Friday, 28 October 2011

Disamun RM200,000




Tangan dan kaki diikat manakala mulutnya disumbat dengan kain. Itulah nasib menimpa seorang lelaki apabila lori membawa muatan kayu bernilai kira-kira RM200,000 dipandunya disamun dua lelaki bersenjatakan parang di Alor Gajah, Melaka, Ahad lalu.

Bagaimanapun, lelaki berusia 30-an itu diselamatkan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan seorang daripada suspek ditahan bersama lori berkenaan di belakang sebuah stesen minyak di Sungai Chua, hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, ketika kejadian, lori dipandu mangsa dalam perjalanan ke Lembah Klang sebelum suspek bersenjatakan parang mengarahkan mangsa memberhentikan lorinya di bahu jalan.

Katanya, sebaik lori itu berhenti, dua suspek meluru ke arah mangsa dan mengarahkannya turun tetapi mangsa enggan menyebabkan dia dipukul.

Menurutnya, mangsa cedera di beberapa bahagian badan kemudian diikat dan disumbat di bahagian belakang lori.

Ab Rashid berkata, polis yang menjalankan rondaan rutin terserempak dengan lori berkenaan di kawasan sunyi di belakang sebuah stesen minyak bersama dua lelaki dalam keadaan mencurigakan dengan seorang daripada mereka sedang menelefon seseorang dipercayai pembeli kayu berkenaan.

Polis kemudian melakukan pemeriksaan tetapi suspek yang cemas melihat kehadiran polis sempat melarikan diri namun seorang daripada mereka berjaya ditahan.

“Sebaik ditahan, polis menemui mangsa dengan tangan, kaki dan mulutnya diikat di bahagian belakang lori berkenaan.

“Selain itu, mangsa turut mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai kesan daripada pergelutan dengan suspek sewaktu merampas lori yang dipandunya,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Kenaikan Pangkat Pelbagai Jawatan kepada 75 pegawai dan anggota di IPD Kajang, semalam. Beliau berkata, polis turut menemui parang yang digunakan suspek berusia 30-an untuk mencederakan mangsa selain menemui semula kayu di dalam lori itu.

“Suspek kini masih ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkumpulan dan menggunakan senjata,” katanya.


Thursday, 27 October 2011

Tragedi Deepavali



Gambar hiasan

Suasana meriah di Pantai Puteri bertukar hiba apabila seorang wanita tidak dapat menahan kesedihan dan pengsan sebaik melihat mayat anaknya yang lemas diangkat ke tepi pantai oleh anggota bomba, tengah hari semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, mangsa, Ajmal Afzan, 6, lemas ketika bermain air di pantai berkenaan bersama abangnya yang berusia tujuh tahun dan beberapa kanak-kanak lain.

Mangsa mengikuti ibunya, Zuhana Ayub, 32, berkelah di pantai itu bersama enam keluarga rakan sekerja ibunya sempena cuti Deepavali dan baru tiba di pantai itu kira-kira jam 10 pagi.

Malah ketika kejadian, ibu mangsa tiada kerana mengambil barang di rumah rakannya di Tangga Batu untuk membuat barbeku dan hanya menyedari kehilangan anaknya apabila tiba di lokasi kejadian.

Difahamkan, rakan ibu mangsa yang berada di lokasi menyangkakan kanak-kanak itu berada di tepi pantai lalu mencarinya di sekitar pantai, namun dimaklumkan abang mangsa bahawa adiknya hilang di dalam air.

Menurut rakan ibu mangsa yang juga saksi kejadian, Putri Nazhatul Shima Abd Habib, 34, ketika itu kanak-kanak terbabit bersama kira-kira 11 kanak-kanak lain berusia antara enam hingga 14 tahun mandi di pantai berkenaan.

“Kami hanya mengetahui kehilangan mangsa sejurus selepas ibunya kembali semula ke pantai apabila dia bertanyakan di mana anaknya.

“Ketika itu, barulah kami menyedarinya, lalu terus mencari anak rakan saya itu di kawasan darat sehingga kira-kira lebih satu jam, namun gagal menemuinya,” katanya.

Sementara itu rakan mangsa, Siti Murnirah Soid, 10, berkata, ketika kejadian dia turut mandi di pantai itu bersama kanak-kanak terbabit, namun tidak mengesyaki mangsa lemas kerana sebelum kejadian Ajmal dikatakan sering berlakon seolah-olah lemas.

“Kami mandi bersama kawan yang lain. Sebelum kejadian, dia (mangsa) bermain dengan menyelam dan seolah-olah seperti lemas dengan tangan terkapai-kapai di atas air beberapa kali.

“Walaupun nampak tangannya ke atas selepas itu, tetapi saya tidak tahu dia lemas kerana menyangkakan dia bermain kerana dia tidak menjerit,” katanya di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, semalam.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Mohd Farid Usop, 32, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian oleh isterinya jam 11 pagi sebelum menghubungi bomba.

Katanya, setibanya di tempat kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, mayat anaknya belum ditemui.

“Saya berada di Jasin kerana mempunyai urusan lain dan difahamkan Ajmal mandi bersama abangnya serta beberapa kanak-kanak lain dengan bermain seolah-olah menyelam, namun dia kemudian tidak timbul.

“Selepas itu, abangnya memberitahu isteri saya bahawa adiknya tiada. Mayatnya ditemui anggota bomba lima meter dari gigi air,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Abdul Rashid Bechek berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.27 pagi dan memulakan operasi mencari jam 11.44 pagi.

“Satu jentera bersama sembilan anggota, termasuk pasukan skuba dikejarkan ke lokasi. Kami menggunakan teknik pukat untuk mencari mangsa dan mayatnya ditemui jam 12.40 tengah hari,” katanya.

H/metro


Wanita Gelabah Positif Dadah




Seorang ibu beranak dua ‘mati kutu’ apabila ditahan dan keretanya disita dalam satu sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) arah selatan, di sini, malam semalam.

Wanita berusia 32 tahun itu bukan saja tidak mempunyai lesen memandu, malah cukai jalan Proton Gen.2 dipandunya tamat tempoh sejak Disember lalu selain tidak mempunyai insurans.

Kesalahan itu mengakibatkan keretanya terus disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pemeriksaan lanjut.

Lebih mengejutkan, wanita yang difahamkan baru saja menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh di Taman Merdeka, dekat sini, sebelum ke tempat kerja di Melaka Raya turut didapati positif dadah dipercayai syabu dalam ujian saringan pertama yang dijalankan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Wanita berkenaan adalah antara sembilan yang ditahan berusia antara 20-an hingga 30-an kerana didapati positif dadah dalam operasi bersepadu dijalankan JPJ, AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).


Gila! Caj Cukai Hotel Melaka 11%




Kerajaan pimpinan Ali Rustam semakin dihimpit masalah kewangan sehinggakan mengenakan caj warisan bagi hotel dalam Melaka. Adakah industri perhotelan Melaka akan gulung tikar ekoran daripada caj yang dikenakan oleh kerajaan negeri yang sedikit sebanyak mengurangkan pelancong menginap di hotel.

Berikut adalah ketidakpuasan pihak hotel terhadap kerajaan negeri mengenai caj warisan yang dikenakan terhadap hotel-hotel dalam Melaka.

Tiga persatuan hotel enggan membayar caj warisan sebanyak lima peratus bagi semua jenis hotel yang ditetapkan kerajaan negeri berkuat kuasa September lalu.

Tiga persatuan itu ialah Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MBHA) dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO).

Pengerusi MBHA, Hendon Puteh berkata, keputusan mengarahkan pemilik hotel membayar caj warisan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dua bulan sekali itu tidak munasabah.

Menurutnya, caj itu dianggap membebankan pelancong yang berkunjung ke negeri itu terutama pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

''Keputusan yang dibuat kerajaan negeri amat mengejutkan kerana pelanggan terpaksa membayar dua caj iaitu enam peratus cukai kerajaan dan tambahan lima peratus caj warisan," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Casa De Rio di sini semalam.

Lebih membebankan kata Hendon, caj itu dikenakan mengikut jumlah hari pelanggan menginap.

''Keadaan ini boleh menyebabkan pelanggan mengurangkan tempoh menginap dan mungkin juga ada di antara mereka yang akan membatalkan hasrat menginap di hotel kerana bayaran yang membebankan," katanya.

Pengarah Eksekutif MAHO, Shaharuddin M.Said menyifatkan keputusan mengenakan caj tambahan itu boleh menjejaskan industri pelancongan di negeri ini.

''Walaupun mendapat keuntungan lebih sedikit melalui caj itu tetapi untuk jangka masa panjang semua pemilik hotel akan mengalami kerugian besar apabila pelancong enggan datang ke sini'' katanya.

Sehubungan itu katanya, tiga persatuan itu ingin mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Katanya, setakat ini sebanyak 137 ahli persatuan hotel bajet sebulat suara enggan melaksanakan caj warisan sebanyak lima peratus itu.


Tuesday, 25 October 2011

Video: Keadaan Kereta Jika dipandu 192km/j



INI merupakan gambaran saat genting di mana sebuah Ford Focus menghentam sebuah dinding konkrit pada kelajuan 120 mph (192km/j) di dalam satu ujian pelanggaran paling pantas di dunia.


Pakar keselamatan lazimnya melakukan ujian pelanggaran hanya pada kelajuan 40 mph (64 km/j) di dalam menentukan tahap keselamatan sebuah produksi kereta.

Namun begitu kita tertanya-tanya apakah akan terjadi jika perlanggaran berdepan (head-on) berlaku pada kelajuan tiga kali ganda kelajuan lazim yang digunakan di dalam penentuan tahap keselamatan sebuah kereta.

Hal ini membawa kepada satu ujian perlanggaran paling pantas di dalam sejarah dunia. Ford Focus ini berubah kelajuan daripada 120 mph kepada 0 mph dalam sela masa 60 mili saat dan akibatnya...


Sebuah besi buruk yang tidak dikenali lagi rupa asalnya. Bayangkan jika anda berada di dalam kereta ini. Saksikan video ekslusif ujian perlanggaran terpantas di dunia ini.



Sumber: Free Malays


Monday, 24 October 2011

Meninggal Ketika Main Paintball




Seorang jurujual kereta meninggal dunia sewaktu menyertai kejohanan paintball peringkat kebangsaan di Solok Bukit Bayan di sini semalam.

Mohd. Farid Yusop (gambar), 34, meninggal dunia pada pukul 3.45 petang sewaktu dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk menerima rawatan selepas tidak sedarkan diri ketika perlawanan sedang berlangsung kira-kira pukul 3 petang.

Menurut isterinya yang hanya dikenali sebagai Liza, 34, dia menyedari keadaan suaminya itu apabila melihat orang ramai memperkatakan tentang keadaan suaminya yang agak pelik iaitu melutut dan langsung tidak bergerak di tempat perlawanan biarpun permainan sudah tamat.

“Satu jam sebelum permainan bermula, arwah ada mengadu pada saya yang badannya tidak sihat dan mengatakan itu mungkin perkara biasa.

“Memandangkan kumpulannya tidak cukup pemain, arwah terpaksa meneruskan juga permainan,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HM di sini hari ini.

Kata Liza, dia tidak menyangka perkara buruk seperti itu melanda suaminya memandangkan sebelum perlawanan, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu kematian jurujual itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Thursday, 20 October 2011

Patah Pinggul Bertembung Kereta




ALOR GAJAH: Seorang pemandu lori patah tulang pinggul manakala dua kelindan terselamat selepas lori dinaiki berlanggar dengan sebuah kereta Proton Wira di Jalan Bukit Putus-Tebon-Gemencheh, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu, pemandu lori, Mohd Shukor Bahari, 40-an, bersama Mohd Asyraf Arsad, 26, dan Khairul Azlan Othman, 20, dalam perjalanan pulang dari Durian Tunggal ke Maran, Pahang selepas selesai kerja.

Difahamkan, kereta Wira terbabit yang dipandu Nordin Senin, 28, dari arah Gemas ke Tebong cuba memotong sebuah lori muatan tiga tan namun gagal hingga bertembung dengan sebuah lori lain dari arah Gemas.

Menurut Mohd Asyraf, mereka bertiga terkejut sebaik menyedari kereta Wira terbabit tiba-tiba memotong sebuah lori lain namun gagal dan bertembung lori dipandu rakannya biarpun Mohd Shukor cuba mengelak ke kiri.

“Kereta Proton Wira itu tiba-tiba memotong sebuah lori di hadapannya, tetapi tidak lepas dan terus merempuh bahagian depan sebelah kanan lori yang kami naiki biarpun Mohd Shukor cuba mengelak ke kiri.

“Malah, lori yang kami naiki juga nyaris merempuh tiang elektrik berhampiran. Akibat pelanggaran itu pemandu kereta itu cedera di bahagian badan akibat tersepit manakala Mohd Shukor patah tulang pinggul.

“Saya dan Khairul Azlan bagaimanapun bernasib baik kerana tidak cedera,” katanya.

Menurut Mohd Asyraf, dia dan Khairul Azlan tergamam dan tidak berani menolong Mohd Shukor dan Nordin kerana bimbang mereka mengalami kecederaan lebih teruk sebelum orang awam cuba membantu dan menghubungi ambulans.

Sementara itu jurucakap hospital berkata, kedua-dua pemandu yang cedera dihantar ke Hospital Tampin, Negeri Sembilan untuk rawatan sebelum Mohd Shukor dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.


Kemalangan Bas-Treler




JASIN: “Saya terkejut kerana ketika cuba masuk ke lorong kecemasan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman dan melihat sebuah bas terbabas ke kanan jalan,” kata pemandu treler, Aziz Romzi Sarkam, 42.

Dalam kejadian jam 2.30 petang semalam, dua penumpang termasuk wanita sarat mengandung lima bulan cedera, manakala 14 penumpang lain tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan treler di Kilometer 186.7 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Plaza Tol Lipat Kajang.


Menurut Aziz, ketika kejadian dia cuba memasuki lorong kecemasan bagi memberhentikan treler muatan besi buruk yang dipandu berikutan masalah brek kanan dialami.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, bas berkenaan membawa 16 penumpang dengan empat daripadanya ke Singapura dan selebihnya ke Johor Bahru, manakala treler itu dari Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.

“Dua penumpang cedera dalam kemalangan itu, seorang daripadanya yang identitinya masih belum dikenal pasti mengalami patah kaki kanan dan dihantar ke Hospital Tangkak, Ledang untuk rawatan.

“Manakala, wanita mengandung lima bulan dikenali sebagai Loh Hua Moi, 40, dari Kampung Sarang Buaya, Semerah, Batu Pahat, Johor pula hanya cedera ringan dan kini menerima rawatan di Hospital Melaka sebagai pesakit luar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Che Suza berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas dikenali sebagai Raja Chandran berusia 40-an dari syarikat Jebat Ekspres itu dipercayai cuba memotong di sebelah kanan jalan, sebelum terlanggar belakang treler terbabit yang ketika itu sedang bergerak perlahan ke lorong kecemasan.

“Ketika kejadian, treler ini mengalami kerosakan pada bahagian brek kanannya dan bergerak perlahan dari laluan kiri untuk memasuki ke lorong kecemasan dan sebelum sempat keseluruhan bahagian badan treler masuk ke lorong itu ia dilanggar bas ekspres terbabit.

“Akibat rempuhan kuat itu, seluruh dinding bahagian kanan badan treler ini rosak teruk dan termasuk ke dalam bas, manakala bas ekspres berkenaan pula rosak di bahagian kiri depannya,” katanya.

Menurutnya, pemandu bas dan treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

H/metro


Tuesday, 18 October 2011

Perdaya isteri rakan




MELAKA: Seorang kakitangan sebuah bank di negeri ini mendakwa diperdaya seorang lelaki warga asing yang memaksanya melakukan hubungan seks sebagai balasan bagi membebaskan suami yang kononnya diculik.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa pada 8 Oktober lalu, wanita berusia 27 tahun itu mendakwa dirogol dan dipaksa melakukan seks oral oleh lelaki berkenaan selepas mengikuti suspek, 29, yang kononnya mahu membantunya mencari suaminya.

Menurut sumber, sehari sebelum kejadian (7 Oktober), mangsa mendakwa dia dan suaminya, lewat 20-an, membawa lelaki warga asing itu yang juga rakan suaminya, makan di sebuah restoran di Bukit Beruang, sebelum suaminya menghantar lelaki itu pulang, manakala dia menaiki sebuah lagi kereta.

“Beberapa jam kemudian, mangsa mendakwa lelaki berkenaan menelefonnya bertanya mengenai suaminya menyebabkan dia terkejut kerana sepatutnya dia bersama kenalannya itu.

“Lelaki warga asing itu yang juga ahli perniagaan kemudiannya menyatakan suaminya mungkin diculik dan menawarkan diri untuk membawa wanita itu ke balai polis untuk membuat laporan.

“Mangsa cuba menghubungi suaminya beberapa kali, namun gagal dan berikutan bimbang sesuatu yang buruk berlaku, dia akhirnya bersetuju mengikuti lelaki berkenaan,” kata sumber.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan, wanita itu mendakwa lelaki berkenaan mengherdiknya selain mengaku dia yang menculik suami mangsa dan disembunyikan di rumahnya di Bukit Beruang.

Katanya, wanita itu mendakwa kemudian dibawa ke rumah suspek sebelum dipaksa melakukan seks oral dan dirogol dengan ganas hingga mangsa mengalami kecederaan di kedua-dua belah pahanya sebagai balasan membebaskan suaminya.

“Mangsa mendakwa lelaki memberitahu dia ghairah melihat bentuk tubuhnya hingga mahu melakukan hubungan seks.

“Berikutan laporan polis yang dibuat mangsa, polis kemudian menahan lelaki warga asing berkenaan di rumahnya di Bukit Beruang Utama beberapa hari selepas itu.

Sumber berkata, kejadian culik itu dipercayai tidak berlaku dan suami mangsa pulang ke rumah keesokan harinya dan ketika kejadian, dia berada di tempat lain.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, warga asing itu turut membuat laporan berasingan kelmarin mendakwa wanita itu dan suaminya mereka-reka cerita kerana gagal memeras wang daripadanya.

H/metro


Bunuh Anak Tiri




ALOR GAJAH: Tempoh tahanan reman terhadap seorang jurujual yang menjadi suspek kes bunuh anak tirinya, Mohd Firdaus Mat Dan, 6, disambung enam hari lagi bagi membolehkan polis melakukan siasatan dengan lebih terperinci.

Majistret Siti Suriatey Mohamad Yusoff, membenarkan lelaki itu ditahan reman hingga 23 Oktober ini selepas tempoh reman suspek berusia 37 tahun itu berakhir semalam.

Ia tahanan reman kedua terhadap suspek berkenaan bagi membantu polis meneruskan siasatan berhubung kematian Mohd Firdaus pada 10 Oktober lalu.

Sebelum ini, suspek dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari bermula 11 Oktober lalu oleh mahkamah sama.

Suspek yang memakai baju lokap dibawa menaiki van polis dan tiba di Mahkamah Majistret Alor Gajah kira-kira jam 9.30 pagi.

Dia dibawa masuk melalui pintu belakang mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Akhbar ini pada 12 Oktober lalu melaporkan Mohd Firdaus yang dihantar bapa tirinya ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Hospital yang menyedari terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa termasuk kedua-dua kakinya dipercayai akibat terkena benda panas.


Bapa Maut




MELAKA - Seorang bapa kepada dua anak maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika kenderaan ditungganginya terjatuh di Jalan Datuk Mohd. Zain, Batu Berendam di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 3 petang, Shahrul Hisham Daud, 22, dikatakan baru pulang menghantar isterinya ke tempat kerja di sebuah pasar raya berhampiran.

Menurut sumber, mangsa ketika itu datang dari arah Taman Merdeka Permai menuju arah Bachang sebelum motosikalnya dikatakan terbabas dan terjatuh di tengah jalan.

Norhanisah sayu melihat mayat suaminya. Gambar kecil, Shahrul Hisham.

"Sebaik sahaja terjatuh, mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berusia 65 tahun," katanya di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Gelam, Tanjung Keling di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, isteri mangsa, Norhanisa Nordin, 21, berkata, dia tidak menyangka permintaan untuk menemaninya hingga ke kaunter wang tempat kerjanya itu merupakan permintaan terakhir arwah.

"Masih terngiang-ngiang kata-kata arwah yang beria-ia mahu menghantar saya sehingga ke kaunter pembayaran tetapi saya menolaknya kerana tidak mahu menyusahkannya.

"Tidak lama selepas itu, saya terkejut apabila diberitahu dia terlibat dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Hasil perkahwinan pada 2008, pasangan itu dikurniakan dua orang anak iaitu lelaki dan perempuan berusia tiga tahun dan 18 bulan.


Monday, 17 October 2011

Roboh Tetap Roboh



Pandangan hadapan lampu isyarat

Bangunan ini merupakan milik Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional DUN Bukit Baru yang terletaknya bersebelahan Masjid Bukit Baru telah lama beroperasi di kawasan ini dan yang menjadi persoalan ialah semua bangunan kayu yang terletak bersebelahan bangunan ini atau berhadapan dengan lampu isyarat telah dirobohkan kecuali Pusat Perkhidmatan DUN Bukit Baru milik komponen Barisan Nasional.

Adakah Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional DUN Bukit Baru ini akan bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-13? Jika tidak, mengapa ia masih kekal dan tidak dirobohkan seperti bangunan-bangunan yang lain? Bangunan yang lain dirobohkan terlebih awal berbanding dengan pusat khidmat tersebut.

Selanjutnya di sini


Friday, 14 October 2011

Rogol Suka Sama Suka Popular di Melaka?




MELAKA: Seorang pembantu tukang masak dihukum penjara 24 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan merogol pelajar tingkatan dua, September lalu.

Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Jul Abdul Jalil, 27, yang beralamat di Taman Mutiara Sri Gading, Batu Pahat, Johor selepas meneliti semua fakta, rayuan dan hujah pendakwaan.

Bagi tuduhan pertama, Jul yang tidak diwakili peguam didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun enam bulan itu pada 20 September lalu, kira-kira jam 4.30 petang di dalam stor kedai di Kilometer 1256, Jalan Besar, Kampung Baru, Alor Gajah.

Bagi tuduhan kedua dia didakwa merogol mangsa sama, keesokannya, 21 September lalu, kira-kira jam 2 petang, di tempat sama.

Seterusnya Jul dituduh merogol pelajar terbabit sekali lagi pada 24 September lalu, kira-kira jam 3 petang di tempat sama.

Ketiga-tiga kesalahan dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan sehingga 20 tahun serta sebatan.

Ahmad Sazali menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap.

Ia bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan saja.

Katanya, beliau hairan dan kecewa kes ‘rogol suka sama suka’ seperti itu kerap berlaku khususnya di Melaka meskipun sering dilaporkan, sekali gus menunjukkan seolah-olah orang ramai tidak takut.

“Satu perkara saya ingin nyatakan, mangsa pelajar sekolah dan masih di bawah umur, namun kamu yang berusia 27 tahun serta masih bujang mengambil kesempatan terhadapnya.

“Apapun alasan kamu sama ada mangsa teman wanita dan sebagainya, ia bukan alasan untuk melakukan perbuatan itu,” katanya.

Ahmad Sazali menegaskan bahawa sama ada mangsa suka atau tidak suka, mahupun setuju atau tidak dari segi undang-undang negara, melakukan seks dengan gadis bawah umur 16 tahun adalah satu kesalahan.

“Saya bukan bercakap dari sudut agama atau moral yang sememangnya satu kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya dilihat daripada fakta memang mangsa rela dan dia sepatutnya dipersalahkan.

“Namun, ini kes serius, tiga perbuatan rogol berlaku dalam masa empat hari,” katanya.

Mengikut fakta kes, mangsa (pengadu) berkenalan dengan tertuduh yang berasal dari Sabah menerusi laman web sosial pada 29 April lalu.

Kedua-dua mereka saling berhubungan sebelum tertuduh datang berjumpa mangsa pada 20 September lalu, kira-kira jam 4 petang.

P/s: Peningkatan zina di Melaka dikalangan remaja di Sekolah Harapan. Klik sini


Thursday, 13 October 2011

Sekolah Harapan Meningkat 87 Orang Pelajar??




Sekolah Harapan Negeri Melaka adalah idea daripada Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam telah dibuka pada tanggal 17 September 2010 iaitu pada hari Jumaat. Kini sudah genap setahun sekolah itu telah beroperasi di Jasin. Sekolah itu yang dikenali sebagai ''Sekolah Harapan'', berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di bekas pejabat Syarikat Air Melaka (SAM).

Peruntukan untuk Sekolah Harapan ini menelan kos RM1juta setahun dengan permulaan pelajar ketika dibuka adalah seramai 5 orang dan boleh memuatkan maksimum 40 pelajar. Namun, jumlah terkini pelajar tersebut adalah dua kali ganda jumlah maksimum tersebut iaitu seramai 87 orang sehingga setakat ini. Jumlah tersebut sudah cukup membuktikan semakin ramai yang terlibat dalam aktiviti kurang sihat ini.

Baca penuh di sini


Vitamin E punca barah prostat




NEW YORK: Lelaki yang mengambil vitamin E setiap hari berkemungkinan mendapat barah prostat berbanding mereka yang tidak mengambil makanan tambahan itu, lapor satu kajian yang dijalankan terhadap 35,000 orang di Amerika Utara. 

Ini bermakna sejak lebih sedekad, seorang atau dua lelaki daripada 100 yang mengambil vitamin E dijangka mendapat kanser prostat, kata penyelidik yang hasil kajiannya diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika.

“Jika anda sudah cukup dengan vitamin ini dalam sistem anda, berlebihan tidak akan membantu langsung malah jika terlalu berlebihan akan mendatangkan mudarat,” kata seorang penulis kajian itu, Eric Klein dari Klinik Cleveland.

Kajian itu mendapati wanita tua yang mengambil vitamin pelbagai mempunyai kadar kematian lebih tinggi sedikit berbanding mereka yang tidak. 

“Keputusan mendapati mengambil vitamin bukan hanya tidak membantu tetapi boleh memberi mudarat kepada mereka yang tidak mengalami kekurangan vitamin, tambah Klein. 

Klein dan rakan penyelidiknya tidak jelas bagaimana vitamin E boleh meningkatkan risiko kanser prostat dan kajian terdahulu tidak menunjukkan sebarang bahaya vitamin itu. – Reuters 


Sayang Kereta, Melayang Nyawa





KLANG - Malang nasib seorang wanita apabila dia bukan saja gagal menyelamatkan kereta Toyota Altis miliknya daripada dilarikan penyamun malah berakhir dengan nyawanya melayang akibat dilanggar dan digilis oleh penjenayah yang tidak berhati perut dalam kejadian di Jalan Kangar 92, Jalan Kapar di sini kelmarin.

Semasa kejadian pada pukul 7.15 malam itu, mangsa Teoh Moy Lay, 52, mati akibat cedera di beberapa bahagian badan selepas dilanggar dan diseret sejauh 54.8 meter.

Lebih menyayat hati, kejadian tersebut disaksikan oleh suami dan anak Moy Lay selepas mereka berlari keluar dari rumah sebaik mendengar jeritan mangsa.

Mengimbas tragedi itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong berkata, polis mengesyaki kedua-dua suspek itu mengekori Moy Lay yang memandu kereta Toyota Altis bernombor pendaftaran BKV 3882 yang bekerja di sebuah syarikat kredit dan kereta terpakai di ibu negara sehingga sampai di hadapan rumah mangsa.

Menurut beliau, sampai di rumah mangsa, salah seorang suspek turun dari keretanya sebelum bertindak menaiki kereta mangsa.

Ketika itu mangsa baru turun dari keretanya dan enjin tidak dimatikan kerana mahu membuka pintu pagar.


Wednesday, 12 October 2011

Kereta Rempuh Tiang Elektrik




MASJID TANAH - Lima sekeluarga nyaris maut apabila kereta pacuan empat roda dinaiki terbabas ke kiri jalan merempuh sebatang tiang elektrik hingga terpatah dua di Lubok China, dekat sini, tengah malam semalam. 

Dalam kejadian itu, mangsa, Shahidah Ghani, 33, bersama empat anaknya berusia antara dua hingga 13 tahun dalam perjalanan pulang dari Jasin ke rumahnya di Taman Wira Indah, Lubok China. 

Difahamkan, mangsa ke Serkam pada petang kejadian atas urusan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori membawa bekalan susu ke sekolah-sekolah. 

Saksi kejadian, Norliza Abdullah, 43, berkata, dia yang sedang menjahit dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat sebelum terdengar suara kanak-kanak menangis dan terus keluar melihat apa yang berlaku. 

Menurutnya, dia terus keluar sebelum memanggil jiran sebelah dan menahan dua remaja yang melalui jalan ini. 

“Saya meminta mereka melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila mendapati mangsa adalah individu yang sering saya tegur. 

“Saya kenal dengan mangsa disebabkan anak bongsu saya bersekolah di tempat sama dengan anak mangsa, apatah lagi turut mengenali keluarga mertua mangsa yang tinggal di Felcra Ramuan China Kechil, tidak jauh dari kejadian,” katanya. 

Remaja terbabit, Mohd Shafie Norizan, 18, dan Mohd Zaki Zulkifli, 18, dalam perjalanan ke pekan Lubok China terkejut apabila dilambai Norliza yang meminta pertolongan sebelum menyedari terdapat sebuah pacuan empat roda terbabas di kiri jalan. 

Menurut mereka, sebaik memberhentikan motosikal, mereka mendapati mangsa terdiam akibat panik dan kami meminta mereka sekeluarga keluar menerusi pintu penumpang sebelah pemandu. 

“Kami dimaklumkan mereka sedang mencari telefon bimbit tetapi kami meminta mereka keluar terlebih dahulu kerana bimbang sekiranya tiang elektrik yang sudah terpatah dua itu rebah menimpa kereta berkenaan yang remuk teruk di bahagian hadapan,” kata mereka. 

Sementara itu, ibu mertua mangsa, Habibah Bakar, 53, ketika ditemui di lokasi kejadian masih terkejut dengan panggilan diterima daripada mangsa sendiri. 

Menurutnya, bersyukur kerana anak, menantu dan cucu-cucunya tidak mengalami sebarang kemalangan jiwa. 

Difahamkan, mangsa dan empat anaknya dibawa ke Klinik Kesihatan Lubok China untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.


Langgar Meter Air Selepas Curi Kereta




TELOK EMAS - Sebuah kereta dipercayai dinaiki sepasang kekasih yang terbabas sehingga merempuh meter air beberapa buah rumah di Kilometer 12 Kampung Pernu di sini malam kelmarin, rupa-rupanya membongkar satu kes jenayah. 

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, anggota polis mendapati pemandu kereta jenis Proton Gen2 itu tiada di situ. 

Menurutnya, pemandu lelaki terbabit lari meninggalkan rakannya, seorang wanita berusia lingkungan 20-an. 

“Semakan nombor plat pendaftaran kenderaan terbabit mendapati ia adalah kereta curi kerana kenderaan sama dilaporkan hilang di Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor. 

“Justeru, kami menahan wanita terbabit dan menyerahkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut. Pemandu kereta terbabit turut dicari bagi membantu :siasatan,” katanya, semalam. 

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, kereta jenis Proton Gen2, dipandu seorang lelaki dari arah pusat bandar secara tiba-tiba melakukan pusingan U di bahu jalan lalu melanggar longgokan meter paip air milik beberapa penduduk. 

Menurut saksi yang enggan dikenali, sejurus kemudian keluar seorang lelaki bersama seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 20-an. 

Katanya, dia melihat berlaku pertengkaran sehingga lelaki itu bertindak menampar beberapa kali wanita terbabit. 

Tidak lama selepas itu, datang beberapa lelaki lain yang cuba meleraikan pergaduhan itu sehingga hampir-hampir mencetuskan ketegangan antara mereka. 

Bagaimanapun, lelaki yang memandu kenderaan terbabit menghilangkan diri sebelum kehadiran anggota polis di tempat kejadian. 

Kejadian berkenaan juga turut mengakibatkan lebih empat rumah terputus bekalan air selama hampir empat jam.


Tuesday, 11 October 2011

Khalwat Ibu Tunggal



MELAKA: Niat bapa tiga anak mahu melepas rindu bersama kekasih gelapnya membawa padah, apabila dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di sebuah rumah di Taman Seri Bertam, dekat sini, malam kelmarin.

Gambar hiasan

Dalam kejadian jam 11.50 malam, lelaki berusia 34 tahun itu dicekup bersama ibu tunggal anak satu, berusia 30 tahun di rumah sewa wanita berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata pihaknya melakukan serbuan dan sebaik tiba di rumah dikenal pasti, penguat kuasa memberi salam sebelum pintu dibuka seorang lelaki.

“Soal siasat mendapati pasangan terbabit bukan mahram. Mereka ditahan untuk siasatan lanjut kerana bersekediaman,” katanya.


Mat Rempit Belasah Dalam Ambulans



MELAKA TENGAH: Seorang pemandu kereta cedera selepas diserang sekumpulan penunggang motosikal dipercayai mat rempit ketika berada di dalam ambulans di Hospital Melaka, sejurus dua rakan mereka terbabit dalam kemalangan dengan pemandu itu di Jalan Limbongan di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 pagi dan lebih 20 remaja bermotosikal berusia lingkungan 20an turut berada di lokasi kejadian, namun belum dipastikan jumlah mereka yang terbabit dalam pergaduhan itu.

 KEADAAN Proton Wira  selepas diserang kumpulan remaja.
KEADAAN Proton Wira selepas diserang kumpulan remaja.

Pemandu terbabit turut tercedera, sebelum ambulans tiba membawa ketiga-tiga mangsa kemalangan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan. - Chuah Ghee Lye, Ketua Polis negeri Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, kumpulan remaja itu bergerak dalam kumpulan besar penunggang motosikal, manakala mangsa berusia 50 tahun dan menaiki Proton Wira dalam perjalanan dari arah Melaka Raya menuju ke Klebang.

Beliau berkata, sejurus kemalangan yang menyebabkan penunggang berusia 18 tahun dan pemboncengnya itu cedera, kumpulan remaja berkenaan dikatakan bertindak menyerang pemandu serta memecahkan semua cermin kereta.

"Pemandu terbabit turut tercedera, sebelum ambulans tiba membawa ketiga-tiga mangsa kemalangan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

"Dipercayai akibat tidak berpuas hati, kumpulan remaja disyaki rakan kepada penunggang motosikal itu mengekori ambulans hingga di hadapan bahagian kecemasan hospital, sebelum bertindak menyerang dan memukul pemandu berkenaan yang masih berada di dalam ambulans. 

“Akibat kejadian itu, cermin bahagian belakang sebelah kiri ambulans pecah," katanya.

Mengulas lanjut, Chuah berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian pergaduhan itu.

Katanya, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu menyebabkan kemalangan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 06-2842222 atau cawangan Trafik IPD di 06-2834139 bagi membantu siasatan," katanya. 


Monday, 10 October 2011

21 tahun hidup menipu




LONDON: Seorang lelaki tua menipu pejabat pencen sebanyak 90,000 pounds (RM380,000) dengan menuntut pencen ayahnya yang sudah mati selama 21 tahun.

David Seal, 78, memberitahu pegawai yang ayahnya, berusia 104 tahun jika masih hidup, berada di luar negara dan dia mengambil wang pencennya setiap minggu. 

Semalam, dia dipenjara selama 12 bulan selepas megaku menipu dan mencuri wang pencen ayahnya selama 21 tahun. 

Seal yang menduda, menuntut pencen mingguan ayahnya sejak ayahnya meninggal dunia pada 1989 pada usia 83 tahun.

Dia membuka akaun menggunakan nama ayahnya pada 1995 ketika sistem pembayaran ditukar dan wang dimasukkan terus ke dalam akaun. 

Pendakwaraya Kevin Slack berkata: “Mahkamah terkejut kerana dia berjaya menitup sebegitu lama.” - AP


Daging Babi Madu di Merlimau?



JASIN: Ibarat pesta. Itu suasana aktiviti penjualan daging babi bersalut madu secara terbuka di sebuah kawasan perkampungan di Bandar Merlimau, di sini, apabila lebih 100 pelanggan menyerbu sebuah lori membawa daging haiwan itu yang dijual pada harga serendah RM5 sekilogram.

Berbanding RM15 hingga RM18 di pasar basah, aktiviti menjual daging itu berhampiran rumah penduduk beragama Islam menimbulkan keresahan mereka yang mahu perbuatan itu dibendung pihak berkuasa. 


Justeru, mereka meminta Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) turun padang dan memantau keadaan itu serta mengambil tindakan tegas kepada peniaga sekiranya melanggar undang-undang. 

Penduduk, Eby, 29, berkata kegiatan itu berlarutan sejak tiga bulan lalu apabila terdapat seorang ‘ejen’ yang memaklumkan kepada penduduk mengenai penjualan daging babi itu.

“Ejen terbabit akan pergi ke setiap rumah penduduk bukan Islam dan memberitahu ‘pesta’ menjual daging babi bersalut madu akan diadakan pada hari tertentu.

“Pelanggan dinasihatkan datang ke lokasi ditetapkan itu setengah jam lebih awal kerana menurut ejen terbabit, bekalan habis sekiranya mereka datang lewat,” katanya. 

Menurutnya, penjualan daging babi bersalut madu itu dilakukan peniaga menggunakan sebuah lori sejuk beku dan makanan berkenaan siap dibungkus selain bahagian tulang dan kaki serta kepala dijual berasingan. 

“Keadaan ketika itu seperti pesta kerana orang ramai menyerbu lori terbabit untuk membeli bekalan daging babi bersalut madu itu,” katanya yang juga pekerja swasta, ketika ditemui di sini, baru-baru ini. 

Tinjauan ke satu lokasi penjualan daging babi itu, baru-baru ini mendapati, tidak kurang daripada 80 penduduk bukan Islam menunggu lebih setengah jam bagi mendapat bekalan daging itu. 

Sementara itu, jurucakap MPJ ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penjualan daging babi secara terbuka itu dan tindakan segera sudah diambil oleh anggota penguat kuasa bagi menghalang kegiatan terbabit. 

“Kami sudah menghantar anggota penguat kuasa ke lokasi dilaporkan penduduk dan mendapati kegiatan itu berlaku. Kami bertindak menghalang pihak yang cuba menjualnya kepada orang ramai. 

“MPJ akan sentiasa memantau supaya kegiatan seperti itu tidak berulang dan bersedia dengan tindakan tegas sekiranya ada pihak yang cuba melanggar undang-undang majlis,” katanya yang mengesahkan menjual babi secara terbuka salah daripada segi undang-undang pihak berkuasa tempatan.

H/metro


Thursday, 6 October 2011

Jangka Hayat Taj Mahal Sampai 2016 Sebelum Runtuh?




AGRA: Mercu tanda India yang sering dianggap satu daripada tujuh keajaiban dunia, Taj Mahal, bakal runtuh dalam tempoh lima tahun lagi, kecuali langkah segera diambil bagi mengukuhkan asasnya.

Bangunan marmar berusia 358 tahun itu menjadi daya tarikan paling popular di India dan dilawati kira-kira empat juta pelancong setahun.

Terletak di Agra, Taj Mahal berdepan dengan pelbagai masalah persekitaran apabila sungai yang terletak berhampirannya diancam pencemaran serta aktiviti perindustrian serta penebangan hutan.

Aktivis berpendapat, asas yang menampung bangunan Taj Mahal semakin lemah dan longgar.

Beberapa retakan dikesan di bahagian makam dalam Taj Mahal pada tahun lalu, manakala empat menara yang ada di bucu bangunan itu menampakkan tanda condong.

Taj Mahal dibangunkan pemerintah Mogul, Shah Jahan, yang bersedih akibat kematian isteri tercintanya, Mumtaz Mahal, ketika melahirkan bayi.

Imej Taj Mahal yang selalu dikaitkan dengan romantik turut menjadi perhatian selebriti dan kerabat diraja, termasuk Puteri Diana, yang pernah bergambar di depannya selepas rumah tangganya dengan Putera Charles menemui kegagalan.

Sejarawan India, Prof Ram Nath, berkata kedudukan Taj Mahal terletak berhampiran tebing Sungai Yamuna yang semakin susut.

“Keadaan ini tidak pernah dijangka pembinanya.

“Sungai Yamuna adalah sebahagian daripada reka bentul Taj Mahal dan jika ia mati, Taj Mahal juga tiada maknanya lagi,” katanya. - XXX


Wednesday, 5 October 2011

Lelaki Kahwin Lewat, Anak Kurang Bijak?




WASHINGTON: Kromosom kanak-kanak daripada lelaki berkahwin lewat didapati tidak normal hingga lemah dari segi intelektual, dipercayai disebabkan usia bapa yang lanjut.

Kromosom tidak normal adalah disebabkan oleh beberapa variasi nombor salinan atau ‘CNV’, merujuk kepada struktur beberapa keadaan menyebabkan kehilangan atau kesilapan susunan DNA dalam sel. Perkara itu boleh diwarisi atau berlaku secara tiba-tiba dan menjadi punca biasa penyakit.

Pasukan penyelidik melakukan analisis secara sistematik dan menemui banyak CNV dalam hampir 3500 orang yang hilang upaya intelektual antara 2006 dan 2010.

Mereka mendapati, CNV yang berlaku secara tiba-tiba dan tidak diwarisi membabitkan 227 orang yang bermakna keadaan itu wujud dua kali ganda daripada biasa sama seperti bagi mereka yang mempunyai autisme dan tiga kali ganda di kalangan mereka yang menghidap penyakit asma.

Analisis seterusnya untuk menentukan CNV asal di kalangan data daripada 118 orang mendapati 90 kes berasal daripada bapa dan tiga suku daripadanya kehilangan turutan DNA.

Penyelidik kemudian membahagikan responden memiliki CNV kepada dua kumpulan iaitu mereka yang mempunyai gen DNA berulang-ulang dan mereka yang tidak mempunyai DNA berulang-ulang. 
Penyelidik turut membandingkan usia ibu bapa dalam dua kumpulan itu dengan mereka yang tidak mempunyai masalah hilang upaya intelektual.

Kumpulan tidak mengalami DNA berulang-ulang, golongan paling ramai membabitkan lelaki pada usia lanjut yang memberi petunjuk kepada bagaimana memahami sebab CNV terbentuk, kata penulis.

Kesimpulan yang dibuat ialah peningkatan CNV baru tidak hanya disebabkan oleh DNA lelaki tetapi usia bapa juga memainkan peranan, kata penulis.

“Sebagai rumusan, data kami buat pertama kalinya meyakinkan bukti bahawa faktor CNV bapa paling besar menjadi faktor kepada kelemahan intelektual,” katanya. Kajian itu disiarkan secara dalam talian oleh Jurnal Perubatan Genetik. – Agensi 


Peluru Hidup dan Senjata Api




AYER KEROH - Tujuh termasuk dua warga China dan seorang warga Indonesia dituduh di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ayer Keroh, di sini semalam kerana memiliki senjata api dan peluru hidup. 

Mereka adalah peniaga, Goh Eng Tee, 36, dari Muar, Johor; peraih ikan dari Batu Maung, Pulau Pinang, Sow Teik Lee, 36, dan pekerja kontraktor dari Keramat, Kuala Lumpur, Emery Shazman Abd Malek, 35, 

Turut dituduh, suri rumah dari Ujong Pasir, Teo Bee keng, 29; pembantu rumah dari Jawa Barat, Tursini Turida, 21, dan Lin Xiren, 27, serta Ye Yufeng, 26, kedua-duanya peniaga. 

Kesemua tertuduh yang juga sebelum ini pernah dituduh berkaitan sindiket pengedaran dadah, bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan setelah dibaca secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zaharah Hussain dan Majistret Ida Rahayu Sharif. 

Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka dengan niat bersama memiliki sepucuk pistol jenama Sig Sauer Mosquito bersama dua kelopak pistol jenama sama tanpa keperluan yang sah di sisi undang-undang. 

Mereka melakukan kesalahan itu di alamat No. 22, Jalan SP 1, Taman Semabok Permai, Semabok kira-kira 1.30 pagi, 4 Jun 2010. 

Sementara itu, di mahkamah majistret, kesemua dituduh memiliki empat butir perluru hidup Caliber .22 tanpa keperluan sah di sisi undang-undang di pada tarikh, hari dan lokasi sama. 

Atas permohonan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi ketika menjalankan pendakwaan, Ida Rahayu membenarkan kes bersabit memiliki peluru dipindahkan ke Mahkamah Sesyen dan digabungkan bersama pertuduhan kerana memiliki senjata api.


Culik Gadis dan Rogol di Ayer Keroh




AYER KEROH - Seorang kelindan lori dituduh atas dua pertuduhan menculik dan merogol seorang pelajar Tingkatan Satu di dua mahkamah berasingan di sini, semalam. 

M Mugilan, 21, dari Krubong, di sini bagaimanapun tidak mengaku salah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Hazri Hanafi dan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharudin. 

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh telah menculik seorang peremuan berusia 13 tahun tiga bulan daripada penjaganya yang sah di Kampung Bukit Rambai, kira-kira 5.40 pagi, 9 September lalu. 

Dia dituduh mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol perempuan sama kira-kira 10.30 malam pada hari, tarikh dan tempat sama. 

Dia didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. 

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM7,000 terhadap kes bersabit penculikan dan RM10,000 bagi kes merogol. 

Namun, Muhammad Harzri membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 diberikan sebagai ikat jamin serta bersetuju kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan sekali. 

Harmi Thamri pula membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 selain menetapkan 4 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam.


Buah diperam dengan carbide tidak selamat dimakan



Oleh: Irwan Mohammad


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihati pengguna supaya tidak memakan buah-buahan yang diperam dengan menggunakan gas carbide kerana terdapat maklumat yang cukup mengenai bahayanya kepada kesihatan.

Calcium carbide mempunyai ciri-ciri penyebab kanser dan boleh mengakibatkan gangguan saraf. Ia boleh menyebabkan bunyi berdesing dalam telinga, kebas dan penyakit saraf periferal. Jika wanita hamil memakan buah yang telah diperam bersama carbide, ada kemungkinan bayi yang akan lahir berkeadaan cacat.

Adalah tidak wajar Kementerian Kesihatan mengatakan bahawa buah-buahan yang diperam dengan menggunakan carbide selamat untuk dimakan sebelum menjalankan siasatan. Sekadar menyebut bahawa amalan yang sama dilakukan di negara-negara lain bukan bermakna ianya selamat.

Di India, kerajaan telah mengharamkan penggunaannya di bawah Akta Pencegahan Pencemaran Makanan, dan terdapat beberapa laporan media bahawa buah-buahan yang diperam dengan menggunakan gas carbide telah dirampas dan dimusnahkan.

Dalam keadaan biasa, buah-buahan akan masak hasil tindak balas hormon ethylene yang dihasilkan secara semula jadi dalam buah. Tetapi penggunaan calcium carbide mengeluarkan gas acetylene yang mudah meruap dan meletup walaupun pada kepekatan yang rendah berbanding ethylene.

Kementerian Kesihatan perlu menyedari bahawa khasiat makanan dalam buah-buahan akan berkurang apabila ia masak ranum secara tiruan.

Buah-buahan yang menjadi ranum dengan menggunakan gas carbide akan mengalami tindak balas kimia yang berbeza berbanding buah-buahan yang ranum secara semula jadi. Ketika buah ranum secara semula jadi, perubahan biokimia akan berlaku misalnya penyusutan klorofil, biosintesis karotenoid (antioksidan, penambah sistem imun, bahan pencegah kanser), antosianin (antioksidan yang kuat), essential oils, dan komponen perisa serta aroma. Tetapi kesemua perubahan kimia yang menyihatkan dan menambah mutu buah-buahan ini tidak berlaku jika buah ranum secara tiruan.

Dengan mengatakan penggunaan gas carbide untuk meranum buah-buahan sebagai amalan yang selamat, Kementerian Kesihatan seolah-olah menggalakkan penggunaan lebih banyak bahan kimia dalam makanan yang sebaliknya boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Penulis adalah Presiden CAP.

H/daily


Perolehan Kerugian Kenderaan Exco Melaka



Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) telah membelanjakan sejumlah RM2.47 juta bagi tempoh tahun 2006 hingga 2009 untuk perolehan 17 buah kenderaan baru. Manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam tempoh yang sama telah membelanjakan sejumlah RM2.29 juta untuk perolehan 20 buah kenderaan baru. 

Secara keseluruhannya pengurusan kenderaan JKMM adalah tidak memuaskan kerana terdapat kelemahan yang telah mengakibatkan kerugian kepada Kerajaan Negeri dan pembaziran wang awam. Kelemahan yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan kad inden minyak yang tidak dipantau sehingga menyebabkan berlakunya pengisian minyak dalam tempoh yang singkat. 

Kos penyenggaraan kenderaan yang tinggi melebihi harga perolehan kenderaan antara 143% hingga 281% dalam tempoh lima tahun dari tarikh perolehan. Selain itu berlakunya pembaziran pembelian Sistem Pengesanan Automatik Kenderaan (AVLS) sejumlahRM96,350 yang tidak digunakan. Pengurusan kenderaan di JKR adalah memuaskan kecuali kelewatan tindakan pelupusan bagi membolehkan penggantian kenderaan baru.

Pengurusan kenderaan di Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) diuruskan oleh Bahagian Pentadbiran Am, manakala di Jabatan Kerja Raya Negeri (JKR) ia diuruskan oleh Cawangan Kejuruteraan Mekanikal. Bagi tahun 2006 hingga 2009, JKMM telah membelanjakan sejumlah RM2.47 juta untuk perolehan 17 buah kenderaan, manakala sejumlah RM2.29 juta telah dibelanjakan oleh JKR untuk perolehan 20 buah kenderaan.

Pecahan peruntukan yang diluluskan dan dibelanjakan bagi tahun 2006 hingga 2009 bagi JKMM dan JKR masing-masing adalah seperti di Jadual 1 dan Jadual 2.

Jadual 1

Jadual 2

Pengauditan yang dijalankan pada bulan Ogos hingga Disember 2009 mendapati pada keseluruhannya pengurusan kenderaan JKMM adalah tidak memuaskan kerana terdapat kelemahan yang telah mengakibatkan kerugian kepada Kerajaan Negeri dan pembaziran wang awam. Bagi tempoh 2006 hingga 2009, JKMM telah membelanjakan sejumlah RM5.12 juta bagi kos penyenggaraan kenderaan. 

Sampel Audit mendapati kos penyenggaraan kenderaan yang tinggi melebihi harga perolehan kenderaan antara 143% hingga 281% dalam tempoh lima tahun dari tarikh perolehan. Kelemahan yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan kad inden minyak tidak dipantau menyebabkan berlakunya pengisian minyak dalam tempoh yang singkat. 

Selain itu berlakunya pembaziran pembelian Sistem Pengesanan Automatik Kenderaan (AVLS) yang tidak dirancang. Pengurusan kenderaan di JKR pula adalah memuaskan kecuali kelewatan tindakan pelupusan bagi kenderaan yang rosak. Penjelasan lanjut mengenai kelemahan yang diperhatikan adalah seperti di perenggan berikut:

Pengisian Minyak Bagi Tempoh Yang Singkat

Pekeliling Perbendaharaan Bil. 6 Tahun 1999 perenggan 6.2 menjelaskan tentang penggunaan kad inden minyak serta tanggungjawab Jabatan untuk mengesahkan penyata pembelian yang diterima daripada syarikat pembekal minyak sebelum pembayaran dibuat setiap bulan.

Semakan Audit terhadap Penyata Pembelian Minyak Petronas Dagangan Bhd. daripada pembekal kepada JKMM mendapati pengisian minyak menggunakan kad yang sama bagi dua kali pengisian dalam tempoh masa yang singkat. Tempoh pengisian minyak berulang bagi kenderaan yang sama adalah antara 19 saat hingga 45 minit melibatkan kos berjumlah RM1,248. Semakan Audit ke atas resit pembelian dan Buku Log tidak dapat dijalankan kerana resit pembelian dan Buku Log bagi tempoh tahun 2008 hingga Julai 2009 tiada dalam simpanan JKMM. Pembelian minyak dalam tempoh singkat yang tidak dapat disahkan adalah seperti di Jadual 3.

Jadual 3

Transaksi pengisian minyak seperti di Jadual 3 di atas telah disahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kad, Petronas Dagangan Bhd. JKMM memaklumkan berlakunya kerosakan cip kad inden minyak kenderaan menyebabkan pemandu terpaksa menggunakan kad inden minyak yang lain. Selain itu, pihak pentadbiran JKMM memaklumkan telah menggantikan kad inden minyak yang rosak dengan kadar segera supaya semua kenderaan mempunyai kad minyak yang berasingan.

Penyenggaraan kenderaan bertujuan untuk memastikan kenderaan dapat berfungsi dengan baik, selamat digunakan dan mengurangkan kerosakan. Bagi tempoh tahun 2006 hingga 2009, JKMM telah membelanjakan sejumlah RM5.12 juta bagi tujuan penyenggaraan kenderaan adalah seperti di Jadual 4.

Jadual 4

a) Kos Senggaraan Lebih Tinggi Berbanding Perolehan Kenderaan

Analisis Audit terhadap kos penyenggaraan bagi lapan buah kenderaan yang dipilih mendapati kos senggaraan adalah lebih tinggi berbanding kos perolehan kenderaan iaitu di antara 142.9% hingga 280.8%. Kos senggaraan yang tinggi adalah disebabkan kenderaan tersebut mengalami masalah kerosakan enjin dan kotak gear. Kos senggaraan berbanding kos perolehan bagi tempoh 2006 hingga 2009 adalah seperti di Jadual 5.

Jadual 5

Pengurusan penyenggaraan di JKMM adalah tidak memuaskan kerana kos penyenggaraan adalah tinggi berbanding kos perolehan.

Pembaziran Perolehan Sistem Pengesanan Automatik Kenderaan (AVLS)

Minit Mesyuarat Taklimat ICT Bil. 1 Tahun 2007 memaklumkan semua kenderaan Jabatan Kerajaan Negeri Melaka hendaklah dipasang dengan perkakasan AVLS seperti yang telah diputuskan dalam Mesyuarat EXCO Negeri Melaka. Mesyuarat Rundingan Harga AVLS pada 17 Jun 2008 meluluskan harga kontrak RM0.21 juta termasuk kos penyenggaraan selama setahun. Tujuan sistem ini dipasang adalah bagi mengesan dan memantau pergerakan kenderaan JKMM. Perolehan ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pembekalan peralatan dan sistem AVLS serta perkhidmatan GPS adalah seperti di Jadual 6.

Jadual 6


Semakan Audit mendapati peralatan AVLS telah dipasang pada 41 buah kenderaan rasmi Kerajaan Negeri Melaka pada akhir tahun 2007 oleh Melaka ICT Holding Sdn. Bhd. (MICTH) seperti di bawah.



Semakan lanjut mendapati JKMM telah menamatkan talian AVLS mulai 24 April 2009 melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Sistem AVLS. Keputusan penamatan perkhidmatan AVLS dibuat kerana JKMM tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi melaksanakan sistem yang melibatkan kos penyenggaraan dan caj talian perkhidmatan yang tinggi setiap bulan. Perolehan AVLS adalah satu pembaziran kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana penggunaan peralatan AVLS sejumlah RM96,350 tidak dapat diteruskan.


Perolehan sistem AVLS tidak memuaskan kerana tiada perancangan teliti terhadap keperluan sebenar sistem ini dan berlakunya pembaziran wang kerana peralatan tidak digunakan lagi selepas setahun ia diperoleh.

Sumber: kijang59



Saturday, 1 October 2011

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil


Caj Warisan Dibantah

Tindakan Kerajaan Negeri Melaka mengenakan Caj Warisan 5 % kepada pelancong yang menginap di premis penginapan bermula dari 1 September 2011 adalah dipersoalkan, memandangkan kos penginapan yang sedia ada telah merangkumi caj perkhidmatan oleh pengusaha premis penginapan.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil ( DPPKBK ) dengan ini menggesa Kerajaan Negeri Melaka supaya keputusan tersebut dikaji dengan sedalam-dalamnya bagi mengelakkan penurunan kadar kedatangan pelancong ke negeri Melaka akibat daripada tindakan tersebut. DPPKBK bimbang berikutan dengan tambahan caj tersebut maka pelancong akan merasakan beban yang tidak munasabah lalu beralih arah haluan melancong ke tempat lain.

Kerajaan Negeri harus memikirkan cara yang lebih sesuai untuk mencari dana bagi menjalankan aktiviti penyelenggaraan dan promosi pelancongan seperti dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah tanpa sebarang pembaziran sepertimana yang telah berlaku baru - baru ini berikutan pembelian tender nombor pendaftaran kereta kerajaan negeri yang melibatkan wang berjumlah RM 317,000.

Antara projek pembaziran yang lain adalah projek Pulau Melaka dan projek Eye On Malaysia yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Berjuta-juta ringgit duit rakyat Melaka hangus disebabkan kelemahan dan kelalaian kerajaan negeri Melaka pimpinan Datuk Ali Rustam.

Dengan duit yang sebanyak itu pelbagai projek pengindahan, pemeliharaan dan keceriaan dapat dilakukan tanpa mengenakan caj tambahan kepada pelancong yang sememangnya telah menyumbang kepada ekonomi negeri Melaka selama ini. DPPKBK dengan ini mendesak agar caj ini tidak dikenakan kepada pelancong-pelancong yang datang melancong dan menginap di negeri Melaka.


Jauhar Mohd Dawi
Ketua Dewan Pemuda PAS
Kawasan Bukit Katil

1 Oktober 2011

Pautan berita berkaitan : Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil


Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59