Thursday, 27 October 2011

Tragedi Deepavali



Gambar hiasan

Suasana meriah di Pantai Puteri bertukar hiba apabila seorang wanita tidak dapat menahan kesedihan dan pengsan sebaik melihat mayat anaknya yang lemas diangkat ke tepi pantai oleh anggota bomba, tengah hari semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, mangsa, Ajmal Afzan, 6, lemas ketika bermain air di pantai berkenaan bersama abangnya yang berusia tujuh tahun dan beberapa kanak-kanak lain.

Mangsa mengikuti ibunya, Zuhana Ayub, 32, berkelah di pantai itu bersama enam keluarga rakan sekerja ibunya sempena cuti Deepavali dan baru tiba di pantai itu kira-kira jam 10 pagi.

Malah ketika kejadian, ibu mangsa tiada kerana mengambil barang di rumah rakannya di Tangga Batu untuk membuat barbeku dan hanya menyedari kehilangan anaknya apabila tiba di lokasi kejadian.

Difahamkan, rakan ibu mangsa yang berada di lokasi menyangkakan kanak-kanak itu berada di tepi pantai lalu mencarinya di sekitar pantai, namun dimaklumkan abang mangsa bahawa adiknya hilang di dalam air.

Menurut rakan ibu mangsa yang juga saksi kejadian, Putri Nazhatul Shima Abd Habib, 34, ketika itu kanak-kanak terbabit bersama kira-kira 11 kanak-kanak lain berusia antara enam hingga 14 tahun mandi di pantai berkenaan.

“Kami hanya mengetahui kehilangan mangsa sejurus selepas ibunya kembali semula ke pantai apabila dia bertanyakan di mana anaknya.

“Ketika itu, barulah kami menyedarinya, lalu terus mencari anak rakan saya itu di kawasan darat sehingga kira-kira lebih satu jam, namun gagal menemuinya,” katanya.

Sementara itu rakan mangsa, Siti Murnirah Soid, 10, berkata, ketika kejadian dia turut mandi di pantai itu bersama kanak-kanak terbabit, namun tidak mengesyaki mangsa lemas kerana sebelum kejadian Ajmal dikatakan sering berlakon seolah-olah lemas.

“Kami mandi bersama kawan yang lain. Sebelum kejadian, dia (mangsa) bermain dengan menyelam dan seolah-olah seperti lemas dengan tangan terkapai-kapai di atas air beberapa kali.

“Walaupun nampak tangannya ke atas selepas itu, tetapi saya tidak tahu dia lemas kerana menyangkakan dia bermain kerana dia tidak menjerit,” katanya di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, semalam.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Mohd Farid Usop, 32, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian oleh isterinya jam 11 pagi sebelum menghubungi bomba.

Katanya, setibanya di tempat kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, mayat anaknya belum ditemui.

“Saya berada di Jasin kerana mempunyai urusan lain dan difahamkan Ajmal mandi bersama abangnya serta beberapa kanak-kanak lain dengan bermain seolah-olah menyelam, namun dia kemudian tidak timbul.

“Selepas itu, abangnya memberitahu isteri saya bahawa adiknya tiada. Mayatnya ditemui anggota bomba lima meter dari gigi air,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Abdul Rashid Bechek berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.27 pagi dan memulakan operasi mencari jam 11.44 pagi.

“Satu jentera bersama sembilan anggota, termasuk pasukan skuba dikejarkan ke lokasi. Kami menggunakan teknik pukat untuk mencari mangsa dan mayatnya ditemui jam 12.40 tengah hari,” katanya.

H/metro

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59