Wednesday, 12 October 2011

Kereta Rempuh Tiang Elektrik




MASJID TANAH - Lima sekeluarga nyaris maut apabila kereta pacuan empat roda dinaiki terbabas ke kiri jalan merempuh sebatang tiang elektrik hingga terpatah dua di Lubok China, dekat sini, tengah malam semalam. 

Dalam kejadian itu, mangsa, Shahidah Ghani, 33, bersama empat anaknya berusia antara dua hingga 13 tahun dalam perjalanan pulang dari Jasin ke rumahnya di Taman Wira Indah, Lubok China. 

Difahamkan, mangsa ke Serkam pada petang kejadian atas urusan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori membawa bekalan susu ke sekolah-sekolah. 

Saksi kejadian, Norliza Abdullah, 43, berkata, dia yang sedang menjahit dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat sebelum terdengar suara kanak-kanak menangis dan terus keluar melihat apa yang berlaku. 

Menurutnya, dia terus keluar sebelum memanggil jiran sebelah dan menahan dua remaja yang melalui jalan ini. 

“Saya meminta mereka melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila mendapati mangsa adalah individu yang sering saya tegur. 

“Saya kenal dengan mangsa disebabkan anak bongsu saya bersekolah di tempat sama dengan anak mangsa, apatah lagi turut mengenali keluarga mertua mangsa yang tinggal di Felcra Ramuan China Kechil, tidak jauh dari kejadian,” katanya. 

Remaja terbabit, Mohd Shafie Norizan, 18, dan Mohd Zaki Zulkifli, 18, dalam perjalanan ke pekan Lubok China terkejut apabila dilambai Norliza yang meminta pertolongan sebelum menyedari terdapat sebuah pacuan empat roda terbabas di kiri jalan. 

Menurut mereka, sebaik memberhentikan motosikal, mereka mendapati mangsa terdiam akibat panik dan kami meminta mereka sekeluarga keluar menerusi pintu penumpang sebelah pemandu. 

“Kami dimaklumkan mereka sedang mencari telefon bimbit tetapi kami meminta mereka keluar terlebih dahulu kerana bimbang sekiranya tiang elektrik yang sudah terpatah dua itu rebah menimpa kereta berkenaan yang remuk teruk di bahagian hadapan,” kata mereka. 

Sementara itu, ibu mertua mangsa, Habibah Bakar, 53, ketika ditemui di lokasi kejadian masih terkejut dengan panggilan diterima daripada mangsa sendiri. 

Menurutnya, bersyukur kerana anak, menantu dan cucu-cucunya tidak mengalami sebarang kemalangan jiwa. 

Difahamkan, mangsa dan empat anaknya dibawa ke Klinik Kesihatan Lubok China untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59