat dengan kemas sehingga ia terhumban menembusi cermin belakang kereta berkenaan.

Mangsa yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah, Telok Mas, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Duyong, dekat sini, selepas menghadiri mesyuarat berkenaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, sebelum kejadian kereta dipandunya di lorong kanan Lebuh AMJ bergerak perlahan apabila menghampiri persimpangan Melaka Sentral diekori lori berkenaan yang sarat dengan muatan besi.

“Saya dari Sekolah Menengah Sri Tanjung, Klebang dan sebaik tiba di tempat kejadian semua kenderaan dipandu perlahan kerana ia berdekatan persimpangan dan tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum telinga berasa berdesing,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, terkejut dengan kejadian itu dia kemudiannya melihat ke bahagian belakang kereta dan mendapati sebahagian besi itu menembusi keretanya.

Katanya, panik dengan kejadian itu, dia segera menelefon ayah dan suaminya mendapatkan bantuan.

“Jantung saya seperti nak gugur apabila melihat besi itu nyaris kena saya. Mujur ketika kejadian saya bersandar di tingkap untuk mendengar azan.

“Syukur Tuhan masih memberi kesempatan kedua kepada saya, selamat daripada kemalangan ini adalah hadiah paling istimewa dalam hidup kerana esok (hari ini) adalah hari lahir saya,” katanya.


Thursday, 24 November 2011

Lokasi Sumbang Di Ikan Bakar Terapung




Ketika mula beroperasi kira-kira tujuh tahun lalu, Perkampungan Ikan Bakar Terapung (PIBT) Umbai Baru, Jasin menjadi lokasi kebanggaan penduduk kawasan itu sekali gus mempopularkan lokasi itu kepada pengunjung dari luar Melaka.

Namun, entah di mana silapnya, pusat pelancongan yang dibina dengan kos RM9.21 juta gagal dimanfaatkan sepenuhnya dan sunyi tanpa kehadiran pengunjung.

Sebaliknya, suasana sunyi terutama pada waktu malam ditambah dengan keadaan sekelilingnya yang gelap memberi peluang kepada pengunjung melakukan perbuatan sumbang dan kegiatan jenayah lain.

Peniaga dan penduduk di kawasan itu yang ditemui mendakwa kawasan persekitaran PIBT yang seolah-olah terbiar itu berpunca daripada masalah kemudahan lampu jalan yang tidak berfungsi menyebabkan suasana sekitarnya suram.

Tinjauan di PIBT Umbai Baru mendapati hampir seluruh kawasan berhampiran menara tinjau dan laluan jambatan kayu paya bakau di situ gelap gelita sehingga menjadi tempat pasangan melakukan perbuatan tidak bermoral.

Rata-rata pengunjung PIBT kurang yakin dan berasa tidak selamat untuk bersiar-siar di kawasan itu memandangkan keadaannya yang gelap dan sunyi selain kehadiran pasangan yang melakukan perbuatan sumbang.

Salah seorang pengunjung, Herman Awaludin, 26, berkata, biarpun kemudahan menara tinjau dan laluan kayu di kawasan paya bakau disediakan, namun kemudahan itu hanya sia-sia kerana kawasan sekitarnya yang gelap.

"Saya sendiri takut untuk bersiar-siar di kawasan itu walaupun berkumpulan kerana keadaannya amat gelap dan tidak tahu apa yang tersembunyi di sebalik pokok bakau di situ.

"Pernah juga kawasan ini diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada waktu siang kerana ada aduan pasangan berkhalwat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

PIBT diuruskan Perbadanan Melaka Holdings (PMH) melibatkan keluasan 2.4 hektar.

Salah seorang peniaga, Abdul Malik Abdul, 49, berkata, keadaan persekitaran PIBT yang gelap menyebabkan kawasan itu kurang dikunjungi pelancong.

"Bagaimana mereka mahu makan hidangan ikan bakar dengan selesa jika terpaksa meninggalkan kenderaan di tempat yang gelap, pengunjung tidak mahu tanggung risiko itu. Lebih baik mereka makan ikan bakar di tempat lain yang lebih baik dan keadaan sekitarnya selamat," katanya.

Menurut Abdul Malik, ekoran masalah itu ramai peniaga ikan bakar di situ terpaksa menutup operasi perniagaan kerana tidak mampu membayar sewa gerai memandangkan keuntungan yang diperolehi tidak mencapai RM100 sehari.

Sehubungan itu, dia merayu pihak berkuasa terlibat termasuk kerajaan negeri melakukan usaha sewajarnya bagi menghidupkan semula kawasan tersebut yang masih berpotensi menjadi salah satu produk pelancongan makanan di negeri ini.

Sementara itu Md. Tawil Haron, 63, berkata, sewaktu PIBT mula-mula beroperasi, pelbagai tarikan dan landskap indah dibina di pintu masuk dan laluan ke kawasan itu, namun usaha tersebut mula berkurangan dan kini langsung tidak diendahkan oleh pihak pengurusan.

"Kira-kira tiga tahun lalu ada juga hiasan dipasang pada pintu gerbang laluan masuk ke PIBT, tetapi sekarang anda lihatlah, cuma tinggal pintu gerbang yang tidak membawa sebarang makna," katanya.

P/s: Ikan pun tak berani nak buat maksiat. Mungkin kerana lanjutan hiburan membuatkan berlaku gejala ini


Tuesday, 22 November 2011

Bapa Kena Kena Cekup



MELAKA: Polis kontinjen negeri memberkas seorang lelaki yang juga bapa kandung kanak-kanak perempuan berusia setahun yang disifatkan tidak berhati perut dan kejam apabila meninggalkan mangsa di tepi tandas pusat beli-belah Mahkota Parade, dekat sini, pada 5 November lalu.

Lelaki berusia 23 tahun dan bekerja sebagai tukang masak itu diberkas kira-kira jam 5.30 pagi kelmarin di rumahnya di Bukit Indah, Johor hasil maklumat disalurkan isterinya yang dikesan anggota polis Cawangan Seksual dan Keganasan Rumah Tangga (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK). 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan R Gunarajan berkata, menerusi laporan penemuan kanak-kanak berkenaan disiarkan akhbar ini pada 11 November lalu, seorang wanita datang ke IPK. 

Katanya, wanita terbabit memaklumkan dia mengenali ibu bapa mangsa kerana pernah mengasuh kanak-kanak itu yang dipanggil Sofea atau nama sebenarnya Anna Hii sebelum ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, sepasukan anggota polis D11 melakukan siasatan dan mengesan ibu mangsa yang kemudiannya dipanggil ke IPK.


Tercekik Siput Sedut




ALOR GAJAH: Seorang gadis nyaris maut apabila tercekik siput sedut masak cili api ketika menjamah hidangan itu sambil menonton televisyen dalam kejadian di rumahnya di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, Siti Aisyah Mohamad, 13, menggelupur lima minit sebelum diselamatkan ibunya.

Menurut Siti Aisyah, dia tidak menyangka makanan kegemarannya itu hampir meragut nyawanya menyebabkan dia kini trauma.

Menceritakan kejadian, pelajar sebuah sekolah menengah itu berkata, dia membeli sekilo siput sedut di sebuah kedai dan dimasak lemak cili api oleh ibunya, Saniah Sungip, 37.

“Selepas siap dimasak ibu, saya menikmati siput sedut itu sambil menonton televisyen. Ketika leka menonton, saya seperti tersedut sesuatu menyebabkan tekak pedih namun tidak mampu menjerit.

“Saya cuba memanggil ibu di dapur, namun gagal menyebabkan saya menggelupur kesakitan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia bernasib baik berikutan ibunya mendengar dia menggelupur kesakitan sebelum mengeluarkan siput sedut itu dengan menepuk belakangnya beberapa minit kemudian. Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pasukannya menerima laporan kejadian jam 8.45 malam dan tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian namun mangsa berjaya diselamatkan ibunya.

“Selepas pemeriksaan kesihatan dilakukan, kami dapati kecederaan di bahagian dalam kerongkong mangsa tidak serius kerana siput sedut itu masih berada di bahagian yang selamat,” katanya di sini, semalam.


Monday, 21 November 2011

Nafsu Pokok Jering




ALOR GAJAH - Perubahan sikap yang berlaku ke atas ­seorang murid perempuan Tahun Enam di sebuah sekolah dekat sini, mendedahkan perbuatan kejam seorang ­lelaki warga emas yang didakwa merogol kanak-kanak terbabit sejak empat tahun lalu.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Negeri (Operasi dan Risikan), Superintendan R Gunarajan berkata, kejadian itu berlaku sejak 2007 ketika mangsa berusia lapan tahun dan sedang bersekolah dalam Tahun Dua di sekolah terbabit sering diperkosa oleh suspek yang berusia 60 tahun sehingga penghujung 2010.

Menurutnya, difahamkan mangsa dirogol secara berterusan sejak 2007 dan perbuatan kejam itu disyaki ­dilakukan suspek berulang kali tidak mengira waktu sama ada di rumah atau di kebun jering berhampiran rumah mangsa di sebuah Felcra di daerah ini.

“Perubahan sikap mangsa itu disedari seorang guru kaunseling pada Selasa lalu yang melihat mangsa ­kemurungan sejak kebelaka­ngan ini sebelum memujuk mangsa untuk menceritakan masalah yang dihadapi.

“Mangsa kemudiannya memaklumkan dia dirogol seorang lelaki yang juga jiran sebelah rumahnya ketika ­ketiadaan ibu bapanya di rumah,” katanya.

Gunarajan berkata, selepas itu guru kaunseling itu menemui ibu bapa mangsa dan menceritakan kejadian yang berlaku ­sebelum diarahkan membuat laporan di balai polis berhampiran serta menjalani ­pemeriksaan di klinik.

“Mangsa yang dilihat ­sugul dan murung dibawa ke klinik kesihatan berdekatan untuk menjalani pemeriksaan dan hasil mendapati mangsa tidak mengandung,” katanya.

Katanya, suspek yang ­berusia 60 tahun itu ditahan di rumahnya pada petang laporan dibuat kedua ibu bapa mangsa dan suspek kini ditahan ­reman sehingga 22 November ini bagi menjalankan siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan memperkosa gadis bawah umur dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Seksual dan Kanak-kanak Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) untuk siasatan lanjut,” katanya.

P/s: Macam-macam. 


Friday, 18 November 2011

1,478 peroleh 5A di Melaka



Gambar hiasan

MELAKA - Seramai 1,478 daripada 14,758 murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Melaka tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohamad Yusoff Osman berkata, bilangan murid yang mendapat semua A pada tahun ini menurun daripada 10.4 peratus tahun lalu kepada 10 peratus tahun ini.

''Bilangan yang mendapat semua A juga menurun 27 murid daripada 1,505 murid tahun lalu kepada 1,478 murid tahun ini," katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan UPSR negeri di sini hari ini.

Mohamad Yusoff berkata, pencapaian murid dalam menguasai tahap minimum gred A, B dan C bagi semua mata pelajaran pula seramai 10,150 murid atau 68.8 peratus berbanding 68.6 peratus tahun lalu.

Katanya, pada tahun ini, bilangan murid yang menduduki peperiksaan UPSR meningkat berbanding seramai 14,473 atau perbezaan 285 murid pada tahun lalu.

''Sekolah Kebangsaan Convent Infant Jesus (2) mencatatkan bilangan murid tertinggi memperoleh semua A apabila 48.8 peratus murid dari sekolah ini memperoleh 5A," katanya.

Menurutnya, Gred Purata bagi negeri ini adalah 2.16 iaitu meningkat 0.02 berbanding tahun lalu.


Sakit Sendi Bukan Penghalang cemerlang UPSR




MELAKA - Walaupun menghidap pseudoachondroplasia atau masalah sendi sehingga menyukarkan Syakirah Karim menulis, namun ia tidak menghalang murid Sekolah Kebangsaan Sacred Heart, Banda Hilir itu memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Kata Syakirah, akibat penyakit itu tangannya cepat lenguh ketika menulis menyebabkan dia sering tidak sempat menyalin nota yang ditulis guru di papan hitam.

"Saya terpaksa meminjam buku rakan-rakan dan menyalin semula nota di rumah," katanya.

Syakirah yang juga mengalami masalah pembesaran berkata, akibat kesukaran untuk menulis, tempoh menjawab soalan UPSR yang didudukinya ditambah 15 minit berbanding murid biasa.

Mengenai rahsia kejayaannya katanya, dia mengulangkaji pelajaran setiap hari selama satu atau dua jam.

"Saya tak sangka dapat 5A kerana hanya dapat 1A 4B semasa peperiksaan percubaan," katanya yang hanya mempunyai ketinggian 116 sentimeter dan seberat 21 kilogram.


Monday, 14 November 2011

Kau Ingat Ko Anak Tok Sidang, Boleh Main Seks Sesuka Hati



ALOR GAJAH: Tindakan seorang pegawai syarak sebuah tanah rancangan Felda, di sini yang menahan sepasang kekasih yang disyaki berkhalwat dalam sebuah bilik sebelum didakwa membebaskan mereka menimbulkan rasa kurang senang beberapa penduduk yang membuat laporan itu, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, lelaki berusia awal 20-an bersama pasangannya berusia 18 tahun ditahan penduduk serta Imam satu Felda berkenaan selepas didapati berkhalwat dalam sebuah rumah. Penduduk, Qasha Umar, 28, berkata, penduduk terpaksa mengambil masa 30 minit sebelum menyerbu masuk ke dalam rumah disyaki selepas mendapat maklumat mengatakan terdapat sepasang kekasih sedang berdua-duaan.

Gambar hiasan

Katanya, ketika serbuan dilakukan, mereka terkejut apabila mendapati seorang wanita tua dipercayai ibu kepada remaja terbabit sedang tidur di bahagian tengah rumah sebelum pasangan itu keluar dari bilik kira-kira 15 minit kemudian.

Qasha yang juga Ahli Jawatankuasa Keselamatan Felda berkenaan berkata, selepas 15 minit berbual dengan wanita terbabit, muncul seorang lelaki berusia awal 20-an berpura-pura menggaru kepala diikuti remaja perempuan itu.

Selepas diperiksa, pihaknya mendapati lelaki terbabit adalah anak kepada seorang sidang kampung dan tangkapan itu adalah yang kedua dilakukan.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas lelaki terbabit, kami terkejut apabila dimaklumkan lelaki itu sudah berada di dalam bilik remaja perempuan itu sejak jam 10 malam.

“Mereka mengaku sudah melakukan perbuatan itu berulang kali biarpun ibu pasangannya berada di rumah dan berjanji tidak akan melakukannya lagi sebelum pasangan terbabit dibawa ke balai polis berdekatan laporan penahanan,” katanya.

Menurut Qasha, setibanya di balai polis berkenaan, ibu bapa lelaki terbabit sudah sedia menunggu dan berbincang sesuatu dengan Imam satu yang juga pegawai syarak sebelum anak mereka dilepaskan sekali lagi begitu sahaja.

“Dalam hal ini, kami memang tidak berpuashati dengan cara pegawai syarak dan Tok Sidang berkenaan mengambil jalan mudah melepaskan anak sendiri yang melakukan maksiat tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

“Sebagai ahli jawatankuasa keselamatan di felda ini, saya berharap perkara maksiat seperti ini perlu dipandang serius bukan sebab dia saudara kita atau anak kita, maka boleh dilepaskan tanpa tindakan,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Pegawai Syarak yang enggan dikenali berkata, pasangan berkenaan ditahan kerana berdua-duaan di dalam bilik namun pada masa sama ada seorang lagi wanita.

“Dalam hal ini, kami sukar mendakwa pasangan terbabit berikutan keadaan itu namun mereka sudah diberikan nasihat serta akujanji agar mereka tidak akan melakukan kesalahan itu lagi,” katanya.


Kenapa Kau Rakam Gambar Awek Aku?




MELAKA: Hanya kerana mahu meleraikan pertengkaran dua rakannya bersama individu tidak dikenali, seorang pelajar tingkatan empat ditumbuk hingga patah rahang kiri dalam kejadian di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Arif Fikri A Rahim, 16, dari Alai, di sini, mendakwa ditumbuk lelaki berusia awal 20-an itu di bahagian mulutnya yang turut mengakibatkan mulutnya berdarah dan pipi kanannya cedera.

Menurutnya, ketika kejadian, dia baru selesai makan di kedai berhampiran bersama rakan sebayanya, Mohd Shafiq Abd Rahman dan terus melepak di padang di atas pusat beli-belah berkenaan.

Dakwanya, ketika melepak, dua rakannya yang kebetulan berada di kawasan sama menemui mereka dan seorang daripada mereka mahu meminjam kamera digital miliknya untuk merakam gambar dua gadis yang juga berada di kawasan itu.

“Mereka berdua terus menemui gadis berkenaan untuk merakamkan gambarnya, saya dan Mohd Shafiq berada pada jarak 20 meter hanya memerhatikan gelagat mereka.

“Tiba-tiba seorang lelaki muncul dan meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana merakamkan gambar gadis berkenaan yang didakwa teman wanitanya.

“Saya hanya mendengar mereka bertengkar dengan meminta gambar dirakamkan itu dipadamkan selain berlaku tolak-menolak di antara mereka,” katanya ketika ditemui di sebuah pusat perubatan swasta di Jalan Tun Sri Lanang, di sini, semalam.

Turut berada bersama Mohd Arif ialah ibu bapanya, Jamaliah Tapah, 48, dan A Rahim Adip, 50.

Mohd Arif mendakwa, kerana tidak mahu pertengkaran itu menjadi serius, dia dan Mohd Shafiq meleraikan pertengkaran itu.

Bagaimanapun, ketika menghampiri mereka, lelaki tidak dikenalinya itu terus menumbuknya di bahagian mulut.

“Saya mula berasa sakit dan kebas di bahagian mulut dan berlaku pendarahan menyebabkan saya lemah. Melihat keadaan itu, lelaki terbabit bersama dua gadis berkenaan terus beredar sebelum saya menghubungi bapa saya,” kata anak bongsu daripada tiga adik beradik itu.

Sementara itu, A Rahim berkata, dia bergegas ke tempat kejadian bersama rakannya dan sejurus tiba terus membawanya ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka (HM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, menerusi ujian sinar-x mendapati rahang kiri anaknya patah, bagaimanapun pembedahan tidak dapat dilakukan dengan segera.

“Saya yang bimbang dengan keselamatannya membawanya ke pusat perubatan swasta bagi membolehkan pembedahan dapat dilakukan segera,” katanya.

Beliau berkata, dia membuat laporan mengenai kejadian itu pada awal pagi semalam di Balai Polis Melaka Tengah.


Apa JKKK dengan Agensi Kerajaan Buat?



Sebuah premis ternakan ikan keli di Kampung Kesang Jaya, di sini didakwa membuang sisa kolam ternakan itu ke Sungai Kesang Tua sejak dua tahun lalu sehingga menyebabkan pencemaran air.

Keadaan itu mengakibatkan kira-kira 200 petani yang mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit tidak dapat menggunakan air sungai berkenaan bagi tujuan meracun tanaman ekoran air yang sudah tercemar.

Salah seorang penduduk mendakwa sebuah premis penternakan ikan keli di Kampung Kesang Jaya, Jasin membuang sisa kolam ternakan ke dalam Sungai Kesang Tua sejak dua tahun lalu hingga menyebabkan pencemaran air di sungai tersebut

Tinjauan ke kawasan itu mendapati sisa buangan kolam dibuang ke dalam sungai menyebabkan keladak dasar sungai bertambah, berwarna hitam dan air sungai tidak lagi jernih seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, tinjauan yang sama diadakan di Sungai Kesang Pajak yang berada sebelum lokasi kolam ternakan ikan terbabit mendapati air sungai berkenaan lebih bersih dan jernih berbanding Sungai Kesang Tua.

Salah seorang petani yang ditemui, Adzahar Alias, 68, berkata, ikan di Sungai Kesang Tua seperti baung dan putih sudah pupus sejak kolam ternakan ikan itu beroperasi dua tahun lalu.

Katanya, air sungai tersebut yang mengandungi keladak menyukarkan petani membuat kerja-kerja semburan racun pada tanaman dan masalah itu memaksa dirinya mengangkut air kira-kira 700 liter sehari sejauh lima kilometer menggunakan motosikal ke kebunnya.

Menurut Adzahar, masalah tersebut pernah disuarakan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kesang Tua dan agensi kerajaan berkaitan namun tiada tindakan penyelesaian berkesan diambil pihak berkenaan.

''Kita sudah kemukakan aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri namun agensi itu mendakwa ia bukan kes pencemaran tetapi lebih kepada masalah keladak sungai dan bukan bidang kuasa agensi itu.

''Bila perkara ini dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkenaan hanya membersihkan rumput yang terdapat dalam sungai," katanya.

Masalah yang sama turut disuarakan rakannya, Zakaria Hussain, 43, yang mendakwa penduduk atau petani akan mengalami gatal apabila terkena air sungai berkenaan.

''Sebelum kolam ikan itu wujud, penduduk bebas memancing ikan di sungai ini tanpa perlu bimbang. Sekarang, lain pula keadaannya. Jika terkena air sungai, penduduk perlu mendapatkan suntikan di klinik dengan kos RM20," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Zain Maidin, 63, meminta JPS mengambil tindakan sewajarnya seperti mengorek dasar sungai untuk membuang keladak yang sudah tercemar dengan sisa buangan kolam ikan berkenaan.

P/s: Mungkin sebab bukan ada kepentingan yang menjadikan mereka lambat bertindak. Kalau syarikat besar sudah lama mereka buat


Friday, 11 November 2011

Siapakah Anak ADUN Melaka Yang Miliki Dadah?




JASIN - Seorang anak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dijatuhi hukuman dengan RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana kesalahan memiliki satu paket dadah, Mac lalu.

Majistret Siti Suriatey Mohamed Yusoff menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Rozameer Anwar Ghazale, 26, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, ketika pemeriksaan, tertuduh didapati memiliki satu paket mengandungi bahan hablur jenis methamphetamine dengan berat bersih 0.17 gram di Rumah Awam Rim, di sini, pada 18 Mac lalu kira-kira jam 10.30 pagi.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.

Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya hukuman ke atasnya diringankan.

Bagaimanapun, Tim­balan Pendakwa Raya, Nurul Badariah Yusof memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman setim­pal.

Siti Suriatey mengarahkan tertuduh didenda RM1,500 dan sekiranya gagal membayarnya, boleh dipenjara empat bulan.


Thursday, 10 November 2011

MBMB Goyang Kaki Je Ke?




Aduan telah banyak kali dibuat, keluhan pengguna pun sudah muak disiarkan, tetapi situasinya tetap sama.

Soalnya, mengapa tindakan tidak diambil oleh pihak berwajib walaupun kesalahan yang dilakukan, ibarat sudah terang lagi bersuluh.

Pemandangan kerusi dan meja yang dipasang 24 jam di kaki-kaki lima seperti sudah menjadi perkara biasa sejak bertahun-tahun lalu di sekitar Melaka Raya, terutamanya Jalan Melaka Raya 4.

Yang peliknya, pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sudah mengakui, tindakan itu memang menjadi satu kesalahan.

“Kita memang tidak mengeluarkan lesen untuk membolehkan peniaga meletakkan apa-apa halangan seperti kerusi dan meja makan di kawasan kaki lima premis. Ia memang menjadi satu kesalahan.

Itu penjelasan ringkas yang diberikan Setiausaha MBMB, Azmi Hussein apabila masalah yang bukan baru itu diadukan wartawan Utusan Malaysia kepadanya baru-baru ini.

Azmi lantas terus menghubungi anggota penguatkuasanya bagi memeriksa aduan tersebut.

Sebelum ini pun, berpuluh-puluh cerita mengenai halangan yang dilakukan pemilik-pemilik restoran ini dengan meletakkan meja dan bangku di laluan pejalan kaki disiarkan media.

Tidak cukup dengan siaran di akhbar, kisah sama ini diadukan pula secara terus kepada pegawai yang berkenaan.

Namun, apa yang dikesalkan, sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil terhadap peniaga terbabit.

Agak lucu pula, apabila tiga atau empat buah motosikal yang diletakkan di kaki lima yang langsung tidak menghalang lalu lintas pula yang dikompaun.

Sedangkan pada masa sama, pengusaha restoran yang melakukan kesalahan itu terus bermaharajalela.

Pejalan kaki pula, yang sepatutnya mempunyai hak menggunakan kaki lima premis itu terpaksa berkongsi laluan dengan pengguna jalan raya sekali gus terdedah kepada kemalangan sekiranya dilanggar kereta ataupun motosikal.

Selain terdedah kepada cuaca panas atau hujan, lebih malang, pejalan kaki juga berisiko menjadi mangsa ragut.

Daripada aspek kebersihan pula, golongan peniaga juga didapati mengotorkan kawasan luar premis kedai dengan air basuhan pinggan mangkuk atau barangan perniagaan mereka.

Keadaan ini juga mencacatkan pemandangan indah bandar Melaka kerana ia secara tidak langsung mewujudkan ketidakseragaman premis perniagaan apabila bunting, bumbung dan payung dipasang sesuka hati.

Mungkin pihak berkuasa telah mengambil tindakan, tetapi sampai bilakah jawapan ‘terdapat peniaga yang masih berdegil walaupun telah beberapa kali dikompaun’ perlu diberikan?

Atau ‘akan mengambil tindakan lebih tegas dengan merampas barangan peniaga yang masih berdegil’, tetapi hakikatnya, peniaga terus beroperasi siang dan malam tanpa rasa takut.

Justeru, adalah diharap agar Datuk Bandar MBMB sendiri turun padang melihat situasi sebenar dan melihat sendiri kerakusan para peniaga merampas laluan pejalan kaki demi keuntungan mereka.


Tragis Pembunuhan Seorang Wanita




ALOR GAJAH – Seorang lelaki dicari polis berikutan tindakannya merompak dua buah kedai dalam tempoh 30 minit hingga menyebabkan salah seorang pemilik premis itu mati selepas ditikam sebanyak tujuh kali di sini semalam.

Kejadian pertama berlaku pukul 1.45 petang hingga mengakibatkan pemilik kedai runcit, Teh Ah Key, 64, di Kampung Parit Melana di sini mati selepas ditikam di rusuk kanan, paha, perut dan dada oleh suspek berusia lingkungan 20-an itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Sharuddin berkata, sebelum kejadian, suspek datang ke kedai wanita itu dengan menunggang sebuah motosikal.

“Kita percaya berlaku pergelutan di antara suspek dengan mangsa sebaik lelaki itu masuk ke dalam kedai. Ia berikutan suspek cuba merompak wang hasil perniagaan mangsa.

“Suspek kemudian terus melarikan diri bersama wang tersebut dan kejadian itu hanya disedari oleh seorang penduduk yang terkejut melihat mangsa terbaring berlumuran darah ketika dia masuk untuk membeli sesuatu,” katanya.


Wednesday, 2 November 2011

Apa Dah Jadi Ni? Rosak Je Memanjang



MELAKA: Sepasang suami isteri warga Britain yang menggunakan perkhidmatan Monorel Melaka untuk melihat pemandangan di sepanjang sungai Melaka terpaksa turun di tengah perjalanan dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, di sini, semalam.

Malah, James Craft, 57 dan Anne Craft, 49, terpaksa turun daripada monorel itu menggunakan tangga apabila perkhidmatan itu terhenti tiba-tiba jam 1 tengah hari semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad, Nazary Ahmad berkata, kejadian berlaku berikutan kerosakan pam pintu monorel berkenaan.

Katanya, disebabkan ciri keselamatan diguna pakai, monorel berkenaan terhenti secara automatik sekiranya pam pintu didapati longgar ketika sedang bergerak.

“Ketika kejadian, monorel itu membawa pelancong pasangan suami isteri warga Britain, James Craft dan Anne Craft dan ia terhenti apabila mengalami kerosakan pada pam di bahagian pintunya,” katanya.

Seperti laporan kerosakan yang dikeluarkan dalam blog Penyelia DUN Bukit Baru disini


Pada tahun 2010 Melaka telah diisytiharkan sebagai Melaka Maju 2010. Pada tarikh berkenaan telah beroperasi monorel yang telah menimbulkan kontroversi dan persoalan kepada rakyat di negeri ini. Adakah monorel itu untuk orang ramai bagi tujuan memudahkan perjalanan atau sebagai industri pelancongan di Melaka semata-mata. Berikut adalah kerosakan yang dialami oleh monorel di Melaka.

Pada tarikh 20 Oktober 2010 jam 4.00 petang, monorel telah mengalami kerosakan iaitu di bahagian 'slip ring holder' telah tercabut dari kenderaan tersebut dan tindakan yang telah diambil bagi menangani masalah ini ialah dengan menggantikan 'slip ring holder' dengan yang baru pada hari yang sama iaitu 20 Oktober 2010 jam 10.00 malam.

Selang kurang daripada 48 jam dari tarikh menggantikan 'slip ring holder' itu pada 22 Oktober 2010 jam 9.30 pagi, kerosakan yang telah dikesan adalah dua batang skru telah patah dan tindakan yang telah diambil ialah menggantikan skru yang rosak itu dan pemeriksaan skru yang lain selesai dibuat pada hari yang sama iaitu jam 12.30 tengah hari.

Keesokan harinya pula iaitu pada 23 Oktober 2010 jam 10.00 pagi, kerosakan yang berlaku ialah pintu gerabak tengah tersangkut pada 'hand rail' Stesen Monorail Hang Tuah dan tindakan yang telah diambil ialah pintu gerabak siap dibaiki pada hari yang sama iaitu jam 1.00 petang.

Namun ia tidak bertahan lama apabila kerosakan lain pula dikesan jam 6.00 petang hari yang sama selepas lima jam pintu dibaiki. Kerosakan itu adalah lima batang skru tayar pula pecah. Tindakan yang telah diambil ialah kerja-kerja menggantikan tayar dengan yang baru pada hari yang sama jam 11.00 malam sehingga jam 6.00 pagi 24 Oktober 2010. Pada jam 8.00 pagi 24 Oktober 2010, pengujian monorel dijalankan.

Kurang daripada 12 jam selepas monorel diuji pada 24 Oktober 2010 iaitu jam 7.30 malam, gerabak monorel telah melanggar 'stopper' di Stesen Monorel Hang Tuah. Kerja-kerja pembaikan dilakukan dan monorel siap dibaiki serta pengujian dilakukan bagi memastikan semua sistem dalam keadaan baik selesai pada 25 Oktober 2010 jam 1.00 petang pada hari yang sama.

Kurang dari seminggu kemudian iaitu pada 30 Oktober 2010 jam 3.40 petang, dua batang skru tayar pula patah dan kerja-kerja untuk menggantikan skru tayar berkenaan siap dilaksanakan pada hari yang sama iaitu jam 8.00 malam 30 Oktober 2010.

Dua kemudian iaitu pada 2 November 2010 jam 4.00 petang, kerosakan pada 'shaft' tayar gerabak tengah telah patah. Pada jam 2.00 petang pada keesokkan harinya iaitu pada 3 November 2010, 'shaft' tayar yang baru siap diganti dengan yang baru.

Selepas enam hari kemudian iaitu pada 8 November 2010 jam 6.00 petang, kerosakan baru pula berlaku iaitu sebatang skru telah patah dan skru baru siap diganti pada hari yang sama. Kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem monorel termasuk pengujian dijalankan oleh pembekal daripada China pada 15 November 2010 hingga 20 Disember 2010.

Lawatan pemeriksaan bagi penambahbaikan sistem monorel Melaka oleh Jabatan Keretapi Malaysia pada 21 Disember 2010 jam 12.00 tengah hari. Monorel telah beroperasi semula pada keesokan hari iaitu pada 23 Disember 2010 selepas diperiksa oleh Jabatan Keretapi Malaysia.

Kos untuk selenggara itu berjumlah RM16juta di mana merangkumi kos untuk Engineering dan Construction. Begitu hebat dan kencang duit rakyat dibazirkan pada monorel yang rakyat kebanyakkan tidak dapat menikmatinya.

P/s: Rosak dan rosak dan terus rosak. Melaka Maju di bawah Barisan Nasional


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59