Thursday, 7 April 2011

Melaka maju tetapi periuk nasi peniaga terjejas


BANDA HILIR - Lebih 20 peniaga di Heritage Bazaar, Dataran Pahlawan di sini, mempertikaikan tindakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengenakan tindakan kompaun terhadap mereka.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berbuat demikian atas alasan lesen perniagaan tamat tempoh, serta gagal mempamerkan lesen perniagaan masing-masing.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Melaka, Aziz Embi berkata, tindakan itu dianggap tidak wajar kerana kebanyakan peniaga sebelum ini pernah beberapa kali memohon lesen, namun ditolak MBMB.

Menurutnya yang juga Pengerusi Kraf Tangan dan Makanan Tradisional Dataran Pahlawan Megamall, tindakan MBMB itu sebenarnya berpunca daripada kegagalan peniaga di situ menjelaskan kadar tunggakan sewa yang sudah berlarutan sejak beberapa bulan.

“Itulah yang menjadi penyebab MBMB enggan menghidupkan lesen perniagaan kami. Biarpun kami sudah memohon beberapa kali kepada PBT terbabit.

“Lagipun, dengan kadar sewa RM500 sebulan dan sekiranya dicampur dengan bayaran penjagaan RM200 sebulan, ia membebankan, sedangkan perniagaan kami di sini kurang mendapat sambutan,” katanya semasa membuat lawatan di situ, semalam.

Turut serta, Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah.

Aziz berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan 29 Mac lalu dan MBMB sewajarnya memberikan amaran terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan tegas diambil.

“Ada juga di kalangan peniaga yang cuba menjelaskan kadar tunggakan sewa berkenaan, namun dibebani pula dengan kadar tunggakan lesen perniagaan yang dikenakan untuk beberapa tahun.

“Ini amat membebankan peniaga yang berniaga hanya mengharapkan musim tertentu sahaja untuk meraih pendapatan lebih,” katanya.

Menurut Aziz, sebelum ini, peniaga pernah dikenakan tindakan serupa, namun dipertimbangkan semula Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar sebelum ini, Datuk Latiff Tamby Chik.

Dalam perkembangan sama, peniaga menasihatkan MBMB mengambil tindakan terhadap peniaga menjalankan peniagaan di sekitar A Farmosa, Bukit St Paul dan beberapa kawasan yang ternyata tidak memiliki lesen perniagaan yang sah.

Sinar Harian

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59